Disclaimer: Cerita dulu cerita sekarang

Mohsin Abdullah

Disclaimer.

Biasanya “disclaimer” ditempatkan di penghujung sesebuah penulisan. Buat artikel ini saya pilih menempatkannya di atas yakni sebagai pembuka penulisan. Terjemahan rasmi “disclaimer” ialah penafian. Atau “perkataan ‘disclaimer’ bermaksud penyangkalan atau penolakan mengenai sesuatu perkara”. Bagi saya dalam konteks artikel ini khususnya ia kenyataan untuk “membebas” atau “membersihkan” penulisan ini daripada syak, prejudis atau “preconceived” ideas. Tetapi itu tidak bermakna ia penghalang ke atas sesiapa yang mahu membuat kesimpulan sendiri setelah membaca apa yang ditulis. Apa yang ditulis berdasarkan sejarah iaitu apa yang telah berlaku pada masa lalu dan keadaan semasa iaitu apa yang sedang dan terus berlaku masa kini. Saya tidak mencadang baik pun memberi gambaran. Saya membentangkan fakta tanpa menyelitkan ulasan mahupun komen.

Cerita dulu:

Empat tahun selepas Anwar Ibrahim diangkat sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno surat layang dicipta dan diedar terutama dalam kalangan orang Umno. Siapa punya angkara tidak diketahui. Antaranya surat layang melemparkan pelbagai tuduhan ke atas Anwar. Dan mendakwa hubungan dengan Perdana Menteri dan Presiden Umno Dr Mahathir Mohamad yang mulanya akrab sudah renggang. Malah timbul lagi surat layang yang mendakwa kedua- dua pemimpin tertinggi negara sudah bersengketa.

Media turut mendapat salinan surat berkenaan lalu melakukan “follow up” dengan mengaju pertanyaan kepada Mahathir dan Anwar. Kedua-duanya menafikan. Mahathir berkata beliau tetap akrab dengan Anwar. Anwar berkata beliau terus akrab dengan bosnya. Kedua-dua mendakwa hubungan baik tetap terjalin dan kerjasama mantap.

Itu tidak menghalang surat layang diedar lagi mendakwa perkara sama. Pemimpin nombor satu dan pemimpin nombor dua negara terus menafikan. Beberapa hari sebelum Perhimpunan Agung Umno 1997 surat layang terbit mendakwa Mahathir marah Anwar sudah tidak setia dengannya. Dan Anwar dikatakan sudah meletak jawatan dalam kerajaan.

Ketika berucap pada perhimpunan itu Anwar menyentuh panjang lebar mengenai budaya surat layang. Kata beliau kalau ikut surat layang tahun itu sahaja beliau sudah melepaskan jawatan sebanyak lapan kali. Beliau mengakui gusar juga dengan surat layang yang tidak henti-henti direka dan diedar. Menurut beliau Mahathir (yang ada di atas pentas ketika Anwar berucap) menasihatinya jangan ambil peduli akan itu semua. Kata Anwar beliau lega
bosnya menyokong.

Ucapan Anwar pada hari itu juga diwarnai jenaka terutama mengusik dan menyakat Mahathir yang membuatnya ketawa terbahak-bahak disaksikan hadirin dalam dewan dan rakyat jelata menerusi siaran langsung televisyen. Semua ini menggambarkan betapa mesra dan rapatnya Anwar dan Mahathir begitu juga Mahathir dan Anwar. Anwar mengakhiri ucapannya dengan menyampaikan pantun yang mengisahkan kesetiaannya terhadap Mahathir.

Namun surat layang masih melayang. Tahun 1998 timbul khabar angin pula yang mendakwa Anwar sudah sah letak jawatan. Mahathir menafikan pada satu sidang media. Berikut sedutan laporan akhbar bertarikh 2 Feb 1998 dengan tajuk “PM nafi Anwar letak jawatan”.

Sambil membuat penafian Mahathir antaranya dilaporkan berkata “Anwar mesti mempunyai alasan munasabah seperti faktor kesihatan sekiranya mahu meletak jawatan”. Dan kata beliau lagi “khabar angin itu (Anwar letak jawatan)” sudah lama tetapi ia (peletakan jawatan) tidak berlaku.

Tidak lama kemudian ketika ditemui dalam satu majlis media bertanya lagi kepada Mahathir mengenai hubungannya dengan timbalannya. Respons Mahathir: “I’ve said so many times i am ok with him. Must i kiss Anwar to show i am friendly with him?” Disambut gelak ketawa wartawan yang bertanya dan hadirin yang mendengar.

Pada 2 Sept 1998 Mahathir pecat Anwar.

Cerita sekarang:

Timbul desas-desus Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sudah tidak sebulu dengan Setiausaha Agungnya Hamzah Zainudin. Portal berita Malaysia Dateline pada 21 Jun melaporkan Hamzah bakal disingkir bertiup kencang. Sehari kemudian Agenda Daily memetik Muhyiddin berkata hubungan beliau dengan Hamzah tiada masalah.

Pada 5 Okt lalu Hamzah ditemui media di Simpang Pelangai selepas beliau menyertai ceramah Perikatan Nasional (PN) sempena PRK DUN Pelangai lalu ditanya mengenai dakwaan wujud dua kem antara beliau dengan Muhyiddin dan dikatakan tegang.

Hamzah menafikan khabar angin bahawa beliau tidak sehaluan dengan Muhyiddin dan menjelaskan hubungan semasa mereka amat baik. “Saya setiausaha agung, Tan Sri (Muhyiddin) adalah presiden, dia lantik saya sebagai setiausaha parti. Kalau tidak suka dia saya berhenti. Kalau dia tak suka saya dia pecat saya, adakah itu berlaku?”

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan pemilihan kepimpinan Bersatu dijangka tegang dan sengit kerana wujud dua kem antara Muhyiddin dan Hamzah apabila kedua-duanya dikatakan tidak sehaluan dalam menentukan hala tuju parti. Laporan itu mendakwa Muhyiddin mahu mempertahankan jawatan presiden ekoran pengaruh politik semakin suram manakala Hamzah pula disebut-sebut mencabar jawatan itu dalam pemilihan parti kelak. Reaksi Hamzah beliau tidak pernah mencabar Muhyiddin untuk rebut jawatan presiden.

(Bersatu tidak akan mengadakan pemilihan tahun ini susulan keputusan parti Mei lalu menangguhkan pemilihan sehingga 18 bulan dan antara sebab penangguhan ialah bagi memberi tumpuan kepada enam PRN Ogos lalu).

Berbalik kepada sidang media Muhyiddin 22 Jun lalu. Semasa mengakui hubungannya dengan Hamzah amat baik, Muhyiddin turut berkata: “Bila masa saya bertumbuk dengan Datuk Hamzah atau kami ini ada bertengkar? Tidak ada la. Sengaja dibuat-buat, jangan percayalah. Ini mungkin kerja ‘cybertrooper’ di media sosial yang nak alih isu pokok yang tidak diselesai (kerajaan) kepada isu dalaman parti yang tidak ada”.

Maaf saya mengingkari janji yang dibuat melalui “disclaimer” di awal artikel ini bahawa saya tidak akan ulas atau komen. Lantas saya bertanya singkat adakah penafian demi penafian akan menoktahkan soal Muhyidin – Hamzah? Cukup itu sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan