Sijil halal: Jangan tertipu dengan pekerja restoran bertudung

WAN SITI AMINAH

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengesahkan bahawa Restoran Hawayi di Teluk Intan yang tular di media sosial baru-baru ini tidak mempunyai sijil halal.

Hasil semakan oleh Bahagian Pengurusan Halal JAIPk juga mendapati restoran yang menghidangkan pencuci mulut itu bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim turut memaklumkan pihaknya tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis berkenaan sepanjang operasinya.

Oleh yang demikian, pengguna disarankan untuk berhati-hati kerana perkara melibatkan status halal sesuatu makanan perlu diambil berat oleh masyarakat Islam, lapor Harian Metro.

“Saya menasihati seluruh masyarakat Islam agar berhati-hati apabila ke restoran dan tempat makan. Sebagai orang Islam kita digalakkan tengok ada logo halal atau tidak,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Ujar Harith Fadzilah, orang ramai khususnya masyarakat Muslim dinasihatkan agar tidak cepat terpengaruh dengan kehadiran ramai orang Islam ke kedai berkenaan.

Jelasnya, pengguna boleh membuat semakan status sijil halal melalui aplikasi telefon pintar sebelum memutuskan untuk berkunjung ke mana-mana premis makanan.

Tambah Harith Fadzilah, amatlah wajar bagi masyarakat Islam mengamalkan sikap berhati-hati dalam hal ehwal berkaitan makan serta minum selain berdasarkan hukum syarak.

“Orang Islam wajib memastikan semua makanan dan minuman bersih, suci dan halal kerana ia menjadi darah daging kita. Paling penting pastikan setiap restoran atau tempat makan itu mempunyai SPHM.

“Kerana tanda halal (membawa maksud) operasi dan bahan makanan di sesebuah premis itu menepati syarat. Itu sebab kita galakkan pemilik restoran dan individu untuk memohon sijil halal kerana ia lebih meyakinkan masyarakat.” Tegasnya.

Terdahulu, isu status halal restoran terbabit menjadi topik perbualan hangat di laman sosial Facebook sehingga menimbulkan kebimbangan kepada pengguna Muslim lain.

Seorang pengguna akaun Facebook bernama Abang Ameen turut menyatakan bahawa hasil semakan di portal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak menemukan rekod bahawa restoran itu mempunyai sijil halal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan