PN kerajaan gagal, berkuasa pun sebab peralatkan nama Islam

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI 
Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad berkata, Perikatan Nasional (PN) telah gagal mentadbir kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan ketika berkuasa 33 bulan, namun ia berjaya ditutup dengan memperalatkan nama Islam.

Beliau berkata, apabila Kerajaan Perpaduan di Selangor membentangkan prestasi sepanjang lima tahun, ia sudah tidak lagi relevan disebabkan ada penyokong PN yang sudah didoktrin bahawa “prestasi dan kecemerlangan kerajaan tidak penting”.

Apa yang penting katanya, PN yang kononnya mahu menyelamatkan Islam itu mesti kekal berkuasa biarpun gabungan itu terbukti gagal dalam pentadbiran mereka.

“Bila kita nak hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, kita nyatakan apa kejayaan kerajaan negeri, apa kebaikan yang dah dilaksana. Tapi semuanya dah jadi tak relevan.

“Bagi orang-orang yang termakan dengan doktrin PN, prestasi kerajaan yang cemerlang semua tak penting. Yang penting PN mesti berkuasa kerana PN itulah yang akan selamatkan atau hentikan ancaman terhadap Islam yang kononnya sedang berlaku.

“Dia hanya mampu menghasilkan persepsi “Oh ini tak ikut Islam”. Tapi apa Islam cadangkan? Dia tak cakap pula. Dia tutup kegagalan PN dengan memperalatkan Islam. Dia selubung Islam tu pada dia..apa yang PN tak mampu buat dan gagal, mereka kata yang penting Islam selamat.

“Ini adalah satu corak pemikiran yang akan memundurkan umat Islam, dan akan memundurkan bangsa Melayu,” katanya dalam Bicara Hj Khalid Samad di Facebook Jom Channel malam tadi.

Pengerusi AMANAH Kelantan itu juga meluahkan rasa khuatir apabila umat Islam “selesa” dengan kemunduran yang berlaku seperti masalah air, pembangunan dan pengangguran yang tinggi di Kelantan.

“Bila dia cakap (dia parti) Islam, sikapnya tidak (menunjukkan sebegitu) dan doktrinnya memundurkan umat Islam. Adakah itu yang kita inginkan?

“Ada yang kata dunia ni tak penting, yang penting kita fikir akhirat. Tak payah pembangunan, buang masa..

“Jadi selagi mana umat Islam mempunyai kefahaman yang sebegitu maka PN akan menang dan inilah cabaran dihadapi oleh PH-BN,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan