Peneroka haram Yahudi bunuh empat rakyat Palestin

AFP
PENDUDUK Palestin meratapi kematian saudara mereka susulan pertempuran dengan peneroka haram Yahudi di Qusra di utara Tebing Barat. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin meratapi kematian saudara mereka susulan pertempuran dengan peneroka haram Yahudi di Qusra di utara Tebing Barat. FOTO AFP
Baitulmaqdis: Sekurang-kurangnya empat rakyat Palestin terbunuh pada Rabu ketika peneroka haram Israel yang bersenjata menyerang sebuah bandar di selatan Nablus di Tebing Barat yang diduduki Zionis, kata Kementerian Kesihatan Palestin.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki Palestin terbunuh oleh tembakan tentera Israel berhampiran Bethlehem dan seorang remaja terbunuh berhampiran Hebron, kata kementerian itu.

Kematian terbaharu menjadikan 29 kematian rakyat Palestin di Tebing Barat dalam keganasan berkaitan konflik sejak pejuang Hamas melancarkan serangan pada Sabtu lalu, ke atas selatan tanah haram Israel dari Semenanjung Gaza.

Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan dalam satu kenyataan awal, tiga mati syahid akibat serangan peneroka Israel ke atas Qusra di utara Tebing Barat, kemudian jumlah kematian itu meningkat kepada empat orang.

Kumpulan hak asasi manusia Israel B'Tselem berkongsi rakaman media sosial mengenai apa yang disifatkannya sebagai pencerobohan tentera Israel dan peneroka Israel ke Qusra.

Ketika dihubungi AFP, tentera berkata, askar yang beroperasi di pinggir bandar Qusra melaporkan mendengar tembakan dilepaskan di kawasan itu, sambil menambah ia meneliti laporan mangsa Palestin.

B'Tselem berkata di X, sebelum ini Twitter, bahawa sejak Sabtu, peneroka pelampau Israel menyerang penduduk Palestin di banyak bahagian di Tebing Barat.

"Di tengah-tengah peperangan antara Israel dan pejuang Islam Palestin di Gaza yang menyebabkan ribuan terkorban di kedua-dua belah pihak, peneroka Israel menggunakan fakta bahawa perhatian awam tertumpu di tempat lain untuk menambah ketegangan kepada api keganasan", kata kumpulan hak asasi manusia itu.

Sekurang-kurangnya 1,200 orang terbunuh di Israel, manakala serangan Israel ke atas Gaza membunuh lebih daripada 1,000 rakyat Palestin, menurut angka rasmi.

Lonjakan keganasan melanda Tebing Barat yang diduduki Israel sejak perang Arab-Israel 1967, sejak awal tahun lalu.
-hmetro 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan