Dania Kamal Aryf
PN hari ini membuat laporan polis terhadap Pengerusi DAP Lim Guan Eng ekoran dakwaan dia menuduh gabungan itu akan merobohkan tokong Buddha di Pulau Pinang, jika menang dalam PRN kali ini.
Antara yang hadir di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi hari ini adalah Timbalan Ketua Pemuda PN Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Dia mendakwa Lim mengambil kesempatan atas sentimen kaum dan "meracuni minda" pengundi Cina menjelang PRN.
Pada Jumaat lalu, Lim membuat ucapan dalam acara sempena Jelajah Raja Naga Putih Tian Fu Gong di Jelutong, Pulau Pinang.
Laporan MalaysiaNow - yang menterjemahkan laporan China Press - memetiknya sebagai berkata "Gelombang Hijau" akan menyebabkan tokong dirobohkan, namun penyembahan terhadap "tuhan dan Buddha" akan terus dilindungi jika kerajaan semasa Pulau Pinang dikekalkan selepas PRN.
Lim kemudian menafikan laporan itu dan berkata ucapannya merujuk kepada kes sebuah kuil Hindu berusia lebih 70 tahun di Kedah yang dirobohkan pada Julai 2020.
China Press turut mengeluarkan penjelasan dan transkrip yang mencerminkan penafian Lim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan