Kesedihan berganda: Gembira dinanti, duka bertandang

Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my
SUAMI Nor Ezaty memeluk jenazah isterinya buat kali terakhir.  FOTO Facebook Mr Wan Cai Official
SUAMI Nor Ezaty memeluk jenazah isterinya buat kali terakhir. FOTO Facebook Mr Wan Cai Official
Kuala Lumpur: Penantian empat tahun lelaki ini untuk mendapatkan zuriat sulung bertukar episod duka apabila isteri yang sarat hamil lapan bulan dijemput Ilahi terlebih dahulu, membawa bersama buah hati mereka, Selasa lalu.

Difahamkan, Nor Ezaty Abdul Latif, 26, meninggal dunia kerana sesak nafas dan dijangka melahirkan anak sulung pada November ini.

Video kisah duka berkenaan dikongsikan di akaun TikTok dan Facebook Mr Wancai Official yang memaklumkan jenazah Nor Ezaty diuruskan Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) HQ, kelmarin.

Difahamkan, Nor Ezaty meninggal dunia kerana sesak nafas dan dijangka melahirkan anak sulung pada bulan depan.

Terdahulu, Wan Cai berkongsi video mengenai Allahyarhamah Nor Ezaty yang sarat hamil lapan bulan meninggal dunia pada 3 pagi Selasa dan turut 'membawa' bersama buah hatinya.

Video berkenaan meruntun hati netizen yang meraih jutaan tontonan dan kiriman doa netizen yang memaparkan suami Nor Ezaty, Muhammad Hafizul Mazlan, 30, yang sedang dalam kesedihan ditenangkan ahli keluarganya.

Menerusi rakaman video di Facebook turut memaparkan pengurusan jenazah arwah dan bayinya serta suami arwah mendukung serta mengucup bayinya buat kali terakhir yang membuatkan netizen sebak dan merasai kesedihan lelaki itu yang kehilangan dua insan tersayang secara serentak.
SUAMI Nor Ezaty mendukung jenazah anak mereka untuk dikebumikan.
SUAMI Nor Ezaty mendukung jenazah anak mereka untuk dikebumikan.
Berkongsi cerita, Wan Cai berkata, sepanjang pengurusan jenazah dilakukan pasukannya perasaan hiba menyelebungi suasana di bilik wakaf pihaknya yang turut merasai kesedihan ahli keluarga Nor Ezaty.

Menurutnya, pihaknya dihubungi sepupu wanita berkenaan dan semua urusan pengurusan dan pengebumian jenazah dua beranak terbabit di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Selangor pada Selasa diuruskan mereka sepenuhnya.

"Kami termasuk jurumandi jenazah turut merasai kesedihan itu dan paling menyedihkan apabila suami arwah seperti tidak tahu mahu melihat jenazah yang mana satu dahulu. Melihat situasi itu tanpa sedar air mata jatuh.

"Saya juga turut merasai kesedihan mereka terutama suami arwah yang sudah menanti cahaya mata bersama isteri selama empat tahun, malah ketika menyunting video itu juga saya beberapa kali menitiskan air mata," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, ketika mengangkat jenazah dua beranak itu ke liang lahad kira-kira 20 hingga 30 meter, tiba-tiba hujan renyai-renyai turun di tanah perkuburan.

"Apabila jenazah bayi dimasukkan ke dalam liang lahad, hujan renyai-renyai tadi turun agak kuat (lebat) dan ketika kami mengambus tanah hujan terus hilang. Situasi ini seperti menangisi pemergian mereka dan seperti dimaklumkan rakan arwah, Nor Ezaty seorang wanita yang baik," katanya.
JENAZAH ibu bersama anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Selangor. FOTO Facebook Unit Khas Van Jenazah
JENAZAH ibu bersama anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Selangor. FOTO Facebook Unit Khas Van Jenazah
Bercerita lanjut, Wan Cai berkata, Nor Ezaty bekerja sebagai kerani manakala suaminya bekerja di sebuah syarikat di Pelabuhan Klang dan mereka menyewa rumah di kawasan berhampiran.

"Saya dimaklumkan arwah ada mengadu kepada suaminya dia tidak sihat dan ketika di rumah sewa mereka arwah baring sebelum tiba-tiba sesak nafas. Suaminya menghubungi jiran dan sepupunya sebelum sepupunya menghubungi ambulans yang kemudiannya mengesahkan Nor Ezaty sudah tiada.

"Mereka kemudian membawa arwah ke hospital (Hospital Klang) untuk menyelamatkan bayi dalam kandungannya dan menjalani pembedahan untuk mengeluarkan bayi perempuan itu (namun bayi tidak dapat diselamatkan)," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan