Dari Kelantan ke Selangor, Mahathir sertai Hadi 'satukan' Melayu

Alyaa Alhadjri

Menjelang permulaan kempen enam pilihan raya negeri pada hujung minggu ini, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang memilih Selangor - kubu Pakatan Harapan (PH) - sebagai pentas penampilan bersama kali kedua mereka.

Hadir sebagai tetamu pada Townhall Bicara Negarawan dan Agamawan untuk Rakyat Malaysia di Dewan i-City Convention Centre, i-City Central Walk, di Shah Alam malam tadi, kedua-dua mereka mengingatkan orang Melayu-Islam tentang kepentingan undi mereka untuk menuntut semula kuasa politik.

Ditanya mengenai kebimbangannya terhadap orang Melayu, Mahathir mendakwa bahawa semangat pemurah masyarakat itu membawa kepada keadaan semasa apabila masyarakat bukan Melayu menuntut hak ke atas negara yang asalnya milik mereka.

“Inilah yang berlaku hari ini...,” dakwa Mahathir yang hadir bersama Hadi dalam panel yang dianjurkan oleh sekretariat Proklamasi Melayu, yang dipimpinnya, serta NGO berkaitan PAS, Geng Ustaz.

Bekas pemimpin Pejuang itu mengulangi dakwaannya bahawa ramai orang bukan Melayu di Malaysia enggan berasimilasi dengan "pemilik tanah sebenar", kerana mereka menolak bahasa dan budaya Melayu, tidak seperti mereka yang tinggal di negara seperti Indonesia atau Thailand.

“Sebab itu kita mesti pertahankan kedudukan kita sebagai pemilik Tanah Melayu.

"Jika kita tidak keluar mengundi, jika kita tidak menyokong (calon) orang Melayu, negara kita tidak lagi jadi Tanah Melayu," katanya.

Mahathir berkata walaupun sifat semula jadi orang Melayu adalah pemurah, tetapi sudah tiba masanya untuk mereka tidak lagi menjadi sebegitu.

Sementara itu, Hadi pula berkata adalah satu kemestian bagi semua umat Islam untuk mengundi, dan mengingatkan bahawa mereka akan disoal di akhirat kelak berhubung pemilihan pemimpin mereka hari ini.

“Hari ini, kita boleh lihat ramai identiti Islam hilang kerana kita hilang kuasa politik,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu mengulangi bahawa adalah satu kemestian bagi umat Islam untuk memperjuangkan kuasa politik, dan dalam kes PAS, melalui penyertaan dalam pilihan raya sebagai sebahagian daripada demokrasi.

“PAS memilih jalan yang aman, walaupun ada negara lain yang mengambil pendekatan lebih keras terhadap kerajaan mereka, kita memilih demokrasi,” kata Hadi.

Mahathir membuat penampilan sulungnya di pentas PAS di Kelantan hujung minggu lalu, sebagai sebahagian daripada agenda Proklamasi Melayunya untuk menyatukan undi Melayu yang menyokong Perikatan Nasional, dan menentang PH serta BN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan