Kelantan: Pistol dalam stor kedai runcit, peniaga ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang peniaga ditahan selepas polis menjumpai sepucuk pistol ketika memeriksa stor kedai runcitnya di Lubok Jong, Pasir Mas, Selalu lalu.

Pistol jenis sig sauer itu ditemui bersama satu kelopak, 26 butir peluru luger 9mm dan sebutir peluru thaiarms 9mm dalam serbuan 5 petang. Turut dirampas dua biji pil yaba.

Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, berkata semakan mendapati lelaki 34 tahun itu mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan kesalahan narkotik, Akta Kastam dan Akta Imigresen.

“Saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine,” katanya menurut Sinar Harian dalam sidang media di IPK Kelantan, Kota Bharu.

Suspek direman hingga 9 Nov ini untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

Dalam kes berasingan, Zaki berkata lima lelaki berusia 21 hingga 29 tahun ditahan Isnin lalu kerana disyaki terbabit kes mencuri motosikal.

Katanya, dua daripadanya ditahan dalam sebuah rumah di Kampung Pohon Gelugor, Jalan Chetok, Pasir Mas pada 4 pagi, manakala dua lagi dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Bukit Panau, Tanah Merah.

“Sambil dipandukan salah seorang suspek semasa membuat pemeriksaan di rumah di Kampung Pohon Gelugor, Jalan Chetok, polis melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang memegang sebilah parang.

“Suspek terbabit ditangkap dan hasil pemeriksaan badan menemui sepucuk pistol diselit di pinggang kanan dan 13 butir peluru hidup dijumpai dalam sebuah beg kecil,” katanya sambil menambah suspek gagal mengemukakan kad pengenalan.

Beliau berkata, semua penganggur itu positif methamphetamine, dengan tiga daripadanya mempunyai rekod kesalahan jenayah dan narkotik.

Katanya, mereka direman empat hingga tujuh hari untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960, Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 serta Peraturan 25 (1) (N) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Polis merampas lapan biji pil yaba, alat mencuri motosikal, dua motosikal Yamaha LC, dua Honda Wave, satu rangka dan enjin motosikal serta sebuah kereta Alza.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan