KJ pertimbang tubuhkan parti baru

Malaysiakini

Bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin kini mempertimbangkan untuk menubuhkan parti politik baru.

Khairy - yang dipecat daripada Umno pada penghujung Januari - berkata dia pada mulanya tidak berminat untuk terus menubuhkan satu lagi parti politik, tetapi mula berfikir sebaliknya baru-baru ini.

"Saya sejak beberapa minggu ini sedang melihat kepada pilihan tersebut," katanya pada siri terbaru podcast Keluar Sekejap hari ini.

"Saya lihat jika kita dapat permulaan kedua dalam politik, kenapa tidak permulaan itu on our own terms (mengikut syarat kita sendiri),” tambahnya.

Kenyataan Khairy dibuat di tengah-tengah spekulasi berterusan sama ada bekas menteri kesihatan itu akan menyertai salah satu parti politik utama yang ada sekarang.

Satu pihak yang secara terbuka cuba menarik penyertaannya ialah Bersatu. Khairy mendakwa parti lain juga telah menghubunginya.

Mengulas lanjut, Khairy berkata bahawa menyertai parti baru memerlukannya menyesuaikan diri dengan cara parti itu melakukan sesuatu, yang mungkin tidak sejajar dengannya.

Dia berkata dia terpaksa membuat pelarasan serupa apabila menyertai Umno.

Bagaimanapun, Khairy bersikap realistik tentang cabaran yang mungkin berlaku jika mahu menubuhkan partinya sendiri.

"Jika anda menubuhkan parti politik, anda boleh mengikut cara Pejuang - maaf saya kata - kehilangan wang deposit, diketawakan dan seumpamanya.

"Tetapi mungkin anda berasa lebih puas kerana anda melakukannya dengan syarat anda sendiri," katanya.

Dia kemudian memetik bagaimana Imran Khan dari Pakistan tewas dalam beberapa pilihan raya sebelum berjaya menjadi perdana menteri.

“Jadi kalau kita buat parti sendiri, kita kena bersedia untuk tidak memenangi beberapa pilihan raya, tetapi satu hari nanti siapa tahu,” katanya.

Sementara itu, hos bersama Khairy, Shahril Hamdan Suffian - yang digantung daripada Umno selama enam tahun - berkata dia tidak akan tergesa-gesa membuat sebarang pilihan politik.

Katanya, dia tidak mempunyai keinginan untuk bertanding dalam enam pilihan raya negeri akan datang, dan mahu fokus kepada kehidupannya di luar politik buat masa ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan