SPRM akan panggil Radzi Jidin

HarapanDaily.com

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil Datuk Dr Radzi Jidin bagi membantu siasatan berhubung projek membabitkan percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah bernilai kira-kira RM80 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata, pada masa ini siasatan lanjut mengenai kes membabitkan bekas Menteri Pendidikan itu masih berjalan.

“Ada kemungkinan besar (dipanggil) tetapi bukan sekarang,” dipetik BH hari ini.

Semalam, SPRM mengesahkan penahanan dua individu, termasuk bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri kanan.

Kedua-duanya ditahan jam 11 malam kelmarin ketika diminta hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Nur Adilah Halid kemudiannya membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman kedua-dua suspek selama empat hari bermula hari ini hingga 26 September ini.

Susulan itu, Radzi dalam satu kenyataan menafikan terbabit dalam sebarang dakwaan berkaitan siasatan rasuah ke atas satu projek rundingan terus percetakan buku J-Qaf untuk prasekolah berjumlah lebih RM80 juta.

Jelas pemimpin Bersatu berkenaan, beliau tiada sebarang kaitan dengan percetakan buku dan syarikat OTR One & Only itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan