Malaysiakini
Seorang suspek kes curi lembu ditemukan meninggal dunia selepas melarikan kenderaan peronda polis dalam kejadian kira-kira 4.30 awal pagi di Labok, Machang.
Timbalan Ketua Polis Kelantan DCP Mohd Ali Tamby berkata, anggota bertugas kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang menerima laporan terdapat sebuah kereta jenis Toyota Vios warna putih dalam keadaan mencurigakan di kawasan Kampung Joh di situ.
Katanya, polis kemudian bergerak ke lokasi berkenaan dan terserempak dengan kereta yang dinaiki dua orang lelaki.
“Menyedari kehadiran polis, kereta tersebut memecut melarikan diri dan dikejar pihak polis melalui jalan Machang ke arah Kota Bharu sambil polis memberikan arahan dengan pembesar suara supaya mereka berhenti.
“Pada masa itu berlaku beberapa kali pelanggaran antara kereta suspek dengan kenderaan peronda polis hingga kereta suspek terbabas ke kanan jalan di kawasan Kampung Lambok.
“Semasa anggota polis turun untuk membuat pemeriksaan, suspek yang juga pemandu kereta keluar menyerang anggota polis sambil memegang senjata tajam dan pada masa itu anggota berkenaan memberikan amaran dan terpaksa bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah kaki suspek untuk mempertahankan diri.
“Namun suspek bertindak meluru masuk ke kenderaan peronda polis dan melarikan kenderaan itu ke arah Kota Bharu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Ali berkata seorang suspek berusia 43 tahun ditahan di lokasi kejadian.
Katanya lagi, kenderaan peronda polis yang dilarikan dijumpai berhenti di tepi jalan lebih kurang empat kilometer dari lokasi kejadian.
“Selepas diperiksa mendapati suspek yang berusia 33 tahun itu meninggal dunia di kerusi pemandu dalam kereta peronda," katanya, sambil menambah mayat suspek dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat.
Dia berkata suspek yang meninggal dunia itu berasal dari Pengkalan Chepa dan memiliki beberapa rekod jenayah.
“Siasatan lanjut mendapati sebelum kejadian suspek terlibat dalam kegiatan mencuri lembu di Kawasan Kampong Joh, ekoran terdapat seekor lembu yang baru disembelih di lokasi tersebut,” katanya lagi.
Tambahnya pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemukan peralatan mencuri lembu seperti beberapa utas tali, picagari yang mengandungi cecair dipercayai ubat pelali, sebilah parang, pisau dan pengasah.
“Selain itu dokumen pengenalan diri milik seorang lelaki berbangsa Cina beralamat di Sungai Besar, Selangor turut dirampas.
“Kes disiasat mengikut seksyen 307, 379, 379A, 186 Kanun Keseksaan dan 42(1) Akta Pengangkutan Jalan,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan