Tuan rumah datang nak bincang, penyanyi keluar bawa parang

Norhayati Nordin
norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: "Dia seorang yang tidak boleh dibawa berbincang. Dia keluar dengan parang sewaktu saya datang ke rumah itu untuk berbincang," kata pekerja swasta, Liza Mohamad, 46, mengenai seorang penyanyi lelaki popular era 1990-an yang tidak mahu keluar dari rumah sewanya dan menjelaskan sewa rumah yang tertunggak sebanyak RM3,600.

Liza ketika dihubungi berkata, penyanyi itu sudah tidak membayar sewa rumah sebanyak RM900 sebulan dan kini tertunggak dari Jun sehingga September.

Selain itu, bil elektrik juga tidak pernah dibayar yang kini jumlahnya hampir RM7,000.

"Saya sudah membuat empat laporan polis terhadapnya, tapi masalah masih lagi tidak dapat diselesaikan," katanya.

Liza berkata, penyanyi terbabit menyewa rumahya itu di Setapak Indah, di sini sejak Oktober 2020 selepas kisahnya tular dan mendapat bantuan daripada Pusat Pengutan Zakat (PPZ) menerusi ejen yang membantu carikan kediaman untuk disewakan kepadanya ketika itu.

"Saya pula kebetulan memang nak sewakan rumah berkenaan pada masa itu dan bersetuju dengan kontrak sewa di antara kami yang tamat sepenuhnya pada September lalu. Tapi, malangnya sehingga kini walaupun kontrak sewa sudah tamat, namun dia masih tidak mahu keluar dari rumah saya.

"Saya ada datang ke rumah itu pada 18 September lalu untuk berbincang dengannya dan memohon dia sekeluarga keluar kerana saya nak menetap semula di rumah berkenaan yang juga aset peninggalan Allahyarham suami saya yang meninggal dunia pada 27 September 2019," katanya.

Liza berkata, disebabkan penyanyi itu tidak membayar sewa yang sudah tertunggak empat bulan, dia kini turut berhadapan masalah kewangan yang memerlukannya mendapat semula rumah itu untuk diduduki.

"Dia ada kata dengan saya yang sedia keluar dari rumah itu sekiranya ada kediaman lain untuknya. Selama ini pun dari Oktober 2020 sehingga September 2021, PPZ yang bayarkan sewa rumah itu. Kemudian dari Oktober 2021 hingga September tahun lalu, Baitulmal pula yang bayarkan sewa.

"Saya harap sangat pihak tertentu seperti PPZ dan Baitulmal tampil membantu saya dan carikanlah rumah lain untuk dia.

"Bil elektrik pula tidak perah dibayar sejak dia duduk di rumah itu sehingga sekarang tunggakan sudah mencecah hampir RM7,000. Oleh itu, saya harap sangat ada pihak dapat membantu sebab saya nak dia keluar dari rumah itu. Saya nak ambil khidmat guaman, tidak berkemampuan kerana bukan orang senang," katanya.

Ibu tiga anak ini berkata, dia bersedia menyelesaikan masalah itu dengan penyanyi itu secara baik di luar mahkamah, tetapi masih mengikut aturan undang-undang yang ditetapkan.

Semalam, Harian Metro melaporkan seorang wanita membuat laporan polis terhadap penyanyi lelaki popular era 90-an yang didakwa gagal menjelaskan tunggakan sewa rumah mencecah RM3,000 sejak Jun lalu.

Malah, notis mengosongkan rumah itu juga difahamkan sudah diberi dan diterima oleh isteri penyanyi terbabit, namun tidak diendahkan dan mereka kekal duduk di rumah itu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah ketika dihubungi turut mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan