2 lelaki parah ditetak selepas ganggu isteri orang

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis memburu seorang lelaki kerana disyaki menetak dua lelaki sehingga cedera parah dalam dalam satu kejadian di Jalan Mutiara Raya, Cheras, semalam.

Ketua Polis Cheras, Zam Halim Jamaluddin berkata, pergaduhan itu dipercayai berlaku selepas dua lelaki berkenaan mengganggu isteri suspek.

“Kedua-dua lelaki berusia 23 dan 32 tahun cedera parah di kepala dan tangan akibat ditetak menggunakan parang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (D7), IPD Cheras menahan seorang wanita warga tempatan pada 7.30 malam hari sama.

Zam berkata, wanita berusia 39 tahun dipercayai bersubahat dengan suspek utama yang berusia 45 tahun.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

Orang ramai yang mempunyai berhubung suspek serta kejadian ini boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.

Tular tarikh Hari Raya Aidilfitri pada 21 April

KOSMO!
Tangkap layar yang tular di media sosial
PETALING JAYA – Tular di media sosial dan kumpulan WhatsApp mengenai hebahan tarikh Hari Raya Aidilfitri yang dikatakan jatuh pada 21 April ini.

Hebahan ini menjadi kecoh dalam kalangan orang ramai apabila tarikh tersebut berbeza seperti yang tercatat dalam kalendar pada 22 April.

Ia susulan satu tangkap layar yang dikongsikan memaparkan tarikh akhir Ramadan pada 20 April ini.

Menjengah ke ruangan komen, ramai menjangkakan suasana kelam kabut hari raya tahun lepas bakal berulang sekali lagi.

“Tahun lepas dah raya mengejut, sambut raya awal sehari dari (tarikh ditetapkan) dalam kalendar. Adakah tahun ini berulang lagi?,” soal Nizam.

“Jaga-jaga semua. Saya nasihatkan buat persiapan awal, takut tak sempat beli ayam, anyam ketupat,” pesan Atikah.

Bagaimanapun, pihak pengurusan Masjid Wilayah Persekutuan menerusi hantaran di Facebooknya semalam memaklumkan tarikh itu adalah bagi memberi kesedaran kepada jemaah untuk mengejar 10 malam terakhir Ramadan dengan meningkatkan amal ibadah.

“Tular satu tangkap layar berhubung gambar counting (kiraan) tarikh ‘Akhir Ramadan 1444H 20 April 2023’ di Paparan TV Iklan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

‘Sukacita dimaklumkan bahawa tarikh tersebut adalah bagi memberi kesedaran kepada jemaah untuk mengejar 10 malam terakhir di bulan Ramadan supaya dapat meningkatkan ibadah.

“Pihak Masjid tidak bertanggungjawab menentukan tarikh sebenar 1 syawal kerana ia adalah di bawah bidang kuasa Penyimpan Mohor Besar Raja Raja,” jelasnya.

Justeru, pihak masjid meminta orang ramai untuk tidak beranggapan bahawa tarikh yang dipaparkan adalah suatu ketetapan.

“Marilah kita terus kekal istiqamah menghidupkan bulan mulia Ramadan dengan amalan soleh bagi meraih ganjaran yang berlipat kali ganda,” serunya. – KOSMO! ONLINE

Ular sawa gergasi gemparkan penduduk

Amirul Aiman Hamsuddin
bhnews@bh.com.my
Anggota bomba dan penduduk bergambar dengan ular yang ditangkap sebelum dilepaskan ke habitatnya - Foto NSTP/Ihsan bomba
Anggota bomba dan penduduk bergambar dengan ular yang ditangkap sebelum dilepaskan ke habitatnya - Foto NSTP/Ihsan bomba
SEKINCHAN: Tanda tanya penduduk Kampung Parit 10 Ban Kenal, Pasir Panjang, di sini berhubung ancaman terhadap haiwan ternakan mereka terjawab apabila seekor ular sawa bersaiz gergasi berjaya ditangkap bomba, malam tadi.

Difahamkan, reptilia sepanjang tujuh meter itu ditemui dalam kawasan sawah padi berhampiran sebuah rumah penduduk kampung terbabit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 10.38 malam.

Katanya, sepasukan 11 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dikejarkan ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba, didapati ular sawa terbabit berada dalam kawasan sawah padi.

"Anggota kemudian menangkap reptilia itu menggunakan alat pengepit dan penjerut khas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Morni berkata, ular itu berjaya ditangkap pihaknya dalam tempoh 20 minit.

Menurutnya, operasi itu berjalan lancar dan ular berkenaan kemudian dilepaskan ke habitat asal di hutan," katanya.

Apabila ayam berkokok sampai ke petang

Fuad Rahman

Lazimnya ayam jantan berkokok ketika pagi. Jarang di kota, cuma di desa jauh daripada kekalutan kota. Tetapi apabila ayam jantan berkokok sampai ke petang itu tandanya ia sedang mencari pasangan atau menjadi habuan lauk gulai tuannya.

Nampaknya di negara ini kita akan dengar kokokan ayam sampai ke petang saban hari sekurang-kurang sampai Jun atau Julai, apabila PRN diadakan.

Kokokan politik yang berterusan akan merimaskan. Tambah lagi apabila ia sambung-menyambung. Hakikatnya suasana politik masih belum “settle down”. Kenyataan politik beberapa pemimpin jelas ada usaha mahu menukar lagi kerajaan.

Selagi ini tidak “settle down” selagi itulah projek-projek untuk manfaat rakyat akan tertangguh. Cuma yang riuh mengenai siapa yang hendak dipersalahkan, kenapa projek jadi melampau bajetnya, kenapa “direct nego” tanpa tender dan macam-macam lagi.

Tidak lama lepas ini, rakyat akan berdepan lagi dengan musibah banjir sebab projek tebatan banjir tidak tahu hujung pangkalnya. Lebuhraya Grik-Jeli masih berlopak teruk, entah berapa lawatan tapak dibuat, pengguna masih berdepan dengan bahaya yang tidak diduga.

Kerajaan tidak dapat “move on” angkara terikat dengan komitmen untuk membersihkan daki-daki politik sebelum PRU15. Rata-rata kita ingat selepas PRU15, rakyat akan mula merasakan sedikit perubahan atau sekurang-kurangnya boleh menarik nafas lega kalau pun tidak 100%. Tetapi jauh api dari panggang.

Rupanya gelagat di Dewan Rakyat juga tidak menjanjikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat tetapi ahli Dewan sibuk menjerit, menggelar nama-nama haiwan kepada ahli lain. Buang masa.

Jadi nak harapkan siapa? Arau cuba mencuri tumpuan dengan live TikTok nya tetapi kemana mahu rakyat dibawa? Ucapannya penuh dengan “sarcasm” dan berulang mengatakan tidak lama lagi beliau akan “duduk di sebelah sana”.

Yang paling jadi tumpuan ialah PM mana yang dapat masuk Kaabah, PM mana yang dapat jumpa raja Saudi. Benda ini “non-issue”. Sejak zaman Tun jadi PM lagi lawatan ke Arab Saudi selalu ada perubahan “last minute”. Sama ada jadual mesyuarat atau pertemuan dua hala.

Ketika menulis artikel ini selepas solat Tarawih, ketua menteri Melaka pula meletak jawatan. Apa lagi selepas ini, tanya rakyat.

Pemimpin lebih fokus mengatur masa depan bagi menentukan mereka terus berkuasa. Rakyat kena tunggu kejap. Tetapi rakyat hendak tahu berapa lama lagi.

Selepas PRN selesai pertengahan tahun ini, apa lagi kejutan akan dibuat. Apakah percaturan politik akan selesai? Belum. Ia bergantung kepada kepada gabungan mana yang menang. Percaturan juga nanti berbeza. Tidak akan sama seperti yang dirancang.

Ini bukan lagi kes pening-pening lalat tetapi dah sampai ke tahap migrain. Menu Rahmah belum cukup tangani masalah rakyat. Kena ada banyak ide lagi untuk membantu kehidupan rakyat kembali pulih. Sebab tahun mendatang masih muram.

Rakyat tidak kisah siapa KM Melaka yang baru. Mereka cuma fikir mana nak cari wang untuk bayar yuran semester anak mereka di universiti.

Suami tetak isteri bercakap telefon dengan lelaki lain

KOSMO!

BANGKOK – Seorang lelaki di wilayah Krabi, Thailand menetak isterinya menggunakan parang kerana berang  mangsa bercakap dengan lelaki lain menggunakan telefon bimbit tanpa memakai baju, lapor laman berita Thaiger kelmarin.

Polis menahan  Prachuap Nuanchan, 50, di sebuah kolam ternakan udang di daerah Ranot, wilayah Songkhla.

Suspek kemudian mengaku membunuh isterinya, Rattanakul, 58, di rumah mereka di daerah Khlong Thom.

Menurutnya, sejurus pulang ke rumah selepas bekerja, dia melihat isterinya sedang berbaring sambil bercakap dengan lelaki lain menggunakan telefon bimbit tanpa memakai baju.

Berang dengan situasi itu, suspek mengambil sebilah parang lalu menetak mangsa hingga mati.

Dia turut memberitahu polis bahawa dia mempunyai bukti panggilan telefon pada peranti tersebut yang mengukuhkan dakwaannya.

Pasangan itu telah berkahwin selama lebih 20 tahun dan dilaporkan kurang bertengkar. Mangsa juga pernah bekerja, namun bersara baru-baru ini.

Sementara itu, suspek dikatakan bertanya kepada polis sama ada dia boleh melihat mayat isterinya bagi membolehkannya meminta maaf.

Dia kini ditahan di balai polis Khlong Thom dan didakwa atas kesalahan membunuh. – Agensi

Najib sendiri penyebab gagal rayuannya, tiada unsur ketidakadilan

BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Persekutuan memutuskan Datuk Seri Najib Razak sendiri sebenarnya menjadi penyebab prosiding rayuan beliau bagi kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd tidak didengar oleh panel hakim terdahulu.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat yang membacakan penghakiman majoriti 4-1 itu, telah menolak permohonan bekas Perdana Menteri untuk menyemak keputusan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.

"Tiada penafian hak pemohon (Najib) dan tiada pelanggaran keadilan dalam kes itu," katanya.

Keputusan majoriti itu dipersetujui oleh hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel lima hakim itu membuat keputusan bertentangan.

Dalam penghakimannya, Ong berkata, peguam Najib sendiri yang enggan membuat penghujahan lisan sejak permulaan prosiding rayuan tahun lalu, walaupun peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dibenarkan berbuat demikian oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel hakim sebelum ini yang menolak rayuan itu.

Menyentuh mengenai penangguhan rayuan Najib yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan, Ong berkata, mahkamah mempunyai budi bicara mutlak untuk membenarkan atau tidak sebarang penangguhan dan panel terdahulu telah menggunakan budi bicara mereka secara bijaksana.

"Oleh itu, tiada merit untuk semakan keputusan itu," kata hakim.

Mengenai permohonan Najib untuk semakan terhadap pelepasan peguamnya (Hisyam) daripada mewakilinya semasa rayuan tersebut, hakim itu berkata, mahkamah mendapati pendapat pemohon bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk tidak membenarkan pelepasan peguam itu tidak boleh dipertahankan kerana kuasa itu ada, diperuntukkan dalam Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Sementara itu, mengenai permohonan Najib untuk semakan semula sabitan dan hukumannya, mahkamah memutuskan panel terdahulu telah mempertimbangkan 94 alasan rayuan, penghujahan bertulis dan keputusan mahkamah terdahulu yang mendengar kes Najib.

Oleh itu, penghakiman majoriti membuat kesimpulan bahawa tiada merit untuk semakan keputusan mahkamah terdahulu yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib, kata hakim itu.

"Pemohon berhujah bahawa haknya telah dicabuli. Bagaimanapun, di sini jelas pemohon adalah punca nasib malangnya sendiri. Kami tidak nampak sebarang sebab untuk menyemak sebarang keputusan panel Mahkamah Persekutuan terdahulu.

"Setelah mempertimbangkan semua rekod, mahkamah mendapati bahawa semua sabitan awal terhadap pemohon adalah selamat dan hukuman yang dikenakan terhadap pemohon tidak keterlaluan, dan oleh itu, disahkan," kata Ong.

Mengenai permohonan semakan berhubung keengganan Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuan itu, hakim itu berkata undang-undang mengenai penarikan diri juga telah diselesaikan dengan baik berdasarkan prinsip ujian "bahaya berat sebelah".

Beliau berkata, keputusan Tengku Maimun untuk tidak menarik diri disokong oleh ahli panel yang lain dalam penghakiman berasingan.

Hakim itu selanjutnya berkata tiada kegagalan korum dalam apa jua perkara kerana hakim boleh mendengar sebarang penarikan diri yang dibuat terhadap mereka.

Mengenai permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu terhadap Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, hakim itu berkata mahkamah bersetuju dengan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang menafikan permohonan tersebut berdasarkan penilaian yang betul terhadap keterangan di hadapannya.

"Kami menegaskan bahawa proses semakan di bawah Peraturan 137 tidak seharusnya disalahgunakan. Sehubungan itu, permohonan semakan itu ditolak," katanya.

Bukti baharu itu adalah mengenai Mohd Nazlan yang pada 2006 adalah peguam dan setiausaha syarikat bagi Kumpulan Maybank, yang mempunyai tanggungjawab keseluruhan untuk pengurusan dan pentadbiran semua jabatan undang-undang dalam keseluruhan kumpulan.

Keputusan hari ini adalah penamat percubaan Najib untuk dibebaskan kerana permohonan semakannya di mahkamah tertinggi dalam negara ini adalah jalan terakhirnya melalui prosiding mahkamah.

Ini bermakna Najib, 69, akan menjalani baki hukuman penjara 12 tahun di penjara Kajang.

Pada 23 Ogos lalu, panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini, diketuai oleh Tengku Maimun, menolak rayuan bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk membatalkan sabitan dan hukuman.

Najib memulakan hukuman penjara 12 tahun di penjara Kajang pada hari yang sama.

Selain itu, Najib juga telah memfailkan permohonan pengampunan diraja pada September tahun lalu.

Pada 5 Januari lalu, beliau juga memfailkan petisyen kepada Kumpulan Kerja Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Penahanan Arbitrari (UNWGAD) untuk meminta pembebasan daripada penjara atau perbicaraan semula kes SRC International yang dihadapinya berikutan pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan yang beliau dakwa mempunyai kecacatan serius dan bertentangan dengan peraturan keadilan antarabangsa.

Beliau memfailkan petisyen itu melalui Tetuan Shafee & Co, di pejabat Suruhanjaya Tinggi Geneva secara digital.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Mohd Nazlan, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, telah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram, serta penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, jika gagal penjara lima tahun, dalam kes penyalahgunaan jawatannya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.

Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda itu.

Kesilapan peguam punca Najib meringkuk dalam penjara

Raja Noraina Raja Rahim dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor
am@hmetro.com.my

Putrajaya: Kesilapan dilakukan peguam menjadi punca Datuk Seri Najib Razak terpaksa meringkuk di dalam penjara, kata Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli.

Abdul Rahman adalah hakim tunggal yang menentang keputusan majoriti panel hakim yang menolak permohonan Najib bagi kebenaran menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapinya.

Keputusan itu dibuat empat panel hakim iaitu Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat; Datuk Rhodzariah Bujang; Hakim Datuk Nordin Hassan dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Ketika membacakan penghakimannya, beliau berkata, peguam Najib pada ketika itu, Datuk Hisyam Teh Poh Teik tidak mengambil tindakan sewajarnya bagi membela tertuduh.

Katanya, ini menyebabkan hanya satu pihak iaitu Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang mengemukakan permohonan di hadapan panel terdahulu.

"Rayuan Najib tidak didengari dan berada dalam ketidakadilan yang besar. Beliau berada dalam keadaan kurang bernasib baik kerana tidak diwakili semasa rayuan.

"Oleh itu, sabitan terhadap tertuduh perlu dibatalkan kerana tiada representasi undang-undang," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tertuduh wajar dibenarkan penangguhan kerana tidak mempunyai representasi undang-undang semasa rayuan.

"Saya menyebelahi permohonan Najib untuk menyemak tujuh pertuduhan kes menyeleweng dana SRC International terhadapnya namun keputusan majoriti menyebabkan perkara itu tidak memihak kepada bekas Perdana Menteri itu," katanya.

Terdahulu, hakim dalam keputusan 4-1 menolak rayuan Najib untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos tahun lalu, sekali gus melepas dan membebaskannya daripada tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC.

Berikutan keputusan itu, Najib kekal di Penjara Kajang dan pilihan terakhirnya ialah mendapatkan pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

'Kalau betul tak halal, kenapa makan juga ayam itu?'

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my

Penguatkuasa KPDN cawangan Kuala Kangsar melakukan pemeriksaan terhadap ayam segar yang dijual di sebuah pasaraya di Kuala Kangsar. FOTO ihsan Facebook
Penguatkuasa KPDN cawangan Kuala Kangsar melakukan pemeriksaan terhadap ayam segar yang dijual di sebuah pasaraya di Kuala Kangsar. FOTO ihsan Facebook
Kuala Kangsar: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengesahkan pengadu berhubung isu ayam segar yang dijual di sebuah pasar raya di sini dalam keadaan tidak disembelih mengikut syarak, terkeliru dalam penilaiannya terhadap dakwaan ia tidak halal.

Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, berdasarkan maklumat diterima daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, pengadu itu sendiri mengaku sudah memakan ayam yang dibelinya itu, sekali gus menunjukkan pengadu tidak secara pasti meyakini bahawa ayam itu tidak halal.

"Kita dapat maklumat ini (pengadu mengaku sudah makan ayam itu) daripada KPDN yang sudah berjaya menghubungi pengadu terbabit. Pengadu sebenarnya keliru dengan apa yang dia lihat pada ayam berkenaan.

"Jadi saya sarankan kepada mana-mana individu yang hendak buat aduan, mestilah lebih berhati-hati di masa akan datang dengan memastikan perkara yang hendak diadukan itu benar-benar sahih dan betul," katanya ketika dihubungi melalui WhatsApp pagi ini.

Katanya lagi, sekiranya benar dan jelas ayam yang dibeli pengadu itu memang secara pasti tidak halal, pengadu sepatutnya tidak memakannya walaupun sekadar meragui kehalalannya atau menganggap ia sebagai 'syubhah'.

"Ya, benar..... Sekiranya ada keraguan pada sesuatu perkara adalah lebih baik ditinggalkan perkara terbabit," katanya.

Kelmarin, Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati ayam yang dibekalkan kepada pasar raya terbabit ketika dibeli oleh pengadu, dibekalkan daripada sebuah syarikat pembekal ayam dari Melaka yang mempunyai sijil halal dan sah sehingga 15 Jun 2023.

Kamaluddin bahkan berkata, pemeriksaan pihaknya daripada KPDN cawangan Kuala Kangsar yang dijalankan pada 28 Mac lalu, bagaimanapun mendapati tiada ayam segar yang kelihatan tidak disembelih secara sah sebagaimana dakwaan yang disebarkan oleh pengadu terbabit di media sosial.

Pendakwa: Najib dah guna semua saluran untuk merayu

Danial Azhar

PUTRAJAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak sudah menggunakan semua saluran dalam usahanya membuat rayuan terhadap kes rasuah SRC International, kata Pendakwa Raya Ad-Hoc V Sithambaram.

Pada sidang media, Sithambaram berkata beliau berharap keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Najib untuk menyemak sabitan dan hukumannya dalam kes SRC akan membawa penutupan kepada kes itu.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan juga merupakan satu pewajaran bahawa pertuduhan terhadap Najib adalah sah dari segi undang-undang dan bukan pertuduhan politik.

“Kepada ahli politik dan pesalah lain yang berkemungkinan, pendakwaan ini menunjukkan bahawa tiada siapa di negara ini berada di atas undang-undang. Pendakwaan yang berjaya ini mesti memberi mesej kepada semua, yang mereka tidak boleh terlepas daripada undang-undang,” katanya.

Beliau turut menggesa semua pihak menerima keputusan majoriti mahkamah tertinggi.

Terdahulu, Hakim Vernon Ong, Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan dan Abu Bakar Jais menolak permohonan bekas perdana menteri itu.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli yang mempengerusikan panel mendengar permohonan itu adalah satu-satunya hakim yang tidak bersetuju.

Susulan keputusan itu, bekas Ahli Parlimen Pekan tersebut akan menjalani baki tempoh penjara 12 tahunnya, melainkan mendapat pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong.

Pada 28 Julai 2020, Najib disabitkan oleh Hakim Nazlan Ghazali, yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi, atas kesalahan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT) ke atas dana SRC berjumlah RM42 juta.

Dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Rayuannya kepada Mahkamah Rayuan ditolak pada 8 Dis 2021.

Najib memulakan hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022, selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman asal.

Kumpulan baju hitam vs baju putih bergaduh

Omar Ahmad

am@hmetro.com.my

TANGKAP layar video tular kes pergaduhan dua kumpulan.

TANGKAP video tular kes pergaduhan dua kumpulan

Johor Bahru: Dua kumpulan lelaki dipercayai bergaduh dalam satu kejadian di Jalan Abdullah Tahir, di sini malam semalam.

Menerusi satu video berdurasi dua minit enam saat yang tular di laman sosial memaparkan kumpulan lelaki berbaju putih dan lelaki berbaju hitam bergaduh di tengah jalan kawasan berkenaan.

Hasil paparan video mendapati lebih 20 individu bergaduh dengan memukul dengan tangan dan membaling barang.

Tidak dapat dipastikan punca kejadian yang turut dilihat pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan.

Sementara itu, pihak polis yang dihubungi belum mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian ini.

Mat Sabu: Dakwaan Sanusi ‘program diganggu’ pelik

FMT Reporters

PETALING JAYA: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu menyatakan rasa hairan dengan dakwaan Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor bahawa majlis berbuka puasa anjurannya di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) dibatalkan sedangkan tempahan dewan belum diluluskan.

“Saya pelik juga dengan dakwaan menteri besar Kedah itu sedangkan pengurusan dewan Maeps belum mengeluarkan apa-apa surat persetujuan menerima tempahan tersebut.

“Sebut harga pun belum keluar,” kata presiden Amanah itu di Facebook.

Mohamad mempersoalkan bagaimana Sanusi dan juga PAS boleh menyebarkan poster mengenai majlis berbuka puasa anak Kedah di perantauan bersama menteri besar itu sebelum lokasinya disahkan.

“Biasanya kalau dah pasti baru kongsi. Jika tak pasti, tolong jangan kongsi,” katanya.

Tambahnya, program anak Terengganu di Maeps sebelum ini diadakan tanpa sebarang masalah dan berlangsung seperti yang dijadualkan.

“Oleh kerana beliau dah kata program anak Kedah akan dibuat di tempat lain, kami kira tak jadilah.”

Hari ini, Sanusi mendakwa majlis berbuka puasa anjuran pihaknya pula “diganggu” selepas dilarang menyertai acara anjuran kerajaan pusat.

Katanya, kelulusan lokasi majlis berbuka puasa anak Kedah di perantauan bersamanya di Maeps, Serdang, dijadualkan pada 9 April ini ditarik balik.

Semalam, Sanusi mendakwa dilarang menyertai majlis anjuran kerajaan pusat termasuk Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2023 Mei ini.

Mat Sabu jawab Sanusi: If tak pasti don't kongsi

Malaysiakini 

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu malam ini berasa "pelik" dengan dakwaan dibuat Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengenai sewaan dewan untuk majlis berbuka puasa.

Kata Mohamad bagaimana Sanusi boleh mendakwa sewaan yang dibuat pemimpin PAS terbabit dibatalkan ketika belum ada sebarang pengesahan mengenainya dikeluarkan.

Menurut Mohamad pihak pengurusan dewan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang belum mengeluarkan sebarang surat persetujuan menerima tempahan berkenaan.

"Sebut harga pun belum keluar," tambah presiden Amanah itu.

Sanusi pada hari ini mendakwa dia terus dihalang oleh kerajaan untuk mengadakan program selepas rancangan mengadakan majlis berbuka puasa dengan anak Kedah di perantauan pada 9 April ini ditarik balik.

Semalam Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu mendakwa dia disekat daripada menghadiri Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (Lima) di Langkawi.

Kata Mohamad dia juga musykil bagaimana Sanusi dan PAS boleh menyebarkan poster mengenai majlis berbuka puasa berkenaan sebelum lokasinya disahkan.

"Biasanya kalau dah pasti baru kongsi," kata Mohamad.

Sebenarnya tambah ahli parlimen Kota Raja itu, tiada masalah untuk Sanusi mengadakan program tersebut di MAEPS jika ia berlangsung seperti didijadualkan.

"Oleh kerana YAB (Sanusi) dah kata program Anak Kedah akan dibuat di tempat lain, kami kira tak jadilah noo.

“If tak pasti, please don’t kongsi,” cuit Mohamad.

Kalau dakwaan benar

Sementara itu Bernama melaporkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menafikan terdapat surat rasmi atau pekeliling yang melarang Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menghadiri sebarang acara rasmi kerajaan persekutuan.

“Saya tidak pernah mendengar adanya arahan untuk beliau (tidak boleh) menghadiri mana-mana majlis rasmi anjuran kerajaan persekutuan, melainkan jika arahan itu dikeluarkan kepada beliau secara peribadi, saya tidak mengetahui mengenai perkara itu.

“Tiada (surat atau pekeliling).

“Kalau dakwaan itu benar, mungkin Menteri Besar Kedah boleh menyebarkan arahan atau pekeliling untuk (yang menyebut) melarang beliau menghadiri mana-mana majlis kerajaan Persekutuan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Jamek Kampung Sungai Gersik, di Muar hari ini.

Terdahulu dia ditanya pemberita mengenai dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri mengenai perkara tersebut.

Sebelum ini Muhammad Sanusi menerusi Facebook rasminya mendakwa dia dilarang menghadiri majlis rasmi kerajaan persekutuan termasuk Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (Lima '23) pada 23 hingga 27 Mei ini.

Lelaki serang imam kerana imam didakwa sebut namanya ketika baca surah

Asrol Awang
am@hmetro.com.my

Kuantan: Lelaki yang menyerang seorang imam ketika solat Subuh di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini, 26 Mac lalu, akan dihadapkan ke Mahkamah Kuantan di sini, esok.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 296 Kanun Keseksaan melakukan kacau ganggu solat di rumah ibadat.

Katanya, lelaki berusia 37 tahun itu kini dalam pengawasan di unit psikiatri Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

"Siasatan awal mendapati, suspek sudah lama berada di kawasan terbabit dan ketika kejadia, dia menjadi agresif.

"Ia dipercayai ada kaitan dengan pengaruh dadah kerana ujian saringan mendapati, suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

"Suspek mendakwa bertindak demikian kerana mendengar imam yang mengimamkan solat ketika membaca surah ada menyebut namanya," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata demikian selepas majlis taklimat Operasi Bersepadu Pembersihan Gelandangan dan Pengemis serta Orang Kurang Siuman di sekitar zon Kuantan di sini, hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, suspek juga akan dikenakan pertuduhan kedua mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Bagaimanapun, bagi pertuduhan mengikut Seksyen 296 Kanun Keseksaan, suspek akan dihadapkan ke mahkamah esok," katanya.

Pada kejadian jam 6.18 pagi itu, suspek yang berpakaian baju Melayu ungu dan berkain pelikat serta berseluar hitam menyerang mangsa daripada belakang.

Mangsa, Ilhan Muhammad Irham, adalah pelajar Maahad Tahfiz Thurath, yang menjadi imam jemputan untuk solat Subuh sempena Program Khatam Subuh 2.0 masjid berkenaan.

Ketika masuk rakaat kedua, terdengar suara lelaki menjerit dari arah pintu masjid.

Lelaki itu kemudiannya menolak jemaah dan menerpa ke arah imam sebelum memukul imam dengan selipar.

Pendakwah terkenal curang dengan kekasih, siap maki lagi bila kantoi – “S*al lah betina! Aku sumpah mak kau mampus!”

SHAFIQAH MUKHSIN

Tular di media sosial, audio serta video seorang lelaki yang dikatakan pendakwah dan peserta program agama mengeluarkan kata makian terhadap kekasih.

Melalui hantaran yang dimuat naik oleh seorang wanita yang juga merupakan kekasih da’i tersebut, dia mendedahkan sifat sebenar lelaki itu serta menyifatkan sebagai narsistik.

Menurut wanita tersebut, dia bertindak melontarkan kata-kata kesat itu kerana kantoi berlaku curang terhadap teman wanita lapor BeautifulNara.

Malah da’i tersebut menyuruh skandalnya untuk tidak memuat naik apa-apa mengenai dirinya mungkin kerana bimbang imej sebagai agamawan tercalar.

Bukan saja memaki hamun wanita tersebut, malah da’i berkenaan mendoakan agar ibu bapa kekasihnya itu meninggal.

“Kau saja ke nak buka aib aku? Padam baliklah. Sial lah betina macam kau ni p*kimak. Aku sumpah mak kau mampus, bapak kau mampus!,” audio dalam video tersebut.

Tidak mahu disalah faham. wanita itu tampil menyatakan pendedahan tersebut bukan untuk memfitnah atau menjatuhkan imej mana-mana pihak tetapi hanya sekadar pengajaran buat orang lain.

Sedih kehilangan, lelaki gali kubur ibu

Agensi

Warsaw: Lelaki yang menggali dan mengawet mayat ibunya sebelum meletakkannya di sofa selama 13 tahun, berdepan hukuman penjara.

Polis percaya lelaki yang bersedih dengan kematian ibunya itu menggali mayat yang ditanam pada 2010, di tanah perkuburan berhampiran rumahnya, sebelum mengawetnya.

Mayat itu ditemukan di atas sofa di hadapan televisyen dengan akhbar dijadikan alas pada bawahnya.

Rahsia itu terbongkar selepas abang ipar lelaki berusia 76 tahun itu datang melawat di rumahnya di Radlin, sebuah bandar kecil di Poland berhampiran dengan sempadan Republik Czech, baru-baru ini.

Adik iparnya itu menelefon paramedik selepas mendapati lelaki itu di luar kewarasan.

Jurucakap polis, Małgorzata Koniarska berkata, pihaknya menerima laporan penemuan mayat itu.

Pejabat Pendakwa Raya mengesahkan, Jadwiga L meninggal dunia pada awal 2010 sebelum dikebumikan pada 16 Januari tahun itu,

Anak lelaki itu yang dinamakan sebagai Marian L tinggal hanya 300 meter dari tanah perkuburan itu, malah mungkin menggunakan basikal untuk mengangkut jasad ibunya pulang ke rumah.

Ketua pejabat pendakwa daerah, Marcin Felsztyński berkata, lelaki itu pasti menggunakan beberapa bahan kimia untuk mengawet jasad itu apabila melihat keadaan mayat masih sempurna.

Marian didakwa atas tuduhan berhubung perbuatannya itu dan maya ibunya akan dikebumikan semula.

Penganalis: PAS boleh tumbang jika calon MB BN tiada beban

Reshna Reem Ganesan

PETALING JAYA: Penganalisis berpandangan Barisan Nasional (BN) mampu menang pada pilihan raya negeri di Kedah, Kelantan, dan Terengganu selagi mana calon menteri besar diketengahkan tidak menanggung sebarang beban politik.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, memberitahu FMT beliau yakin penting bagi Umno yang menjadi tonggak BN menyenaraikan calon menteri besar secepat mungkin.

“Cukup kritikal untuk meraih kepercayaan pengundi di tiga negeri terbabit yang merupakan kawasan majoriti Melayu, bahawa kepentingan mereka terpelihara,” katanya.

Azmi berkata, penting bagi calon menteri besar BN dalam kalangan “kuat dan disenangi” untuk merampas tiga negeri itu daripada cengkaman PAS.

Beliau berkata, veteran politik dalam Umno sepatutnya memberi laluan kepada calon baharu yang berpengalaman.

“Parti itu perlu menamakan muka baharu berpengalaman dalam mentadbir dan bukannya terikat dengan beban politik Umno,” katanya.

“Juga baik memilih teknokrat seperti menteri besar Terengganu ketika ini Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Terpulang kepada Umno untuk menyakinkan pengundi yang parti itu serius ingin mendapatkan kembali tiga negeri berkenaan.”

Kedah, Terengganu, dan Kelantan merupakan kubu kuat PAS. Parti itu sudah memerintah Kelantan lebih tiga dekad.

Pada Ahad, Utusan Malaysia melaporkan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad, berkata Pakatan Harapan condong membuka laluan kepada BN mencalonkan jawatan menteri besar di tiga negeri itu.

Bagaimanapun, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, menafikan apa diperkatakan Khalid memandangkan beliau tidak berada dalam mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan, selain perkara itu belum dibincangkan.

Seorang penganalisis, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya, berkata pemilihan menteri besar dari BN bukan satu kejutan memandangkan Perikatan Nasional merupakan pencabar utama di tiga negeri terbabit.

“Ia adalah keputusan strategik dan realistik untuk memberi laluan kepada BN bagi jawatan itu,” katanya. “PH tidak dilihat mempunyai pengaruh besar di tiga negeri berkenaan.”

Kedah, Kelantan, Terengganu, dan negeri dikuasai Pulau Pinang, Negeri Sembilan, dan Selangor mesti mengadakan pilihan raya negeri dalam tempoh empat bulan mendatang.

Minggu lalu, Presiden MCA Wee Ka Siong, berkata rundingan kerusi akan dimuktamadkan parti dalam kerajaan perpaduan pada pertengahan April.

Bazar Ramadan Di Singapura Jual Daging Babi Sebagai Juadah Berbuka Puasa

Aiman

Bulan puasa adalah bulan di mana bazar Ramadan tumbuh bak cendawan selepas hujan. Tidak hanya di Malaysia, bazar Ramadan ini juga sudah menjadi sebahagian daripada budaya di Singapura.

Geylang Serai sering dikenali sebagai bazar besar atau utama di Singapura, terdapat beberapa bazar berskala lebih kecil yang diadakan di kawasan kejiranan yang berbeza.

Bagaimanapun, apa yang kurang enaknya, di Singapura kini sedang kecoh dengan bazar ramadan yang menjual barang dagangan yang haram untuk di makan oleh umat Islam, iaitu daging babi.

Bagaimanapun, di Bazar Raya Utara di Marsiling, baru-baru ini difahamkan terdapat gerai menjual daging babi di bazar tersebut.

Dalam catatan di halaman rasmi kejiranan, jawatankuasa itu menulis, “Pejabat Kawasan Pilihan Raya Marsiling mendapati hujung minggu lalu terdapat ketidakpatuhan di Bazar Raya Utara kami di mana gerai menjual daging babi termasuk dalam kalangan penjual.”

“Penganjur telah berhubung dengan pengendali dan telah mengambil langkah pembetulan segera untuk menghentikan penjualan daging babi.”

Kenyataan itu diakhiri dengan, “Akhir sekali, kami ingin memberi jaminan kepada semua penduduk dan pengunjung bahawa kami akan melakukan yang terbaik untuk menyediakan pengalaman Ramadan yang terbaik, ini termasuk persembahan pada hujung minggu dan juga juadah halal untuk umat Islam.”

Kenyataan itu tidak mendapat sambutan orang ramai, malah dikecam oleh orang ramai.

Sebahagian netizen merasakan bahawa jawatankuasa kurang sensitiviti terhadap umat Islam memandangkan ia diperkenalkan sebagai bazar Ramadan.

Bagaimanapun, kebanyakan netizen menggesa agar bazar itu tidak dijenamakan sebagai bazar ramadan, tetapi sebagai ‘pasar malam’ untuk memberi peluang kepada gerai-gerai yang lain untuk masuk berniaga.

CCTV rakam lelaki dera, bakar anjing

FMT Reporters
Tangkap layar daripada rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki mendera anjing liar di tangga.
PETALING JAYA: Seorang lelaki berusia 19 tahun dirakam mendera anjing liar dalam tiga kejadian berasingan, termasuk membakar seekor haiwan itu dalam serangan terbaharu dua hari lalu.

Rakaman CCTV menunjukkan pemuda itu membaling pasu ke arah anjing berkenaan yang berada di tangga, bersebelahan sebuah klinik veterinar di Johor Bahru pada 8 Mac lalu.

Pada 14 Mac lalu, dia kembali ke tempat sama dan melontar bata serta batu ke arah dua ekor anjing liar.

Polis siasat video tular anggota disyaki ambil suapan

FMT Reporters
PETALING JAYA: Polis menyiasat video yang didakwa memaparkan seorang anggotanya menerima suapan di daerah pantai timur Sabah.
Ketua Polis Sandakan, Abdul Fuad Abdul Malek, mengesahkan pihaknya menerima maklumat berhubung klip itu yang tular di media sosial.

“Siasatan sedang dijalankan oleh Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard polis daerah untuk memastikan sama ada terdapat sebarang salah laku oleh anggota berkenaan.

“Sekiranya ada bukti, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap anggota terbabit serta pihak yang memberi rasuah,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Fuad meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu menghubungi Ketua Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard Sandakan Mohammed Noor Zaid Zainuddin di talian 013 3811239.

Dalam klip berdurasi 15 saat itu, kelihatan dua lelaki berpakaian seragam polis berdiri di depan sebuah kedai bersama dua lagi lelaki berpakaian biasa berdiri di belakang anggota berkenaan.

Seorang daripada lelaki berpakaian biasa itu kemudian kelihatan mencapai sesuatu di dalam beg dan menyerahkan kepada salah seorang anggota sebelum mereka beredar.

Rauf dijangka angkat sumpah Ketua Menteri

SHAFIQAH MUKHSIN

Selepas pelbagai khabar angin melanda, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dikatakan bakal meletakkan jawatan esok.

Difahamkan, keputusan itu susulan pertemuan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah itu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam lapor Berita Harian.

Selepas isu pertukaran Ketua Menteri Melaka kembali menjadi bualan, nama Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kembali disebut bakal dilantik Ketua Menteri baharu.

Isu pertukaran pemimpin negeri ini mula hangat beberapa bulan selepas kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka yang diadakan pada 20 November 2021.

Sumber dalaman UMNO Melaka, memaklumkan istiadat mengangkat sumpah jawatan dan sumpah simpan rahsia oleh Ab Rauf sebagai Ketua Menteri Melaka ke-14 dijangka berlangsung Jumaat ini di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Ab Rauf ketika dihubungi, enggan mengulas sehingga ada pengesahan rasmi daripada pucuk pimpinan UMNO.

“Dah ada pengesahan rasmi ke? Saya tak mahu ulas apa-apa sehingga dapat makluman rasmi nanti,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Sementara itu, Sulaiman pagi tadi mempengerusikan Mesyuarat EXCO negeri di pejabatnya di Seri Negeri sebelum mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan pegawainya.

Beliau turut dijadual menghadiri Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Melaka yang dijangka lewat petang ini.

Ini adalah untuk membincangkan beberapa isu termasuk kontroversi mengenai pemilihan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu baru-baru ini.

Isu UMNO Bahagian Tangga Batu itu berkaitan kemenangan ketuanya yang baharu, Datuk Rais Yasin yang pada mulanya diumumkan tidak sah oleh pimpinan bahagian, namun Ahmad Zahid kemudian mengumumkan sebaliknya.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri mengesahkan struktur pentadbiran kerajaan Melaka akan berubah susulan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri itu tidak lama lagi.

Beliau dilaporkan berkata, meskipun Melaka sudah melalui proses Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal, negeri itu masih belum lagi membentuk Kerajaan Perpaduan seperti dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

KM Melaka serah surat letak jawatan pada saya - Zahid Hamidi

NS Ramli

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi verkata dia sudah menerima surat perletakan jawatan ketua menteri Melaka Sulaiman Md Ali.

Dia berkata surat perletakan jawatan itu diserahkan Sulaiman dalam pertemuan di pejabatnya di Parlimen.

"Saya ingin mengesahkan bahawa saya telah menerima surat perletakan jawatan ketua menteri Melaka.

"Saya akan menghadap TYT (tuan yang terutama) Melaka Ali Rustam untuk memoersembahkan nama calon yang bersesuaian bagi menggantikan ketua menteri Melaka yang baru.

"(dan) saya mengharapkan kebijaksanaan TYT menerima watikah yang saya akan kemukakan dan majlis angkat sumpah mengikut kesesuaian tarikh TuYT," katanya dalam sidang media di Masjid Kampung Lebu, dekat Bentong di Pahang, hari ini.

Tular bukti surat Mukhriz minta lesen balak zaman Mahathir jadi PM

WAN SITI AMINAH

Sekeping gambar dipercayai dokumen konsesi balak milik anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tular di media sosial baru-baru ini.

Mengejutkan, surat bertarikh 15 Disember 1994 itu dipercayai ditandatangani oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang ketika itu berusia 30an.

Mukhriz dipercayai menjadi pengerusi syarikat pembalakan berkenaan di usia muda dan berjaya mendapat konsesi pembalakan dari kerajaan.

Surat itu dimuat naik oleh seorang individu sebagai bukti bahawa anak Mahathir berjaya mengaut kekayaan ketika pemerintahan bapanya.

“Ketika ini seorang pemuda berusia 30 tahun menjadi pengerusi syarikat balak dan mendapat konsesi membalak kayu tropika seluas 1000 hektar.

“Saya harap tak ada lagi lah orang minta bukti. Kerja minta bukti perkara yang semua orang tahu ni adalah kerja orang hilang deposit yang nak glamor balik,” katanya.

Menurut lelaki itu, menerusi konsesi kurniaan kerajaan tersebut, Mukhriz dijangka mendapat keuntungan bersih sekitar RM2000 bagi seekar balak.

Terdahulu, Mahathir meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuktikan bahawa dirinya membolot kekayaan ketika memerintah.

Kata Mahathir, Anwar bertindak sedemikian untuk menghalang pihaknya menganjurkan Perhimpunan Proklamasi Melayu.

Ayob Khan buat pendedahan mengejut, dakwa orang agama paling kuat buat rasuah

SHAFIQAH MUKHSIN

Rasuah ini sudah menjadi norma dalam kalangan manusia, tidak kira yang kuat agama mahupun yang pegangannya lemah.

Dalam dunia yang memerlukan duit ini, pastinya akan ada yang tidak mahu berputih mata dengan tawaran berupa wang walaupun ia adalah rasuah.

Watak orang yang sembahyang tidak tinggal dan bergelar ‘Haji’ hingga tergamak untuk memakan wang haram sudah biasa dilihat.

Namun tidak di mata polis seperti Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. Kata Ketua Polis Johor itu, watak sebegitu sudah banyak dikesan.

Pengalaman luas dan lama di Cawangan Khas Bukit Aman mengajar Ayob untuk membaca manusia rata-rata dan tidak mudah terperdaya dengan lakonan mereka.

“Orang Malaysia kita ini ada kecenderungan bila nampak orang derma sahaja, (perbuatan) yang lain tertutup.

“Kita nampak seseorang itu pernah terlibat dengan itu dan ini tetapi ada gelaran, rumah besar, duit banyak sampai bertabur atas lantai.

“Takkan tak terdetik persoalan ‘dari mana dia dapat duit banyak begitu? Dia bisnes apa?” jelasnya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ada antara orang yang kelihatan alim serta sering bersedekah dan menderma itu sekadar wayang semata-mata.

“Jika kita membuka mata untuk memerhati dan membaca setiap perincian yang dipamer dalam gerak tubuh dan tutur katanya.

“Kita akan ketahui siapa sebenarnya yang berselindung di sebalik topeng itu.

“Contohnya, duit rasuah pergi haji. Dia ambil rasuah banyak-banyak, RM3 ke RM4 juta setahun, dan tiap-tiap tahun dia pergi menunaikan haji. Lepas itu dia minta ampunlah.

“Balik, minta rasuah lagi. Tahun depan pergi haji lagi. Betul? Ada karakter macam itu, kan?” soalnya kembali.

Artikel ini adalah berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Ayob pada 2021 sebelum bergelar Pengrah JSJ Bukit Aman mengenai kegiatan rasuah dibalik amal ibadah.

Azhar Idrus tak dibenar ceramah di Sarawak

FMT Reporters

PETALING JAYA: Azhar Idrus antara penceramah bebas yang tidak dibenarkan mengadakan ceramah agama di masjid dan surau di Sarawak.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dr Abdul Rahman Junaidi, berkata penceramah tidak mempunyai latar belakang lengkap bidang agama tidak dibenarkan mengadakan ceramah.

Beliau yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam negeri berkata, larangan itu terpakai kepada mereka yang tidak diberi tauliah oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), termasuk di beberapa negeri lain di Semenanjung.

“Sebelum ini pun ada beberapa orang penceramah yang tidak beri tauliah untuk berceramah di Sarawak kerana mereka tidak ada latar belakang lengkap dalam bidang agama dan pada sama ada juga beberapa orang tidak mendapat tauliah di Semenanjung, maka kita pun mengambil tindakan sama.

“Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) memberi penekanan hanya kepada penceramah agama yang ada latar belakang lengkap untuk menyampaikan maklumat mengenai hal ehwal Islam kepada masyarakat Islam di seluruh Sarawak,” katanya menurut Harian Metro.

Rahman berkata, jika ada penceramah bebas khususnya dari Semenanjung berhasrat menyampaikan ceramah, mereka harus menghubungi pihak Jais secara peribadi.

“Ini bagi membolehkan pihak Jais membuat penelitian kerana hanya mereka yang diberi tauliah dikeluarkan oleh pengarah Jais saja boleh menyampaikan ceramah,” katanya.

Pada 12 Mac, akhbar itu melaporkan, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) setakat November lalu menyatakan Azhar antara 30 pendakwah selebriti yang tidak mempunyai tauliah berceramah dan kuliah di negeri itu.

Melaka bakal bertukar Ketua Menteri?

NOR FARHANA YAACOB

MELAKA - Kerajaan Melaka didakwa bakal bertukar Ketua Menteri baharu pada Jumaat ini.

Malah difahamkan upacara mengangkat sumpah Ketua Menteri ke-14 itu akan diadakan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam di Pejabat Tuan Yang Terutama di Ayer Keroh.

Dipercayai jawatan yang dipegang Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali selama dua penggal ini bakal diisi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara yang juga Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian Pembangunan Koperasi dan Usahawan, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Media yang menunggu selama tiga jam di Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri di sini, bagaimanapun gagal mendapat sebarang pengesahan dan komen daripada Sulaiman.

Setiausaha akhbar, Nasharudin Muhamad memaklumkan ADUN Lendu itu enggan bertemu media dan telah meninggalkan bangunan pentadbiran kerajaan negeri.

Sumber terdekat pejabat Ketua Menteri, memaklumkan setakat ini tiada arahan selanjutnya dan mereka masih menunggu arahan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Sementara itu, Ab Rauf yang dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perubahan struktur pentadbiran negeri Melaka.

"Saya tak mahu komen lanjut sehingga ada maklumat seterusnya," katanya ringkas.

Terdahulu tular di aplikasi WhatsApp mengenai ucapan terima kasih untuk semua jasa yang telah diberikan untuk rakyat negeri Melaka kepada Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Media pada Isnin melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan akan berlaku perubahan struktur pentadbiran kerajaan negeri menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka.

Presiden UMNO itu turut mengesahkan kerajaan ketika ini menuju kepada usaha pembentukan itu.

Annuar Musa dah buat keputusan sertai PAS, kata sumber

N Faizal Ghazali

Bekas Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, dikatakan sudah memilih 'bahtera' baru untuk meneruskan perjuangan politiknya dengan menyertai PAS.

Ia dibuat hanya beberapa bulan selepas dia dipecat dari Umno selepas dilihat terus 'melawan' kepemimpinan yang ada dalam parti tersebut.

Menurut sumber, Annuar yang pernah menjadi menteri sama ada semasa BN atau PN menjadi kerajaan sudah pun mengisi borang keahlian PAS.

Bagaimanapun, katanya, Annuar bercadang untuk mengumumkan penyertaan tersebut selepas Aidilfitri nanti.

“Setakat ini Annuar dah buat keputusan untuk sertai PAS cuma tunggu masa untuk dia buat pengumuman rasmi.

“Difahamkan beliau akan umumkan perkara itu selepas sambutan Aidilfitri nanti sebagai langkah membangkitkan mood pilihan raya negeri (PRN),” kata sumber yang enggan namanya disiarkan Malaysiakini.

Sumber yang rapat dengan Annuar itu memaklumkan mereka turut tidak menolak kemungkinan Annuar akan menjadi salah seorang calon Perikatan Nasional (PN) pada PRN Kelantan nanti.

“Tak mustahil dia (Annuar) akan bertanding dan PAS sendiri boleh menaruh harapan terhadap pengaruh serta pengalaman Annuar,” katanya.

Annuar dipecat daripada Umno pada Dis tahun lalu.

Tak nak cakap hal politik

Dia sebelum ini dilihat antara tokoh Umno yang menggesa kerjasama parti itu dengan PAS dan Bersatu dalam PN dan ia bertentangan dengan ketetapan dibuat pemimpin parti.

Susulan prestasi buruk BN dalam PRU lalu pula, dia bersama sejumlah ketua Umno bahagian lain menggesa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan sebagai presiden.

Pada peringkat awal bekas ahli parlimen Ketereh itu dilihat mahu menggerakkan pertubuhan dikenali sebagai Muafakat Nasional (MN). Beberapa tokoh politik juga menyertai MN termasuk bekas ahli parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin

Namun tidak lama kemudian Annuar menyatakan hasrat untuk kembali berparti.

"Tiba masanya kini untuk saya memikirkan secara serius untuk kembali semula meneruskan perjuangan politik secara berparti, dengan memilih parti yang sesuai dengan jiwa perjuangan saya, dan parti yang benar-benar berjuang menegakkan syiar agama serta membela bangsa dan negara.

"Semoga ada parti yang sudi menerima saya untuk berkhidmat sebagai ahli biasa mereka," katanya dalam catatan Facebook baru-baru ini.

Sementara itu Annuar ketika dihubungi Malaysiakini hari ini memaklumkan dia kini berada di Makkah dan enggan mengulas lanjut.

“Maaf Saya di Makkah, tak berhasrat bercakap hal politik,” katanya ringkas ketika ditanya berhubung perkara itu.

Dalam perkembangan berkaitan sumber PAS Kelantan turut memberi gambaran positif berhubung perkara itu.

“Dalam proses, Insya-Allah,” katanya ringkas.

Malaysiakini juga sedang mendapatkan pengesahan lanjut daripada kepimpinan tertinggi PAS berhubung perkara itu.

Mahkamah Kuwait jatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas Jho Low

Malaysiakini 
Sebuah mahkamah di Kuwait mensabitkan kesalahan ahli perniagaan Low Taek Jho tanpa kehadirannya semalam atas tuduhan pengubahan wang haram berhubung skandal 1MDB.

Menurut laporan akhbar Kuwait Al-Qabas seorang sheikh, bersama rakan kongsinya, dan dua warga asing telah dijatuhkan hukuman penjara sepuluh tahun, manakala seorang peguam dijatuhkan hukuman tujuh tahun, atas tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana Malaysia itu.

Mereka juga diarah memulangkan AS$1 bilion (RM4.4 bilion) selain membayar denda berjumlah KD145 juta (RM2 bilion).

Akhbar itu tidak menamakan syeikh tersebut, rakan kongsinya, mahupun peguam berkenaan, tetapi hanya menyebutnya sebagai "dana Malaysia".

Menurut laporan itu, ini adalah kes pengubahan wang haram terbesar. Ia juga mengenal pasti warga asing itu sebagai Low dan ahli perniagaan Syria-Perancis Bachar Kiwan.

Sementara itu laman Sarawak Report pula berkata dana Malaysia yang dimaksudkan tersebut ialah 1MDB.

Ia juga menamakan syeikh itu sebagai Sheikh Sabah Jaber Al-Mubarak Al-Sabah, yang adalah anak kepada bekas perdana menteri Kuwait. Rakan kongsinya dikenal pasti sebagai sekutu Low, Hamad Al Wazan, dan peguamnya sebagai Saud Abdelmohsan.

Menurut Al-Qabas, kelima-lima mereka didakwa melakukan pengubahan wang haram dalam bentuk mata wang China bersamaan dengan KD343,700,000 (RM4.95 bilion) dengan mengetahui bahawa ia adalah hasil haram yang digelapkan daripada dana pelaburan Malaysia.

Akhbar itu juga melaporkan bahawa kes berkenaan telah ditangguhkan selama dua tahun sebelum dibuka semula kerana pihak pendakwaan menghadapi halangan mendapatkan maklumat dari luar negara.

Laporan itu tidak menghuraikan mengenai kesukaran tersebut atau siapa yang terlibat, tetapi Sarawak Report berkata ia menunjukkan kurangnya kerjasama daripada Malaysia.

“Sarawak Report dimaklumkan bahawa Kuwait tidak menerima kerjasama yang berguna daripada kerajaan Malaysia sepanjang tempoh ini dalam usaha mengembalikan berbilion-bilion negara yang dicuri.

“Sarawak Report hanya boleh merumuskan bahawa kegagalan Malaysia untuk bertindak berpunca secara langsung kepada hasrat (bekas perdana menteri Najib Razak) dan sekutu BN yang menyokong kerajaan Muhyiddin (Yassin) untuk menutup bukti lebih lanjut tentang rasuah oleh Najib.

“Kekurangan kerjasama ini nampaknya berterusan sehingga hari ini, menyebabkan pihak berkuasa Kuwait meneruskan kes itu tanpa kerjasama Malaysia dan sememangnya tanpa Malaysia membuat tuntutan sewajarnya terhadap wang berkenaan.

“Sememangnya, laporan media Kuwait hari ini (Selasa) menjelaskan bahawa perkara ini berlaku, membawa kepada kegusaran kepada pihak berkuasa Kuwait mengenai 'kegagalan menerima maklumat daripada pihak antarabangsa' (yang bermaksud kurang kerjasama dari Malaysia),” katanya.

Pada tahun 2020, The Wall Street Journal melaporkan bahawa penyiasat Malaysia menemui jejak wang dari China ke sebuah bank China di Kuwait dan seterusnya ke entiti di Kepulauan Cayman yang dikawal oleh Low, dan digunakan untuk membayar hampir AS$1 bilion untuk aset yang dikuasainya di Malaysia untuk membayar hutang-hutang 1MDB.

Urus niaga itu dilakukan dalam mata wang China, Yuan untuk mengelak pemeriksaan daripada pihak berkuasa AS yang sedang menyiasat aktivitinya.

Low menafikan salah laku tersebut, tetapi setakat ini tidak mengulas mengenai laporan WSJ itu.

Tahun lalu, Bachar yang berasal dari Kuwait memberitahu Malaysiakini bahawa dia ada menawarkan diri untuk membantu siasatan SPRM.

Low didakwa menggunakan syarikat Bachar, Al Waseet untuk mengubah  wang. Bachar berkata apabila dia enggan bekerjasama, pegawai Kuwait mendakwa dirinya bersama keluarga dan rakan kongsinya, sehingga memaksa dia melarikan diri dari negara itu ke Perancis.

Bachar berkata dia percaya bahawa dana itu adalah komisen yang diterima Low daripada firma China yang terlibat dalam projek infrastruktur besar di Malaysia.

Ada Pati mahir guna senjata api

Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
PEGAWAI SPRM cuba mengesan individu yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket apabila menyewakan MyKad kepada pendatang haram.
PEGAWAI SPRM cuba mengesan individu yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket apabila menyewakan MyKad kepada pendatang haram.
Kuala Lumpur: Tubuh kurus dan kecil namun tiada siapa menyangka Pendatang Tanpa Izin (Pati) warga Filipina yang ditahan di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis lalu, pernah menjalani latihan ketenteraan, selain mahir menggunakan senjata api.

Lelaki berusia 30-an itu dikesan cuba menyusup masuk ke Semenanjung Malaysia menggunakan MyKad disewa dari sindiket tempatan berpangkalan di Tawau, Sabah.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, hasil soal siasat dilakukan mendapati suspek pernah menjalani latihan ketenteraan selama 44 hari di kem Dankalan, Lamitan City, Filipina.

"Latihan dijalani di kem tentera itu bertujuan melayakkan suspek untuk menjadi anggota keselamatan.

"Bagaimanapun, suspek bertindak menyusup masuk secara haram ke Sabah sebelum meneruskan perjalanan ke Semenanjung Malaysia," katanya.

Menurutnya, kemasukan Pati sebegini dianggap berbahaya dan ancaman keselamatan kepada negara.

"Kemahiran taktikal dimiliki selain mampu menggunakan senjata api boleh menggugat keselamatan jika ia disalah guna untuk tujuan tertentu. Malah, negara sehingga kini masih berwaspada dengan ancaman pengganas Sulu yang pernah menceroboh negara pada tahun 2013 tidak berulang," katanya.

Sementara itu, usaha SPRM membongkar sindiket penyeludupan Pati diteruskan apabila pegawai SPRM berusaha mengesan individu yang dikesan menyewa Mykad mereka kepada sindiket.

Usaha itu dilakukan melalui pemeriksaan di Kampung Air, Semporna, Sabah sejak kelmarin.

Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya Timbalan Pengarah Perisikan (Kawalan Zon) SPRM, Galan Ngadit yang dihubungi berkata, suspek keenam membabitkan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bertugas di Lapangan Terbang Tawau (LTT), Sabah sudah ditahan reman semalam.
SUSPEK pegawai imigresen yang ditahan reman seminggu mulai semalam.

SUSPEK pegawai imigresen yang ditahan reman seminggu mulai semalam.
Harian Metro Jumaat lalu mendedahkan secara eksklusif kejayaan SPRM menahan reman sembilan individu termasuk lima pegawai JIM dalam satu operasi dikenali Ops Lancar kerana disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan Pati di negara ini.

Berdasarkan risikan, lima suspek termasuk dua pegawai JIM wanita yang berusia antara 30 hingga 41 tahun ditahan Khamis lalu.

Turut ditahan tiga wanita tempatan berusia antara 37 hingga 48 tahun dan seorang lelaki warga asing berusia 73 tahun dipercayai dalang sindiket.

Modus operandi sindiket terbabit ialah setiap Pati atau Pemastautin Sementara yang tidak mempunyai dokumen lengkap atau mempunyai sekatan akan membayar sekitar RM2,500 kepada ejen Pati berkenaan jika ingin keluar dari Sabah melalui Lapangan Terbang Tawau.

Sindiket kemudian akan membekalkan MyKad tulen dan pas masuk menaiki pesawat di atas nama pemilik asal MyKad kepada kumpulan Pati yang menggunakan khidmat mereka.

Umno guna logo dacing pada PRN 6 negeri - Zahid Hamidi

Bernama

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan semua calon parti itu akan menggunakan lambang dacing bagi PRN di enam negeri nanti.

Timbalan perdana menteri itu berkata parti-parti lain dalam kerajaan perpaduan pula akan menggunakan lambang pilihan masing-masing bagi calon mereka.

“Namun kita bergerak sebagai satu jentera, jentera kebersamaan antara parti-parti dalam kerajaan perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Masjid Al-Ansar, Kem Sri Pantai, di Kuala Nerus, Terengganu hari ini.

Ditanya mengenai pembahagian kerusi, dia yang juga pengerusi BN berkata Umno bersama parti lain dalam kerajaan perpaduan setakat ini masih belum membincangkan secara formal mengenai perkara itu.

Sementara itu Ahmad Zahid yang juga menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengumumkan Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said dilantik semula sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Katanya pelantikan semula Ahmad yang berkuat kuasa serta merta itu diharap dapat memacu pembangunan di tiga daerah di bawah pentadbiran Ketengah iaitu Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

-Bernama

Maut ketika cuba larikan diri selepas ragut telefon

ADNAN IBRAHIM
 
 
SEORANG lelaki maut apabila kereta Proton Wira yang dinaikinya bersama seorang rakan hilang kawalan dan bertembung dengan Kereta Perodua Axia di Parit Jalil, Batu Pahat.
BATU PAHAT: Tindakan seorang lelaki dan rakannya yang cuba melarikan diri selepas mencuri  telefon bimbit milik pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) bertukar tragedi semalam. 

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang di Jalan Parit Jalil, dekat sini, mangsa berusia 43 tahun dan rakannya berumur 39 tahun yang memandu kereta Proton Wira dikejar oleh pemandu Mazda CX5 yang diragut mereka sebelum itu.

“Sebaik sampai di lokasi kejadian, lelaki yang memandu Mazda CX5 berusia 31 tahun hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang kereta Proton Wira yang dikejarnya.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu kereta Proton Wira dipercayai hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah kereta Perodua Axia dinaiki sepasang suami isteri yang datang dari arah bertentangan,” katanya di sini hari ini.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah  meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala rakannya hanya cedera ringan. 

Pasangan suami isteri itu turut  cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), manakala pemandu Mazda CX5 tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987  dan saksi kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Asma’i Md. Yusuff menerusi talian 013-6550128. – UTUSAN

Orang puasa kita pun puasa

Ronasina

Umum mengetahui, puasa selain daripada salah satu ritual dalam agama besar di dunia ini, ia juga merupakan satu amalan baik dari sudut kesihatan. Kita disuruh berpuasa oleh doktor sebelum kita melakukan sebarang ujian pemeriksaan sama ada mengambil sampel darah atau air kencing. Sebelum menjalani pembedahan juga kita disuruh berpuasa. Makanya secara tidak langsung amalan berpuasa itu hampir semua manusia sedia maklum akannya sama ada dari sudut agama mahupun ilmu kesihatan.

Kebanyakan agama besar memang mempunyai amalan berpuasa mengikut kepercayaan tersendiri tetapi “roh” puasa itu hampir sama iaitu amalan membersihkan rohani untuk lebih mendekatkan diri kepada tuhan. Menahan makan minum adalah manifestasi melepaskan nikmat dan tuntutan dunia untuk diri buat seketika demi menghambakan jiwa kepada Sang Pemberi Rezeki. Begitulah lebih kurang tujuan berpuasa dalam mengamalkan kepercayaan hidup beragama masing-masing. Maksud saya, asas berpuasa untuk kebanyakan agama adalah sama. Kalau makin mendalam lainlah pula penghayatannya. Tetapi asasnya, itulah.

Anehnya “budaya” puasa dalam masyarakat kita hanya berkisar tentang perut dan tekak sahaja. Sejak saya mula berpuasa pada usia kanak-kanak sehingga kini sudah menjangkau separuh abad usia, budaya puasa orang kita hanya tentang makan dan minum meskipun di masjid dan surau atau di televisyen selalu diperingatkan oleh ustaz- ustazah tentang bukan itu tujuan sebenarnya tapi ternyata ia tetap tak jalan. Bila bersahur kita akan memikirkan nak makan apa bila berbuka nanti. Bila moreh (makan juga) kita bertanya pula nak makan apa sahur nanti. Mana pergi “puasa ini untuk mengingatkan kita kepada orang miskin” yang diajar kepada kita itu? Langsung tak berkesan!

Menu berbuka puasa dengan pakej bufetnya, rancangan memasak berserta resipi di kaca TV, juadah di bazar Ramadan terus-terusan menghantui ibadat puasa kita sepanjang hari. Makanya puasa hanyalah sebuah budaya ikut-ikutan. Orang puasa, kita pun puasa. Sepanjang hari berpuasa kepala kita asyik teringat menu apa nak makan nanti. Betul?

Walhal ibadat paling istimewa bagi saya ialah ibadat puasa di bulan Ramadan berbanding ibadat lain dalam lima Rukun Islam yang saya pelajari. Ini kerana amalan puasa ini tidak ada sifat riak ketika membuatnya sebab kebanyakan kita semua sangat suka berpuasa. Tidak ada yang mendabik dada menunjuk-nunjuk akulah berpuasa sebab semua pun berpuasa juga. Yang tak berpuasa atau malas berpuasa pula mencari tempat sunyi untuk makan atau minum sebab malu. Mereka minoriti.

Tak mengapalah tidak mahu puasa, itu hak peribadi! Apa yang saya maksudkan ialah apabila ramai orang melakukan sesuatu ibadat itu bersama maka tidak adalah yang memandang rendah terhadap orang lain. Ada “haji” memandang lekeh orang lain yang belum berkesempatan menunaikan rukun kelima itu. Ada orang merasakan dia lebih alim berbanding orang lain sebab dia rasa dia lebih banyak sembahyang. Tapi untuk rukun ketiga, iaitu berpuasa semua kita setaraf. Engkau lapar, aku pun lapar. Kanak-kanak lapar, orang tua pun lapar. Si lelaki lapar, si perempuan pun sama. Sukar menilai puasa siapa yang lebih baik. Kan?

Sebenarnya untuk saya secara peribadi – puasa sebulan di bulan Ramadan ini adalah suatu latihan untuk diamalkan dengan lebih giat lagi seterusnya selepas itu sehingga datangnya sekali lagi Ramadan. Dari sudut kesihatannya, puasa di bulan Ramadan menyediakan “formula” tentang waktu paling sesuai untuk kita makan dan berapa kali sebenarnya sudah cukup untuk kita makan dan minum dalam sehari itu. Itulah gambaran dibayangkan untuk kita, rupa-rupanya pada bulan lain kita mengambil makanan dan minuman pada waktu yang kita tak perlu pun. Itu hanya untuk bersedap-sedapan sambil menempah penyakit. Jadi, untuk saya menu berbuka puasa cukup sekadar apa yang perlu untuk tubuh, bukan apa yang perlu untuk nafsu. Inilah sebaik-baik diet yang patut diteruskan pada bulan lain. Dua kali makan sahaja sehari dengan menu yang betul-betul baik.

Itu dari sudut amalan pemakanan. Ramadan juga mendidik kita menepati waktu. Bersedia awal di meja makan sementara menunggu waktu berbuka dan berdisiplin makan sahur sebelum waktu imsak adalah latihan mendisiplinkan diri menghargai waktu. Dari sini, saya cuba belajar untuk tidak menyusahkan orang lain apabila kita menepati waktu yang kita janjikan. Ada orang tidak kisah dan tidak berasa salah jika sengaja melanggar waktu yang disepakati bersama. Janji dengan kawan untuk bertemu pada waktu sekian-sekian tetapi dia sengaja datang lambat tanpa ada hal yang membuat dia terhalang daripada sampai tepat waktu. Bagi dia, tidak ada apa-apa walhal dia membuang masa orang lain. Puasa mendisiplinkan saya dengan waktu. Puasa juga dapat mengukuhkan kekeluargaan. Sesibuk mana ahli keluarga dengan rutin hariannya tapi apabila tiba bulan puasa dapatlah semua berkumpul di meja makan sama-sama berbuka puasa. Alangkah bagusnya jika kita dan keluarga kita dapat meneruskannya pada bulan lain.

Ini hanya sebahagian sahaja yang dapat saya nyatakan. Sebenarnya banyak lagi sudut puasa ini boleh dibuka dan diambil pengajarannya untuk diamalkan sebagai gaya hidup tidak hanya pada Ramadan sahaja. Sama-samalah kita cari dan fikirkan. Kesimpulannya, Ramadan adalah bulan latihan untuk kita pelajari disiplinnya buat diamalkan terus-terusan sepanjang masa. Menahan diri daripada membuat masalah kepada orang lain adalah “concern” saya. Menepati waktu, tidak menganiaya orang lain, tidak menjadi toksik sehingga pihak lain terganggu ada diterapkan dalam amalan puasa ini jika kita menghayatinya.

Ia juga mengajak kita mententeramkan diri sendiri dengan menjauhkan diri daripada perkara yang tidak perlu disibukkan terutama hal sensasi di media sosial. Itu lebih mendamaikan. Puasa adalah untuk kedamaian peribadi. Bukan hanya tentang lapar dan dahaga atau tentang makan dan minum, bukan juga fasal lauk-pauk bufet atau tawaran hebat baju raya di pasar raya tetapi sebagai terapi menenangkan jasmani dan rohani yang empunya diri. Jika semua kita jaga diri kita sendiri, amanlah dunia. Tapi itulah kita! Orang puasa kita pun puasa. Makan main belasah, mengacum, mengumpat dan mengutuk tetap jalan. Hisy! Nak cakap pun payah!

Peniaga didakwa perdagang 2 wanita untuk seks Tert

Bernama

Peniaga Muhammad Soleh Abdullah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan memperdagangkan dua wanita warga Indonesia bagi tujuan eksploitasi seks di Bahau, Jempol. (Gambar Bernama)
SEREMBAN: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memperdagangkan dua wanita warga Indonesia bagi tujuan eksploitasi seks di Bahau, Jempol.

Tertuduh Muhammad Soleh Abdullah, 36, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, Soleh bersama seorang lagi yang masih bebas didapati antara Nov 2022 hingga 11 Mac lepas, pada 11.50 malam di Taman Khaya 2 Bahau, Jempol, memperdagangkan seorang wanita berusia 28 tahun bagi eksploitasi seks.

Bagi pertuduhan kedua, dia bersama seorang lagi yang masih bebas antara 2 Mac hingga 11 Mac, pada tempat dan waktu yang sama didapati memperdagangkan seorang lagi wanita berusia, 34, bagi tujuan yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul Hashimi manakala Muhammad Soleh diwakili peguam, M Gobinathan.

Hakim kemudian menetapkan jaminan keseluruhan RM20,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah turut mengarahkan supaya Soleh tidak mengganggu saksi pendakwaan hingga kes selesai dan menetapkan 9 Mei ini bagi sebutan semula kes.

Raih RM1.2 juta hasil seludup PATI, nampak macam miskin

KIM SYAZIE

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar kegiatan haram tiga beradik yang menjadi dalang sindiket penyeludupan ribuan pendatang asing tanpa izin (Pati) ke dalam negara sejak tahun 2018.

Apa yang mengejutkan, hasil risikan badan pencegah rasuah itu mendapati duit diperoleh hasil kegiatan haram itu sama sekali tidak disimpan di dalam bank sebaliknya ia terus dipindahkan ke luar negara.

Tiga beradik wanita itu juga didapati tidak mempunyai simpanan wang dalam jumlah yang besar dalam akaun bank mereka, menurut sumber seperti dilapor Harian Metro.

Suspek yang diberkas SPRM dan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, Khamis lalu dipercayai memindahkan wang diperolehi hasil kegiatan jenayah itu ke negara jiran secara tunai.

“Berlaku transaksi yang amat kerap menunjukkan wang berkenaan sentiasa dikeluarkan dari dalam akaun bank milik suspek.

“Malah, lebih menghairankan ketiga-tiga suspek tidak menunjukkan kemewahan luar biasa walaupun risikan mendapati suspek sudah mengumpul lebih RM1.2 juta hasil dari kegiatan jenayah dilakukan,” katanya.

Menurutnya, suspek hanya mendiami rumah biasa dan tidak menggunakan kenderaan mewah atau memperagakan barang kemas.

“Suspek bergerak menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) model lama Toyota. Ia mungkin digunakan untuk memudahkan pengangkutan Pati. Berdasarkan risikan ramai antara Pati yang berurusan dengannya berasal dari Pulau Basilan dan Pulau Tawi Tawi terletak di selatan Filipina. Mereka menggunakan bot untuk menyusup masuk ke perairan Sabah sebelum berurusan dengan suspek yang menetap di Tawau, Sabah.

“Malah, suspek turut dikesan kerap mengunjungi pulau di selatan Filipina. Ada kemungkinan suspek mempunyai saudara-mara di sana (selatan Filipina) berikutan salah seorang suami suspek adalah warga asing berstatus pelarian,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan, wang keuntungan diperoleh hasil kegiatan itu dipindahkan ke negara jiran untuk membeli aset atau disimpan di sana.

“Ketika ini tiga beradik wanita itu masih ditahan reman sehingga Rabu ini. Soal siasat masih diteruskan terhadap mereka,” katanya.

Harian Metro pada Jumaat lalu mendedahkan secara eksklusif kejayaan SPRM dan JPN membanteras sindiket yang menyeludup pendatang tanpa izin warga Filipina melalui jalan udara dari Sabah ke Semenanjung menerusi Ops Lancar yang dilaksanakan, Khamis lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Ruji Ubi berkata, hasil operasi itu 15 individu dipercayai terbabit dengan jenayah itu ditahan di Kuala Lumpur, Johor dan Tawau, Sabah.

Jomo: Saya nasihat Dr M jadi negarawan tetapi beliau tolak

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Pakar ekonomi, Jomo Kwame Sundaram berkata, Dr Mahathir Mohamad menolak nasihatnya supaya tidak terbabit dalam politik dan menjadi negarawan.

Kira-kira tujuh bulan lalu, katanya, beliau menasihati bekas perdana menteri itu memainkan peranan sebagai negarawan yang dihormati untuk negara membangun.

“Saya menasihati Mahathir, daripada terus terbabit dalam politik Malaysia, beliau patut mengambil peranan negarawan yang dihormati untuk negara membangun.

“Seperti biasa, beliau tolak nasihat saya,” kata Jomo dalam program anjuran Persatuan Oxford dan Cambridge Malaysia.

Selepas gagal mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi dan hilang deposit pada PRU15, Mahathir menyertai Putra yang diterajui Ibrahim Ali sebagai penasihat awal bulan ini.

Pada 19 Mac lalu, Mahathir dilaporkan menuduh kerajaan Anwar Ibrahim bersikap “diktator” selepas dua kali membatalkan program “Proklamasi Orang Melayu”.

PH condong beri BN terajui di 3 negeri pimpinan PAS

Malaysiakini

Pakatan Harapan (PH) lebih condong untuk membiarkan BN menerajui kerajaan negeri di Kelantan, Terengganu dan Kedah sekiranya mereka memenangi pilihan raya negeri akan datang, kata Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.

Menurutnya, calon untuk jawatan menteri besar akan dibincangkan dan diputuskan pada mesyuarat antara parti-parti PH akan datang.

“Itu tidak boleh dinafikan, calon menteri besar di Selangor, Negeri Sembilan dan Ketua Menteri di Pulau Pinang kita akan kekalkan pada penyandang.

“BN tidak banyak kerusi, jadi mereka kena terima hakikat.

“Tetapi calon menteri besar di tiga negeri lain itu mungkin kita akan berunding, kemungkinan ia lebih condong untuk diberi kepada BN,” katanya yang dipetik oleh akhbar Utusan Malaysia, hari ini.

Bagaimanapun, menurut Khalid, kepimpinan PH masih mahu meneliti calon-calon berkenaan dan pemilihan tersebut mesti dibincang dan dirundingkan bersama.

Pilihan raya di enam negeri itu dijangka diadakan pada pertengahan tahun ini.

Ketika ini, PAS menerusi gabungan Perikatan Nasional menerajui kerajaan negeri di Kelantan, Terengganu dan Kedah - manakala PH pula mentadbir di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Pilihan raya negeri akan menjadi ujian sebenar pertama mereka sejak bekas seteru PH, BN bekerjasama berikutan keputusan PRU15.

Menurut Khalid, majoriti penyokong PH menerima alasan mengapa mereka kini bekerjasama dengan BN untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.

“Memang saya rasa kebanyakannya pada peringkat awal, ada rasa begitu, tidak begitu seronok, tetapi sekarang saya lihat ramai sudah memahami kenapa kita bentuk kerajaan bersama dengan BN, kerana kita tiada pilihan lain.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) pun buat perkara yang selari dengan kehendak pengundi. 

“Lawan rasuah dan monopoli kartel, setakat ini pengundi PH boleh terima. Tetapi mahu tengok pengundi Umno boleh sokong PH atau tidak, kita tunggulah,” katanya.

Kelantan: Pukul, sepak, pijak kepala ibu kerana tak dapat RM20

Awani
Pukul, sepak, pijak kepala ibu kerana tak dapat RM20
Seorang anak dipercayai tergamak memukul, memijak, menampar dan menyepak ibu selepas enggan memberikan wang berjumlah RM20 bagi membeli dadah. - Foto Sinar Harian
TANAH MERAH: Seorang anak dipercayai tergamak memukul, memijak, menampar dan menyepak ibu selepas enggan memberikan wang berjumlah RM20 bagi membeli dadah untuk melampiaskan nafsu ketagihannya di Kampung Gual Jedok di sini pada Ahad.

Tindakan itu menyebabkan warga emas berusia 65 tahun mengalami kecederaan bengkak di kepala, dahi dan mata serta sakit pada bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di hadapan pintu rumah mereka.

"Ibu dan anaknya yang berusia 32 tahun itu dikatakan tinggal berdua di rumah tersebut.
"Semasa kejadian suspek telah bertindak menarik, menampar, menendang dan memijak kepala mangsa.

"Kejadian tersebut telah dirakam oleh cucu wanita terbabit yang tinggal bersebelahan dengan rumah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, kejadian itu berpunca daripada keengganan warga emas berkenaan memberikan wang kepada suspek sehingga dia sanggup bertindak luar kawalan.

Ujarnya, sebelum ini juga suspek yang merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sering mengamuk meminta wang dengan mangsa.
Mohd Haki memberitahu, lelaki berkenaan yang merupakan bekas anggota tentera dan telah dibuang kerja pada tahun 2013 serta merupakan anak keempat daripada lima beradik.

"Ekoran daripada kejadian itu mangsa telah alami kecederaan dan mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tanah Merah.

"Suspek telah berjaya ditangkap dan hasil soal siasat awal mendapati dia telah mengaku memukul ibunya kerana tidak memberikan wang yang diminta.

"Hasil ujian air kencing menunjukkan lelaki berkenaan positif methamphetamine dan mempunyai dua rekod lampau berkait dengan dadah," katanya.

Beliau memberitahu, suspek ditahan untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 323/18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian

Tahap korupsi anggota penguatkuasa semakin kronik

Bernama

Tahap korupsi membabitkan anggota penguat kuasa sebagai barisan hadapan keselamatan negara semakin kronik dan membimbangkan, kata Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya.

Ahmad Khusairi berkata situasi kebanjiran pendatang asing tanpa izin, pekerja dan pelajar asing di negara ini dilihat sebagai peluang besar kepada segelintir penguat kuasa yang tidak berintegriti untuk mengambil kesempatan mengambil rasuah.

Katanya tidak kira sama ada pendatang asing berkenaan mempunyai permit kerja, visa pelajar apatah lagi “kosong” tanpa permit dan berstatus pendatang tanpa izin, kumpulan ini sering menjadi sasaran kepada penguat kuasa.

“Inilah hakikat yang berlaku dan mendatangkan imej yang amat buruk kepada Malaysia. Tahap korupsi anggota penguat kuasa selaku barisan hadapan keselamatan negara dilihat semakin kronik dan membimbangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Khusairi slogan “Malaysia Boleh” sering dijadikan sindiran sinis yang membawa pengertian cukup memedihkan yang mana semua perkara boleh diselesaikan dengan membayar rasuah.

“Maka tidak hairan Malaysia menjadi antara tumpuan pekerja asing mendapatkan pekerjaan, pusat transit dadah di rantau Asia Tenggara, pusat penipuan dan pelaburan palsu antarabangsa, judi dalam talian, macau scam, pelacuran antarabangsa dan sebagainya.

"Kita sering menolak dan menidakkan realiti serta mencari pelbagai alasan untuk menafikannya,” katanya.

Ahmad Khusairi berkata komen mengenai gejala rasuah dalam kalangan anggota penguat kuasa yang biasa didengar “ia adalah kejadian terpencil” sudah tidak mampu dijadikan alasan menidakkan realiti bagaimana rakusnya anggota penguat kuasa dalam perkara ini.

Menurutnya, rasuah berlaku dalam setiap inci kehidupan seorang pendatang asing ke negara ini termasuk berkaitan proses permohonan kuota pekerja asing oleh syarikat-syarikat.

“Bagi memperolehi kuota ini, syarikat-syarikat terpaksa membayar rasuah untuk memastikan kelulusan kuota dari segi jumlah pekerja asing yang dibawa masuk,” katanya.

Selain itu, menurut Ahmad Khusairi kegiatan merasuah penguat kuasa juga berlaku di pintu-pintu masuk negara untuk mempercepatkan proses keluar dan masuk bagi pendatang asing yang tinggal melebihi tempoh, terlibat dengan jenayah, disenarai hitam, tidak memenuhi syarat-syarat kemasukan dan sebagainya.

Ahmad Khusairi berkata gejala rasuah juga berlaku dalam kegiatan penyalahgunaan visa-visa pelajar asing bagi tujuan bekerja, berniaga dan terlibat dalam kegiatan tidak bermoral serta melindungi kegiatan pelacuran, rumah urut, perjudian, macau scam yang kebanyakan pekerjanya terdiri daripada warga asing.

“Ini adalah sebahagian daripada kesalahan-kesalahan yang berlaku melibatkan pendatang asing di negara ini. Secara tidak langsung, ia juga mewujudkan ruang dan peluang kepada anggota-anggota penguat kuasa untuk mengutip rasuah secara kecil-kecilan, bulanan mahupun bersindiket,” katanya.

Dia berkata, justeru isu kebanjiran pendatang asing di negara ini tidak boleh dilihat sebagai perkara remeh memandangkan kesannya yang amat buruk kerana ia melibatkan masalah sosial, jenayah, kesihatan dan keselamatan negara.

Ahmad Khusairi berkata pendedahan SPRM menerusi Op Tropicana, Op Bolos KLIA 1 & 2, Op Lancar dan beberapa siri operasi lain membuktikan isu ini serius dan memerlukan tindakan tegas agensi-agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab.