'Saya yang minta Anwar Islamkan saudara baru itu'

Malaysiakini
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Daerah Klang, Hushim Salleh, tampil memberi penjelasan berhubung tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengislamkan seorang pemuda India di Masjid Jamek Ar-Rahimiah, Klang, baru-baru ini.

Menurutnya, perkara itu berlaku bukan dengan perancangan sebaliknya secara spontan apabila Anwar menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan selepas menziarahi waris mangsa tragedi kapal terbang terhempas di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

"Pada hari berkenaan perdana menteri Islamkan saudara baru atas permintaan saya sebagai pengerusi Perkim daerah Klang.

"Sepatutnya majlis itu berlangsung di pejabat Perkim, bukan di masjid. Tetapi pada hari berkenaan, Anwar pergi menziarahi waris mangsa tragedi kapal terbang jatuh dan semasa itu perdana menteri datang solat Jumaat di masjid berhadapan dengan Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

"Perkara ini secara spontan, mulianya hati orang bernama Anwar Ibrahim apabila habis solat dia bagitahu pegawai nak balik dah sebab ada program pukul 3. Tapi saya sebagai pengerusi Perkim Klang rasa hari ada hamba Allah yang jadi perdana menteri, dan seorang muslim, saya yang minta beliau syahadahkan saudara Muhammad Anuar," katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik seorang pengguna Twitter, hari ini.

Sebelum ini, beberapa kumpulan, termasuk Yayasan Hak Asasi Manusia Global (GHRF) dan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) menyatakan rasa kesal dengan tindakan Anwar mengislamkan pemuda berkenaan.

KLSCAH berkata walaupun Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama, Anwar sebagai perdana menteri tidak seharusnya mengislamkan individu daripada kaum lain.

Selain itu bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, P Ramasamy turut membidas Anwar.

"Tak dapat dibayangkan Anwar mengislamkan seorang pemuda Hindu di sebuah masjid di Klang. Tiada perdana menteri lain yang melakukan perkara itu sebelum ini.

“Kenapa perlu mengislamkan pemuda Hindu dan apakah keistimewaan penukaran agama ini untuk Anwar?” soalnya.

Sementara itu Hushim berkata, pihaknya berharap isu tersebut tidak berlarutan dan mana-mana pihak tidak perlu bercakap bukan-bukan terhadap Anwar.

Malah katanya, mualaf itu juga meminta supaya dia disyahadahkan oleh Anwar dan meminta untuk dinamakan seperti nama perdana menteri ke-10 itu.

"Ini saya nak berikan penjelasan bahawa yang memohon supaya perdana menteri syahadahkan adalah saya. Beliau datang sebagai hamba Allah, ramai orang yang minta nak syahadahkan walaupun seorang.

"Jadi janganlah cakap bukan-bukan di luar sana, buat dosa saja," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan