Bunuh jiran, warga emas dipenjara 38 tahun

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
Warga emas Mohamad Shaharudin Zakaria 68, dijatuhi hukuman penjara 38 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini selepas didapati bersalah membunuh jirannya yang juga wanita warga emas, tiga tahun lalu. FOTO L.MANIMARAN
Warga emas Mohamad Shaharudin Zakaria 68, dijatuhi hukuman penjara 38 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini selepas didapati bersalah membunuh jirannya yang juga wanita warga emas, tiga tahun lalu. FOTO L.MANIMARAN
Ipoh: Seorang lelaki warga emas dijatuhi hukuman penjara 38 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini selepas didapati bersalah membunuh jirannya yang juga wanita warga emas, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Shaharudin Zakaria, 68, bermula dari tarikh tangkapan tertuduh pada 4 Mei 2020, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Shaharudin didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Zaharah Khalid yang ketika kejadian berumur 77 tahun di sebuah rumah di Kampung Pasir Panjang Laut, Seri Manjung, sekitar pukul 8 malam pada 3 Mei 2020.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi manakala tertuduh diwakili peguam M Saravanan.

Terdahulu, seorang anak mangsa, Hawa Isa, 48, memberi akuan bersumpah di kandang saksi mahkamah, meminta supaya menjatuhkan hukuman setimpal kepada tertuduh yang disifatkan membunuh ibunya secara kejam.

Dalam rayuan bagi meringankan hukuman anak guamnya, Saravanan berkata pembunuhan Zaharah bukanlah pembunuhan terancang memandangkan berdasarkan pendakwaan, tertuduh memijak mangsa beberapa kali sebelum membawa mayat menggunakan kereta sorong lalu meninggalkannya di sebuah parit.

Selain tertuduh tidak menggunakan sebarang senjata tajam bagi menetak mangsa.

Permintaan meringankan hukuman itu dibuat susulan pemansuhan hukuman mati mandatori yang diluluskan Parlimen dan sudah diwartakan termasuk bagi kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Saravanan memohon agar anak guamnya dapat menghabiskan saki-baki hidupnya di penjara kerana terdapat kemungkinan tertuduh mungkin sudah meninggal dunia apabila tiba hari untuk dia digantung.

Sepanjang perbicaraan berlangsung sejak Ogos 2021, seramai 13 saksi pendakwaan dipanggil manakala hanya seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri dipanggil sepanjang perbicaraan.

Abdul Wahab berkata, mahkamah sudah memberi pertimbangan ke atas penyataan impak mangsa berdasarkan fakta kes serta saksi hujahan kedua-dua pihak.

"Maka mahkamah menginginkan hukuman penjara selama 38 tahun bermula tarikh tangkapan tertuduh dan tiada hukuman rotan (sebat) dikenakan berikutan tertuduh sudah melebihi usia 50 tahun," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan