Pemuda PH Kelantan saran aktifkan JPP, rancakkan program agama
N Faizal Ghazali
Kerajaan persekutuan disarankan agar mengaktifkan semula peranan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri Kelantan.
Ketua Pemuda PH Kelantan Hazmi Hassan berkata ia susulan keputusan pilihan raya negeri (PRN) yang menyaksikan gabungan Perikatan Nasional (PN) berjaya mempertahankan kerajaan Kelantan.
“Kami menghormati dan menerima keputusan pilihan raya negeri yang telah berlangsung semalam.
“Oleh itu, kami mencadangkan agar Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri Kelantan dan agensi tertentu diaktifkan semula dan diselia kerajaan persekutuan.
“Kami juga mencadangkan supaya fungsi penyelaras parlimen dikembalikan dan segala bantuan kebajikan dan pembangunan dapat dirasai oleh rakyat terbawah yang sebenarnya telah memilih Kerajaan Madani,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Semalam, keputusan PRN Kelantan menyaksikan PH dan BN masing-masing hanya memenangi dua kerusi iaitu dewan undangan negeri (DUN) Kota Lama dan Galas, manakala PN berjaya meraih kemenangan di 43 kerusi.
Sementara itu Hazmi berkata pihaknya juga mencadangkan agar kerajaan persekutuan dapat merancakkan program berbentuk keagamaan di negeri berkenaan.
“Kami juga mencadangkan agar kerajaan pusat meningkatkan program-program agama di Kelantan sebagai memenuhi keinginan sebahagian besar pengundi yang telah diterjemah dalam keputusan PRN Kelantan.
“Walaupun isu air, peluang pekerjaan, dan pembangunan yang diketengahkan oleh PH-BN namun ia dilihat tidak penting oleh sebahagian rakyat Kelantan yang terus mengundi PAS.
“Sebagai menghormati keputusan rakyat kelantan dan memenuhi semangat federalisme maka Kerajaan Madani terjemahkan dengan mengadakan program-program agama di Kelantan terutamanya di kampung-kampung anjuran Kerajaan Madani,” katanya.
Tambah ketua Pemuda Amanah Kelantan itu, pihaknya juga menyedari masih terdapat ramai pengundi yang mengharapkan pembangunan dan perubahan negeri itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan