FMT Reporters
PETALING JAYA: Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani mahu parti itu meneliti sama ada ia mampu untuk terus menarik sokongan orang Melayu dengan cara ia diuruskan ketika ini.
Mengulas kekalahan besar Umno pada PRN enam negeri semalam, beliau berkata semua pemimpin Umno termasuk beliau harus bertanggungjawab atas kekalahan itu dan menggalas tanggungjawab memulihkan sokongan kaum Melayu terhadap parti.
“Bagi pendapat saya, semua pemimpin Umno di setiap peringkat termasuk ‘Top 5’, MT, ketua-ketua bahagian di setiap negeri tersebut termasuk Wanita, Pemuda, Puteri kena bertanggungjawab ke atas kekalahan ini,” kata beliau selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar IPTA/IPTS.
“Kita kena melihat semula sama ada cara Umno ditadbirkan selama ini dapat terus menarik sokongan orang Melayu pada masa akan datang. Kita perlu melihat perkara ini dari sekarang sebelum menjelangnya PRU16 yang akan diadakan pada tahun 2027,” katanya.
Top 5 merujuk jawatan tertinggi parti melibatkan presiden, timbalan presiden, dan tiga naib presiden.
Johari berkata, Umno harus terima hakikat ia bukan hanya kehilangan sokongan orang Melayu di Kelantan, Terengganu, dan Kedah tetapi juga di Pantai Barat.
Beliau berkata, keputusan PRN menunjukkan di negeri yang agak baik pembangunannya seperti Pulau Pinang dan Selangor, Umno hanya mampu meraih dua kerusi masing-masing di negeri berkenaan.
“Di Negeri Sembilan, sokongan orang Melayu untuk kita juga menurun. Umno menang hanya 14 daripada 17 DUN yang dipertandingkan,” katanya.
Secara keseluruhan, Umno bertanding di 108 kerusi DUN pada PRN enam negeri, namun cuma menang 19 kerusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan