Faiz Zainudin
PETALING JAYA: Keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap penganugerahan yang membawa kepada gelaran ‘Tan Sri’ buat bekas mursyidul am PAS itu adalah satu penghormatan besar.
Anaknya, Nik Omar Nik Aziz, walaupun anugerah itu diberikan ketika ayahandanya telah tiada namun ia amat bermakna, terutama bondanya, Tuan Sabariah Tuan Ishak.
“Alhamdulillah, walaupun ayahanda tiada bersama, penghargaan itu dirasai bonda.
“Ia juga menunjukkan jasa ayahanda Tok Guru sentiasa dihargai, junjung kasih Tuanku,” katanya kepada FMT sambil berterima kasih dengan anugerah diberikan.
Terdahulu, Veteran DAP Lim Kit Siang dan bekas mursyidul am PAS Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah antara 839 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Nik Aziz dan Lim dianugerahkan Panglima Setia Mahkota (PSM), anugerah persekutuan kedua tertinggi yang membawa gelaran “Tan Sri”. Mereka adalah antara 26 individu yang menerima anugerah itu tahun ini.
Nik Aziz, yang meninggal dunia pada 2015, turut berkhidmat sebagai menteri besar Kelantan dari 1990 hingga 2013.
Nik Aziz juga pernah menerajui PAS dengan menjawat jawatan mursyidul am.
Turut dianugerahkan PSM, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul, dan dua bekas menteri persekutuan, Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Anifah Aman.
Wan Junaidi, dari Sarawak, ialah bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), manakala Anifah merupakan menteri luar dari 2009 hingga 2018. Anifah, dari Sabah, kini merupakan Senator di Dewan Negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan