Malaysiakini
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata lebih ramai suspek akan didakwa kerana menceroboh hutan simpan di Sik, Kedah yang dikaitkan dengan dakwaan kecurian unsur nadir bumi (REE).
Dia juga membayangkan sekali lagi bahawa kerajaan negeri dan agensi terlibat dalam kes itu.
"Pencuri tertangkap dan didakwa dan disabit kesalahan oleh mahkamah. Ada yang masih tunggu.
"Wujud elemen jenayah pemerdagangan orang dan jenayah terancang. Polis terus menyiasat.
"Masih ada senarai yang dicari polis tapi menghilangkan diri.
"(Adakah) wujud pembabitan kerajaan negeri dan agensi-agensi di bawahnya? Sabar," kata Saifuddin pada hantaran Facebook hari ini.
Kenyataannya dibuat selepas laporan sembilan individu termasuk lima warga asing ditahan dan didakwa di Mahkamah Sesyen Baling hari ini kerana menceroboh kawasan hutan simpan.
Sindrom penafian
Polis mengesahkan sembilan individu itu turut disyaki menjalankan penerokaan REE.
Saifuddin berkata penahanan dan pertuduhan seterusnya di mahkamah membuktikan kecurian memang berlaku.
"Yang memilih untuk 'denial syndrome' saya tak upaya nak buat apa," katanya.
Saifuddin telah bertelagah berlarutan dengan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung dakwaan kecurian REE di Bukit Enggang, Sik.
Menteri dalam negeri sebelum ini mendedahkan dakwaan kecurian REE di Bukit Enggang dan mendakwa Menteri besar Kedah menyedari isu itu.
Sanusi menafikan dakwaan itu dan berkata pendedahan itu dibuat secara berniat jahat memandangkan pilihan raya negeri yang sedang berlangsung di Kedah pada masa itu.
Sanusi sejak itu menyaman Saifuddin kerana memfitnah perkara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan