Bernama
KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha menjatuhkan kerajaan, akan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai, berkata pihaknya menerima laporan terhadap Ahli Parlimen Marang itu, yang dibuat Pemuda Amanah dan Pemuda PKR Selangor di IPD Dang Wangi semalam.
“Kes berkenaan akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman,” katanya ringkas dalam sidang media di IPD Sentul, ketika diminta mengulas perkembangan isu itu.
Laporan polis itu dibuat Exco Pemuda Amanah Fadhli Umar Aminol Huda dan Ketua PKR Selangor, Izuan Kasim, berhubung kenyataan Hadi yang mengaku terdapat usaha dijalankan PN dan parti blok pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Hadi pada Isnin ketika ditemu bual media di Parlimen berkata, tiada sesiapa pun boleh menghalang usaha PN itu berdasarkan sistem demokrasi diamalkan Malaysia dan ia boleh dilakukan sama ada melalui undi tidak percaya atau akuan berkanun (SD).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan