Pijak, tendang anak sampai mati, bapa ke tali gantung

Bernama
Mohammad Abdullah Mohamed dibawa ke Mahkamah Tinggi Seremban hari ini atas tuduhan mendera anaknya sehingga mati pada 2018. (Gambar Bernama)
SEREMBAN: Seorang bapa dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah mendera anak perempuannya sehingga mati lima tahun lepas.

Hakim Rohani Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Abdullah Mohamed, 41, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bekas anggota tentera itu dituduh membunuh Nur Aina Nabihah yang berusia sembilan tahun ketika kejadian di sebuah rumah di Lukut, Port Dickson antara 8.30 malam hingga 11.30 malam 31 Jan 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Rohani berkata, secara keseluruhannya, keterangan yang diberikan dalam pembelaan mendapati ia hanyalah penafian semata-mata.

“Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman mati ke atas kamu (Abdullah) yang kamu diperintahkan digantung di leher sehingga mati pada tarikh ditetapkan kelak,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Maleeha Syed Hussin dan Ala’uddin Baharom, manakala tertuduh diwakili dua peguam.

Terdahulu, Sharifah Maleeha memberitahu mahkamah, tindakan kejam Abdullah menyebabkan mangsa parah di beberapa bahagian abdomen, selain tertuduh tergamak memijak serta menendang anak kandungnya sehingga maut.

“Terdapat 32 kecederaan luaran dan pelbagai kecederaan dalaman si mati, terutamanya di bahagian kepala, leher dan abdomen. Pemeriksaan juga mendapati terdapat banyak pendarahan dalam abdomen disebabkan kesan luka di hati, pankreas dan ginjal.

“Kanak-kanak perempuan ini dipijak dan ditendang oleh bapa kandungnya sendiri, perbuatan ini tanpa belas kasihan…di mana sifat seorang ayah yang sepatutnya melindungi, menjaga dan memberikan kasih sayang kepada anak-anaknya.”

Peguam tertuduh pula memohon hukuman penjara paling mininum diberikan kepada anak guamnya bermula tarikh dia ditangkap.

Seramai 19 saksi pendakwaan memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan