TMJ tawar KJ sebagai CEO JDT

Malaysiakini

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menawarkan Khairy Jamaluddin untuk dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) JDT dan Penasihat Orang Muda Johor.

Tunku Ismail membuat tawaran itu di laman story Instagram, sehari selepas bekas Ahli Parlimen Rembau itu dipecat daripada Umno.

Pada hantaran pertama Tunku Ismail menulis kapsyen "Bakal CEO JDTFC dan Penasihat Orang Muda Johor @khairyjamaluddin".

Khairy menyiarkan semula hantaran itu dan membayangkan kesediaannya untuk menerima tawaran tersebut.

"Satu pintu ditutup, yang lain akan terbuka. Rezeki di tangan Allah", kata bekas Ketua Pemuda Umno itu.

Hantaran kedua Tunku Ismail pula diberi kapsyen "Presiden kelab JDTFC dan Penasihat Orang Muda Johor".

Khairy sebelum ini dilihat meminati sukan terutamanya bola sepak dan pernah dilantik sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 2007.

Selain itu, dia juga adalah bekas Menteri Belia dan Sukan dari 2013-2018.

Pada 2020, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar melantik Tunku Ismail untuk mengetuai semua aktiviti belia di negeri itu.

Antara inisiatif yang dianjurkan ialah Johor Youth Hub (HAB) yang ditubuhkan pada 2014 di bawah Pihak Berkuasa Wilayah Kemajuan Iskandar (IRDA) sebagai platform untuk berkumpul, bertukar idea dan menganjurkan pelbagai aktiviti.

Semalam, Bersatu dan Gerakan juga mempelawa Khairy untuk menyertai parti mereka selepas dia dipecat daripada Umno.

Zahid Hamidi: Tunggu, saya akan jawab

Mohd Nasaruddin Parzi

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan memberi penjelasan berhubung tindakan parti itu memecat serta menggantung keahlian beberapa pemimpinnya.

Tanpa memberi perincian bila penjelasan itu akan diberi, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri memaklumkan akan berbuat demikian dalam satu majlis kelak.

"Tunggu saya akan jawab. Saya akan jawab dalam satu majlis nanti," katanya dipetik dari laporan portal media ketika ditemui selepas menghadiri program Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2023 di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

Itu kenyataan ringkas dibuat beliau susulan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam tadi.

Terdahulu, beliau mengiringi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan hadir merasmikan program itu.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataannya malam tadi mengesahkan bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Ahli MKT Umno Tan Sri Noh Omar dipecat dari parti itu.

Sementara, Ketua Umno bahagian Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Naib Ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan, Ketua Umno Bahagian Tebrau Datuk Maulizan Bujang dan Ketua Umno Bahagian Jempol Datuk Seri Mohd Salim Sharif digantung enam tahun, sementara Ahli MKT Datuk Dr Fathul Baru Mat Jahaya diberi surat tunjuk sebab.

Turut dipecat malam tadi, lima ahli Umno Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli Umno Bahagian Putrajaya, dua ahli Umno Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli Umno negeri Pahang.

KJ: Tanpa sebarang amaran saya dipecat

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mendedahkan beliau dipecat dari Umno tanpa sebarang amaran, surat tunjuk sebab dan tiada pendengaran disiplin.

Dalam satu hantaran di Instagram, Khairy mengesahkan tiada sebarang proses seperti itu sebelum Umno memutuskan untuk memecat beliau.

Beliau turut memuat naik tangkap layar satu artikel yang mempersoalkan punca yang membawa kepada pemecatan beliau dan tindakan menggantung keahlian beberapa pemimpin lagi dalam mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno malam tadi.

“Disahkan tiada proses sebelum itu. Tiada surat tunjuk sebab, pendengaran disiplin. Secara ringkas dan unilateral dipecat daripada parti yang saya setia selama 23 tahun,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Rembau dan bekas ketua Umno Selangor Noh Omar adalah dua pemimpin yang dipecat oleh parti mereka malam tadi kerana melanggar disiplin parti semasa PRU15.

Khairy dan Noh sebelum ini menggesa Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai presiden parti berikutan prestasi buruk Umno dan Barisan Nasional pada PRU15.

Turut dikenakan tindakan adalah bekas naib presiden, Hishammuddin Hussein; bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan; bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif; dan pemimpin Umno Tebrau, Maulizan Bujang yang digantung keahlian selama enam tahun.

PM arah cetak sejuta al-Quran sebagai reaksi tindakan biadab Paludan

Isabelle Leong

Malaysia akan mencetak sejuta naskhah al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia sebagai reaksi terhadap tindakan membakar kitab suci itu oleh ahli politik pelampau Sweden-Denmark, Rasmus Paludan di Stockholm, baru-baru ini.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil susulan tindakan kontroversi membakar al-Quran di Sweden.

"Saya setuju cara paling berfaedah menjawab kerja-kerja gila dan biadab ini ialah meneruskan usaha yang telah dikeluarkan dan kita bertekad insha-Allah dalam masa singkat cetak dan mengedar 1 juta al-Quran ke seluruh dunia.

"Dan disusuli beberapa program kearah pemahaman dan penghayatan Quran dengan mesej dan risalah yang jelas,” katanya kepada pemberita pada Festival Seni Al-Quran di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya hari ini.

Anwar berkata proses mencetak al-Quran telah bermula dan kerajaan akan mengedarkan kitab suci itu serta menghubungi negara Islam lain bagi tujuan pengedarannya.

"Sebahagian besar (peruntukan) dari kerajaan, kita akan rujuk majlis agama, tentunya kita akan hubungi rakan-rakan kita negara Islam yang lain," katanya.

Minggu lalu, pemimpin parti Stram Kurs (Hard Line) Paludan mencetuskan kontroversi selepas dia membakar salinan kitab suci itu di Stockholm, Sweden, sehingga membangkitkan kemarahan masyarakat antarabangsa.

Stram Kurs yang ditubuhkan pada 2017 bertanding di Denmark dan Sweden tetapi gagal memenangi sebarang kerusi.

Anwar menuntut kerajaan Sweden mengambil tindakan terhadap tindakan Islamofobia ahli politik itu yang disifatkannya sebagai provokasi besar kepada umat Islam di seluruh dunia.

Kementerian Luar juga telah menyampaikan bantahan dan kekecewaan Malaysia terhadap keengganan pihak berkuasa Sweden mengambil tindakan terhadap Paludan, termasuk tindakan yang serupa yang dilakukannya pada April 2022, meskipun mendapat tentangan masyarakat antarabangsa.

Wisma Putra berkata kementerian itu menggesa pihak berkuasa Sweden mengambil langkah serius untuk menentang sebarang unsur keganasan dan kebencian terhadap Islam di Sweden.

Menurutnya perbuatan itu menjejaskan semangat hidup bersama berbilang agama secara aman sekiranya Islamafobia dan Xenofobia terus berleluasa.

Anwar tanggung akibat tindakan Zahid?

Wong Chin Huat

Bagi mereka yang menganggap Perdana Menteri Anwar Ibrahim memerlukan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk kelangsungan kerajaan campurannya, pemecatan Khairy Jamaluddin dan penggantungan Hishammuddin Hussein membuktikan bahawa Zahid juga boleh menggugat kestabilan kerajaan dan dalam senario terburuk, malah menyebabkan kejatuhannya.

Majoriti dua pertiga daripada 148 kerusi kerajaan gabungan itu terdiri daripada tiga pemain: PH dengan 82 kerusi, BN (30) dan 36 kerusi MP parti Malaysia Timur - GPS (23), GRS (6), Warisan (3), KDM (1), PBM (1) dan bebas (2).

Secara teknikalnya, walaupun BN keluar, kerajaan campuran masih mempunyai 118 kerusi. Tetapi itu bermakna ketiga-tiga parti nasionalis Melayu-Islam; PAS (43), Bersatu (31) dan Umno (26) - berada dalam pembangkang, secara politik menjejaskan legitimasi komposisi kaum kerajaan campuran.

Oleh itu, memastikan Umno terus bertahan adalah penting bagi kerajaan Anwar sendiri untuk terus bertahan. Ia pada asasnya untuk menarik kembali undi Melayu atas pagar yang terlepas kepada PAS dan Bersatu.

Sejauh mana berjayanya usaha sedemikian merupakan ujian menunggu pilihan raya untuk enam negeri, yang boleh berlangsung selewat-lewatnya pada pertengahan Ogos tetapi dijangka diadakan pada Julai atau Jun.

Bagaimana Umno boleh bangkit daripada prestasinya kini dan bangkit semula?

Alternatif pertama ialah mempunyai kepimpinan baru, hala tuju baru, dan naratif baru untuk menyemai minat serta harapan di kalangan pengundi Melayu atas pagar.

Cabaran dari bawah

Ini bermakna Umno yang direformasi tanpa Zahid dan kesetiaannya kepada PH bukan peribadi tetapi struktural – menjadi No 2 kepada PH adalah lebih baik daripada menjadi No 3 kepada PAS dan Bersatu.

Alternatif sebaliknya ialah bersatu di bawah kepimpinan sedia ada dan berharap untuk memenangi hati pengundi atas pagar yang ragu-ragu dengan kawalan dan pengagihan naungan sebagai parti kerajaan.

Resolusi tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi yang diluluskan dalam perhimpunan agung tahunan (AGM) Umno pada 14 Jan telah menutup pintu kepada alternatif pertama.

Namun, jika arus bawah kuat, Hishammuddin, Khairy, Shahril Hamdan Suffian, Noh Omar dan lain-lain boleh melawan dengan kempen dari bawah ke atas untuk menyapu jawatan bahagian, majlis tertinggi, Pemuda, Wanita dan sayap Puteri serta tiga naib presiden.

Ini mungkin menyebabkan Zahid dan timbalannya, Mohamad Hasan dikelilingi oleh lawan mereka dalam Majlis Tertinggi Umno.

Pemecatan dan penggantungan saingan utama Zahid adalah untuk memastikan pintu ditutup rapat, malah tidak terbuka sedikit.

PAS mungkin buat PRN awal

Untuk pilihan raya negeri akan datang, Zahid akan meletakkan hanya penyokong setianya sebagai calon, dengan berkesan membersihkan pengikut Khairy dan Hishamuddin, mengulangi apa yang dia lakukan kepada panglima perang seperti Noh, Annuar Musa, Shahidan Kassim, Zahidi Zainul Abidin dan Mastura Mohd Yazid pada PRU15.

Umno kehilangan semua kerusi yang sebelum ini disandang oleh penyandang yang digugurkan. Bagaimana Umno boleh melakukan yang lebih baik kali ini apabila lebih ramai yang disingkirkan?

Apakah yang menyebabkan ahli Umno penyokong pemimpin yang dipecat - apatah lagi orang Melayu pertengahan yang sudah bosan dengan rasuah - mahu mengundi Umno di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang yang dikuasai PH, lagi pula negeri PN-PAS Kelantan, Terengganu dan Kedah?

Dengan menyingkirkan jeneralnya sendiri, Umno sedang menuju ke "medan penyembelihan" sendiri dalam pilihan raya negeri penggal pertengahan. Apakah senjata Umno untuk melawan? Tiada ideologi, tiada hala tuju, tiada naratif, tiada bintang politik - semua yang Umno miliki hanyalah naungan dan pemberian kerajaan.

Atas sebab ini, PAS mungkin menghentikan rundingannya dengan tiga negeri PH untuk pilihan raya DUN yang diselaraskan dan meneruskan pembubaran awal tiga negerinya untuk memberikan tamparan segera kepada Umno.

Jika pengakuan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang memberikan wang kepada pengundi telah membolehkan PH dan BN dalam beberapa minggu lalu mencabar dakwaan PN sebagai bersih dan anti rasuah, maka pembersihan Umno malam tadi telah melepaskan sorotan terhadap PAS, bukan sahaja dalam perhatian media, tetapi mungkin juga dalam pilihan raya negeri dengan penyalahgunaan sumber kerajaan sendiri.

Adakah Umno bakal jadi MCA?

Lebih merugikan Umno, menggunakan kuasa naungan untuk memikat pengundi atas pagar telah merosot dengan ketara. Sekiranya ia berjaya, hari ini MCA akan memegang 40 kerusi di parlimen, bukan DAP.

Pakar strategi Umno mungkin terlepas pandang persamaan antara nasib pilihan raya MCA dan Umno dengan ketinggalan 10 tahun. Adakah nasib MCA pada hari ini akan terjadi kepada Umno kemudian nanti?

Kemenangan pilihan raya MCA berkurangan separuh pada 2008, menurun daripada 31 kerusi parlimen dan 76 kerusi DUN pada 2004 kepada masing-masing 15 dan 32. Jika penurunan mendadak itu tidak dijangka, keputusannya lebih teruk pada 2013 (digelar 7-11, kerana hanya memenangi tujuh kerusi parlimen dan 11 kerusi DUN) dan 2018 bukan lagi mengejutkan.

Ketika DAP dan PH menawan kerajaan negeri dan menunjukkan prestasi yang lebih baik, naratif standard MCA – “undi kami atau anda tiada wakil dalam kerajaan” – runtuh begitu saja, kerana ramai penyokong setia MCA beralih menjadi pengundi atas pagar, manakala beberapa pengundi pertengahan lain bertukar menjadi penyokong setia DAP/PH.

Jika kekalahan Umno 2018 adalah setanding dengan MCA 2008, maka kemunduran Umno 2022 yang lebih besar menyerupai MCA 2013. Jika Umno terus hanya mempunyai naungan untuk ditawarkan, maka PRU16 mungkin nasibnya kelihatan seperti MCA pada 2018.

Ke mana Khairy, Hishammuddin akan pergi?

Betapa teruknya pembersihan Umno malam tadi menjejaskan parti dan kerajaan campuran mungkin bergantung kepada bagaimana Khairy dan Hishammuddin bertindak balas.

Ramai penyokong PH berharap Khairy - dan rakan rapatnya Shahril - akan menyertai barisan mereka, terutamanya PKR, kerana mereka merayu kepada segmen pasaran pilihan raya yang lebih bandar, pelbagai, muda dan canggih.

Jika ini berlaku, Umno dan bekas pembangkang Umno di bawah tiket PH mungkin akan bertelagah antara satu sama lain dalam pilihan raya negeri.

Memandangkan permusuhan yang mendalam, pertandingan seperti itu tidak mungkin menjadi perlawanan persahabatan dan boleh menjejaskan kestabilan hubungan PH-BN di peringkat persekutuan. Tetapi ini kurang kebimbangannya.

Senario sebaliknya akan menjadi lebih buruk bagi PH – jika Khairy dan Shahril menyertai Bersatu, mereka akan membawa lebih ramai pengundi pertengahan Melayu, terutamanya anak muda, kepada PN.

Apa yang boleh menghalang langkah ini ialah ramai dalam Bersatu, daripada bekas pemimpin Umno Hamzah Zainuddin hingga Wan Saiful Wan Jan, mungkin tidak menyukai persaingan.

Hishammuddin ikut langkah 'Shahrir Samad'?

Ancaman terbesar kepada Zahid sekarang ialah Hishammuddin. Zahid mengelakkannya daripada dipecat hanya kerana undang-undang anti-lompat akan membebaskannya untuk menyertai Bersatu. Tetapi penggantungan enam tahun bermakna dia disekat daripada bertanding dalam satu hingga dua kitaran pilihan raya umum, dengan berkesan menamatkan hayat politiknya.

Adakah Hishammuddin mempunyai keberanian untuk meninggalkan parti dan meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen untuk memaksa pilihan raya kecil, sebelum atau semasa pemilihan parti Umno?

Adakah Hishammuddin akan mencontohi apa yang dilakukan oleh veteran Umno Johor Shahrir Abdul Samad terhadap bekas presiden Umno Dr Mahathir Mohamad pada 1986? Pada masa itu, Shahrir memenangi pilihan raya kecil - yang merupakan tamparan di muka Mahathir.

Jika Hishammuddin meletakkan jawatan, dia mempunyai dua kelebihan dalam mengekalkan kerusi itu. Pertama, dia ahli parlimen penggal kelima bagi Sembrong sejak 2004, menang dengan margin 10,000 undi dan ke atas, kecuali pada 2018.

Kedua, dan yang paling penting, ini akan menjadi pertempuran nasional antara "Umno Zahid melawan semua pasukan anti-Zahid". Khairy, Noh dan lain-lain boleh berkempen habis-habisan untuk Hishammuddin sebelum memutuskan langkah seterusnya.

PAS mungkin menyegerakan pilihan raya negerinya untuk diselaraskan dengan pilihan raya kecil di Sembrong, supaya jentera PH-BN akan terbatas sumbernya.

Sekiranya Hishammuddin menang besar, lima lagi ahli parlimen Umno yang dilabelkan sebagai pro-PN, termasuk bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dan bekas menteri besar Johor Hasni Mohammad, mungkin mempertimbangkan untuk melakukan perkara yang sama.

Bolehkah Anwar menghalang senario terburuk selepas malam panjang pembersihan Umno?

Walau apa pun, ledakan dalam Umno lebih mencuri tumpuan berbanding projek pembinaan semula negara Malaysia Madani yang baru dilancarkan perdana menteri minggu lalu, dan menenggelamkan semua isyarat kestabilan politiknya kepada komuniti perniagaan.

Nampaknya Anwar dan kerajaannya mungkin menanggung kerosakan terbesar akibat percaturan Zahid ini.

Isteri disyaki larikan RM520,000 wang perniagaan suami ditahan polis

Bernama

Polis menahan seorang wanita disyaki melarikan wang perniagaan milik suaminya berjumlah RM520,000 dalam satu serbuan di Taman Merdeka, Batu Berendam, di Melaka pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata suspek berusia 35 tahun itu diberkas susulan laporan polis oleh suaminya yang mendakwa wang tunai dalam peti besi simpanannya hilang.

“Pada 4 Jan lepas kira-kira 6.30 petang pengadu berusia 37 tahun pulang ke rumahnya di Permatang Pasir, Alai dari Kuala Lumpur dan memeriksa dua peti besi di tingkat dua dan tiga, sebelum mendapati wang tunai rutin perniagaannya telah tiada.

“Jumlah wang tunai dalam kedua-dua peti besi itu lebih kurang RM520,000 dan terdapat juga wang tunai lain yang tidak dapat dipastikan jumlahnya serta barang kemas milik emak pengadu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Christopher berkata pengadu yang menjalankan perniagaan pinjaman wang berlesen memaklumkan tiada kerosakan pada peti besi tersebut dan mengesyaki isterinya mencuri wang tunai daripada peti besi itu.

Beliau berkata dalam soal siasat, suspek yang mempunyai masalah dengan suaminya itu tidak mengaku terlibat dengan kes berkenaan selain turut membuat laporan polis bagi menafikan pembabitanya dalam perkara itu.

“Suspek mengatakan dia ada memulangkan RM280,000 iaitu separuh daripada jumlah wang tersebut kepada ipar yang baik dengannya di stesen minyak di Semabok dan iparnya itu juga ada membuat laporan menerima duit tersebut.

“Namun, suspek tidak pulangkan baki wang tersebut menyebabkan kes itu diteruskan, tetapi apabila ditangkap wanita itu tidak mengaku ada memulangkan wang dan mengatakan ia dokumen simpanan tetap sahaja bukannya wang tunai,” katanya.

Christopher berkata polis turut merampas telefon bimbit jenama Iphone 12 Pro Max dan suspek direman dua hari hingga semalam, namun telah diikat jamin.

Menurutnya kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

-Bernama

Hishammuddin tak serik, penggerak utama SD sokong Muhyiddin

Malaysiakini 

Ahli Majlis Tertinggi Umno Puad Zarkashi mendakwa Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein terpaksa digantung keahlian kerana memainkan peranan utama mengumpulkan sokongan untuk Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri selepas PRU15.

"Lagi luar biasa tindakan Hishamuddin. Dia tidak serik membelakangkan parti. Bawa MP Umno ke rumah Azmin Ali. Suruh ketua Bahagian Sabah masuk Bersatu.

"Penggerak utama MP BN tanda tangan SD sokong Muhyiddin adalah Hishamuddin," kata Puad pada satu kenyataan hari ini.

Menurut Puad selepas Umno hilang kuasa pada pilihan raya umum 2018, terdapat pemimpin yang menjauhkan diri daripada parti.

"Mereka duduk di luar pagar. Ada kalanya tikam parti dari belakang. Kini mereka dipecat atau digantung. Apa salahnya mereka sekali lagi duduk di luar pagar.

"Dipecat amat menyakitkan tetapi keperluan. Kalau betul cintakan parti merayulah. Kalau tidak mahu merayu tunggulah enam tahun. Kecuali mereka sudah ada pilihan lain. Buatlah pilihan," kata Puad lagi.

Puad juga menempelak bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin yang dipecat Umno tadi malam.

"Khairy memang melampau. Memburukkan parti dan presiden semasa kempen PRU amat keterlaluan. Fitnah pengundi hantu semasa PAU Umno 2022 berniat jahat," katanya lagi.

Puad juga menegaskan keputusan itu dibuat atas cadangan Lembaga Disiplin Umno dan bukan keputusan presiden.

"Noh Omar yang hadir mesyuarat MKT malam tadi keliru. Dia tuduh presiden Umno buat keputusan sendiri.

"Ini berbeza bila Mahathir pecat Anwar Ibrahim. Tun Mahathir bawa ke MKT untuk pecat Anwar tanpa melalui Lembaga Disiplin," dakwa Puad lagi.

Puad seterusnya berkata Umno sudah lama "dipecah belahkan oleh mereka yang suka melawan keputusan parti."

Pecat KJ, gantung pemimpin, Zahid ‘tak beri muka’ hapus musuh

Robin Augustin

PETALING JAYA: Keputusan Umno memecat bekas ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, dan menggantung beberapa pemimpin lain bukan tindakan mengejutkan, kata penganalisis.

“Jelas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak memberi muka untuk menghapuskan musuhnya. Saya tidak fikir ada sesiapa yang terkejut dengan tindakan ini,” kata James Chin, profesor Kajian Asia dari University of Tasmania.

Beliau berkata, tindakan berkenaan juga susulan usul tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi menjelang pemilihan parti, merujuk usul tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden yang diluluskan pada Perhimpunan Agung Umno, baru-baru ini.

Khairy antara mereka yang menggesa jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan.

“Keseluruhannya, ia akan menjadikan Umno kuat memandangkan tiada lagi pengkritik presiden,” katanya kepada FMT.

Khairy, termasuk bekas ketua Umno Selangor, Noh Omar, dipecat malam tadi, atas dakwaan melanggar disiplin parti pada PRU15.

Sebelum ini, Khairy dan Noh mendesak Zahid meletakkan jawatan sebagai presiden mengambil kira kekalahan teruk parti dan Barisan Nasional (BN), pada PRU15.

Umno juga menggantung bekas naib presidennya yang juga Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein, bekas ketua penerangan Shahril Hamdan, Maulizan Bujang dan Salim Sharif selama enam tahun.

Ditanya sama ada perkembangan malam tadi akan menjejaskan peluang Umno pada pilihan raya negeri (PRN), terutama di Selangor, Chin berkata, ia bergantung jika Khairy dan yang lain menyertai Perikatan Nasional (PN).

Sebelum dipecat, Khairy menolak tawaran menyertai gabungan diterajui Muhyiddin Yassin itu, dan berikrar kekal setia bersama Umno.

“Jika mereka sertai (PN), anda akan lihat berulangnya apa yang berlaku pada PRU15. Antara sebab Umno tumpas apabila Zahid mengetepikan ramai ‘warlord’.

“Jika mereka bersama dengan PN dan menang (PRN), pastinya memberi kesan buruk kepada Zahid.”

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata pemecatan dan penggantungan mungkin menguatkan Umno pada masa terdekat, terutama selepas mengetepikan Hishammuddin yang dilihat pro-PN.

Katanya, ini kerana memandangkan Hishammuddin memberi sokongan kepada Muhyiddin menjadi perdana menteri selepas keputusan PRU15, di mana tiada gabungan mendapat sokongan majoriti.

Bagaimanapun, bagi tempoh jangka panjang, pemecatan Khairy dan penggantungan Shahril, yang dilihat sebagai pemimpin progresif akan menjadikan orang muda, Melayu progresif akan memencilkan parti itu.

“Pemecatan Khairy tidak akan membantu BN di Selangor yang mana berpusatnya pengundi progresif.

“Pemecatan Noh Omar juga tidak akan membantu BN dalam PRN,” katanya merujuk kepada bekas ketua Umno Selangor itu.

Pembersihan Umno hasil lebih banyak kotoran - Annuar Musa

Malaysiakini

Semalam, Umno memecat pemimpin kanannya, ahli majlis tertinggi parti dan lebih 40 ahli diambil tindakan termasuk digantung keanggotaan kerana melanggar disiplin parti.

Antara yang menjadi perhatian, pemecatan bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan ahli majlis tertinggi Noh Omar.

Selain itu, beberapa pimpinan digantung, seperti ahli parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein dan penyandang Timbalan Ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan Suffian yang digantung selama enam tahun.

Mengulas perkembangan politik ini, bekas pemimpin Umno Annuar Musa menjangkakan tindakan disiplin itu akan mengakibatkan lebih ramai lagi yang menolak parti yang telah kalah teruk sewaktu pilihan raya umum ke-15 itu.

"’Pembersihan' yang mereka (Umno) lakukan akan hanya menghasilkan lebih banyak kotoran kerana punca sebenar kotoran kekal berpaut dalam parti.

“Mereka bangga memonopoli kuasa dalam parti, menunggang parti berasaskan naratif palsu yang mereka reka sendiri.

“Biarpun parti semakin hancur akibat kerja dan tunggangan mereka. They created lies and finally they believe in their own lies (mereka yang cipta penipuan itu dan akhirnya mereka percaya dengan penipuan mereka sendiri),” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Annuar yang sebelum ini menerima nasib sama - dipecat Umno turut mengucapkan tahniah kepada mereka yang digantung dan dipecat oleh parti kerana cuba memperbaiki parti daripada terus rosak.

“Saya harap semua bertenang dan sabar (kerana) memecat orang yang tidak bersependapat adalah cara paling mudah untuk seseorang kekal berkuasa,” katanya.

“Rakyat telah memberi isyarat. Tapi malangnya mereka masih 'in denial'. Mereka lebih gemar menyalahkan rakyat dan pengundi dan semua orang lain,kecuali diri mereka sendiri,” katanya.

Manakala Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu pula dalam ciapannya di Twitter seolah-olah memberi mesej bahawa mereka yang dipecat tidak lagi terikat dengan parti dan mampu bergerak lebih jauh.

“Semoga Allah berkati perjuangan suci,” ciapnya.

Pada masa sama, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli pula berkata sekiranya mana-mana pemimpin Umno yang dipecat baru-baru ini memohon untuk menyertai PKR maka kepimpinan parti itu perlu membincangkan perkara itu secara dalaman dan sepakat membuat keputusan.

Rafizi berkata dia tidak boleh membuat keputusan bersendirian, tetapi hal tersebut perlu mendapat persetujuan secara kolektif.

"Yang itu kita kena bincang dahulu di peringkat parti. Ia bukan keputusan saya seorang.

"Saya rasa kita kena tengok perkembangan satu demi satu," katanya kepada pemberita selepas Program Syarahan Parlimen Siri 1.0: Reset Ekonomi Malaysia di Parlimen, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Shah Alam Dr Afif Bahardin pula dalam ciapannya malam semalam turut memberi semangat kepada Khairy sebagai respons kepada ciapan bekas menteri kesihatan itu berhubung pemecatannya.

“Saya turut melalui pengalaman yang sama, disingkir oleh parti (PKR) yang saya sayangi pada 2020, dan saya faham perasaan itu. Teruskan perjuangan,” ciapnya.

Turut digantung ialah bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif dan bekas Adun Tiram, Maulizan Bujang.

Bagaimanapun sebab penggantungan mereka tidak dinyatakan.

Kenyataan rasmi itu juga tidak menyenaraikan nama exco pemuda Umno, Fathul Bari Mat Jahya yang sebelum itu turut disebut digantung daripada parti itu.

Selain Khairy dan Noh, seramai 42 ahli Umno turut dipecat daripada parti itu atas pelbagai kesalahan lain.

Hilangkan Diri Hampir Tiga Dekad, Lelaki Terlalu Takut Nak Bersunat

Malaysiadateline
Akibat ketakutan melampau, seorang lelaki dari Indonesia nekad merlarikan diri pada tahun 1998 hanya kerana tidak mahu bersunat.

Sunat atau berkhatan ini pastinya, menjadi igauan buruk buat kanak-kanak lelaki walaupun zaman sekarang tidak sesakit yang dilalui pada zaman 90 an.

Hampir tiga dekad menghilangkan diri, lelaki tersebut akhirnya pulang ke pangkuan keluarga pada tahun ini.

Menurut Detik.com, kepulangan yang tidak terduga itu disambut dengan air mata yang berlinangan.

“Daripada semakan keluarga, lelaki itu hilang ketika dia berada Darjah 1. Dia dikatakan trauma untuk berkhatan,” kata Koordinasi Pekerja Kebajikan Masyarakat Daerah Klaten, Joko Prayitno.

Lelaki tersebut ditemui melalui kandungan Youtube yang dibuat mengenai seseorang dengan masalah gangguan mental (ODGJ) di Kabupaten.
diri
Tenaga Kesejahteraan Sosial Kecamatan (TKSK) dikatakan menghubungi Youtuber mengenai perihal lelaki tersebut sebelum disahkan bahawa dia adalah lelaki sama yang menghilangkan diri 25 tahun lepas.

Abang kepada lelaki tersebut memaklumkan bahawa adiknya keluar rumah pada tahun 1998 kerana takut berkhatan.

“Awalnya dia nak berkhatan tapi bila keluar dia cuma bawa kereta mainan.

“Mula-mula pada malam sebelumnya dia berani, tapi bila waktu pagi tiba dia sudah menghilang,” kata abangnya.

Dimaklumkan sepanjang kehilangan lelaki itu, keluarganya telah mencuba pelbagai usaha mencari tetapi tetap tidak menemuinya.

Warga emas maut selepas gaduh kerana hutang RM250

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga emas maut selepas bergaduh dengan lelaki lain yang dipercayai berhutang RM250 dengannya dalam kejadian di sebuah kedai makan di Jalan Prima 2, Metro Prima Kepong, Kuala Lumpur.

Dalam kejadian 6.45 pagi tadi, mangsa berusia 76 tahun ditemui meninggal dunia di tepi jalan kira-kira 100m dari lokasi pergaduhan.

Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 7.30 pagi daripada seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun.

“Mangsa dikatakan dipukul oleh suspek menggunakan kerusi plastik manakala mangsa juga membalas serangan itu dengan sebatang rod kabel.

“Pergaduhan itu kemudian dileraikan oleh beberapa anggota Rela yang berada di tempat kejadian dan mangsa kemudian beredar dengan berjalan.

“Bagaimanapun ketika berjalan meninggalkan tempat kejadian, mangsa kemudian rebah dan disahkan meninggal dunia selepas itu,” katanya dalam kenyataan.

Susulan kejadian itu, Beh berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 63 tahun pada 11 pagi tadi ketika hadir ke Balai Polis Kepong untuk membuat laporan.

“Sebuah kerusi plastik putih dan sebatang rod kabel warna hitam yang digunakan dalam pergaduhan itu turut dirampas untuk siasatan lanjut.

“Punca pergaduhan dipercayai kerana masalah hutang di mana suspek gagal membayar hutang kepada mangsa sebanyak RM250,” katanya.

Beliau berkata, suspek akan ditahan reman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Polis Sentul juga menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini supaya menghubungi bilik gerakan IPD Sentul di 03 40482206 bagi membantu siasatan,” katanya.

'Saya tak mendera Bella, yang gigit Bella adalah Balqis'

Mahaizura Abd Malik

mahaizura@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kesan gigitan pada perut Bella berpunca daripada kejadian pergaduhan remaja sindrom Down itu dengan bekas penghuni Rumah Bonda dikenali Balqis.

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali ketika membacakan pernyataan saksi dalam prosiding bela dirinya di Mahkamah Sesyen, hari ini, mendedahkan punca pergaduhan itu disebabkan Bella memakai pencuci muka Balqis.

"Dua-dua sebenarnya gigit-menggigit selepas Bella pakai pencuci muka Balqis.

"Selepas pakai (krim), (mereka) berlari (dan) berkejar satu rumah sebelum masing-masing gigit satu sama lain.

"Saya letak minyak gamat dan krim, malah saya marah dua-dua sama macam ibu bapa lain tegur anak-anak apabila bergaduh," katanya pada prosiding hari kedua, hari ini.

Bagi kesan lecur pada badan Bella pula katanya, ia berlaku apabila termos berisi air panas tersimbah ke arah Bella ketika remaja itu bergaduh dengan Balqis pada Mei 2021.

"Saya tidak mendera Bella. Jika benar saya berniat untuk mencederakan Bella, tidak mungkin saya cuba menyembuhkan Bella, bertanya kepada ahli farmasi ubat-ubatan yang sesuai untuk merawatnya dan menghabiskan wang ringgit bagi membeli segala keperluan dan ubat-ubatan terbaik untuknya," katanya.

Menurutnya, isu pergaduhan dengan Balqis itu juga diakui sendiri Bella ketika peguamnya bertanya remaja itu dalam prosiding pendakwaan sebelum ini.

"Saya pun tak faham kenapa Bella dengan Balqis ini tak boleh sesuaikan diri (tak boleh jumpa dan kerap gaduh)," katanya.

Dalam pada itu, Siti Bainun berkata, hasil pemeriksaan saksi pendakwaan kedua, doktor di bahagian kecemasan dan trauma, Dr S Meenambigai terhadap paru-paru, abdomen dan kaki Bella juga menunjukkan keputusan normal.

"Bella ini memang sangat-sangat sihat. Dia tidak ada sakit asma atau apa-apa sakit.

"Dapatan ini menunjukkan saya tidak pernah memijak perut, menendang perut, menyuruh berdiri lama dan apa jua jenis penderaan yang direka saksi tidak pernah berlaku.

"Malah, kaki Bella dilaporkan tidak bengkak sedangkan saya dikatakan setiap hari mengarahkan dia berdiri terlalu lama," katanya.

Pada prosiding pendakwaan 8 April lalu, saksi pendakwaan kelima, bekas penghuni Rumah Bonda di Wangsa Maju, Yasmin Nahar Mahmood, 20, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, Siti Bainun mengarahkannya menggigit Bella.

Katanya, arahan itu kerana Bella tidak mengikuti arahan tertuduh untuk berdiri di bahagian dobi sebuah unit kondominium yang didiami mereka di Wangsa Maju, di sini.

Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen di sini, memerintahkan Siti Bainun membela diri berhubung dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Siti Bainun berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pegawai kanan polis antara 6 ditahan bantu kes bunuh lelaki di Tawau

Hmetro

Kuala Lumpur: Pegawai kanan polis berpangkat Senior Asisten Komisoner antara enam ditahan dipercayai bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh seorang lelaki di Tawau, Sabah.

Sumber berkata, semua individu yang ditahan terdiri daripada anggota dan pegawai pelbagai pangkat.

"Semua individu berkenaan ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

"Ia bagi membantu siasatan berhubung satu kes bunuh membabitkan seorang lelaki kelmarin," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

"Insya Allah nanti Pesuruhjaya Polis Sabah akan buat kenyataan.

"Setakat ini, biarlah mereka (polis) buat siasatan dahulu," katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp, malam ini.

Mahfuz; Tiada ‘abang besar’ dalam agihan kerusi PH-BN di Kedah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Rundingan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Kedah akan dilakukan berdasarkan konsep “tiada yang dominan” menjelang pilihan raya negeri (PRN).

Pengerusi PH Kedah, Mahfuz Omar, berkata semua parti dalam PH dan BN negeri perlu menerima dua gabungan berkenaan tidak boleh bertanding sebagai “abang besar” dengan menguasai sejumlah besar kerusi dipertandingkan.

Katanya, semua pihak perlu berjiwa besar dan merendahkan ego.

“Kita belum mulakan perbincangan, kita baru mula pertemuan awal saya dan beberapa orang BN. Kami harap selepas mereka selesai Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, kita akan mulakan perbincangan dan rundingan bagaimana nak hadapi PRN,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Beliau berkata, kedua-dua gabungan akan menyelesaikan sebarang isu berhubung kerjasama demi merampas pentadbiran negeri daripada PAS.

“Saya percaya perbincangan untuk semua harus terbuka bahawa kita terpaksa mengecilkan jumlah kerusi masing-masing. Sama ada BN mahupun PH, semua parti yang ada dalam gabungan itu harus terima bahawa kita tidak boleh bertanding sebagai ‘abang besar’ untuk kuasai semuanya.

“Perlu ada pengagihan dan pembahagian. Kami (Amanah) dalam PH sudah melalui proses itu sebelum ini dan Alhamdulillah masing-masing harus berjiwa besar dan merendahkan ego,” katanya.

Sanusi ‘tersilap langkah’

Dalam pada itu, Mahfuz yakin dua gabungan itu mampu merampas Kedah selepas mendakwa Menteri Besar Sanusi Md Nor “tersilap langkah” kerana tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak PRU15.

Katanya, kesilapan dikatakan itu akan memberi peluang kepada dua gabungan berkenaan merebut semula negeri itu.

“Dia (Sanusi) yakin dengan PRU baru-baru ini sebab itu dia pun tepuk dahi bahawa dia silap tak bubar (DUN) sekali dengan PRU. Bagi saya ombak tak selalu datang, tsunami tak selalu berlaku banjir, kepala air pun tak berlaku hari-hari. Begitulah juga PRU dan PRN sudah tentu ada perubahannya.

“Saya percaya bahawa dengan apa yang ditunjukkan oleh kerajaan perpaduan ini, termasuk perubahan yang dilakukan, rakyat sudah mula berfikir tentang mereka termakan dengan tohmahan dahulu,” katanya.

Mahfuz yang juga naib presiden Amanah berkata, PH Kedah percaya pengundi bersedia mengubah kerajaan negeri agar selari dengan kerajaan persekutuan demi pembangunan negeri itu.

“Saya penuh yakin bahawa masyarakat dan rakyat mahu kerajaan negeri bersama dengan kerajaan persekutuan. Saya lihat sikap sombong menteri besar yang keterlaluan hingga sekarang masih tunjukkan sikap bermusuhan dengan kerajaan persekutuan,” katanya.

Zahid Dedah Mengapa UMNO Buat ‘Pembersihan’ Besar-Besaran

MALAYSIADATELINE

UMNO akan melakukan ‘pembersihan’ parti secara besar-besaran, dengan memberi tumpuan kepada mereka yang didapati mensabotaj parti serta calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata perkara tersebut, akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di ibu negara esok.

“Saya kata dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, kita akan lakukan pembersihan parti secara besar-besaran, termasuk mereka yang sabotaj parti dan calon parti pada PRU15, dan mungkin termasuk orang yang menembak kaki sendiri (sabotaj diri sendiri) ketika pilihan raya diadakan.

“Bila besar-besaran ini maknanya adalah (pembersihan), mana yang belum terasa insya-Allah malam esok akan terasa,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco Luar Bandar (MEXCLUB), di sini hari ini.

Ditanya sama ada mesyuarat MT UMNO itu akan membincangkan mengenai status keahlian bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin, yang sebelum ini secara terbuka mengkritik pimpinan parti serta lantang bersuara agar jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan, Ahmad Zahid berkata ia akan diketahui selepas mesyuarat berkenaan.

“Tidak boleh beritahu awal, kalau strategi dikongsi dengan wartawan, tidak lagi jadi strategi, saya harus ‘embargo’ maklumat ini sehingga tiba waktunya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Perhimpunan Agung UMNO 2022 baru-baru ini meluluskan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, namun Khairy mendakwa wujud cubaan membawa masuk ‘perwakilan import’ bagi mengundi usul berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan belum memutuskan sama ada Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik, akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.

Beliau bagaimanapun mengalu-alukan sokongan daripada semua pemimpin parti politik untuk terlibat secara langsung dalam penggubalan RUU berkenaan.

“Bagi saya RUU ini walau belum ada keputusan oleh Jemaah Menteri, tetapi saya fikir dengan kenyataan pemimpin NGO (badan bukan kerajaan) dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, harus dijadikan satu panduan,” katanya.

Baru-baru ini, Azam dilaporkan berkata SPRM akan menyiasat apa sahaja bentuk kes rasuah berdasarkan peruntukan undang-undang, dan tidak tertakluk kepada pemahaman peribadi serta menyifatkan sedekah atau sumbangan sebagai rasuah yang dibayar kepada pengundi untuk mengundi pada pilihan raya.

Badan pemerhati anti rasuah Transparency International Malaysia (TI-M) pula mendesak supaya Akta Pendanaan Politik disegerakan, bagi mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap proses demokrasi di Malaysia.

— BERNAMA

Kaut RM1,300 tunjuk gambar anak 'meninggal'

Nurul Hidayah Bahaudin

nurul.hidayah@hmetro.com.my

LIANG lahad disiapkan untuk ‘jenazah’ anak lelaki terbabit.
LIANG lahad disiapkan untuk ‘jenazah’ anak lelaki terbabit.
Kuala Lumpur: Dengan bermodalkan gambar mayat di atas pengusung, seorang lelaki sanggup menggunakan alasan anak lelakinya meninggal dunia sebelum menghilangkan diri selepas menerima wang RM1,300 milik ahli jawatankuasa Masjid Kampung Salak Tinggi, Sepang, pada Sabtu lalu.

Dia yang mendakwa mengenali Presiden Kelab Perantau 11 Mohamad Fairuz Mohamad yang aktif dengan kerja amal sekitar Salak Tinggi, datang ke rumah nazir masjid terbabit kira-kira jam 2 petang pada Ahad lalu untuk memohon bantuan.

Kebetulan, nazir Mohamad Rosli Muhammad Hanafiah keluar bekerja dan isterinya menyerahkan wang bantuan sebanyak RM300.

Mohamad Fairuz berkata, lelaki itu yang mendakwa berasal dari Kampung Salak Tinggi dan pada awalnya memaklumkan anak lelakinya berusia 20 tahun sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan memerlukan bantuan kewangan.

"Isteri nazir yang kasihan terhadap lelaki berkenaan kemudian menghulurkan wang sebanyak RM300 kepadanya," katanya ketika dihubungi.

Mohamad Fairuz berkata, lelaki berkenaan juga menemui seorang ahli jawatankuasa kebajikan masjid sama untuk memohon bantuan kewangan yang didakwa untuk urusan pengebumian anaknya.

"Lelaki itu juga memberi alasan sama kononnya saya yang mengarahkannya bertemu ahli jawatankuasa itu untuk memohon bantuan kewangan.

"Ahli jawatankuasa itu yang juga amil zakat kariah kampung berkenaan kemudian menyerahkan RM1,000 kepada lelaki berkenaan," katanya.

Malah, katanya, pihak ahli jawatankuasa juga sudah membuat persiapan termasuk menggali kubur untuk jenazah anak lelaki berkenaan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Salak Tinggi pada hari sama.

"Bagaimanapun, lelaki terbabit tidak berjaya dihubungi menyebabkan mereka (ahli jawatankuasa) menghubungi saya untuk mengetahui mengenai individu berkenaan.

"Saya amat terkejut apabila dimaklumkan lelaki terbabit menggunakan nama saya ketika meminta bantuan kewangan dengan mereka sedangkan saya sendiri tidak mengenalinya.

"Saya merasakan lelaki itu bukan berasal dari Kampung Salak Tinggi memandangkan ramai penduduk tidak mengenalinya," katanya yang membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, kelmarin.

'Saya tak sangka soal urus jenazah pun kena scam'

"Selama 18 tahun menjadi anak kariah masjid, ini kali pertama saya berdepan penipuan seperti ini.

"Tidak tahu apa masalah sebenar, tetapi dia tergamak menggunakan alasan anaknya meninggal dunia. Selepas dapat duit, terus hilang dan gagal dihubungi," kata Nazir Masjid Kampung Salak Tinggi Mohamad Rosli Muhammad Hanafiah.

Katanya, dia dihubungi seorang lelaki dari Salak Baiduri, dekat sini, yang memaklumkan anaknya mengalami kemalangan dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurutnya, atas dasar simpati, keluarganya menghulurkan bantuan RM300 sebelum lelaki itu berjumpa pula dengan Biro Kebajikan Masjid untuk memaklumkan perkara sama.

"Kemudian dia hantar gambar mayat di atas pengusung dan mengakui itu adalah anaknya yang sudah meninggal dunia serta memerlukan kos pengurusan jenazah.

"Dia beritahu jawatankuasa biro saya luluskan RM1,000. Kemudian dia menghilangkan diri sedangkan pihak masjid sudah pun menggali liang lahad untuk pengebumian anaknya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohamad Rosli berkata, biarpun pihak masjid tidak menyediakan peruntukan pengurusan jenazah, namun atas dasar simpati, wang berkenaan disumbangkan kepada lelaki itu untuk membantunya yang 'kehilangan' anak.

Katanya, dia juga memeriksa dengan penduduk di Salak Baiduri mengenai kematian seorang lelaki berusia 20 tahun akibat kemalangan seperti didakwa, namun tiada siapa tahu mengenainya.

"Kami tunggu juga, namun panggilan tidak dijawab dan saya reda dengan apa yang berlaku. Mungkin dia ada masalah lain atau apa, itu terpulanglah kepada dia.

"Cuma saya tak sangka, soal pengurusan jenazah pun ada yang scam, guna alasan anak sendiri pula," katanya.

Menurutnya, liang yang sudah digali itu kemudian digunakan untuk jenazah lain, dan pihaknya akan lebih berhati-hati bagi mengelakkan perkara sama berulang lagi pada masa depan.

Lakukan amang seksual terhadap anak saudara, buruh dipenjara 20 tahun, 12 sebatan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 20 tahun serta 12 sebatan selepas mengaku salah melakukan amang seksual fizikal dan seks menggunakan objek terhadap anak saudaranya, tahun lalu.

Hakim Mohd Sabri Ismail dan Darmafikri Abu Adam membuat keputusan itu selepas menimbangkan rayuan dan pengakuan salah tertuduh terhadap semua pertuduhan dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen 2 dan 3 di Ayer Keroh, Melaka.

Tertuduh berusia 39 tahun berhadapan empat pertuduhan iaitu dua kesalahan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 12 tahun serta dua tuduhan melakukan seks dengan objek, lapor Harian Metro.

Semua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Pasir Puteh, Bachang, Melaka, pada 20 Sep 2022, jam 8 pagi dan antara Mei hingga Jun 2021, sekitar jam 11 malam hingga 3 pagi. 

Bagi kesalahan amang seksual fizikal, tertuduh yang juga buruh binaan didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Kesalahan melakukan seks menggunakan objek pula dituduh mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan N Sivasangari, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh merayu hukuman ringan atas alasan sudah berkahwin dan menanggung anak kecil, namun pendakwaan berhujah supaya hukuman pemenjaraan dan sebatan dikenakan kerana kesalahan itu amat serius serta membabitkan mangsa berusia 12 tahun yang juga anak saudaranya.


Mohd Sabri kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan tujuh tahun bagi dua kesalahan itu itu, manakala Darmafikri, empat tahun dan lima tahun.

Hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 13 Januari lalu selain tertuduh juga dikenakan tiga sebatan bagi setiap empat pertuduhan.

Wanita Lithuania hilang 4 tahun lalu ditemukan di Malaysia

Bernama

Selepas empat tahun pencarian, seorang wanita warga Lithuania yang datang ke Malaysia dan terputus hubungan dengan kedua ibu bapanya, berjaya ditemukan semula, menurut penyiar awam Lithuania LRT.

Wanita dari Raseiniai, Lithuania itu datang ke Malaysia pada Januari 2019 untuk melawat rakan yang dikenali menerusi internet dan ketika itu dia berusia 19 tahun, kata Ketua Polis Daerah Siauliai dalam satu kenyataan.

Ibu bapanya telah menghubungi Polis Daerah Raseiniai dan meminta membantu mencari anaknya itu. Polis Malaysia tidak dapat memberikan maklumat sama ada wanita itu berada di negara ini.

Penyiasat Raseiniai mengesan akaun Facebook masyarakat Lithuania Malaysia dan menghubungi pengerusinya Rita Ruke.

Ruke kemudian meminta detektif tempatan untuk memeriksa setiap lokasi, nombor telefon dan alamat wanita itu yang dihantar oleh pihak Raseiniai.

Pemeriksaan terakhir pada Disember tahun lalu mendapat terdapat pembelian dalam talian yang dibuat atas nama wanita berkenaan.

Pada 20 Dis tahun lalu, wanita dilaporkan ada berbual menerusi video dengan Ketua Penyiasat Vytautas Globis.

"Saya masih hidup, dalam keadaan baik dan sangat gembira," kata wanita itu.

Menurut laporan, wanita berkenaan meninggalkan Lithuania dan memutuskan hubungan dengan keluarga terdekatnya kerana enggan mempunyai apa-apa kaitan dengan mereka.

- Bernama

Gunting Baju Sebab Nak Boikot Sweden, Caprice Disekolahkan Netizen

WAN SITI AMINAH


Tindakan Penyanyi Rap sensasi, Caprice gunting baju berjenama H&M sebagai simbolik memboikot barangan Sweeden telah mengundang kecaman dari ramai orang.

Berniat untuk membalas perbuatan pemimpin Sweeden, Rasmus Paludan, yang membakar al-Quran, tindakan Caprice ini dilihat sebagai suatu amalan pembaziran.

Hai ini kerana perbuatan merosakkan barangan yang sudah dibeli tidak memberi kesan kepada syarikat asal Sweeden itu kerana keuntungan dari baju tersebut sudah pun diperolehi.

Perkara ini di suarakan oleh seorang pengguna media sosial bernama IzzraifHarz yang berpendapat pemilik nama asal Ariz Ramli itu perlu belajar makna aktivis sosial media.

“Tak kisah lah nak boikot ke apa tapi janganlah pergi bakar atau rosakkan barang yang dah beli. Syarikat itu dah dapat duit hang, kalau hang musnahkan barang tu yang ruginya hang sorang tau.

“Sebelum nak buat kerja aktivis sosial media, hubungkan sel-sel yang ada dalam otak dulu dan kurangkan pembaziran dan pencemaran alam. Sekian info.” Katanya.

Menerusi video berkenaan, Caprice yang berang dengan perbuatan Ramus itu telah menyeru orang ramai memboikot dan berhenti membeli barang buatan Sweeden seperti seperti H&M dan IKEA.

Media sebelum ini melaporkan ketua parti sayap kanan Denmark, Stram Kurs itu telah membakar kitab suci umat Muslim di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm.

Rasmus mengambil keputusan untuk berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Sehubungan dengan itu, rakyat Malaysia disarankan untuk menyertai kempen memboikot barangan negara Nordik itu namun harus diingatkan janganlah sampai berlaku pembaziran.

Zahid Hamidi: Umno akan lakukan 'pembersihan' besar-besaran esok

Irwan Shafrizan Ismail

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan akan ada pembersihan besar-besaran terhadap mereka yang mensabotaj parti dan calon pada pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) esok akan memutuskan perkara itu.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya sama ada mesyuarat MKT esok akan menentukan nasib bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin.

"Tunggulah apabila MKT bermesyuarat, untuk dia (Khairy) secara individu tidak penting.

"Saya kata dalam Perhimpunan Agung (Umno) baru-baru ini, kita akan lakukan pembersihan secara besar-besaran termasuk mereka yang mensabotaj parti dan calon parti pada Pilihan Raya Umum lalu dan mungkin termasuk orang yang menembak kaki sendiri ketika pilihan raya diadakan.

"Bila besar-besaran itu maknanya adalah (pembersihan), mana yang belum terasa Insya-Allah esok malam akan terasa," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan bersama Exco- Exco Luar Bandar (MEXCLUB) di sini, hari ini.

Ditanya sama ada keputusan itu dibuat esok, Ahmad Zahid meminta media untuk datang beramai-ramai bagi mengetahui senarai mereka yang terbabit.

"Tidak boleh beritahu awal, kalau strategi dikongsi dengan wartawan, tidak lagi jadi strategi, saya harus embargo maklumat itu sehingga waktunya," katanya.

Difahamkan mesyuarat MKT Umno esok akan menentukan status keahlian Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu sebelum ini secara terbuka 'mengkritik' beberapa pemimpin Umno, selain lantang bersuara supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti dipertandingkan bagi memastikan amalan demokrasi dalam parti tidak terkubur.

Khairy yang tewas bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Parlimen Sungai Buloh, November lalu, secara terbuka turut mahu 'membersihkan' Umno jika menang di kerusi itu sebelum ini.

Malah Khairy juga menarik perhatian apabila mendakwa terdapat 'perwakilan import' ketika proses pengundian usul tambahan tiada pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden pada Persidangan Agung Umno 2022 baru-baru ini yang mana ia dinafikan oleh pimpinan parti berkenaan.

Hari ini Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan Umno akan memutuskan tarikh pemilihan parti, termasuk bagi jawatan tertingginya pada mesyuarat MKT Umno, esok.

Beliau berkata, ia membabitkan pemilihan parti di peringkat cawangan, selain bahagian yang dijangka diadakan serentak di 191 bahagian seluruh negara, termasuk untuk memilih pucuk pimpinan tertingginya.

Al-Azhar gesa boikot produk Sweden, Belanda

AFP

Tunjuk perasaan yang berlangsung di Kandahar, Afghanistan. - FOTO EPA
Tunjuk perasaan yang berlangsung di Kandahar, Afghanistan. - FOTO EPA
Kaherah: Universiti Al-Azhar di Mesir, institusi pendidikan paling berprestij di dunia Islam, menggesa agar produk Sweden dan Belanda diboikot selepas penunjuk perasaan berhaluan kanan memusnahkan Al-Quran di negara berkenaan.

Al-Azhar, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, menyeru "umat Islam memboikot produk Belanda dan Sweden".

Ia juga menggesa "tindak balas sewajarnya daripada kerajaan kedua-dua negara ini" yang didakwanya "melindungi jenayah keji dan biadab atas nama 'kebebasan bersuara'".

Ahli politik berhaluan kanan Sweden-Denmark, Rasmus Paludan pada Sabtu membakar salinan kitab suci umat Islam di hadapan kedutaan Turki di Stockholm, meningkatkan ketegangan ketika Sweden membicarakan Ankara berhubung usahanya untuk menyertai NATO.

Keesokan harinya, Edwin Wagensveld, yang mengetuai bahagian Belanda bagi kumpulan anti-Islam Jerman Pegida, mengoyakkan halaman Al-Quran semasa protes seorang diri di luar parlimen.

Imej di media sosial juga menunjukkan dia berjalan di atas halaman kitab suci yang koyak itu.

Pencemaran al-Quran mencetuskan bantahan keras dari Ankara dan demonstrasi di beberapa ibu kota dunia Islam termasuk di Afghanistan, Iraq, Pakistan, Syria dan Yaman.

Kementerian Luar Mesir "mengutuk sekeras-kerasnya" pembakaran Al-Quran, menyatakan "kebimbangan yang mendalam terhadap kejadian seperti itu berulang dan peningkatan Islamofobia di beberapa negara Eropah".

Perdana Menteri Sweden Ulf Kristersson mengecam tindakan Paludan sebagai "sangat tidak menghormati", manakala Amerika Syarikat menyifatkan tindakan itu "menjijikkan".

Jurucakap Jabatan Negara AS Ned Price pada Isnin berkata pembakaran itu adalah kerja "seorang provokator" yang "mungkin dengan sengaja berusaha untuk meletakkan jarak antara dua rakan kongsi rapat -- Turki dan Sweden".

Pada Selasa, Turki menangguhkan rundingan keanggotaan NATO dengan Sweden dan Finland, selepas Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan mengecam Stockholm kerana membenarkan protes hujung minggu yang termasuk pembakaran Al-Quran.

PAS dicabar jelaskan siapa agih 'sedekah' pada pengundi bersumpah

N Faizal Ghazali

Pemimpin PAS dicabar mendedahkan siapakah individu dalam video tular yang memaparkan pemberian wang tunai kepada pengundi yang dikehendaki bersumpah terlebih dulu bahawa mereka mengundi parti terbabit.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu Raja Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata amat penting untuk pemimpin PAS menjawab persoalan tersebut ketika isu mengenai rasuah pilihan raya terus diperkatakan orang ramai.

"Pemimpin PAS mesti menjawab isu video yang tular menunjukkan seorang warga emas meminta penerima wang pemberiannya bersumpah atas nama Allah mereka mengundi PAS.

"Adakah benar orang tersebut merupakan ahli jawatankuasa PAS di salah sebuah kawasan dalam Terengganu?

"Adakah benar video pemberian 'sedekah' tersebut berlaku di sebuah surau di kawasan Bukit Payong?" soalnya dalam kenyataan kepada Malaysiakini hari ini.

Terdahulu isu pemberian wang kepada pengundi di Terengganu diperdebatkan banyak pihak selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa peraturan sedia ada hanya melarang calon yang bertanding dan wakil mereka berbuat demikian.

Kenyataan itu dibuat selepas Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU ke-15 baru-baru ini bagi kawasan parlimen Kuala Terengganu, Marang, dan Kemaman.

Petisyen yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu adalah dibuat mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ketika sesetengah pihak mendakwa ia adalah tindakan merasuah pengundi - sekali gus merupakan kesalahan dalam pilihan raya - Abdul Hadi sebaliknya menegaskan wang berkenaan sekadar sedekah.

Raja Bahrin berkata, banyak pihak menyatakan perbuatan yang terakam dalam video tersebut bukannya 'sedekah' tetapi rasuah kerana ia melibatkan ikrar yang penerima mesti mengundi PAS.

"Amat penting PAS membuat kenyataan tentang isu ini kerana perbuatan yang dikatakan rasuah ini dipercayai berlaku di sebuah surau yang merupakan tempat suci orang Islam.

"Kami memohon PAS memberi penjelasan atau sekurang-kurangnya menafikan tuduhan-tuduhan yang serius ini bagi menjaga kesucian tempat orang Islam beribadah," jelasnya.

Jam Kiamat bergerak lebih cepat

KOSMO!
CHICAGO – Jam Hari Kiamat yang merupakan simbolik kepada waktu kemusnahan sejagat diberikan penetapan baharu bagi mengisytiharkan bahawa umat manusia semakin hampir kepada malapetaka, lapor portal berita Perbadanan Penyiaran British (BBC).

Alat simbolik itu menetapkan Hari Kiamat berada dalam tempoh 90 saat sehingga tengah malam sekali gus menandakan betapa hampirnya Bumi untuk mengalami kemusnahan kerana perbuatan manusia.

Menurut portal berita Bulletin of the Atomic Scientists, jam itu bergerak lebih dekat kerana sebahagian besarnya disebabkan perang di Ukraine.

Idea menghasilkan Jam Kiamat bermula pada tahun 1947 untuk memberi amaran kepada manusia tentang bahaya perang nuklear dan ia digerakkan menghampiri atau lebih jauh sikit dari tengah malam, berdasarkan pembacaan saintis tentang ancaman kewujudan pada masa tertentu.

Tengah malam menandakan titik teori pemusnahan sejagat, manakala pada 2022, ia menetapkan jangkaan pada 100 saat hingga tengah malam sebelum malapetaka besar akan berlaku.

Jam itu pernah menetapkan Bumi dijangka berada 17 minit sebelum ‘Hari Kaimat’ berlaku pada 1991 iaitu tahun ketika Perang Teluk berlaku antara 1990 hingga 1991 yang dicetuskan akibat tindakan Iraq menawan Kuwait.

Tindakan itu mendorong gabungan tentera 35 buah negara diketuai Amerika Syarikat (AS) bagi menangani penaklukan tersebut.

Sebelum penetapan semula itu dilakukan, terdapat amaran tentang penggunaan senjata nuklear dalam perang antara Russia dan Ukraine dan masalah biosekuriti.

Ahli panel buletin itu,Dr. Steve Fetter yang juga Dekan Sekolah Siswazah dan Profesor Dasar Awam, University of Maryland, berkata: “Risiko malapetaka nuklear lebih tinggi hari ini (semalam) berbanding tahun lepas.”

Jam itu kini terletak di pejabat buletin tersebut di lobi Pusat Keller, Universiti Chicago Harris, AS. – Agensi

Ratusan individu memiliki ijazah, ijazah sarjana (Master) serta PhD jadi penagih

Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Noor Hidayah Tanzizi

am@hmetro.com.my
SESI pemulihan Model i-Pulih AADK terhadap penagih dadah pelbagai latar belakang dan pendidikan dilakukan di AADK Daerah Hulu Langat, Selangor.
SESI pemulihan Model i-Pulih AADK terhadap penagih dadah pelbagai latar belakang dan pendidikan dilakukan di AADK Daerah Hulu Langat, Selangor.

Kuala Lumpur: Memiliki IQ tinggi dan berjaya mencapai kecemerlangan akademik hingga ke tahap Doktor Falsafah (PhD).

Tidak terkecuali ada antara mereka berjaya memiliki kelulusan dalam bidang profesional dari pelbagai universiti terkemuka dalam dan luar negara.

Namun agak mengejutkan apabila golongan cerdik pandai ini boleh terjebak dengan penyalahgunaan pelbagai jenis dadah serta menjadi penagih dadah tegar.

Ini dibuktikan apabila Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengesan wujudnya ramai golongan penagih baru membabitkan golongan pintar dan berpendidikan tinggi ini.

Jurucakap AADK berkata, berdasarkan pengumpulan data dilakukan suku pertama tahun lalu, seramai 487 individu ditahan adalah kalangan individu memiliki ijazah manakala 22 individu adalah pemegang ijazah sarjana (Master) serta PhD.

"Mengikut pecahan, tangkapan merangkumi seramai sembilan penagih berkelulusan Master atau PhD di Selangor diikuti tiga penagih di Negeri Sembilan, dua penagih PhD di Kelantan, manakala masing-masing seorang penagih PhD di Kedah, Kelantan, Perak, Sabah dan Sarawak.

"Semua mereka terjebak dengan penyalahgunaan dadah sama ada dadah sintetik mahupun dadah konvensional seperti ganja dan heroin.

"Manakala bagi golongan penagih yang memiliki taraf pendidikan ijazah, negeri Selangor mencatatkan jumlah teramai iaitu 107 individu diikuti Johor (41 individu), Sabah (35 individu), Kedah dan Perak (33 individu) dan Kelantan (31 individu)," katanya.

Menurutnya, berdasarkan statistik tangkapan dilakukan, AADK turut mendapati 2,305 lagi individu ditahan adalah kalangan pemegang diploma dari institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Tambahnya, bilangan penagih yang memilik diploma paling ramai ditahan membabitkan negeri Selangor diikuti Johor (217 individu), Terengganu (187 individu), Kelantan (189 individu) dan Kedah (165 individu).

Selain itu data menunjukkan 595 penagih dadah adalah kalangan individu yang mempunyai taraf pendidikan di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), 40,330 penagih berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 33,758 penagih memiliki kelulusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) atau Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Statistik turut menunjukkan 9,906 lagi penagih dadah adalah kalangan individu yang hanya menghabiskan pendidikan di peringkat sekolah rendah.

"Justeru itu segala usaha diberikan AADK kepada 'klien' (penagih mendapatkan rawatan) melalui pelbagai modul berkesan termasuk Model i-Pulih AADK yang juga salah satu komponen penting dalam Modal Sosial ditekankan AADK," katanya.

Mula ambil dadah sejak di universiti

Berpendidikan tinggi dan tampil segak selaku pegawai eksekutif jabatan sumber manusia sebuah syarikat ternama di Utara Tanah Air.

Namun tiada siapa menyangka Hasan, 32, (bukan nama sebenar) pernah terjerumus dalam lembah penagihan dadah sejak masih bergelar penuntut di sebuah universiti awam terkemuka.

Berkongsi kisahnya, Hasan, 32, berkata, dia mula terjebak dengan dadah apabila mencuba 'nikmat' pil kuda.

"Saya melihat rakan sebilik mengambil barang terlarang itu sebelum turut mencuba syabu dan ganja. Rakan terbabit dikategorikan 'mulut naga' yang wajib mengambil 'barang' setiap hari.

"Dia tak ubah seperti mayat hidup dan kami selalu juga 'layan' barang bersama.

"Aktiviti 'gelap' itu kemudian berterusan dilakukan secara sorok-sorok sejak hampir 10 tahun lalu. Malah saya masih menagih pil kuda walaupun selepas tamat belajar dan memasuki alam pekerjaan," katanya.

Hasan berkata, biarpun dia ketagihan dadah namun dia bijak mengaburi mata orang di sekelilingnya.

"Saya nampak seperti pekerja normal lain. Saya tidak akan mengambil barang terlarang itu secara berlebihan terutama pada minggu berkerja supaya ia tidak mengganggu prestasi di pejabat.

"Saya perlu bijak 'main drama' dan tidak mengambil dadah berlebihan kerana perlu menjaga imej dan kerjaya selain tidak mahu aktiviti itu diketahui ahli keluarga, rakan sekerja dan majikan.

"Kerja saya memang sibuk dan stress. Bila cuti umum atau hujung minggu, saya akan ambil 'barang' untuk legakan tekanan itu," katanya.

Menurutnya, aktiviti penagihan dadah itu bagaimanapun 'bocor' apabila disedari ahli keluarga.

"Bagaimanapun saya bersyukur apabila mereka memberikan semangat untuk menjalani program pemulihan penagih," katanya.

Dia yang masih bujang kemudian mendapatkan rawatan pemulihan terapi diri di Bota Kiri, Perak dan kini mendalami ilmu di sebuah pondok pengajian agama.

Menurut Hasan, dia nekad mahu berubah dan mengakui 'bersih' selepas tidak mengambil barang terlarang itu sejak Oktober 2019.

Hasan yang berpendidikan ijazah sarjana muda itu berazam mahu meninggalkan noktah dalam gejala dadah yang sebati dalam dirinya.

Tampal Jalan Asal ‘Cukup Syarat’, Majlis Perbandaran Kajang Undang Amarah Orang Awam

KIM SYAZIE
Perkongsian kerja-kerja menampal jalan tar yang dilakukan oleh pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) di Facebook baru-baru ini mendapat perhatian orang awam gara-gara kerja yang dilakukan pihak berkuasa tempatan itu dianggap ‘asal boleh’.

Meninjau ke Facebook rasmi MPKJ, kerja-kerja penampalan jalan itu sebenarnya dilakukan pada 19 Januari lalu, namun tidak menerima banyak komentar orang ramai.

Bagaimanapun, hantaran MPKJ itu telah dikongsi di Twitter dan menjadi perbincangan hangat dalam kalangan wargamaya.

Mereka meluahkan rasa kesal melihat cara majlis perbandaran yang hanya sekadar menampal jalan berlubang dan tidak melakukan turapan lebih menyeluruh.

Salah seorang penduduk di Kajang mengakui pihak berkuasa sekadar menggunakan kaedah penyelesaian sementara berbanding menyelesaikan masalah itu untuk jangka masa yang panjang.

“Saya yang duduk Kajang ini boleh mengesahkan perkara ini. Tampal lubang macam tampal kain.

“Sepanjang jalan dah rosak, dia tampal yang berlubang je berbanding turap semula jalan yang tak rata dan berlubang.

“Contoh Jalan Sungai Chua dari simpang Pearl Avenue menghala ke lampu isyarat berdekatan Ninso,” kata @ninienavid.

Dia juga menyebut Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan supaya berbincang dengan pihak MPKJ tentang isu tampalan jalan tar yang tidak kemas dan ada potensi untuk rosak semula.

Atas faktor itu, Syahredzan dalam ciapan balas, memberi respon mengatakan pihaknya juga sudah menerima banyak aduan berhubung hal itu dan akan meneliti lebih lanjut.

“Ya, ada banyak maklum balas macam ini. Nanti kami teliti,” balasnya.

Sementara itu ada beberapa pengguna media sosial memberi cadangan tegas agar didedahkan siapa pengarah yang meluluskan projek kerja-kerja tampal jalan.

Mereka juga meminta didedahkan senarai nama pegawai yang mencadangkan kertas kerja dan syarikat yang mendapat kontrak jalan itu supaya orang ramai dapat menilai.

“Lepas itu kasi nama dan dedahkannya. Dah 2023 buat rakyat macam bodoh tak ada akal,” tulis @dyoguma.

“Jika macam ini hasil kerja dan diluluskan untuk dimuat naik di sosial media rasmi, maka wajarlah ditukar sahaja ketua jabatan berkenaan.

“Tukar semua yang terlibat. Nampak sangat tugas dan tanggungjawab yang diberi tak dijalankan sebaik mungkin. Ketua perlu dipersalahkan kerana tak tengok hasil kerja anak buah,” komen pula @iyesayaye.

Remaja hilang lari dari asrama

Nurul Hidayah Bahaudin

nurul.hidayah@hmetro.com.my
ATHIRAH NAJWA yang dilaporkan hilang selepas melarikan diri dari asrama sebuah sekolah menengah di Subang Jaya, semalam. FOTO Ihsan Noor Fadhlina

ATHIRAH NAJWA yang dilaporkan hilang selepas melarikan diri dari asrama sebuah sekolah menengah di Subang Jaya, semalam. FOTO Ihsan Noor Fadhlina
Subang Jaya: Remaja perempuan dilaporkan hilang selepas melarikan diri dari asrama di sebuah sekolah menengah, di sini, awal pagi tadi.

Ibu remaja berkenaan berkata, Noor Fadhlina Nokman, 42, anaknya, Athirah Najwa Gazairi, 14, disedari hilang oleh rakannya apabila mendapati dia tiada di dorm asrama mahupun di kelas.

"Sebaik dimaklumkan oleh pihak sekolah kira-kita jam 8.30 pagi, saya dan suami terus bergegas ke sekolah. Menurut rakannya, Athirah kali terakhir dilihat awal pagi tadi.

"Saya ada cuba menghubungi rakannya, namun tiada siapa yang mengetahui lokasi Athirah," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Noor Fadhlina berkata, anak kedua daripada empat beradik berkenaan dipercayai keluar dari asrama itu dengan hanya membawa dompet serta beg galas.

"Pada awal bulan ini (Januari), dia ada memberitahu mahu bertukar sekolah. Namun, apabila kami berbincang lebih lanjut mengenai perkara itu, dia memaklumkan tiada sebarang masalah.

"Saya kini buntu mahu mencarinya di mana. Saya bimbang keadaannya di luar sana memandangkan dia tidak membawa duit yang banyak, hanya duit perbelanjaan di asrama sahaja.

"Menurut rakannya, dia dipercayai memakai tudung berwarna hitam, hoodie berwarna hitam serta seluar 'track'," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 10.06 pagi.

"Bapa remaja itu, Gazairi Ghazali berusia 42 tahun yang bekerja sebagai pegawai teknologi maklumat (IT) dimaklumkan pihak sekolah bahawa anaknya melarikan diri dari asrama sekolah jam 8.30 pagi.

"Kali terakhir lelaki berkenaan melihat anaknya itu kira-kira jam 6 petang, semalam, semasa menghantar remaja terbabit ke asrama sekolah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung remaja berkenaan boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nor Azliana Zulkifli di talian 017-5440213 atau mana-mana balai polis berhampiran.

PRN : Pas Jumpa Pemimpin PH Minggu Hadapan

MALAYSIADATELINE

PAS akan mengadakan pertemuan bersama Menteri  Besar dan Ketua Menteri di tiga negeri yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) untuk membincangkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi membolehkan ia diadakan serentak dengan tiga negeri di bawah pentadbiran parti itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata perjumpaan itu akan dilakukan pada minggu depan bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari, Menteri Besar, Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Menurutnya, walaupun pertemuan tidak rasmi telah pun diadakan akhir tahun lalu, namun tidak ada sebarang keputusan yang dicapai berhubung tarikh yang sesuai untuk PRN diadakan serentak di enam negeri terlibat.

“Keputusan sama ada PRN akan diadakan serentak atau tidak kami akan bincang dulu,” katanya selepas majlis Apresiasi Penerima Biasiswa Young Talent Scholarship Programme (YT-TI) 2022 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Samsusri, yang juga Menteri Besar Terengganu, tetap berharap PRN dapat diadakan serentak bagi memudahkan rakyat dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  menguruskan pilihan raya tersebut.

“Kemungkinan untuk tidak berlaku serentak atau tak itu ada. Tidak ada mana-mana pihak boleh paksa negeri-negeri lain untuk jalankan PRN sekali. Tetapi tiga negeri PAS telah sepakat akan buat pada tarikh sama.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, sebelum ini, menegaskan bahawa parti itu akan membuat keputusan sendiri berhubung tarikh PRN bagi tiga negeri di bawah pentadbirannya iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Abdul Hadi turut menyerahkan kepada PH untuk membubarkan DUN di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor itu serentak dengan tiga negeri pentadbiran PAS atau sebaliknya.

— BERNAMA

Mayat dalam semak adalah Zarina Mukhtar

Faizul Azlan Razak

am@hmetro.com.my
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.

LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.

Kuala Terengganu: Identiti mayat wanita yang ditemui dalam semak di Marang, Khamis lalu sudah dikenal pasti sebagai Zarina Mukhtar.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, pengesahan identiti wanita berusia 57 tahun itu dibuat berpandukan kepada padanan rekod cap jari yang tersimpan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Pengesahan juga dibuat melalui Pusat Pendaftaran Penjenayah Malaysia dan Singapura (D2) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

"Saya akan mengadakan sidang media berhubung kes ini dalam masa terdekat.

"Kes ini berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang seminggu dan ada tangkapan dilakukan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zain berkata, pihaknya akan mendapat mendapatkan perintah reman terhadap suspek di Mahkamah Marang, dekat sini, esok.

Malam tadi, media melaporkan polis masih menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenalpasti identiti mayat wanita yang ditemui di Marang, Khamis lalu.

Lelaki Pukul Isteri Sehingga Koma Bebas Dari Penjara, Adik Ipar Doa Agar Dilaknat Tuhan

WAN SITI AMINAH

Suami yang disyaki memukul isteri ketiganya yang sedang hamil sehingga koma pada 4 Mei tahun lalu telah dibebaskan dengan jaminan setelah setahun ditahan reman di penjara.

Perkembangan terbaru itu tular setelah adik mangsa, Fauziah Nordin memuat turun video mengenai pembebasan Rosmaini Abd Raof di sosial media TikTok.

Menurut video tersebut, selepas dijamin, Rosmaini bebas beraktiviti di luar dan ini mengundang rasa tidak puas hati Fauziah terhadap abang iparnya yang mempunyai tiga isteri itu.

Hal yang demikian kerana apa yang dinikmati lelaki itu tidak adil memandangkan lelaki itu boleh ‘enjoy’ di luar setelah mendatangkan kecederaan parah kepada kakak sulungnya.

Fauziah yang memberi gelaran lelaki dayus kepada Rosmaini itu turut berdoa agar tuhan melaknat abang iparnya sebagai balasan atas perbuatannya.

Berlatarbelakangkan video seorang wanita yang terlantar di katil, Fauziah juga turut berkongsi status kakaknya, Jahidah Nordin yang masih berada dalam keadaan koma.

“Lelaki dayus itu sekarang bebas dekat luar. Boleh makan minum, tidur cukup, ‘enjoy’ dengan kawan-kawan. Moga Allah melaknat kamu lelaki dayus Romaini Abdul Rauf.

‘Lama tidak ‘update’ keadaan kakak. Mungkin dia akan tetap begini, tak boleh buat apa apa. Hanya terbaring kaku di atas katil. Kerosakan otak yang kekal, Hanya Allah mengetahui,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang kakitangan kerajaan yang sedang hamil bertarung nyawa di hospital akibat dipukul oleh suaminya sendiri.

Jahidah berada di dalam keadaan koma setelah mengalami kecederaan parah pada kepala dan tengkorak selain rahang, tulang belakang serta rusuknya turut retak.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah pangsapuri di sini pada pukul 6 pagi, 4 Mei lalu.

Bagi perbuatan tersebut, suaminya didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda serta Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Rosmaini diikat jamin RM7,000 dengan dua orang penjamin atas alasan mempunyai tanggungan tujuh orang anak serta tiga isteri.

Selepas dibebaskan, dia perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan selain tidak boleh mengganggu mangsa.

Umno akan tentukan nasib KJ petang ini

Malaysiakini

Khairy Jamaluddin, yang lantang mengkritik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, akan mengetahui nasibnya pada petang ini.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan dilaporkan mengesahkan perkara itu semasa sidang akhbar di Kuala Lumpur lebih awal.

"Petang ini," katanya ringkasnya kepada wartawan apabila ditanya mengenai status keahlian bekas menteri kesihatan itu di dalam Umno.

Khairy baru-baru ini memuji tindakan dua ahli Umno yang telah memfailkan laporan terhadap Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung usul tambahan dua jawatan teratas parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Antara lain, Khairy menyifatkan keputusan untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi itu sebagai "kegilaan" dan menyekat demokrasi dalam Umno.

Menantu bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi itu mendakwa dia terpaksa melepaskan kerusi Rembau sebelum ini di Negeri Sembilan kepada Mohamad Hasan.

Semasa tempoh kempen, Khairy cuba menjarakkan diri daripada Zahid, yang berdepan dengan kes rasuah.

"Saya tak mahu berhenti di Sungai Buloh semata-mata kerana bertanding di sini cabaran terbesar dalam kerjaya politik saya. Nak menang di sini bukan mudah, tetapi kalau saya menang, saya nak bawa kita semua, bukan sekarang tetapi mungkin lima atau 10 tahun akan datang untuk menerajui pimpinan negara.

"Saya juga mahu bawa perubahan kepada parti saya (Umno) dan mahu Umno dilihat semula sebagai wadah mulia untuk masyarakat Melayu. Sekarang ini ramai jumpa dan maklumkan saya, bukan mereka tak suka Umno tetapi kurang berkenan dengan beberapa (individu) dalam Umno.

"Media janganlah pula lagakan saya dengan Presiden (Ahmad Zahid Hamidi) tetapi ini kenyataan dan realitinya. Saya dan rakan lain mahu kembalikan Umno sebagai wadah Melayu yang mulia, bersih, berubah dan memiliki pemimpin bagus dan mampu diberi kepercayaan seperti suatu ketika dahulu," katanya.

Kenyataan Khairy itu menimbulkan kemarahan pihak yang sehaluan dengan Zahid, seperti Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi.

Khairy merancang untuk bertanding jawatan presiden Umno. Pada pemilihan parti 2018, dia menduduki tempat kedua dalam pertandingan tiga penjuru dengan Zahid dan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.