Anak Hadi antara 4 exco baharu Terengganu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Adun Batu Buruk Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga anak kepada Presiden PAS Hadi Awang, antara empat muka baharu dilantik sebagai exco kerajaan Terengganu.

Menurut Bernama, Menteri Besar Samsuri Mokhtar mengumumkan Khalil sebagai exco penerangan, dakwah dan pemerkasaan syariah.

Tiga muka baharu lain Adun Kijal Razali Idris (Bersatu) sebagai exco pelancongan, kebudayaan, alam sekitar, Adun Tepoh Hishamuddin Abdul Karim (pembangunan belia, sukan dan badan bukan kerajaan), manakala Adun Ajil Maliaman Kassim (kebajikan, pembangunan wanita, keluarga dan perpaduan nasional).

Sementara itu, Samsuri memegang portfolio ekonomi, kewangan, pelaburan, tanah dan sumber asli, manakala Adun Paka Satiful Bahari Mamat dilantik Exco pendidikan, pengajian tinggi, sains, teknologi dan pembangunan insan.

Adun Wakaf Mempelam Wan Sukairi Wan Abdullah pula dilantik exco kesihatan, perumahan dan kerajaan tempatan, sementara Adun Jabi Azman Ibrahim yang memegang portfolio pertanian, industri asas tani, keterjaminan makanan dan komoditi pada penggal lepas kekal menerajui bidang berkenaan.

Sementara itu, Adun Kota Putera Mohd Khuzaini Abd Rahman yang sebelum ini menerajui portfolio keusahawanan dilantik exco ekonomi digital, pendapatan paharu, perdagangan, perindustrian dan teknologi hijau, manakala Adun Chukai Hanafiah Mat dilantik sebagai exco infrastruktur, utiliti dan pembangunan luar bandar.

Adun Alor Limbat Ariffin Deraman yang memegang portfolio pelancongan pada penggal lepas pula dilantik exco keusahawanan, sumber manusia, koperasi dan hal ehwal pengguna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan