PPIM: Hadis 40 di sekolah bukan Islam jangan campur

Malaysiakini

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengingatkan kumpulan bukan Islam agar tidak campur urusan umat Islam.

Ketua Aktivis PPIM Nadzim Johan berkata tindakan Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) membantah keputusan memperkenalkan subjek berkaitan hadis di sekolah adalah biadab dan mencabar umat Islam.

"Apa kaitan pendidikan hadis untuk pelajar beragama Islam dengan kamu, bukanlah kerajaan memaksa pelajar bukan Islam menduduki pengajian itu," katanya.

Terdahulu MCCBCHST menyatakan kebimbangan mendalam terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari  Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.

MCCBCHST berhujah bahawa Perkara 12(2) dan Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menghalang rakyat Malaysia menerima arahan dalam mana-mana agama selain agama mereka.

Kumpulan itu berkata kerajaan dan menteri pendidikan mesti berpandukan perlembagaan dan tidak membenarkan agama mempengaruhi dasar pendidikan.

Sementara itu, Nadzim menegaskan mereka tidak akan berdiam diri terhadap campur tangan terhadap agama Islam.

"Kami mahu hidup dengan harmoni, semua ada agama masing-masing, ada hak masing-masing, jangan campur urusan agama kami!" tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying sebelum in berkata berkata Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang akan diperkenalkan adalah untuk pelajar Islam sahaja.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada 19 Ogos lalu melancarkan modul itu memupuk nilai-nilai daripada hadis Nabi Muhammad di peringkat sekolah.

Modul itu akan diperkenalkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sebelum dilancarkan ke sekolah awam lain.

Modul itu dibangunkan atas saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Artikel Bernama pada masa itu tidak menyatakan pada masa itu sama ada modul itu untuk pelajar Islam sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan