Wanita hidup dalam ketakutan diugut 'scammer'

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Akibat terpedaya dengan sindiket penjualan kereta terpakai di media sosial, seorang wanita bukan saja menanggung kerugian malah kini hidup dalam ketakutan apabila diugut sindiket berkenaan.

Juru kecantikan mahu dikenali Jong, 54, mendakwa sindiket terbabit meminta membayar baki 'hutang' pembelian kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV walaupun kenderaan itu tidak diterimanya.

Menceritakan kejadian, wanita itu berkata semuanya bermula pada 9 Ogos lalu ketika dia melayari laman sosial Facebook dan melihat iklan penjualan kereta terpakai.

Menurutnya, dia tertarik dengan Honda CRV terpakai dijual pada harga RM55,000 lalu berurusan dengan penjual menerusi aplikasi WhatsApp.

"Individu itu mendakwa kenderaan dari Langkawi sebab itu harganya murah walaupun tahun kenderaan 2021 dan kelihatan masih baru.

"Hasil perbincangan kami, penjual itu setuju menjual kenderaan terbabit pada harga RM48,000 dan saya diminta membuat bayaran deposit RM2,600. Saya memasukkan wang ke dalam akaun diberikan milik seorang wanita pada 11 Ogos lalu.

"Beberapa hari kemudian, dia meminta saya memasukkan wang RM4,170 sebagai bayaran insurans dan cukai jalan ke akaun bank milik seorang wanita lain," katanya pada sidang media di bangunan MCA di sini, hari ini.

Bercerita lanjut, Jong berkata, penjual itu sekali lagi menghubunginya dan meminta memasukkan wang berjumlah RM6,000 kerana perlu mendapatkan permit import (AP) untuk kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bagaimanapun, katanya, dia tidak membuat bayaran terbabit kerana berasa ditipu lalu meminta penjual itu memulangkan semula wangnya.

Sejak itu bermula detik hitam dalam hidupnya apabila sindiket bukan saja mengugut memintanya membayar harga kenderaan berkenaan tetapi sindiket turut menghubungi anak perempuannya.

"Seorang lelaki mengaku 'Bro Tiger' dari satu kumpulan kongsi gelap menghantar mesej ugutan kepada anak saya meminta saya membayar hutang dan jika tidak bayar, mereka akan datang ke salun milik anak saya di Cyberjaya.

"Apa yang menghairankan, kenapa saya perlu bayar sedangkan saya tidak terima kenderaan itu. Malah saya tanggung kerugian RM6,770," katanya.

Tambahnya, semakan di JPJ juga mendapati tiada kenderaan didaftarkan atas namanya lalu dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 15 Ogos lalu kerana ditipu selain bimbang keselamatan diri serta keluarga.

Sementara itu, Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, ia aduan pertama diterima pihaknya berkaitan 'scammer' membuat ugutan terhadap mangsa walaupun mangsa sudah kerugian ditipu.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan di laman sosial dan membuat semakan dengan pihak berkaitan terlebih dahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan