Berumah dalam kereta dek hutang RM1 juta

Noor Hidayah Tanzizi
hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Setapak: Tujuh tahun lalu, kehidupan pemuda ini boleh dikatakan lengkap apabila mempunyai perniagaan yang berjaya, kediaman selesa selain memandu kereta import, namun semua keindahan itu hilang sekelip mata apabila dia kini terpaksa 'menghuni' kereta sejak lebih setahun lalu.

Perubahan kehidupan Ariff Luqman Peter Lisut, 27, yang lebih mesra disapa Ariff Peter berlaku selepas tersilap 'percaturan' apabila terpedaya pelaburan mata wang digital yang mengheretnya menanggung hutang lebih RM1 juta, dua tahun lalu.

Dia yang juga bakat baharu dalam industri muzik tanah air mengambil tanggungjawab dengan menjual perniagaan penternakan lembu, dua rumah, tiga kereta termasuk kereta import dan sebuah van, untuk membayar semula wang mangsa.

Malah dia mengambil keputusan tinggal di dalam Proton Wira kerana tidak mahu terbeban menyewa bilik, selain terus melakukan pelbagai kerja seperti khidmat pembersihan dan sanitasi premis dan rumah, selain menulis lirik.

Selain itu, dia menerima tempahan menghasilkan poster perniagaan, copy writing dan pelbagai kandungan video selain perkhidmatan penghantaran barang.

Berkongsi kisahnya, Ariff Peter berkata, kesilapannya terlalu percaya pelaburan itu yang menggunakannya sebagai 'duta' untuk menarik orang ramai melabur dengan alasan dia sudah berjaya dalam perniagaan.

Menurutnya, niatnya mahu membantu orang ramai, namun dia tidak menyangka semua individu bersamanya dalam pelaburan itu menghilangkan diri dengan mangsa meminta semula wang masing-masing selepas berasa tertipu.

"Saya mahu teruskan kehidupan dengan selesa dan selamat, jadi saya ambil tanggungjawab bayar wang mangsa dengan jual semua aset saya, cuma yang tinggal hanya Proton Wira ini saja yang digunakan untuk bekerja dan tidur.

"Walaupun jual semua aset, ia tidak cukup bayar hutang, malah saya melakukan pelbagai kerja untuk lunaskan bakinya. Sebab itu saya tidak sewa rumah atau bilik kerana tanggungan saya terlalu berat," katanya.

Menurutnya, hutangnya berbaki RM100,000 dan dia masih meneruskan semua kerja sampingan untuk menyelesaikan baki dan tidur dalam kereta walaupun sudah sebulan mendapat pekerjaan tetap dengan gaji bulanan agak lumayan.

Dia yang memulakan perniagaan pada usia 20 tahun kini hidup sendirian namun masih berhubung dengan bapa manakala ibunya meninggal dunia lapan tahun lalu akibat barah payudara.

"Kehidupan dulu jauh lebih baik daripada sekarang. Saya ada perniagaan ternakan lembu dan pembersihan dengan beberapa pekerja, tetapi kini segalanya berubah malah saya tinggal dalam kereta selain mandi di tandas stesen minyak.

"Tiga bulan pertama sukar biasakan diri, tetapi sekarang, saya sudah biasa dan selesa, asalkan dapat tidur dan berlindung dari hujan dan panas, saya sudah bersyukur.

"Saya tidur di mana-mana dan sejak kerja tetap sebulan lalu, saya tidur dekat pejabat setiap Isnin hingga Jumaat dan waktu malam, saya sambung kerja sampingan, manakala hujung minggu buat kerja muzik di studio rakan.

"Apa saja kerja boleh dilakukan akan saya buat asalkan dapat wang halal. Kira-kira 90 peratus daripada gaji serta hasil kerja sampingan digunakan untuk membayar hutang," katanya yang menyanyikan lagu tema filem Coast Guard, Yes Sir bersama Zamani dan pernah menyertai uji bakat Mentor.

Dia yang masih bujang mengakui keadaan dilalui memenatkan, tetapi itu harga perlu dibayar atas kesilapan lalu namun sangat menghargainya sebagai pengajaran.

"Saya lalui fasa sukar hingga segelintir yang ada ketika senang sebelum ini tiba-tiba menghilangkan diri serta tidak menjawab panggilan telefon.

"Buat masa sekarang, saya pilih tinggal sementara di dalam kereta dan apabila sudah selesai semua hutang, baru saya akan fikir untuk cari rumah sewa," katanya.

Berhubung perkongsian kisahnya di TikTok, Ariff Peter menegaskan, ia bukan untuk meraih simpati bagi meminta sumbangan sebaliknya menggunakan manfaat akaun sosial itu bagi mendapatkan peluang kerja.

Katanya, dia tidak pernah berasa malu dengan kehidupannya ketika ini, sebaliknya dia malu jika meminta bantuan kerana masih mampu bekerja.

"Tujuan saya mahu iklankan perkhidmatan dan harap netizen beri peluang dengan mendapatkan khidmat yang saya tawarkan.

"Saya buat kerja bukan minta sumbangan dan sejak tular di TikTok, saya dapat banyak job dan yakin dapat selesaikan baki hutang dalam masa terdekat ini," katanya.

DENGAN hutang berbaki RM100k, Ariff giat meneruskan kerja sampingan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan