Dana judi: Anwar cabar Muhyiddin supaya teruskan saman

Anwar jawab PN: Silakan, tapi saya tak buat kenyataan tanpa asas
Yasmin Ramlan

Sehari selepas didesak meminta maaf dan diberi kata dua, tidak ada tanda Anwar Ibrahim akan 'melayan' tuntutan dibuat pihak PN berhubung kenyataannya mengaitkan parti itu dengan syarikat judi.

Hari ini perdana menteri bertegas, dia tidak membuat sebarang kenyataan jika ia tidak disertakan "asas".

Pada masa sama Anwar meminta PN membaca dengan teliti kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini.

“Baca kenyataan lengkap (saya) baru ambil tindakan. Tapi kalau dia nak bawa terus (untuk tindakan undang-undang), silakan.

“Saya tak keluar kenyataan kalau saya tiada asas,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu ahli parlimen Tambun itu ditanya mengenai reaksi PAS dan Bersatu berhubung tuntutan mereka yang dia meminta maaf ekoran penjelasan diberi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman di Dewan Rakyat kelmarin.

Kelmarin media melaporkan bahawa Azalina memberitahu parlimen, tiada kertas siasatan dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran kenyataan dibuat Anwar.

Semasa mengadakan sidang media pada Dis tahun lalu Anwar memberi bayangan bahawa ada dana dari syarikat judi disalurkan kepada parti tertentu bagi menghadapi PRU ke-15.

‘Itu poltik murahan’

Menurut Azalina, SPRM tidak dapat mengesahkan dakwaan berkenaan kerana ia dalam bentuk terlalu umum.

Ia mendorong PAS mendesak Anwar membuat permohonan maaf secara terbuka, manakala Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi PN memberitahu pihaknya sedang berbincang dengan peguamnya untuk meneliti kemungkinan mengheret perdana menteri ke mahkamah.

Tidak lama kemudian Azalina mengeluarkan kenyataan, kerajaan tidak pernah menyatakan siasatan kes itu dihentikan, sebaliknya SPRM boleh membuka fail berkaitan pada bila-bila masa.

Dia yang juga ahli parlimen Pengerang menambah, selain SPRM siasatan turut boleh dibuat oleh agensi penguat kuasa lain termasuk polis dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Menurut Anwar siasatan berhubung isu dana berkaitan syarikat judi tersebut diteruskan oleh pelbagai agensi dan tindakan lanjut diambil selepas pihak berkuasa mendapat bukti baru.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pembentangan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) - atau lebih dikenali sebagai RUU 355 - Anwar menyifatkan individu yang membangkitkan isu tersebut sebagai bermain politik murahan.

“RUU355 ni dah tiga tahun. Semasa ada dalam kerajaan dia lupa, apabila dah jadi pembangkang dia bangkit (semula).

“Itu bukan Islam namanya. Itu politik murahan,” katanya yang merujuk kepada ahli parlimen Pendang dari PAS Awang Hashim, yang membangkitkan soalan tersebut dalam jawapan lisan di parlimen beberapa hari lalu.

Dua hari lalu, dalam jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal ehwal agama) Mohd Na'im Mokhtar berkata RUU355 akan dibentangkan bersama Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan).

Katanya, cadangan penggubalan akta baru itu bertujuan untuk memperkasa mahkamah syariah.

Penolong akauntan Kesedar disyaki songlap RM24.8 juta

Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Penolong akauntan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) ditahan dipercayai melakukan pecah amanah sebanyak RM24.8 juta sejak lapan tahun lalu.

Suspek lelaki berusia 37 tahun itu ditahan jam 12.21 tengah malam tadi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, suspek ditahan di rumahnya di bandar Gua Musang dan kini direman tujuh hari bermula hari ini.

Katanya, tangkapan itu dilakukan susulan pihaknya menerima laporan polis petang semalam berkait kehilangan salah laku yang dibuat kakitangan Kesedar.

"Salah laku itu berhubung kehilangan wang kerajaan yang diuruskan oleh Bahagian Kewangan Kesedar melalui Kumpulan Wang Amanah dan Kumpulan Wang Pembangunan dari tempoh Disember 2016 hingga Mei 2023.

"Hasil siasatan awal yang dibuat oleh polis mendapati kejadian salah laku ini dilakukan oleh suspek yang juga penolong akauntan sejak 2016 hingga Mei 2023.

"Suspek membuat pemindahan wang dari akaun Kumpulan Wang Pembangunan dan Kumpulan Wang Amanah milik Kesedar ke akaun syarikat miliknya membabitkan jumlah keseluruhan transaksi adalah sebanyak RM24,800,189.73 meliputi 194 transaksi," katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.

Katanya, suspek yang direman seminggu disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Zahid Hamidi: Hak mutlak PM rombak Jemaah Menteri

FMT Reporters

PUTRAJAYA: Rombakan Jemaah Menteri dalam kerajaan perpaduan adalah hak mutlak dan berdasarkan budi bicara perdana menteri, kata Zahid Hamidi.

“Lazimnya tiada seorang perdana menteri berbincang dalam (mesyuarat) Kabinet untuk melakukan rombakan,” kata timbalan perdana menteri menurut Bernama.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2023 di Putrajaya.

Pada 24 Mei, FMT memetik sumber sebagai berkata, Anwar difahamkan akan merombak Jemaah Menteri selepas PRN, namun terlebih dulu melaksanakan “pembersihan” melibatkan jawatan kanan awam, menurut sumber terdekat PKR.

Sumber yang enggan didedahkan identitinya berkata, Anwar berhasrat menyingkirkan ahli Jemaah Menteri tidak berprestasi, selain berkemungkinan memberi keutamaan pembersihan di beberapa kementerian dengan menukar ketua setiausaha dan ketua pengarahnya.

Bagaimanapun, sumber berkata, melaksanakan perubahan di peringkat kementerian tidak memberi banyak perbezaan, jika pegawai tidak kompeten masih berada dalam perkhidmatan awam.

“Ia merupakan pendekatan dari bawah ke atas. Apa guna menukar menteri kalau anda tidak menukar sistem?” katanya.

Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, dan Terengganu perlu mengadakan PRN yang dijangka berlangsung pada Julai.

Sementara itu, semasa dirujuk mengenai prestasi Jemaah Menteri ketika ini, Zahid berkata, pada pandangannya semua menteri melaksanakan tugas dengan baik.

Annuar Musa: Saya dibuang, Afiq dipilih

HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU - Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa menegaskan situasi dihadapi beliau berbeza dengan nasib yang diterima oleh anaknya, Afiq Amani Annuar di dalam UMNO.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, dia telah dipecat sebagai ahli manakala anaknya pula diberi mandat oleh akar umbi untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh.

"Anak saya... saya boleh arah sahaja. Namun saya tidak begitu, dia (Afiq) Ketua Pemuda UMNO yang dipilih oleh akar umbi dan diberi kebebasan untuk pikul tanggungjawab diberikan oleh ahli.

"Kedudukan dia tidak sama dengan saya. Saya kena buang (UMNO) dan isu itu tidak berbangkit, kalau tarik Afiq baru seorang menyertai UMNO. Keluarga saya ada antara 400 hingga 500 di Cawangan UMNO Cabang Tiga Haji Musa, kawan-kawan rapat ada beribu," katanya semasa sidang akhbar di Kok Lanas di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas menjawab soalan pemberita kenapa tidak menarik Afiq Amani menyertai Pas sebagaimana desakan yang dibuat oleh UMNO Kelantan.

Menurut beliau, prinsip merupakan perkara yang perlu ada dalam berpolitik dan tidak harus menunjukkan kesombongan dalam membuat kenyataan kerana ia melibatkan perkara serius.

Ujarnya, beliau memberikan ruang kebebasan buat Afiq untuk memilih haluan dalam dunia politik.

Bekas Setiausaha UMNO itu berkata, beliau turut menitipkan pesan kepada Afiq untuk terus membantu rakyat.

Annuar memberitahu, politik bukan medan untuk mencari kedudukan.

Sinar Harian pada 20 Mei lalu melaporkan, UMNO Kelantan mencabar Annuar mengajak anak lelakinya yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Ketereh menyertai Pas sebelum berkempen menarik orang lain menyertai parti itu.

Ketua Penerangan, Datuk Zawawi Othman berkata, Annuar akan dilabel gagal jika anak kandung sendiri tidak menyakini tindakan tersebut, apatah lagi orang lain.

PRN: Ezam akan bertanding di Klang

Malaysiakini 

Ezam Mohd Noor mengumumkan akan bertanding di kampung halamannya di Klang pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor tahun ini.

Ezam akan bertanding bagi mewakili Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan menerajui usaha parti itu untuk mencipta nama di Selangor.

"Saya terima keputusan parti untuk memikul tanggungjawab ketuai jentera negeri Selangor dan saya sendiri bertanding di tempat kelahiran saya di Klang dalam PRN Selangor kali ini.

"Mulanya saya keberatan kerana tidak pernah bertanding DUN sebelum ini," kata Ezam.

Ezam dahulunya adalah ahli Umno sebelum mula dikenali sebagai aktivis Reformasi bersama PKR.

Dia meninggalkan PKR dan menyertai semula Umno semasa pentadbiran Najib Razak.

Malah dia dilantik sebagai ahli Dewan Negara tetapi pada 2016, dia meninggalkan Umno buat kali kedua. Selepas dilihat rapat dengan NewGen, dia menyertai PRM.

"Parti melihat keperluan sediakan kepada pengundi satu alternatif saingi dua koalisi besar yang bertembung sekarang.

"Ada yang mengingatkan bersaing menentang dua koalisi besar sedangkan PRM kecil dan risiko kekalahan. Menang,kalah itu soal kecil dalam perjuangan," katanya.

PRM pada asalnya ditubuhkan pada tahun 1955 dan menjadi terkenal sebagai sebahagian daripada gabungan Barisan Sosialis dengan Parti Buruh Malaysia.

Bagaimanapun, ia kehilangan arah susulah penahanan anggotanya di bawah ISA berulang kali pada 1960-an dan 1970-an, sebelum akhirnya bergabung dengan Parti Keadilan Nasional pada 2002 yang membentuk PKR hari ini.

Sekumpulan penentang yang menentang penggabungan itu kemudian menghidupkan semula parti itu melalui cabaran undang-undang.

Bagaimanapun ia tidak mendapat sebarang kekuatan dan semasa pilihan raya umum baru-baru ini. Ezam adalah antara 16 calon PRM untuk parlimen, yang kesemuanya kehilangan deposit pertandingan.

Lelaki maut ibaham 40 buaya

AFP
Phnom Penh: Lelaki maut dipercayai dibaham 40 buaya selepas terjatuh ke dalam kandang reptilia itu di ladang milik keluarganya, pada Jumaat, kata polis.

Lelaki berusia 72 tahun itu cuba mengeluarkan seekor buaya dari sangkar tempat ia bertelur, namun reptilia itu mencengkam kayu yang digunakannya dan menarik warga emas itu ke dalam kandang.

Kumpulan reptilia itu kemudian mengepung lelaki terbabit, dan mengoyakkan tubuhnya menyebabkan kandang konkrit di sebuah ladang di Siem Reap itu dipenuhi darah.

"Ketika dia cuba mengeluarkan seekor buaya yang sedang bertelur dari sangkar, buaya itu menyerang kayu dipegang menyebabkan dia terjatuh ke dalam kandang itu," kata Ketua Polis Siem Reap Mey Savry kepada AFP.

"Kemudian buaya lain menerkam, dan menyerangnya sehingga dia mati," katanya sambil menambah mayat lelaki itu dipenuhi kesan gigitan.

Katanya, sebelah tangan lelaki itu putus dan ditelan buaya.

Pada 2019, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dibunuh dan dimakan buaya ketika merayau-rayau di ladang reptilia keluarganya di kampung sama, kata ketua polis.

Terdapat beberapa ladang buaya di sekitar Siem Reap, bandar pintu masuk ke Angkor Wat.

Reptilia itu dipelihara untuk telur, kulit dan dagingnya serta penjualan anak buaya.
-hmetro 

Aziz Bari nafi pernah cuba jatuhkan Peja sebagai MB Perak

Martin Vengadesan

Pemimpin DAP Perak Abdul Aziz Bari menafikan dakwaan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu bahawa DAP cuba menjatuhkannya semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan selepas menang pilihan raya 2018.

Aziz memberitahu Malaysiakini bahawa Ahmad Faizal, lebih dikenali sebagai Peja, sedang memutarkan naratif palsu apabila mendakwa dia cuba menjatuhkannya dan bertindak mengikut arahan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.

“Nga tidak pernah meminta saya menjatuhkan Peja sebagai MB Perak. Sebaliknya Nga meminta saya kekal sebagai pemain pasukan di bawah Peja.

“Perkataan yang sama kepada saya oleh (setiausaha agung DAP ketika itu) Lim Guan Eng yang memberitahu saya Peja beberapa kali berjumpa untuk membincangkan perkembangan di Perak.

“Jadi Lim dan Nga tidak pernah meminta saya menjatuhkan Peja,” kata Aziz.

Ahmad Faizal adalah menteri besar di Perak ketika pentadbiran PH namun berpaling tadah semasa Langkah Sheraton. Dia akhirnya digulingkan oleh Umno dalam gabungan baru.

Namun Ahmad Faizal dalam temu bual baru-baru ini mendakwa bahawa di Perak Aziz cuba menjatuhkannya ketika itu.

Aziz berkata dakwaan itu percubaan Peja memutar belit naratif.

“Malah pada bulan-bulan apabila khabar angin dan laporan mula tersebar, saya meminta pegawai saya untuk membuat temu janji dengan Peja.

“Tujuannya adalah untuk memadamkan khabar angin dan saya mencadangkan agar MB (Ahmad Faizal) dan saya mengadakan sidang akhbar bersama-sama.

“Tetapi Peja tidak pernah menjawab. Sebaliknya dia membenarkan khabar angin itu tersebar dan dia sendiri bercakap mengenainya dalam video semasa kempen di Tanjung Piai,” kata Aziz.

Kerajaan Perak yang diterajui oleh Ahmad Faizal adalah 'unik' dalam erti kata bahawa DAP mempunyai wakil rakyat yang lebih ramai berbanding Bersatu, dan Aziz Bari sebagai tokoh Melayu DAP di Perak, mungkin kelihatan menjadi saingan ketika itu.

Aziz mendakwa Ahmad Faizal tidak yakin dengan kedudukannya dan ini mungkin berlanjutan sehingga menghalangnya daripada berfungsi sebagai Exco negeri dengan berkesan

“Saya diberi portfolio pendidikan, persekitaran dan maklumat, antara lain.

“Sejurus selepas pengumuman portfolio saya pergi berjumpa dia untuk membincangkan bagaimana portfolio ini harus berfungsi.

"Tetapi dia bukan membantu saya, sebaliknya mengambil portfolio itu tanpa memberitahu saya," kata Aziz.

“Saya tidak tahu kenapa Peja tidak sukakan saya, saya tidak mengenalinya, malah saya tidak pernah berjumpa sebelum menjadi exco pada Mei 2018.

“Berkenaan dengan tuduhannya bahawa saya mahu menjatuhkannya, saya ingin menyatakan dengan tegas bahawa saya tidak pernah melakukannya seperti yang dirancang atau sebagainya.

"Saya tahu pemilihan MB adalah urusan parti dan parti yang menentukan," kata Aziz.

Katanya, Ahmad Faizal seolah-olah lupa bahawa Umno yang menjatuhkannya dan bukannya DAP.

Gempar! 12 orang cedera akibat penumpang buka pintu kecemasan pesawat

WAN SITI AMINAH

Kira-kira 200 penumpang berdepan detik cemas setelah seorang lelaki bertindak membuka pintu kecemasan pesawat sebelum mendarat.

Difahamkan, ketika kejadian berlaku, pesawat tersebut sedang terbang di udara pada ketinggian 700 kaki dengan kelajuan 334 kilometer sejam.

Satu tindakan berani mati, lelaki itu membuka pintu kecemasan tersebut secara manual dalam waktu dua minit sebelum pesawat mendarat.

Akibat daripada kejadian yang mengejutkan itu, beberapa orang penumpang didapati berdepan dengan kesukaran untuk bernafas.

Malah, seramai 12 orang mangsa terpaksa dikejarkan ke hospital sejurus sahaja pesawat mendarat kerana mengalami kecederaan ringan.

Un pasajero de un avión de Asiana Airlines abrió una puerta de salida de emergencia en pleno vuelo, antes de aterrizar en Corea del Sur. Doce pasajeros fueron hospitalizados con dificultades respiratorias. pic.twitter.com/slR1LRPIpV

— ☛ Momentos Virales ☛ (@momentoviral) May 26, 2023

Jurucakap Asiana Airlines berkata, ketika pintu dibuka, pesawat sedang menghampiri landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Daegu, Korea Selatan.

Menurutnya, lelaki yang berusia 30-an itu bakal dikenakan tindakan kerana melakukan kesalahan yang melanggar undang-undang.

“Seorang penumpang yang duduk berhampiran pintu kecemasan bertindak membuka pintu secara manual dengan menyentuh tuil.


“Mana-mana individu yang membuka pintu pesawat tanpa kebenaran boleh dihukum penjara maksimum sehingga 10 tahun,” katanya.

Untungnya, pesawat itu selamat mendarat dan lelaki berkenaan terus ditahan pihak berkuasa untuk disoal siasat.

Waspada fitnah ciptaan AI perdaya pengundi menjelang pilihan raya

Chia Wan Rou

PETALING JAYA: Kemungkinan kecerdasan buatan (AI) diguna untuk menghasilkan bahan palsu ‘realistik’ untuk disebar di media sosial ketika pilihan raya patut diambil serius oleh pihak berkuasa, kata penganalisis.

Sungguhpun penyebaran maklumat palsu sebegitu tidak dijangka berlaku semasa PRN enam negeri tidak lama lagi, risiko AI diguna untuk propaganda fitnah semasa pilihan raya di masa depan tidak boleh diremehkan, kata Harris Zainul, penganalisis kanan di Institut Strategik dan Pengajian Antarabangsa (ISIS).

Beliau berkata kos tinggi dan masa suntuk menyebabkan sukar untuk sesiapa menggunakan AI bagi tujuan kempen pada PRN berkenaan.

Harris berkata semua pihak harus peka isu penggunaan AI, yang mencetuskan perbincangan meluas dalam kalangan pakar teknologi dan ahli politik negara kuasa besar misalnya Amerika Syarikat yang baru-baru ini mengadakan pendengaran senat bagi membincangkan risiko menjelang pilihan raya.

Sungguhpun di Malaysia para penyelidik dan pemerhati belum temui bukti kukuh masyarakat tempatan ‘disuap’ propaganda ciptaan AI, namun semua pihak wajar berwaspada.

“Perkara yang perlu diberi perhatian adalah imej, video, dan audio yang dimanipulasi oleh AI. Ada pepatah mengatakan ‘seeing is believing’ dan dalam persekitaran maklumat yang kacau-bilau semasa tempoh pilihan raya, pengundi mungkin terpengaruh oleh imej, video, dan audio yang telah dimanipulasi,” katanya kepada FMT.

Harris berkata perbincangan mengenai perkara itu telah berlangsung di Malaysia, dan beliau menulis mengenai topik teknologi baharu dan ancaman yang mungkin timbul terhadap demokrasi sejak awal 2019 lagi.

“Kebimbangan saya berkaitan dua perkara. Pertama, teknologi ini digunapakai dengan cepat dan secara senyap tanpa rangka kerja pengawalseliaan, tanpa ketelusan, dan tanpa hukuman yang memadai bagi mereka yang menyebarkan ‘disinformation’,” katanya.

“Disinformation” ialah maklumat palsu yang sengaja dibuat untuk memperdaya, lazimnya untuk menggugat sesuatu atau seseorang. Ia berbeza dengan “misinformation”, iaitu maklumat yang mengandungi fakta yang salah.

“Pada masa sama, saya juga bimbang kemungkinan usaha untuk mewujudkan undang-undang secara tergesa-gesa dapat membawa kepada kesan tidak diingini seperti meningkatkan risiko ‘censorship’ (penapisan) dan mengehadkan kebebasan bersuara.”

Mengimbangi keselamatan dan kebebasan

Menangani ancaman ini, Harris berkata kerajaan perlu mengambil pendekatan berhati-hati dan teliti apabila menggubal atau meminda undang-undang berkaitan.

Beliau berkata penggubal undang-undang harus mengimbangi pengawalan yang sah bagi membanteras “disinformation” – baik berunsur politik mahupun yang lain – dan memelihara kebebasan bersuara.

“Kebebasan bersuara, terutamanya dalam politik, merupakan asas demokrasi,” tegasnya.

Ditanya sama ada pilihan raya masa depan bakal menyaksikan bot dikerah secara meluas berbanding laskar siber, Harris percaya bot tidak akan menggantikan akaun manusia “dalam masa terdekat”.

“Alasan utamanya kos untuk mencipta bot yang boleh beroperasi secara berautonomi dan mencipta serta bertindak balas kepada topik politik dengan cara yang ‘cohesive’ (berjalinan). Kos bot berteknologi tinggi ini pada masa ini masih agak tinggi berbanding kos mengupah individu untuk mengendalikan akaun ‘palsu’,” katanya.

Buat masa ini, Harris percaya teknologi model bahasa yang dipandu AI, seperti ChatGPT, akan meningkatkan kecekapan ejen politik mencipta propaganda.

“Ini dapat membantu memudahkan pembuatan kandungan politik yang baharu dan akhirnya dapat membanjiri persekitaran maklumat,” katanya.

“Ini mungkin termasuk penyebaran ‘misinformation’ dan ‘disinformation’.”

Wanita hamil ditemukan terbakar mati akibat tikaman di dada

FMT Reporters

PETALING JAYA: Wanita hamil empat bulan yang mayatnya ditemui dalam keadaan terbakar di kawasan belukar kebun kelapa sawit di Sungai Besar pada Selasa meninggal dunia akibat luka tikaman di dada.

Menurut Ketua Polis Sabak Bernam Agus Salim Mohd Alias berkata, punca kematian wanita itu diputuskan hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sungai Buloh semalam.

“Sebab kematian mangsa adalah kerana luka tikaman di dada pada badan yang melecur,” katanya, lapor Buletin TV3.

Dilaporkan sebelum ini bahawa satu mayat wanita ditemukan susulan kepulan asap di tepi kebun berhampiran kandang lembu.

Susulan itu, polis menahan seorang suspek berusia 20 tahun, dipercayai kekasih wanita itu, pada Selasa di Sungai Besar.

Dia didakwa menikam mati kekasihnya yang hamil, selain menoreh bahagian perut lalu membakar mayat mangsa.

Mangsa dipercayai dibunuh disebabkan perselisihan faham untuk merahsiakan kehamilan luar nikah.

Suspek telah direman hingga 29 Mei dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, jenazah wanita berusia 21 tahun telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nelayan pada 8.25 malam tadi, diiringi ribuan orang termasuk ahli keluarga, sahabat, jiran dan penduduk kampung.

Wanita bogel ganggu tarian kebudayaan Bali

KOSMO!
Wanita berkenaan naik ke atas pentas tarian sebelum cuba meniru aksi tarian kumpulan penari. – Instagram
JAKARTA – Satu pertunjukan tarian kebudayaan di Pulau Bali bertukar kecoh apabila seorang wanita warganegara asing muncul dalam keadaan bogel dan mengganggu persembahan, lapor laman berita Detik semalam.

“Insiden wanita asing berbogel itu berlaku di pentas Puri Saraswati Ubud milik Tjokorda Ngurah Suyadnya atau Cok Wah,” kata Ketua Bahagian Perhubungan Masyarakat Polis Bali, Stefanus Satake Bayu Setianto.

Berdasarkan video yang dikongsikan di media sosial, wanita tersebut dilihat berjalan masuk dan merosakkan pintu pentas sebelum cuba meniru aksi tarian kumpulan penari.

Aksi tidak senonoh itu dihalang oleh penjaga pentas sebelum dia dibawa keluar dari kawasan tersebut.

Menurut polis, kejadian berlaku Isnin lalu sekitar pukul 8 malam (waktu tempatan).

Identiti wanita berkenaan dikenal pasti sebagai Darja Tuschinski, 28, yang merupakan pelancong dari Jerman.

Sementara itu, laman berita Merdeka melaporkan, polis Ubud menahan wanita berkenaan dengan  dia disahkan menghidap sakit mental.

“Warga asing tersebut mengalami gangguan jiwa atau depresi. Dia kehabisan wang untuk terus menetap di Bali,” kata Stefanus. – AGENSI

Mangsa scam dirogol, dipukul dengan besi panas

NAZRIN ZULKAFLI
Lina ketika berkongsi cerita dalam program Bilik Gelap: Kisah Di Sebalik Cerita episod satu yang bertajuk 'Nyawa Jadi Taruhan' anjuran Sinar Harian pada Jumaat.
Lina ketika berkongsi cerita dalam program Bilik Gelap: Kisah Di Sebalik Cerita episod satu yang bertajuk 'Nyawa Jadi Taruhan' anjuran Sinar Harian pada Jumaat.

SHAH ALAM - Perasaan gembira apabila ditawarkan pekerjaan dengan gaji belasan ribu akhirnya bertukar menjadi peristiwa ngeri.

Mangsa scam pekerjaan, Lina bukan nama sebenar, 25, berkata, dia teruja menerima tawaran itu selepas ditawarkan empat kali selain faedah yang diterima sangat menarik.

Bagaimanapun, dia terpaksa merahsiakan pekerjaan tersebut daripada pengetahuan keluarga.

"Dulu saya pernah bekerja di Singapura tetapi diberhentikan akibat pandemik Covid-19. Saya cuba cari kerja lain dan waktu itu memang susah sehingga saya putuskan untuk balik ke Malaysia.

"Satu benda yang buat saya teruja terima kerja itu bila kawan sendiri beritahu gaji yang saya akan dapat belasan ribu sebulan. Itu tak termasuk komisen.

“Kos penerbangan saya, visa, penginapan semua ditanggung. Bila dengar macam itu, saya pun terima,” katanya ketika berkongsi cerita dalam program Bilik Gelap: Kisah Di Sebalik Cerita episod satu yang bertajuk 'Nyawa Jadi Taruhan' anjuran Sinar Harian pada Jumaat.

Kongsi Lina lagi, setelah berjaya melalui proses temu duga, dia diarahkan untuk pergi ke sebuah negara seperti yang diberitahu rakannya.

Setibanya di sana, kata Lina, dia dibawa ke satu bangunan besar, selain dipisahkan dengan rakannya dan diarahkan untuk terus memulakan kerja serta merta.

Ujar Lina lagi, dia dikerah dan tidak mempunyai rehat serta sukar untuk meminta kebenaran pergi ke tandas dan makan.

“Saya diajar cara untuk lakukan pemindahan duit dan selepas itu saya kena pindahkan duit dari akaun Malaysia ke negara lain. Kalau tidak akaun bank tersebut akan disekat.

“Pada hari pertama saya dalam latihan, saya memang rasa tidak kena. Masa itu tidak boleh nak buat apa, jadi teruskan kerja.

“Memang fikiran saya setiap hari nak keluar dari tempat itu. Tetapi memang susah sebab saya macam dijaga. Ada mata-mata yang perhati,” ujarnya.

Tambah Lina, keadaan semakin teruk sehingga dia nekad untuk lari namun tindakan itu dikesan oleh pihak tersebut.

"Akibatnya, saya diletakkan di dalam bilik gelap yang dipenuhi tikus selama dua hari selain hanya diberikan nasi serta kuah sahaja. Saya diberikan amaran supaya tidak melakukannya lagi," katanya.

Tertekan dengan keadaan itu, dia sekali lagi mengambil keputusan meminta bantuan daripada seseorang yang dia percayai.

"Namun nasib tidak menyebelahi saya apabila individu itu merupakan pengintip atau mata-mata bos. Saya diseksa, dipukul dengan besi panas selain dirogol.

"Ketika itu saya rasakan peluang untuk hidup tipis. Mereka kata kalau saya keluar dari bilik itu, saya perlu bayar RM50,000. Mana saya ada duit.

“Sehinggalah suatu malam, saya keluar senyap-senyap dan nampak kawan. Saya berjaya (keluar)selepas tentera selamatkan. Rupanya sudah 37 hari saya berada di situ. Alhamdulillah, saya bersyukur dapat jumpa semula keluarga," ujarnya.

Lina turut menasihati orang ramai supaya tidak terlalu mudah percaya dengan ajakan orang atau iklan yang disiarkan di media sosial.

“Kalau nak, siasat dulu betul atau tidak. Nak patah balik (keluar) itu memang susah,” ujarnya.

Mahkamah: Pegawai jabatan air terima rasuah RM1 juta setahun

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang bekas kakitangan Jabatan Air Negeri Sabah memberitahu Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu bahawa kontraktor di Beaufort memberi rasuah kepada pegawai hampir RM1 juta setahun untuk mendapatkan kontrak.

Suhaimi Asbullah, yang bertugas di Beaufort sebagai jurutera ketika itu, memberitahu kontraktor memberi rasuah dalam bentuk menerusi “skim sumbangan”.

Rasuah berjumlah RM800,000 hingga RM1 juta dibayar kontraktor untuk mendapatkan 40 hingga 50 kontrak setahun.

Menurut The Borneo Post, Suhaimi memberitahu, jabatan di Beaufort menerima hingga 40% lebih banyak peruntukan selepas “skim sumbangan” diperkenal.

Suhaimi berkata, kontraktor di Beaufort tidak membantah skim itu kerana mereka mendapat manfaat daripadanya.

“Mereka akan terus mendapatkan projek tanpa melalui proses tender terbuka,” katanya dalam perbicaraan rasuah Jabatan Air Negeri Sabah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Suhaimi berkata, wang daripada kontraktor tersebut biasanya diberikan kepada seorang lelaki yang hanya dirujuk sebagai “Teo”.

“Biasanya, ia akan dihantar rumah Teo. Saya tahu di mana tetapi saya tidak pasti alamatnya,” katanya yang memberitahu wang itu diletakkan dalam beg.

Bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Ag Mohd Tahir Ag Mohd Talib, 58, sedang dibicarakan bersama isterinya, Fauziah Piut, 55, dan bekas timbalan pengarah jabatan tersebut, Lim Lam Beng, 66.

Ketiga-tiga mereka pada 29 Dis 2016 mengaku tidak bersalah atas 37 pertuduhan pengubahan wang RM61.57 juta.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah dan Mahadi Abdul Jumaat, manakala Tahir dan Fauziah diwakili oleh Priskila Akwila Sinem dan Fareez Salleh.

Lim diwakili oleh Tan Hock Chuan, Baldev Singh, Karpaljit Singh, dan Calvin Wong.

Perbicaraan itu ditangguhkan sehingga 20 Jun.

Thailand gagalkan cubaan seludup 1.2 tan dadah ke Malaysia

Bernama

SONGKHLA: Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Thailand (ONCB) berjaya merampas 1.2 tan dadah jenis methamphetamine yang mahu diseludup masuk ke negara ini.

Dadah berkenaan yang dianggar bernilai RM15.8 juta itu dirampas di Songkhla, selatan Thailand, hari ini.

Setiausaha Agung Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Thailand (ONCB), Wichai Chaimongkol, berkata dadah itu dirampas di sebuah rumah dijadikan stor penyimpanan.

Selain itu, beliau berkata, sebahagian dadah juga ditemukan dalam dua buah pikap parkir di pekarangan rumah.

“Ini merupakan rampasan terbesar pada tahun ini. Siasatan awal mendapati dadah itu dipercayai akan diseludup ke Malaysia,” katanya.

Beliau menambah, ketibaan pasukan ONCB disedari sindiket itu dan mereka berjaya meloloskan diri.

“Kami berjaya merampas dua buah kereta dan sebuah motosikal,” katanya.

Dana judi: Jangan cepat sangat nak saman SPRM boleh buka fail bila-bila masa

Malaysiakini 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman berkata dia tidak pernah menyatakan siasatan isu pendanaan pilihan raya daripada syarikat perjudian sudah ditamatkan atau digugurkan.

Sebaliknya kata ahli parlimen Pengerang itu, jawapan tersebut - yang dibuatnya di Dewan Rakyat semalam - hanya memaklumkan tiada fail siasatan dibuka.

"Dalam hal ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan yang bebas dan berkecuali tentu sekali akan dan berhak menjalankan siasatan berkaitan dan membuka fail siasatan sebagaimana perlu mengikut Akta SPRM atau mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa berdasarkan kepada maklumat dan bukti yang diperolehi dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam media melaporkan SPRM tidak dapat mengesahkan dakwaan bahawa PN menggunakan dana daripada syarikat perjudian untuk membantu membiayai kempen mereka pada PRU tahun lepas.

Katanya SPRM telah menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan itu.

"Bagaimanapun, SPRM mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu ini.

"Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahmad Fadhli Shaari di Dewan Rakyat.

Ekoran kenyataan itu PAS - salah satu parti komponen PN - hari ini mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim membuat permohonan maaf secara terbuka kerana membuat kenyataan berkaitan isu itu pada Dis tahun lalu.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pula sedang berbincang dengan peguam untuk melihat kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Anwar.

Azalina berkata selain SPRM ada agensi penguat kuasa lain yang boleh menjalankan tugas menjalan siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

Antaranya kata Azalina, ialah polis dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

"Undang-undang Malaysia tidak mempunyai sebarang had masa (time limit) untuk memulakan sebarang tindakan ke atas mana-mana kes jenayah," katanya.

Dia turut menegaskan agar semua pihak menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan tidak membuat kenyataan melulu ekoran kenyataan dibuatnya di parlimen.

"Tidak wajar untuk mana-mana pihak untuk mempolitikkan atau memutarbelitkan jawapan yang saya berikan kepada ahli parlimen Pasir Mas dalam Dewan Rakyat berhubung dengan isu ini mahupun membuat tuduhan tidak berasas kepada perdana menteri," katanya.

Ramasamy tidak minta maaf kepada Zakir Naik kerana panggil 'syaitan'

Faris Fuad
am@hmetro.com.my
RAMASAMY hadir pada perbicaraan saman fitnah Zakir Naik di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
RAMASAMY hadir pada perbicaraan saman fitnah Zakir Naik di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Kuala Lumpur: Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II Dr P Ramasamy memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini bahawa beliau tidak memohon maaf kepada Dr Zakir Naik, kerana memanggil pendakwah itu sebagai 'syaitan' menerusi Facebook.

Ramasamy ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Zakir, Datuk Akberdin Abdul Kader, berkata sebaliknya permohonan maaf itu dibuat kepada orang awam selepas merasakan perkataan yang digunakan terhadap pendakwah itu tidak sesuai.

Akberdin: Siapa sepatutnya menerima permohonan maaf itu? Kamu panggil plaintif (Zakir) dengan perkataan itu dan permohonan maaf untuknya?

Ramasamy: Tidak (permohonan maaf bukan untuk Zakir). Saya sedar bahawa perkataan itu tidak sesuai untuk Zakir, maka saya mohon maaf kerana menggunakan perkataaan itu.

Akberdin: Kamu perlu realistik ketika memohon maaf. Kamu panggil Zakir dengan perkataan itu, namun sekarang kamu kata permohonan maaf untuk orang awam. Kamu tidak memanggil orang awam dengan perkataan itu, maka permohonan maaf kepada Zakir?

Ramasamy: Saya tidak mohon maaf kepadanya (Zakir).

Akberdin: Kamu tahu apa maksud logik? Ini tidak masuk akal?

Ramasamy: Saya minta maaf kepada orang awam kerana kenyataan (panggil Zakir 'syaitan') tidak sesuai. (Kenyataan di Facebook itu) dipadam, saya mohon maaf dan menyesal.

Pada Oktober dan Disember 2019, Zakir memfailkan dua saman berasingan mendakwa Ramasamy mengeluarkan lima kenyataan memfitnahnya.

Dalam pernyataan tuntutan, beliau mendakwa Ramasamy memfitnahnya pada 10 April 2016, dengan memanggilnya 'syaitan' dalam laman Facebook.

Zakir yang bertaraf Penduduk Tetap, berkata Ramasamy memfitnahnya dalam satu lagi kenyataan disiarkan portal berita pada 1 Oktober 2017, dengan mendakwa Malaysia melindungi apa didakwanya sebagai pelarian dari India.

Beliau juga mendakwa pada 11 Ogos 2019, Ramasamy memanipulasi ucapannya dibuat pada satu majlis dianjurkan Kerajaan Kelantan, diterbitkan portal berita, pada hari sama.

Pada 20 Ogos 2019, Ramasamy sekali lagi dikatakan memfitnah Zakir dalam kenyataan mengandungi kebencian.

Saman kedua Zakir dibuat kerana mendakwa Ramasamy memfitnahnya apabila mengulas berhubung kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang disiarkan portal berita, 8 November 2019.

Ketika Akberdin mencadangkan bahawa Ramasamy tidak bersikap jujur dalam memberikan jawapan, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II itu menegaskan sekali lagi bahawa beliau tidak memohon maaf kepada Zakir.

Akberdin: Maka kamu tidak bersetuju apa kamu cakap ini tidak masuk akal?

Ramasamy: Saya tidak setuju.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Hayatul Akmal Abdul Aziz, bersambung 16 Jun ini.

Pengasas tahfiz kini berdepan 11 tuduhan jenayah seksual

FMT Reporters

Pengasas tahfiz warga Singapura tidak dibenarkan ikat jamin dengan sebutan kes ditetapkan pada 19 Jun.
PETALING JAYA: Pengasas pusat tahfiz warga Singapura kini berdepan 11 pertuduhan jenayah seksual terhadap pelajarnya selepas tiga tuduhan baharu dikenakan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh.

Tertuduh, Muhammad Firdaous Abdul Rashif, 40, didakwa melakukan jenayah seksual terhadap seorang pelajar lelaki pada 2018 dan 2019.

Terdahulu, dia didakwa atas lima dan tiga pertuduhan masing-masing di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh dan Alor Gajah.

Menurut Harian Metro, bapa kepada enam cahaya mata itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal secara luar tabii terhadap remaja lelaki berusia 15 tahun ketika kejadian.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Klebang 8, di sini, pada 13 dan 28 Julai 2018, antara 11 malam hingga 12 tengah malam dan 2 pagi hingga 6 pagi.

Pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa mengulangi kesalahan amang seksual fizikal secara luar tabii terhadap remaja berusia 16 tahun ketika kejadian.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Madrasah Al-Islah, Tanjung Minyak pada 18 Januari 2019, kira-kira 9 pagi.

Semua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Terdahulu, tertuduh yang beristeri dua itu gagal mendapatkan jaminan melalui peguamnya, Fahmy Sulaiman selepas dibantah Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin atas pelbagai alasan termasuk kebimbangan tertuduh melarikan diri memandangkan dia warga Singapura serta keseriusan kesalahan itu.

Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak mahkamah tidak membenarkan tertuduh dijamin dan sebutan kes ditetapkan pada 19 Jun.

MDB dakwa Najib tak dedah kesemua aset miliknya kepada mahkamah

Hidir Reduan Abdul Rashid

Bekas perdana menteri, Najib Razak didakwa membuat pendedahan separa mengenai aset kepunyaannya dalam perbicaraan kes saman 1MDB terhadapnya.

Menurut afidavit yang difailkan oleh Pengerusi 1MDB, Johan Mahmood, Najib mengisytiharkan RM1,010,258.62 dalam akaun banknya dan jumlah itu tidak termasuk wang tunai RM114 juta yang dikembalikan oleh mahkamah terhadapnya pada 2021.

Wang sebanyak RM114 juta itu dikembalikan kepada Najib berikutan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan kerajaan Malaysia untuk pelucuthakkan wang tunai tersebut.

Afidavit Johan juga menyatakan terdapat percanggahan antara aset yang diisytiharkan Najib dan yang diidedahkan untuk saman berasingan yang dikemukakan oleh SRC International Sdn Bhd.

Sebaliknya Najib membuat pemfailan di mahkamah dengan mendakwa dia hanya mempunyai aset bernilai RM4.49 juta.

Najib diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk mengiytiharkan asetnya apabila 1MDB memperoleh Injunksi Mareva untuk menghalang bekas perdana menteri itu daripada melupuskan aset sebanyak AS$681 juta.

1MDB dan SRC menyaman Najib atas dakwaan menipu entiti itu, yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF). Kedua-dua syarikat itu ditubuhkan semasa Najib menjadi menteri kewangan.

Dalam afidavitnya, Johan mendakwa Najib hanya mendedahkan asetnya dari tempoh 2011 hingga 2020.

“Tiada pendedahan berkenaan aset-asetnya pada 2021 dan sehingga 14 Mac 2022.

"DSNR tidak mendedahkan sebarang aset di luar bidang kuasa," kata Johan.

Hari ini pada mulanya ditetapkan untuk mendengar permohonan Najib untuk menarik balik Injunksi Mareva terhadapnya.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Najib Muhammad Shafee Abdullah untuk menangguhkan perbicaraan kepada 14 Mei, supaya pasukan peguam bekas perdana menteri itu boleh menyediakan jawapan kepada afidavit Johan.

1MDB dan empat anak syarikatnya menyaman Najib dan beberapa defendan lain sebanyak RM23 bilion.

Empat anak syarikat dana itu ialah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, dan Global Diversified Investment Company Limited yang berpangkalan di British Virgin Islands (sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited).

1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International menegemukakan 22 saman sivil pada 2021, menyasarkan mereka yang didakwa menipu dua entiti milik kerajaan itu, sama ada secara sedar atau tidak.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun berhubung kes rasuah membabitkan RM42 juta dana daripada SRC International, yang pernah menjadi anak syarikat 1MDB.

Pusat urut ‘gay’ warga asing diserbu, 6 lelaki diberkas

FMT Reporters
Jabatan Imigresen berkata, tukang urut yang ditahan itu terdiri lima lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga Myanmar berusia 26 hingga 38 tahun. (Gambar Jabatan Imigresen)
PETALING JAYA: Jabatan Imigresen menyerbu sebuah pusat urut dan menahan enam lelaki warga asing kerana disyaki menawarkan perkhidmatan seks songsang di sebuah premis di Kuala Lumpur, pada Selasa.

Ketua Pengarah Imigresen Ruslin Jusoh, berkata dalam serbuan kira-kira 7.15 malam itu pihaknya turut menahan tujuh pelanggan lelaki tempatan di premis dua tingkat tersebut.

“Warga asing yang ditahan terdiri lima orang lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga Myanmar berusia antara 26 hingga 38 tahun.

“Seorang lelaki Indonesia tersebut adalah penjaga atau ‘Daddy’ kepada semua tukang urut. Selain khidmat urutan, mereka juga menawarkan perkhidmatan seks songsang kepada pelanggan lelaki,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kumpulan itu dipercayai mula beroperasi sejak tahun lalu dan modus operandi mereka ialah mengiklankan pakej urutan khas untuk lelaki di laman sosial, WhatsApp, dan Telegram.

“Pelanggan yang berminat akan menghubungi nombor telefon yang dinyatakan sebelum diberikan gambar seksi tukang urut lelaki bagi membuat pilihan.

“Bayaran bagi mendapatkan perkhidmatan urut adalah antara RM200 hingga RM300 untuk tempoh satu jam bergantung kepada ‘pakej’ yang dipilih oleh pelanggan. Sindiket ini dipercayai mengaut keuntungan hampir RM650,000,” katanya.

Ruslin berkata, pemeriksaan awal mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki dokumen perjalanan, pas lawatan sosial tamat tempoh dan ada yang menyalahgunakan pas.

Katanya, semua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut dan siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Mahkamah: Rayuan Sapura Energy halang Rafizi peroleh gaji bekas CEO pada 8 Ogos

Bernama
Rafizi Ramli sebelum ini mendapatkan kebenaran mahkamah supaya Sapura Energy mendedahkan pakej imbuhan dan elaun Shahril Shamsuddin selepas bekas CEO itu memfailkan saman terhadap Timbalan Presiden PKR tersebut.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 8 Ogos untuk mendengar rayuan Sapura Energy Bhd terhadap keputusan Mahkamah Sesyen membenarkan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mendapatkan dokumen berhubung gaji dan elaun dibayar kepada Shahril Shamsuddin, semasa menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) Sapura Energy Bhd.

Peguam Rafizi, Navpreet Singh semasa mengesahkannya berkata tarikh itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Rozana Husin pada prosiding pengurusan kes secara dalam talian hari ini.

Pada 14 April lepas Hakim Mahkamah Sesyen Lailatul Zuraida Harron@Haron dalam membenarkan permohonan Rafizi, mengarahkan supaya syarikat berkenaan mengemukakan dokumen yang diminta oleh Ahli Parlimen Pandan itu dalam tempoh sebulan daripada tarikh keputusan.

Susulan itu Sapura Energy menfailkan notis rayuan bertarikh 25 April, terhadap keputusan berkenaan.

“Pendaftar yang arif (Rozana) memberikan arahan untuk menfailkan hujah bertulis menjelang 11 Julai dan hujah jawapan menjelang 25 Julai,” kata Navpreet ketika dihubungi media.

Pada 24 Nov lepas, Rafizi memfailkan permohonan itu dan meminda pembelaannya yang difailkannya pada Julai tahun lepas.

Dalam permohonan itu, Rafizi memohon kebenaran mahkamah untuk Sapura Energy mendedahkan pakej imbuhan dan elaun Shahril.

Shahril menfailkan saman terhadap Rafizi pada Mei tahun lepas, berikutan kenyataan Rafizi dalam tiga artikel yang disiarkan di akaun media sosialnya antara 31 Mac hingga 4 April tahun lepas.

Artikel berkenaan sebagai reaksi terhadap kewajaran menggunakan dana awam untuk menyelamatkan syarikat itu seperti yang dicadangkan bekas perdana menteri, Najib Tun Razak, yang mahu kerajaan menyuntik lebih banyak dana ke dalam Sapura Energy.

Rafizi yang membantah pandangan Najib mendakwa dana awam tidak seharusnya digunakan bagi melindungi golongan elit.

SPRM siasat kontrak RM399 juta Petronas pada syarikat O&G

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah melibatkan projek Petronas dan syarikat minyak dan gas antarabangsa.

Menurut SPRM, Petronas telah memberikan kerjasama penuh untuk menjalankan siasatan melibatkan projek bernilai RM399 juta di Sarawak.

“Setakat ini, SPRM telah menemukan beberapa kelemahan dalam amalan, sistem, dan tatacara kerja berhubung isu itu.

“SPRM mencadangkan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) sebagai langkah-langkah pencegahan,” katanya dalam kenyataan.

Awal bulan ini, satu portal dalam talian melaporkan Petronas didakwa terlibat dalam pemberian kontrak RM399 juta kepada sebuah syarikat beroperasi di 14 negara untuk membina loji gas darat di Sarawak.

Laporan itu mendakwa, syarikat itu dikatakan terlibat dalam kesalahan rasuah serius sehingga dilarang beroperasi di negara lain.

SPRM menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil menyalurkan bagi membantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009.

Lelaki berbaju kurung samun kedai runcit

FMT Reporters
Tangkap layar video tular di Twitter menunjukkan suspek lelaki berbaju kurung dan bersenjatakan pisau ketika menyamun sebuah kedai runcit di Padawan, Sarawak, pada Isnin.
PETALING JAYA: Seorang lelaki berbaju kurung bersenjatakan pisau antara dua suspek diburu disyaki menyamun sebuah kedai runcit di MJC Batu Kawah di Padawan, Sarawak, pada Isnin.

Ketua Polis Padawan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad , berkata polis juga mengesan satu video rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu yang tular di Twitter.

“Polis mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut daripada seorang wanita berusia 20 tahun yang juga pekerja premis itu pada 22 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, ketika kejadian pengadu bersama rakan sekerja didatangi seorang lelaki berpakaian seperti wanita dan membawa senjata dipercayai pisau.

“Suspek terus merampas peti wang tunai di kaunter juruwang dan terus melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal ditunggang seorang lagi suspek yang menunggu diluar.

“Kedua-dua suspek dipercayai warga tempatan berdasarkan dialek pertuturan mereka. Semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Abang Zainal berkata, polis menubuhkan pasukan khas untuk mengesan suspek dengan kerjasama pasukan IPD lain serta Jabatan Siasatan Jenayah JSJ IPK Sarawak.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Padawan di talian 082-862233.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan jika disabit bersalah boleh dihukum penjara selama 20 tahun dan sebat,” katanya.

Siapa watak di sebalik kes rasuah Datuk Roy

Malaysiakini 

Beberapa siri pertuduhan rasuah yang dikaitkan secara langsung atau tidak langsung dengan program Jana Wibawa terus menjadi tajuk utama berita.

Antara mereka yang menghadapi pertuduhan rasuah ialah Presiden Bersatu merangkap Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, serta ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan.

Semalam seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan seorang lelaki dikenali sebagai “Datuk Roy” dituduh di mahkamah kerana didakwa menerima rasuah dalam pihak berkuasa ke atas anak Muhyiddin, Fakhri Yassin.

Fakhri bukan satu-satunya orang yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Muhyiddin yang dikaitkan dengan kes itu.

Berikut adalah watak-watak yang terbabit dengan kes program inisiatif kerajaan bagi membantu kontraktor bumiputera semasa pandemik Covid-19 dulu, serta bagaimana mereka dikaitkan.

* Fakhri Yassin Mahiaddin

Lelaki berusia 48 tahun ini merupakan anak sulung Muhyiddin yang disebut dalam kertas pertuduhan kes Datuk Roy - atau nama sebenarnya Mohd Hussein Mohd Nasir.

Mengikut kertas pertuduhan, rasuah dibayar untuk menyelamatkan Fakhri daripada ditahan reman.

Ia dibayar pada 6 Mac iaitu beberapa minggu selepas kes pertama Jana Wibawa dibawa ke mahkamah.

Fakhri dipanggil untuk disoal siasat SPRM, namun puncanya belum didedahkan. Dia juga tidak ditangkap atau didakwa atas tuduhan rasuah.

* Siti Dalena dan Syed Farid Al Attas

Siti Dalena, 47, mempunyai pertalian dengan keluarga Muhyiddin melalui perkahwinan.

Abangnya, Adlan Berhan, berkahwin dengan anak Muhyiddin, Nabilah. Adlan atau Nabilah tidak dinamakan dalam kertas pertuduhan.

Dalena berkahwin dengan Syed Farid, 41, dan nama pasangan terbabit disebut dalam kertas pertuduhan terhadap Datuk Roy semalam sebagai didakwa memberi rasuah sebagai cubaan menyelamatkan saudara mereka daripada tindakan pihak berkuasa pada Mac lalu.

Dalam salah satu pertuduhan, Datuk Roy didakwa meminta RM400,000 daripada Dalena, dan menerima RM240,000 daripada Syed Farid sebagai dorongan untuk tidak menahan Fakhri.

Dalam pertuduhan lain, Datuk Roy didakwa meminta rasuah RM2 juta daripada pasangan Dalena-Syed Farid bagi mengurangkan pertuduhan terhadap Ketua Penerangan Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad.

* Adam Radlan Adam Muhammad

Berdasarkan laman sesawang berita perniagaan, Focus Malaysia, ahli perniagaan berusia 42 tahun itu adalah sepupu kepada Dalena dan Adlan.

Pada Feb lalu, Adam Radlan didakwa atas lima pertuduhan rasuah membabitkan lebih RM6 juta dalam kes yang berkaitan dengan Jana Wibawa.

Dia didakwa menerima RM4.1 juta daripada dua firma untuk membantu mereka mendapatkan kontrak pembinaan jalan di Perlis Serta membina bangunan ibu pejabat polis di Selangor.

Kontrak itu masing-masing bernilai RM47.8 juta dan RM141 juta.

Dua firma terbabit ialah MIE Infrastructure and Energy Sdn Bhd, dan Nepturis Sdn Bhd.

Adam Radlan dituduh menerima bayaran sekali gus dan meminta habuan berdasarkan peratusan nilai kontrak sebagai sogokan.

* Datuk Roy

Mengikut kertas pertuduhan, Datuk Roy didakwa atas dua pertuduhan iaitu mencari dan menerima rasuah bagi mengelakkan Fakhri ditahan reman, dan mengurangkan pertuduhan terhadap Adam Radlan.

Dia mengaku tidak bersalah dan mintak dibicarakan semalam. Turut didakwa - dan mengaku tidak bersalah - ialah pegawai kanan SPRM Mohd Rasyidi Mohd Said.

Datuk Roy dilaporkan sebagai ketua kumpulan yang menyamar sebagai pegawai SPRM bagi meminta dorongan untuk mengurangkan pertuduhan atau membebaskan mereka yang disiasat SPRM kerana rasuah.

Pada 2020, media melaporkan SPRM membuat pengesahan mereka menahan individu yang dipercayai sebahagian daripada "geng Datuk Roy" kerana meminta rasuah untuk menyelesaikan kes SPRM.

Ia berlaku lebih dua tahun sebelum Datuk Roy bertemu dengan Dalena dan Syed Farid pada Mac 2023.

Mohon cuti lakukan haji, lelaki diberhentikan kerja

ANWAR Chan dan isterinya menunjukkan dokumen haji yang diberikan kerajaan Indonesia. - AGENSI 
PADANG: Seorang lelaki warga emas dari Lubuk Begalung, Padang, Sumatera Barat terkejut apabila diberhentikan kerja di kilang getah selepas menyerahkan surat cuti bagi menunaikan ibadah haji.

Anwar Chan, 67, dan isterinya, Martini bakal berlepas ke tanah suci Mekah pada awal Jun ini selepas nama mereka terpilih untuk menunaikan ibadah haji tahun ini.

Pasangan suami isteri itu termasuk dalam kumpulan jemaah pertama yang berangkat ke tanah suci.

“Saya pada mulanya menyerahkan surat cuti berkenaan kepada pihak pengurusan untuk menunaikan haji.

“Namun, saya terkejut selepas menerima surat pemberhentian kerja,” katanya.

Anwar yang sudah berkhidmat selama 46 tahun di kilang tersebut tidak pasti sebab utama dia diberhentikan.

Katanya, dia dan isterinya perlu masuk ke asrama haji Padang pada minggu lalu, menyebabkan dia menyerahkan surat permohonan cuti berkenaan.

“Jika ada apa-apa masalah, beritahu saya, maklumkan dekat saya kenapa saya diberhentikan.

“Sehingga kini, saya juga masih belum terima gaji akhir,” ujarnya.

Dalam pada itu, kilang getah tersebut, PT Family Raya memaklumkan mereka tidak memberhentikan Anwar, sebaliknya sudah tiba masanya lelaki itu bersara.

Jurucakapnya, Riki berkata, usia Anwar sudah pun masuk usia untuk bersara.

“Usia pencen adalah 59 tahun dan Anwar kini berusia 67 tahun, jadi syarikat menbuat keputusan bahawa dia sudah boleh bersara dan bukannya diberhentikan,” jelasnya.
-utusan

Ibu, anak lelaki bertemu selepas 48 tahun terpisah

Kalbana Perimbanayagam
am@hmetro.com.my
TANGKAP layar video tular di TikTok. FOTO tular
TANGKAP layar video tular di TikTok. FOTO tular
Kuala Lumpur: Rakaman video yang memaparkan pertemuan semula antara seorang lelaki dan ibunya terpisah selama 48 tahun, sejak lahir meruntun hati netizen di TikTok sejak semalam.

Video berkenaan dikongsikan isteri lelaki berkenaan, dikenali sebagai Eyda Badri, memaparkan lelaki berusia 48 tahun dari Seri Kembangan, Selangor itu bertemu ibu kandungannya buat kali pertama di Machap, Johor.

Lelaki dikenali sebagai Ahmad Suffian Mohd Shafie mendakwa berpisah dengan ibu kandungnya sejak lahir dan tidak pernah bertemu dengannya.

Pada pertemuan itu, Suffian bertanya kepada ibunya jika dia mengecamnya melalui tahi lalat di wajahnya, namun jawapan wanita berusia 60-an itu negatif.

Dia kemudiannya menyebut nama arwah bapanya Mohd Shafie @ Piyee dan seorang lagi bernama Suffian sebelum ibunya mengatakan Piyee adalah bekas suaminya.

Ibunya memberitahu yang dia mempunyai seorang anak lelaki dengan Shafie yang dinamakan Suffian, namun berpisah selepas melahirkan anak lelaki itu pada 48 tahun lalu.

Wanita itu turut bercerita yang Suffian dibawa ke Perak selepas dia melahirkan, namun masih tidak menyedari jika lelaki yang bercakap dengannya itu adalah Suffian.

Suffian kemudiannya menunjukkan kad pengenalannya dan dirinya sambil mengatakan adakah ini dirinya sebelum ibunya yang mendengar itu terus menangis terharu.

Seorang pengguna TikTok chekna2020 menulis: "Alhamdulilah, saya juga berasa terharu. Alhamdulillah, akhirnya mereka bertemu."

CikZirah pula memuji isteri Suffian kerana bersama-sama membantu mencari ibu suaminya itu.

Azalina nafi kata SPRM gugur siasatan ‘dana syarikat judi’ ke atas PN

FMT Reporters

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said menafikan pernah menyatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggugurkan siasatannya ke atas dakwaan Perikatan Nasional (PN) menerima dana daripada syarikat perjudian untuk membiayai kempen PRU 2022.

“Saya ingin menegaskan jawapan yang saya berikan dalam Dewan Rakyat bagi pihak SPRM tidak menyatakan bahawa apa-apa siasatan berkenaan dakwaan berhubung perkara ini telah dihentikan atau digugurkan.

“Sebaliknya, SPRM hanya menyatakan tiada fail siasatan dibuka memandangkan maklumat yang diperoleh setakat ini bersifat umum,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, undang-undang Malaysia tidak mempunyai statut had memulakan siasatan.

Hina Sultan Perak, tukang kimpal dipenjara 6 bulan

Bernama
Mohd Masri Md Darus dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap seorang tukang kimpal kerana membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menerusi Twitternya Disember lalu.

Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Masri Md Darus, 36, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini.

Masri didakwa melakukan perbuatan itu menggunakan laman profil Twitter “@Muhammad65J” dengan niat menyakiti hati orang lain pada 8.21 pagi 22 Dis 2022.

Hantaran itu kemudian dibaca di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di sini pada 5 petang 3 Jan lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ilya Ellyna Nor Azmal memohon hukuman setimpal, mengambil kira faktor hantaran dimuat naik tertuduh bersifat jelik dan menggunakan bahasa tidak sopan.

“Pendakwaan memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran bukan saja kepada tertuduh, tetapi kepada masyarakat juga agar lebih berhati-hati ketika memuat naik hantaran dalam media sosial.”

Masri yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan tidak berkemampuan dan perlu menjaga ibu uzur.

Turkish Aerospace berhasrat teruskan pemindahan teknologi penerbangan, pertahanan dengan Malaysia

BERNAMA

Langkawi: Syarikat aeroangkasa dan pertahanan, Turkish Aerospace, berharap dapat meneruskan pelaburan dan kerjasama dengan Malaysia untuk pembangunan teknologi generasi baharu, khususnya dalam industri pertahanan dan penerbangan.

Bercakap secara eksklusif kepada Bernama, Naib Presiden Pemasaran dan Komunikasi Korporat Turkish Aerospace Bertan Kurt berkata, syarikat itu juga bersedia melatih jurutera Malaysia di kilangnya di Ankara, bertujuan membantu Malaysia membangunkan reka bentuk dan keupayaan pembuatan jet tempurnya sendiri.

"Sebab kami berada di sini bukan hanya menjual produk, tetapi juga untuk sumber manusia. Kami mempunyai beberapa perjanjian dengan Universiti Malaya dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), kami menerima penuntut dari sana pada musim panas ini dan akan menganjurkan perkhemahan di kemudahan kami di Ankara.

"Penuntut berkenaan akan bersama kami selama sebulan dan mereka akan melakukan program latihan sebelum pulang ke Malaysia dan selepas tamat pengajian, kami akan mengambil mereka bekerja di Malaysia atau Turkiye. Perkara utama kami ialah pemindahan teknologi kepada saudara di Malaysia," katanya kepada Bernama.

Kurt ditemui di luar acara Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA '23) edisi ke-16.

Pada 2021, Turkish Aerospace membuka pejabat kejuruteraan dan reka bentuknya yang pertama di Malaysia terletak di Cyberjaya yang membantu jurutera Turkiye dan Malaysia bekerjasama dalam bidang jet tempur ringan, projek Hurjet, untuk ekosistem penerbangan Malaysia.

Mengulas berkaitan kontrak yang dimeterai antara Kementerian Pertahanan dengan Turkish Aerospace untuk pesawat tanpa pemandu (UAV) Anka-S untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) semasa LIMA '23, Kurt berkata, ia adalah untuk fasa pertama dan tender itu dijalankan selama lima tahun.

Kurt berkata, syarikat itu akan menghantar UAV kepada TUDM secara berperingkat bermula 2025.

"Alhamdulillah, kami sudah menandatangani kontrak untuk tiga Anka-S dengan komunikasi satelit dan akan ada radar khas di dalamnya, kami akan menghantarnya dalam masa dua tahun dan pada 2025 ia akan berada dalam perkhidmatan Malaysia. Kami juga menantikan fasa dua," katanya.

Bercakap berkaitan LIMA '23, beliau berkata, penganjuran pameran antarabangsa dwitahunan itu telah membuka pintu kepada syarikat Turkiye untuk mengembangkan perniagaan dan mereka juga bersedia untuk mengambil bahagian dalam LIMA akan datang.

Kerajaan buat laporan polis terhadap waris ‘Sultan Sulu’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Satu laporan polis dibuat terhadap penuntut-penuntut warga Filipina yang “Mendakwa Waris Jamalul Kiram II (Sultan Sulu)”, kata sekretariat khas Jabatan Perdana Menteri.

Dalam satu kenyataan, laporan itu dibuat ketua pengarah, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri di IPD Putrajaya kerana tuntutan itu merupakan satu ancaman kepada keselamatan negara.

Katanya, laporan itu dibuat susulan daripada tindakan tuntutan yang difailkan oleh penuntut-penuntut melalui notis timbang tara yang diserahkan kepada kerajaan pada 30 Julai 2019 melibatkan anggaran tuntutan melebihi USD32 bilion.

“Objektif laporan polis dengan mengambil kira wujudnya elemen sabotaj ke atas ekonomi dan ancaman kepada keselamatan negara melalui tindakan agresif penuntut-penuntut yang dipercayai bersubahat dengan menyalahguna proses timbang tara antarabangsa.

“Susulan daripada laporan ini, dipercayai satu siasatan jenayah akan dimulakan oleh pihak berkuasa demi menjamin keamanan, keselamatan dan kestabilan negara,” katanya.

Sekretariat itu berkata, rentetan daripada insiden pencerobohan di Lahad Datu, kerajaan telah mengisytiharkan Kumpulan Royal Sulu Force (RSF) sebagai entiti pengganas yang terbabit dalam tragedi pencerobohan di Sabah pada 2013.

Katanya, salah seorang penuntut iaitu Fuad A Kiram juga telah diklasifikasikan sebagai pengganas di bawah Seksyen 66B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFUAA) pada 6 April lalu.

Bekas pengarah tak pernah tolak wang saya, saksi beritahu mahkamah

FMT Reporters
PETALING JAYA: Bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Ag Mohd Tahir Ag Mohd Talib, tidak pernah menolak sebarang wang yang diberikan oleh seorang kontraktor selama lebih dari 10 tahun, Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu diberitahu hari ini.

Menurut laporan The Borneo Post, Wong Kok Vui @ Michael berkata tidak ada perjanjian dengan Tahir mengenai jumlah wang yang harus diberikan kepada pengarah jabatan air pada masa itu dari 2004 hingga 2015.

“Saya hanya boleh menganggarkan jumlah yang saya berikan kepadanya adalah sekitar RM1.35 juta (setiap tahun),” kata saksi itu apabila disoal Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat.

Setiap kali dia memberi wang itu, Tahir mengucapkan terima kasih, kata Wong.

Dia juga berkata Tahir tidak pernah menolak wang tersebut.

The Borneo Post melaporkan bahawa, semasa disoal oleh peguam Priskila Akwila, Wong berkata bahawa RM16.2 juta yang diberikan kepadanya kepada Tahir dari tahun 2004 hingga 2015 adalah secara sukarela. Dia menafikan bahawa pengarah itu meminta “komisen” 30% atas kontrak yang diberikan kepada firma Wong.

Wong berkata dia sentiasa memberikan wang kepada Tahir apabila tidak ada orang lain di sekeliling, dan dia tidak membuat sebarang rekod berkait “sumbangan” itu.

Wong bersetuju dengan Priskila bahawa dia tidak mempunyai bukti, penyata, atau saksi yang menyokong dakwaannya bahawa dia memberikan wang kepada Tahir.

“Betul. Jika saya membuat sebarang rekod, ia akan menjadi perkara yang buruk bagi saya kerana itu adalah suatu kesalahan.”

Wong juga berkata, jabatan daerah dan jurutera yang menentukan projek yang bakal diberikan kepada kontraktor, bukan Tahir.

Saksi itu menambah bahawa dia harus mengikut setiap arahan yang diberikan oleh Jurutera Bahagian Kota Kinabalu, Jabatan Air Negeri Sabah, Teo Chee Kong.

Tahir, 58, dibicarakan bersama isterinya, Fauziah Piut, 55 tahun, dan bekas timbalan pengarah Jabatan Air negeri, Lim Lam Beng, 66.

Mereka bertiga mengaku tidak bersalah pada 29 Dis 2016 terhadap 37 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM61.57 juta.

Teo, yang juga bekas timbalan pengarah jabatan tersebut, pada mulanya adalah salah seorang suspek utama dalam kes ini. Dia telah dibebaskan daripada 146 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM32.93 juta pada Mac 2022.

Polis tahan lelaki hina institusi beraja di Twitter

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki membuat hantaran berbaur penghinaan terhadap institusi beraja dan bersifat provokasi perkauman di akuan Twitter miliknya.

Setiausaha Polis, Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, lelaki warga tempatan yang juga pengendali akaun Twitter @haziqmahmur9 berusia 27 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di Seremban.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit berserta dua kad sim dalam serbuan itu.

“Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 27 Mei nanti untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Noorsiah berkata kes itu disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform itu sehingga mendatangkan kegusaran awam serta menggugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman dan keselamatan awam,” katanya.

Kanak-kanak maut digilis lori

Meor Riduwan Meor Ahmad

am@hmetro.com.my

NUR Qayra Quraisya sedang bermain berhampiran rumahnya sebelum maut digilis lori. FOTO Ihsan PDRM

NUR Qayra Quraisya sedang bermain berhampiran rumahnya sebelum maut digilis lori. FOTO Ihsan PDRM

Melaka: Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut digilis lori ketika bermain berhampiran rumahnya di Kampung Paya Mengkuang, Batang Tiga, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 5.25 petang itu, mangsa, Nur Qayra Quraisya Muhamad Qayyum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di simpang tiga.

Menurutnya, ketika kejadian kanak-kanak perempuan itu sedang bermain bersama saudaranya di sekitar tempat kejadian di celah pokok.

"Ketika lori berkenaan ingin keluar simpang dan pemandunya sudah memastikan keadaan selamat untuk keluar, tiba-tiba kanak-kanak itu dikatakan datang dari celah pokok dan berlari ke arah lori yang sedang bergerak.

"Akibatnya pemandu yang tidak perasan kehadiran mangsa terlanggar mangsa hingga maut di tempat kejadian," katanya dihubungi di sini.

Menurut Christopher, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka (HM) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.

"Pemandu lori berusia 37 tahun itu dibawa ke bahagian kecemasan HM untuk diambil sampel darah bertujuan mengesan kandungan alkohol dan dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Hanya kerana pemadam pensel...

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Hanya kerana tidak puas hati dengan insiden baling pemadam pensel, beberapa orang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah sekitar Kempas di sini, bergaduh sesama mereka, semalam.

Pergaduhan itu mendatangkan kecederaan kepada beberapa orang pejar hanya kerana akibat perselisihan faham.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.43 petang semalam.

Katanya, kejadian berlaku di hadapan sebuah sekolah menengah sekitar kawasan Kempas di sini.

"Siasatan polis mendapati kejadian berlaku berpunca daripada rasa tidak puas hati seorang pelajar yang dibaling pemadam pensel oleh rakan sekelasnya dua hari sebelum kejadian itu," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, akibat pergaduhan itu, beberapa orang pelajar mendapat rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, kerana cedera luka di kepala, lebam pada kaki dan tangan.

Katanya, susulan kejadian berkenaan, pihaknya ada membuat beberapa tangkapan dalam kalangan pelajar terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, Balveer Singh menasihatkan supaya masyarakat tidak mensensasikan isu berkenaan sehingga boleh memberi implikasi kepada keharmonian memandangkan siasatan masih lagi dijalankan.

"Masyarakat juga dinasihatkan bersikap rasional dalam menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi dan janganlah melakukan sebarang perbuatan melulu sehingga boleh dikenakan tindakan undang-undang," pesannya.

Azalina: Lebih 50,000 ‘scammer’ ditangkap sejak 2018

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sebanyak 50,128 tangkapan melibatkan jenayah penipuan dalam talian berjaya dilakukan pihak berkuasa dari 2018 hingga 30 April tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, berkata daripada jumlah itu sebanyak 33,639 pertuduhan direkodkan bagi kes berkenaan pada tempoh sama.

“Polis membuka 3,595 kertas siasatan bagi kes penipuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan 33 kertas siasatan bagi pengubahan wang haram.

“Tiada kertas siasatan ditutup,” katanya dalam jawapan lisan kepada soalan Wong Chen (PH-Subang) berhubung tahap keberkesanan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dalam menangani isu penipuan kewangan dalam talian.

Beliau berkata, sejak NSRC ditubuhkan pada 12 Okt tahun lalu sehingga April tahun ini, jumlah panggilan yang diterima orang ramai adalah sebanyak 30,069.

Katanya, daripada jumlah itu, 11,858 adalah panggilan mangsa scam dengan jumlah kerugian dilaporkan adalah sebanyak RM104.8 juta.

Tambahnya, tiga kes tertinggi dicatatkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melibatkan pembelian online, pelaburan dan BEC.

“Statistik yang dianalisis untuk jangka masa lima tahun kebelakang sehingga April 2023 pula menunjukkan, jumlah kerugian sebanyak RM2,955,035,941 dan terdapat peningkatan kes-kes penipuan dalam talian dalam tempoh ini,” katanya.

Oktober tahun lalu, kerajaan menubuhkan NSRC sebagai satu usaha bagi membendung jenayah penipuan dalam talian.

NSRC menggabungkan polis, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

Sempat buat video masa dalam kelas, warganet bongkar cikgu Tadika tawar khidmat seks

MAISARAH AISYA

Guru tadika antara orang terpenting dalam pembelajaran awal kanak-kanak, apatah lagi buat ibu bapa yang sibuk bekerja.

Tular di media sosial mengenai seorang wanita yang menawarkan khimat se keks secara terbuka, lebih mengejutkan dia berani membuat perbuatan tersebut di tempat kerja.

Wanita tersebut dipercayai adalah seorang guru tadika namun tidak dibongkar lokasi tempat mengajar di mana.

Menerusi akaun @TheUsopIbrahim, dia membongkar mengenai wanita yang memuat naik kandungan beransur lucah dan menawarkan khidmat seks.

“Selamat pagi semua kecuali cikgu tadika yang ada akaun buat sex service (perkhidmatan seks). Orang hantar anak ke tadika doa dapat cikgu yang elok sekali dapat yang seperti ini.

“Kalau kerja hakiki kau tak berkaitan dengan budak bawah umur, ini aku tak peduli sangat



 kau nak menjual badan tetapi ini mengajar kanak-kanak tapi ada kegiatan tak bermoral baik cari kerja lain,” ciapnya.

Tambah Usop, wanita itu juga merakam dirinya melakukan perbuatan tidak senonoh di dalam tandas premis tadika tersebut.

“Aku baru tahu lagi teruk bila dia ada record (rakam) video aksi meramas payudaranya dalam tandas tadika.

“Boleh dengar suara budak-budak dengan ada cikgu mengajar kat belakang. Gila babi,” tambahnya.

Selamat pagi semua kecuali cikgu tadika ada ds acc buat sex service. Akaun pun dah hilang. Org hantar anak g tadika doa dapat cikgu yg elok sekali dpt yg fakap habis.

— usopairies (@TheUsopIbrahim) May 22, 2023
Memandang serius isu ini, seorang pengguna Twitter sudah melaporkan perkara tersebut kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tindakan lanjut.

Akaun Twitter dan Telegram wanita itu bagaimanapun sudah dipadam namun diharapkan ada tindakan tegas buatnya.

Rantai amah dalam bilik air, suami isteri ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menahan suami isteri yang disyaki merantai pembantu rumah warga Indonesia di sebuah rumah di Taman Tenaga, Kajang.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata penahanan pasangan berusia 40-an dan 50-an itu dibuat selepas sepasukan pegawai dan anggota melakukan serbuan di rumah mereka di Taman Tenaga, petang semalam.

“Mereka direman dua hari bermula hari ini hingga esok.

“Pemeriksaan kesihatan terhadap mangsa berusia 37 tahun sudah dilakukan dan mangsa tidak alami trauma. Dia dibenarkan pulang ke rumahnya sendiri,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana melakukan kurungan salah.

Media semalam melaporkan, pembantu rumah wanita warga Indonesia dirantai majikannya sebelum diselamatkan orang ramai pada Ahad.

Mangsa dirantai dalam bilik air oleh pasangan berkenaan kerana disyaki mencuri barang kemas.

KJ tamatkan teka-teki, masuk Bersatu?

Iffah Najwa Mohd Zamri
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bakal menamatkan teka-teki sama ada beliau akan menerima tawaran untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam masa terdekat ini.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, tidak adil untuk dirinya membuat mana-mana pihak menunggu lama.

"Oleh itu, pada masa akan datang, saya akan menyampaikan keputusan saya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin (Presiden Bersatu)," katanya selepas program Designing the Future bertajuk What's Next For Malaysia yang diadakan di UCSI University Campus Kuala Lumpur di sinim, hari ini.

Mengulas lanjut, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu semalam menasihati Khairy supaya tidak mengambil masa terlalu lama untuk membuat keputusan sama ada menerima kerusi dalam majlis tertinggi parti itu.

Sebelum ini, Muhyiddin mengemukakan tawaran kepada Khairy menjadi Ahli Pimpinan Tinggi Bersatu selepas mendapat persetujuan pimpinan parti yang lain.

Muhyiddin dilaporkan berkata, partinya mempunyai dua kekosongan jawatan berkenaan tanpa niat 'mengumpan' bekas Ahli Parlimen Rembau itu.

Perak calon Mujahid sebagai senator

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa dicalonkan untuk dilantik sebagai Ahli Dewan Negara dari Perak.

Nama pengerusi Pakatan Harapan Perak yang juga naib presiden Amanah itu dikemukakan Menteri Besar Saarani Mohamad dan disokong Adun Teja Ng Shy Ching.

Menurut Berita Harian, Speaker DUN Perak, Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata hanya satu nama calon sahaja diusulkan kepada setiausaha DUN Perak hingga tarikh akhir penamaan iaitu 15 Mei lalu.

Saarani ketika mencadangkan nama Mujahid, berkata pemilihan senator itu bagi menggantikan Ahli Dewan Negara dari Perak yang melepaskan keahlian pada 2 Nov lalu.

Difahamkan, Ahli Dewan Negara dari Perak yang melepaskan keahlian adalah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Kuala Kangsar.

Sementara itu, DUN Perak turut meluluskan Pindaan Perenggan (b) Fasal (1) Perkara 38 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan yang memutuskan agar gelaran Dato’ Maharaja Lela diwujudkan atau dihidupkan semula.

Saarani ketika membentangkan usul itu berkata gelaran itu akan mengambil kedudukan tertinggi dalam barisan pemegang gelaran Orang Besar Lapan negeri Perak dengan pemegang gelaran itu nanti akan digelar sebagai “Orang Kaya Kaya Maharaja Lela Tanjana Putra.”

Katanya, pindaan itu akan menyaksikan pemansuhan gelaran Orang Besar Lapan iaitu “Orang Kaya Kaya Setia Bijaya Diraja” yang seterusnya digantikan dengan gelaran “Orang Kaya Kaya Maharaja Lela Tanjana Putra.”

‘PAS yang sebenarnya miskinkan Kedah, Kelantan, Terengganu’

N Faizal Ghazali

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor diminta bermuhasabah diri selepas mengeluarkan kenyataan mendakwa negeri Jelapang Padi itu ‘diarahkan’ menjadi miskin.

Anggota dewan undangan negeri (Adun) Permatang Pasir Faiz Fadzil berkata PAS sepatutnya belajar bertanggungjawab ke atas kemiskinan dan kemunduran negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Katanya, keadaan itu memaksa anak-anak muda merantau ke negeri-negeri lain termasuk Pulau Pinang yang menjanjikan peluang pekerjaan. 

“Walaupun Pulau Pinang lebih kecil daripada ketiga-tiga negeri ombak hijau itu, namun pembangunan ekonomi Pulau Pinang jauh lebih baik dengan rekod pertumbuhan ekonomi tertinggi dalam negara pada tahun 2021 pada kadar 6.8 peratus di saat krisis ekonomi akibat pandemik Covid-19. 

“Sumbangan kepada KDNK pula meningkat kepada kadar 7.1 peratus bagi tahun yang sama. 

”Kenyataan Muhammad Sanusi baru-baru ini kononnya Kedah 'diarahkan' menjadi miskin hanyalah cubaan untuk menutup kelemahan kepimpinan PAS menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu Sanusi mendakwa pentadbiran Kedah sama ada yang sekarang atau sebelum ini tertakluk kepada dasar persekutuan dalam hal penggunaan tanah dan itu membawa kepada kadar kemiskinan yang tinggi di negeri itu.

Katanya, negeri terbabit memiliki kawasan yang luas tetapi diarah untuk menanam padi yang disifatkannya sebagai “tanaman paling murah”.

Sementara itu Faiz berkata kenyataan Sanusi seolah-olah menyalahkan industri penanaman padi atas kemiskinan Kedah.

Katanya, kenyataan itu ibarat menyalahkan pesawah atas kemunduran negeri itu yang menurutnya berpunca daripada kegagalan pentadbiran PAS sendiri. 

“Sanusi mengeluh Kedah terpaksa menyediakan 130,000 hektar tanah untuk penanaman padi, iaitu 13.8 peratus keluasan negeri tersebut.

“Namun, ini tidak jauh berbeza berbanding Pulau Pinang di mana tanah seluas 12,100 hektar ditanam padi, iaitu 11.5 peratus daripada jumlah keluasan negeri Pulau Pinang. 

“Lebih mengagumkan, Pulau Pinang mencatatkan purata penghasilan padi tertinggi di Malaysia pada tahun 2022, mengalahkan Kedah. 

“Jika Pulau Pinang boleh menjadi salah satu penyumbang ekonomi utama negara tanpa mengabaikan sektor pertanian, mengapa perlu Sanusi mengeluh?” soal pemimpin Amanah itu.

Tambahnya amat pelik melihat data yang merekodkan kemiskinan mutlak di Kedah yang tinggi walaupun negeri itu mempunyai hub teknologi Kulim Hi-Tech Park dan pusat pelancongan terkemuka dunia seperti Pulau Langkawi. 

Jelasnya, setakat 2019 kadar kemiskinan mutlak di Kedah adalah 8.8 peratus, Kelantan (12.4 peratus) dan Terengganu (6.1 peratus). 

“Sebaliknya, kadar kemiskinan mutlak di Selangor dan Pulau Pinang adalah masing-masing 1.2 peratus dan 1.9 peratus. Hakikatnya, kerajaan PAS Kedah tidak memainkan peranan secukupnya untuk membangunkan industri tempatan dan menarik masuk pelaburan antarabangsa yang berkualiti. 

“Pelaburan yang masuk ke Kulim Hi-Tech Park dicapai atas usaha agensi Kerajaan Persekutuan seperti Mida dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, manakala Pulau Langkawi juga telah dimajukan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi. 

“Sejauh mana pula usaha kerajaan PAS Kedah dalam menarik pelaburan sebegini?” ujarnya.

Justeru tambah Faiz yang juga anak bekas presiden PAS, rakyat Kedah, Kelantan dan Terengganu perlu menilai betul-betul parti manakah yang harus dipilih bagi mentadbir di peringkat negeri. 

“Kesejahteraan hidup rakyat bergantung kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah negeri. Satu undi untuk PAS dan PN adalah satu undi untuk anti-kemajuan. 

“Kesungguhan politik kerajaan perpaduan membangunkan ekonomi negara dan kepesatan ekonomi kerajaan PH di Pulau Pinang dan Selangor perlu dijadikan sandaran PRN ini. 

“Sanusi perlu berhenti mencari helah dan salah orang lain dan belajarlah untuk muhasabah diri yang sangat dianjurkan dalam ajaran Islam,” katanya.