Shahbudin Husin
Sejak berlakunya penyitaan Menara Ilham oleh SPRM dua hari lalu, daripada lebih 20 orang yang saya bercakap dengan mereka berkenaan isu tersebut – ahli politik, pemimpin NGO, ahli perniagaan, penganalisa politik dan ekonomi serta mereka yang sentiasa mengikuti isu-isu semasa negara sejak tahun 90-an – semuanya sependapat bahawa Tun Daim Zainuddin tidak mungkin duduk diam begitu saja.
Semua mereka bersetuju, malah yakin bahawa bekas Menteri Kewangan itu pasti akan bertindak balas.
Sasaran tindak balas yang diyakini tidak lain ialah kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Walaupun Anwar telah menegaskan siasatan SPRM itu bukan arahan daripadanya, sebaliknya merupakan keputusan agensi tersebut sepenuhnya, tetapi sasaran paling mudah dan subjek yang disasarkan itu pula boleh dijatuhkan, ia tentulah terhadap mereka yang mengetuai kerajaan.
Bertukar kerajaan atau bertukar Perdana Menteri, potensi untuk siasatan dihentikan dan kes digugurkan adalah lebih mudah dilakukan sebagaimana yang sudah banyak berlaku sebelum ini.
Cuma, apa dan bagaimana bentuk tindak balas yang bakal dilakukan Tun Daim itu saja yang masih menjadi persoalan.
Ada yang mengatakan tindak balas itu pasti dalam bentuk politik.
Ada pula yang mengatakan tindak balas itu lebih mungkin dalam bentuk ekonomi kerana Tun Daim adalah seorang ahli perniagaan dan mempunyai rangkaian niaga yang luas, terutamanya dalam pasaran saham.
Tun Daim tambah mereka, masih mempunyai cengkaman yang masih kuat dalam bidang ekonomi berbanding politik.
Namun, tidak kurang yang meramalkan, tindak balas dari segi politik dan ekonomi secara serentak juga tidak mustahil akan dilakukan oleh Tun Daim terhadap Anwar.
Apakah Anwar dalam keadaan siap sedia untuk mendepaninya?
Pun begitu, perkara lain yang turut menjadi persoalan ialah sejauh mana tindak balas itu – jika ia dilakukan – benar-benar mampu menggugat kedudukan Anwar.
Ini kerana ramai yang sangsi faktor usia dan kecergasan Tun Daim sekarang mungkin menjejaskan segala perancangan yang hendak diaturnya itu.
Ada pula yang menambah, kelebihan yang ada pada Tun Daim untuk memungkinkannya mampu mengatur banyak perkara ialah kerana beliau mempunyai rangkaian yang luas serta sumber kewangan yang mungkin tiada had.
Dengan itu, jangan ambil mudah dengan Tun Daim di sebaliknya usia yang makin menua.
Sementara itu, sebagaimana dilaporkan media semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki mengesahkan Tun Daim sedang disiasat kerana dipercayai terlibat rasuah dan penggubahan wang sehingga Menara Ilham miliknya itu disita,
“Apabila kami menyiasat dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dan melibatkan harta tak alih, kami dibenarkan di bawah Akta SPRM menghantar permohonan sitaan kepada timbalan pendakwa raya.
“Itulah apa yang berlaku. Kami menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepada timbalan pendakwa raya untuk mengarahkan pejabat tanah meletakkan kaveat terhadap tanah berkenaan,” katanya.
Azam berkata, proses sama telah dilakukan SPRM sejak sekian lama ketika proses siasatan dilaksanakan, sambil menekankan sitaan Menara Ilham “bukan satu-satunya kes”.
The Star yang juga memetik sumber sebagai berkata, beberapa aset milik Daim dan keluarganya mungkin turut disita SPRM, susulan dipercayai kegagalannya menjelaskan sumber dana bagi pembelian hartanah tersebut.
“Ini (lebih banyak sitaan) ada kemungkinan. Jika ada keperluan untuk aset disita, pegawai penyiasat akan meneruskan permohonan sitaan,” kata sumber itu lagiz
Menurut The Star, Azam bagaimanapun enggan mengulas lanjut perincian kes siasatan terhadap bekas Menteri Kewangan itu. – ShahbudinHusin 24/12/2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan