Shakira Buang
Pemimpin PAS meletakkan harapan agar Pengerusi Bersatu Muhyiddin Yassin akan selamat berdepan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man juga mendakwa Muhyiddin berdepan “tuduhan terpilih” bagi menutup isu melibatkan parti lawam mereka Umno.
“Tuduhan mutakhir ini lebih bersifat ‘tuduhan’ terpilih bagi melindungi dan mengelak dan menutup satu isu yang besar berlaku dalam komponen PH iaitu Umno berhubung Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
“Jadi isu ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menutup isu sebenar dan kita yakin bahawa tuduhan ini adalah ‘pertuduhan’ terpilih dan kita harap Muhyiddin akan selamat dan dipelihara oleh Allah,” katanya kepada media ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.
Setakat ini SPRM belum mengumumkan kata putus sama ada akan menuduh Muhyiddin di mahkamah ataupun tidak.
Bagaimanapun pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) percaya Muhyiddin akan dituduh di mahkamah esok dan mendakwa ia sebagai “tindakan” pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar sebentar tadi menegaskan dia tidak masuk campur urusan membabitkan siasatan terhadap Muhyiddin, yang sejak semalam dispekulasi akan diheret ke mahkamah atas dakwaan rasuah berkaitan program Jana Wibawa.
Tuan Ibrahim yang juga anggota parlimen Kubang Kerian itu hadir bagi memberi sokongan kepada Muhyiddin yang dipanggil memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.
Tersahulu Muhyiddin tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira jam 11.15 pagi dengan menaiki sebuah kereta jenis Toyota Velfire berwarna hitam diiringi tiga buah kereta lain sebelum dikerumuni penyokong dan pemberita.
Muhyiddin yang turun berjumpa penyokong turut disambut dengan takbir, sorakan dan selawat sebelum diiring penyokong untuk masuk ke ibu pejabat SPRM.
Semalam tersebar dakwaan palsu bahawa dia ditahan di sebuah padang golf. Sejak pertengahan bulan lepas, beberapa pemimpin Bersatu telah dihadapkan ke mahkamah.
Pada 21 Februari, ketua penerangan Bersatu ketika itu Wan Saiful Wan Jan berdepan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta pada 2022.
Beberapa pertuduhan juga dikenakan terhadap Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad.
Menurut SPRM, pertuduhan-pertuduhan itu berkaitan skim Jana Wibawa - inisiatif untuk mempercepat penyampaian projek bagi merangsang pemulihan ekonomi selepas Covid-19.
Turut didakwa Teo Wee Cheng, yang menjalankan perniagaan di kawasan Pagoh, kubu kuat Muhyiddin.
Sementara itu Tuan Ibrahim berkata pihaknya akan mengadakan solat hajat malam ini di markas PAS Taman Melewar, Kuala Lumpur sebagai menyatakan sokongan terhadap presiden Bersatu itu.
Selain itu katanya satu lagi himpunan akan berlangsung di Rusila, Terengganu pada malam ini.
“Kita arahkan seluruh markas PAS dan Bersatu serta parti dalam PN untuk solat hajat berdoa semoga Allah mudahkan perjalanan pimpinan kita,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan