Penyanyi tak bayar sewa, tuan rumah buat laporan polis

Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Seorang wanita membuat laporan polis terhadap penyanyi lelaki popular era 90-an yang didakwa gagal menjelaskan tunggakan sewa rumah mencecah RM3,000 sejak Jun lalu.

Notis mengosongkan rumah itu sudah diberikan dan diterima oleh isteri penyanyi terbabit, namun tidak diendahkan dan kekal duduk di rumah itu.

Penyanyi itu juga didakwa mempunyai tunggakan bil elektrik mencecah RM6,770. 

Difahamkan, wanita itu sudah berjumpa dan berkomunikasi melalui telefon bagi membincangkan perkara itu dan memintanya keluar dari rumah itu.

Penyanyi itu juga didakwa sering membuat bising dan merosakkan harta jiran. Malah, dia turut memelihara banyak kucing yang mengakibatkan bau busuk, membuang sampah merata-rata dan sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati jiran. 

Wanita terbabit turut membuat laporan di Balai Polis Setapak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Ada laporan diterima berkaitan perkara ini. Pengadu buat laporan kerana takut terjadi apa-apa.

"Pengadu cuba selesaikan perkara ini secara baik dengan penyewa," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan