Kecut: MP PAS enggan ulas lepas diminta bukti Guan Eng keluarga Chin Peng

MP PAS enggan ulas lepas diminta bukti Guan Eng keluarga Chin Peng
Alyaa Alhadjri & Shamz Johan

Seorang ahli Parlimen PAS yang dikritik selepas mendakwa Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Ong Boon Hua atau Chin Peng, serta bekas perdana menteri Singapura Lee Kuan Yew, enggan memberikan bukti terhadap dakwaannya.

Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad, sebaliknya cuba mengelak daripada menjawab soalan wartawan yang menunggu di luar ruang ahli parlimen bagi mendapatkan respons selepas Guan Eng meminta bukti berkaitan dakwaan Mastura.

"Jawapan saya, tonton video sampai habis," kata Mastura, sembil beredar.

"Tonton video sampai habis," katanya, ringkas.

Apabila ditanya sekali lagi sama ada dia akan memberi maklum balas kepada tuntutan Guan Eng dalam tempoh 48 jam, dia berkata, "Saya tidak perlu menjawab soalan yang tidak tahu fakta."

Pada sidang media di parlimen pagi tadi, Guan Eng memberikan tempoh 48 jam kepada Mastura bagi membuktikan dakwaan yang dibuat olehnya dalam satu program PAS di Kemaman, Terengganu, baru-baru ini.

Mastura didakwa berkata Guan Eng juga mempunyai hubungan keluarga dengan ramai pemimpin DAP lain termasuk Anthony Loke, Nga Kor Ming, Teresa Kok dan Ngeh Koo Ham.

“Jelas ia bukan saja satu serangan peribadi tetapi ia berbaur perkauman dan hasad dengki terhadap pihak kami khususnya kepada saya dan ayah saya (Lim Kit Siang) sungguhpun sudah bersara masih menjadi sasaran oleh ahli parlimen PAS,” kata Guan Eng.

Dalam sidang media di parlimen, Lim menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai permainan politik ekstremisme perkauman dan fitnah PAS yang tidak berasas.

“Malah, surname pun lain.

“Kalau anda sebagai rakyat Malaysia tak tahu surname, tak ada hubungan keluarga memang seperti katak di bawah tempurung.

“Saya rasa dia tahu apa yang dia ucap, harap dia boleh tunjukkan bukti, kita tunggu, kalau selepas Khamis ini tak ada apa-apa bukti ditunjukkan tentang hubungan keluarga, kita akan ambil tindakan seterusnya,” tegasnya.

Tambah Guan Eng, pihaknya turut berharap agar pihak berkuasa tidak memandang ringan mengenai perkara itu.

Dakwaan mengenai hubungan antara pemimpin DAP dengan Chin Peng dan Lee Kuan Yew itu bukan kali pertama berlaku.

Malah pada 2017, Kit Siang sudah menafikan perkara itu selepas dikaitkan hubungan kekeluargaan dengan tokoh-tokoh berkenaan.

Kit Siang enam tahun lalu menjelaskan Chin Peng atau Ong Boon berketurunan Hock Chia, Lee berketurunan Hakka dan dia pula seorang Hokkien.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan