Zahid Hamidi: Sanusi ‘pelawak’ ramai pengikut, Kedah perlu pemimpin serius

Predeep Nambiar

PETALING JAYA: Presiden Umno Zahid Hamidi menyeru pengundi Kedah memanfaatkan undi mereka dengan memilih pemimpin yang serius untuk menjaga kepentingan rakyat.

Sambil menyifatkan menteri besar sedia ada, Sanusi Md Nor sebagai ‘pelawak’ yang mempunyai ramai pengikut, Zahid berkata Kedah perlukan kerajaan yang berwibawa.

“Yang kita cari ialah kerajaan yang mempunyai kredibiliti, yang berwibawa. Yang kita cari ialah pemimpin yang serius, yang menjaga soal kepentingan dan kemakmuran rakyat; bukan hanya menjadi pelawak politik,” katanya kepada pemberita, selepas bertemu jentera PRN Barisan Nasional di Merbok, Kedah.

Zahid berkata demikian selepas mengulas langkah Sanusi memohon ampun kepada Sultan Selangor, berhubung ucapan berkait pelantikan menteri besarnya.

Pemimpin PAS itu didakwa menghina Sultan Selangor ketika berceramah di Selayang, baru-baru ini. Dalam ucapan yang tular, Sanusi dipaparkan seolah-olah menyentuh tentang perkenan Sultan Selangor, berkait pelantikan “menteri besar cokia (tiada kualiti)”.

Sanusi mendakwa ucapannya telah diputar belit.

Detik terpilu dilempar RM5 lepas hantar makanan

Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my
MOHD Yuswandi Mohd Rosli menghantar pesanan kepada pelanggan. FOTO Ihsan Mohd Yuswandi Mohd Rosli
MOHD Yuswandi Mohd Rosli menghantar pesanan kepada pelanggan. FOTO Ihsan Mohd Yuswandi Mohd Rosli
Georgetown: "Betapa hinanya …ku di matamu…," Itu luahan penghantar p-hailing, Mohd Yuswandi Mohd Rosli dikongsikan di Facebook (Fb) baru-baru ini .

Menerusi hantarannya itu, Mohd Yuswandi, 35, berkongsi pengalamannya berurusan dengan seorang pelanggan yang melempar wang RM5 ke tiang ketika membuat pembayaran seolah jijik dan cuba memperkecilkannya.

Hantarannya itu tular di laman sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya bersimpati terhadap Mohd Yuswandi serta berang dengan sikap biadap pelanggan berkenaan.

Berkongsi kisah itu , Mohd Yuswandi yang juga bapa tiga anak berkata, kejadian berlaku ketika dia menghantar makanan kepada seorang pelanggan baru-baru ini.

"Waktu itu malam dan hujan lebat namun saya redah juga untuk hantar makanan dipesan pelanggan berkenaan.

"Tiba di rumahnya, badan saya sudah basah lencun walaupun pakai baju hujan dan mungkin sebab geli, pelanggan itu ambil makanan daripada tangan saya kemudian terus lempar duit RM5 ke tiang.

"Apa yang buat saya terkilan adalah caranya itu dan nampak dia macam sengaja buat begitu atau sudah biasa kerana tiada minta maaf pun," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohd Yuswandi mengakui berasa sedih diperlakukan begitu oleh pelanggan berkenaan.

"Sayu hati saya waktu itu kerana seolah dia (pelanggan) pandang hina sangat pekerjaan saya

"Jika ikut rasa marah, saya biarkan saja ia terbang ditiup angin tapi kutip juga mengenangkan itu rezeki buat anak dan isteri di rumah.

"Niat kongsi di Fb adalah nak kongsi pengalaman kerana saya memang suka bercerita di situ (Fb). Tak harap tular pun tapi memandai jika yang membaca ambil pengajaran dan buka mata daripada apa cuba saya sampaikan," katanya.

Menurut Mohd Yuswandi, dia ada pekerjaan tetap di pejabat namun bekerja sambilan sebagai penghantar p-hailing sejak Mac lalu bagi menambah pendapatan dan menimba pengalaman.

"Selain cari duit poket, saya cuba kerja dalam bidang itu (p-hailing) kerana nak fahami dan tahu kenapa orang sanggup redah panas juga hujan untuk kerja sebagai penghantar p-hailing.

"Dalam media massa juga ada dipaparkan ramai anak muda tertarik bekerja dalam bidang itu selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berbanding sambung pengajian di universiti.

"Pada masa sama, ada juga rungutan daripada penghantar sudah berkeluarga mengenai soal gaji yang tak cukup.

"Kini, saya faham keperitan mereka malah lalui pengalaman dipandang sinis bukan hanya oleh segelintir pelanggan tetapi dalam kalangan rakan ketika mula jadi penghantar p-hailing dulu," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Yuswandi mengakui masih ramai lagi pelanggan yang baik dan tahu menghormatinya.

"Bagi saya, ia berbalik kepada individu bukan soal jantina, umur atau bangsa.

"Walaupun tak kerja sepenuh masa, saya seronok kerana pekerjaan sebagai penghantar p-hailing beri peluang kenal ramai orang dan mungkin batu loncatan ceburi bidang lain pula satu hari nanti," katanya.

Akar umbi Gerakan berbelah bahagi kerana PAS

Dineskumar Ragu

PETALING JAYA: Akar umbi Gerakan dikatakan berbelah bahagi tentang menjadi komponen Perikatan Nasional kerana PAS semakin lantang memainkan retorik berbaur perkauman dan keagamaan.

Sumber dalam parti mendakwa ramai ahli Gerakan tidak berpuas hati dengan kenyataan-kenyataan daripada PAS yang rata-rata menyasarkan orang bukan Melayu dan bukan Islam.

“Ahli-ahli yang tak berpuas hati tidak mahu parti ini dikaitkan dengan PAS,” kata sumber.

Bagaimanapun mereka itu juga tidak mahu mendesak parti keluar PN kerana tidak mahu mencetuskan masalah, tambahnya.

Menurut sumber, hasil PRU 2022 menunjukkan hubungan dengan PAS menyebabkan pengundi bukan Melayu menjauhi Gerakan.

“Beberapa pengundi beritahu saya, ‘saya suka calon kamu tapi tak mahu sokong sebab kamu bersama PAS’. Senarionya seperti ketika kami berkempen bersama Umno pada PRU14.”

Menurut sumber lagi, ramai juga mahu Gerakan kekal bersama PN, kerana mahu memanfaatkan kekuatan PAS yang mempunyai penyokong yang ramai.

Pada PRU lalu, PAS menang 49 kerusi – yang tertinggi dalam kalangan parti yang bertanding.

Dalam pada itu, sumber berkata ahli yang cenderung ke arah kekal bersama PAS sudah biasa dengan pendekatan PAS, terutama di Kelantan dan Terengganu.

“Gerakan di Kedah suka bersama PAS kerana mereka akan menjadi kerajaan negeri (sekiranya PN berjaya pertahankan Kedah).”

Kelompok sama juga merasakan Gerakan kini lebih menonjol berbanding ketika bersama Barisan Nasional, yang menurutnya menganggap Gerakan sebagai “parti kecil” dan tidak sepenting MCA.

Sementara itu, seorang lagi sumber parti memaklumkan rata-rata ahli sepakat Gerakan tidak lagi boleh menjadi “kuasa ketiga” selepas ini seperti ketika ia meninggalkan BN pada 2018.

Katanya, PN berbeza dengan BN kerana ia mengambil berat pandangan Gerakan.

“Kami diberi kebebasan untuk bersuara dalam mesyuarat PN. Ia tidak begitu ketika bersama BN kerana Umno seolah-olah ‘taiko’ (abang long),” katanya.

“Kami boleh bersuara tapi kata putus di tangan Umno. Dalam PN, Pengerusi Muhyiddin Yassin akan minta pandangan kami,” katanya.

Baru-baru ini, ketua Gerakan Wilayah Persekutuan Lau Hoi Keong berkata beliau akan mengkaji semula keanggotaan partinya dalam PN sekiranya terpilih sebagai presiden parti pada pemilihan akan datang.

Bahana kelentong suami

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

Ampang Jaya: Bimbang emas digadai untuk membayar 'scammer' diketahui suami menyebabkan seorang tukang cuci sanggup membuat laporan palsu konon diperas ugut RM25,000 oleh individu menyamar polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, wanita warga Indonesia berusia 53 tahun itu membuat laporan polis palsu pada 22 Jun lalu.

Menurutnya, wanita itu mendakwa kononnya didatangi pasangan memperkenalkan diri sebagai polis dan meminta kad pengenalannya ketika berada di Bandar Baru Ampang di sini.

"Anggota `polis' itu kemudian menuduh wanita itu terbabit kes jenayah dan meminta wang tunai RM25,000 untuk dilepaskan.

"Susulan itu pada jam 6 petang Rabu lalu, polis menahan wanita terbabit di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kerana disyaki membuat laporan palsu.

"Pihak polis merampas tiga keping resit bank bertarikh 20 Jun lalu," katanya semalam.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah manakala ujian air kencing adalah negatif dadah.

"Soal siasat mendapati dia membuat laporan palsu adalah kerana enggan berterus terang dengan suami berkaitan emas yang digadaikannya untuk pembayaran kepada pihak disyaki `scammer'.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 384/170/182 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada kesalahan pemerasan / menyamar penjawat awam dan memalsukan keterangan," katanya.

Azalina: Mohon maaf tak selesai tindakan undang-undang terhadap Sanusi

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tindakan undang-undang terhadap Sanusi Md Nor tidak akan selesai menerusi permohonan maaf kepada Sultan Selangor susulan kenyataannya yang didakwa memperlekehkan Baginda berhubung pemilihan menteri besar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata permohonan maaf bukan pembelaan dari segi undang-undang dalam perundangan jenayah.
Menurutnya, kerajaan menjamin kebebasan bersuara di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, bagaimanapun ia tertakluk kepada Perkara 10(2) bagi memastikan ketenteraman dan keamanan terjamin.

Namun begitu, tegasnya seseorang ahli politik harus sedar bahawa pertuturannya boleh mempengaruhi orang ramai pada musim pilihan raya.

“Sesiapa sahaja membangkitkan isu membelah bahagi, mengganggu ketenteraman awam dan tidak menghormati institusi Raja-Raja, harus ingat bahawa ini adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

“(ia) Tidak akan selesai atas alasan memohon maaf kerana permohonan kemaafan bukan satu pembelaan dari segi undang- undang dalam perundangan jenayah,” katanya dalam kenyataan.

“Biarlah polis diberi kebebasan untuk siasat sesiapa sahaja membangkitkan isu 3R (kaum, agama dan raja) yang melanggar undang-undang tanpa campur tangan mana-mana pihak.”

Beliau mengulas permohonan maaf Sanusi, pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah yang disampaikan menerusi satu warkah kepada Baginda semalam.

Sanusi berkata dalam warkah itu beliau menjelaskan maksud sebenar ucapannya dalam satu ceramah yang telah diputar belit oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Dalam ucapannya yang tular, pemimpin PAS itu dipaparkan seolah-olah menyentuh tentang perkenan Sultan Selangor, berkait pelantikan “menteri besar cokia (tiada kualiti)”.

Di satu cakerawala alternatif, bayangkan DAP kalau...

Johan Mat

Di satu cakerawala alternatif, Yusuf Azmi baharu sahaja selesai meniup semboyan yang menyeru kebangkitan orang Melayu daripada dibuai lena.

Protes Solidariti Ummah dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka hujung minggu ini.

Pemimpin PAS pula galak menyeru sekalian umat mereka untuk turun berhimpun. Ini satu jihad, kata PAS.

Selasa lalu, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan yang menghina kebitaraan dan kebijaksanaan Sultan Kedah.

“Sultan hebat takkan pilih Menteri Besar cokiah macam Sanusi,” ujar Guan Eng dalam loghat utara di hadapan penyokong Pakatan Harapan.

Kenyataan beliau disambut hilai tawa dan disusuli sorakan gemuruh.

Sebaik klip video ucapan itu tular, bergempita media sosial dengan tuntutan agar Guan Eng membuat permohonan maaf.

“DAP cauvinis!”

“DAP anti monarki!”

“Apa nak jadi dengan nasib orang Melayu?”

Ramai yang mengingatkan orang Cina bahawa negara yang didiami mereka itu namanya Tanah Melayu. Apa mereka tidak belajar sebarang perkara daripada filem Mat Kilau?

Masalahnya, ini bukan kali pertama DAP menunjukkan prejudis dan tentangan mereka terhadap institusi diraja.

Awal tahun 2Q23, Lim Kit Siang mengeluarkan fatwa yang jelas melawan titah Yang di-Pertuan Agong yang menyeru kepada kestabilan Kerajaan.

“Kenyataan Agong tidak qat’ie, tidak jadi kata putus. Memang kita berhak merancang (menumbangkan Kerajaan) dan tiada siapa yang boleh halang kita untuk merancang.”

Ya, di dalam realiti alternatif ini, Kit Siang tahu definisi ‘qat’ie’.

Sewaktu menjadi Kerajaan, Pakatan Harapan yang dikuasai DAP sesuka hati membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan diraja sehingga mengundang kemurkaan Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum itu lagi, 3 Adun Perak daripada DAP menolak untuk mengadap Sultan Perak apabila dititahkan. Alasan mereka, parti tidak membenarkan. Hal ini sudah melampau.

DAP berterusan melakukan penghinaan ke atas Raja-Raja Melayu lagi dan lagi. Kebia-DAP-an ini perlu dihentikan.

Penyokong PAS kini sedang bersiap untuk turun ke Dataran Merdeka.

Sayup-sayup kedengaran dari bucu telefon pintar mereka : “Pertahankan kepimpinan ulama...”

Jubah putih sudah selesai digosok. Replika perisai dan pedang telah tersedia. Di penjuru bilik, sepanduk anti DAP sedang menunggu untuk dijulang. Masa untuk berjihad.

Mujur semua ini berlaku di cakerawala alternatif. Di dunia sebenar, mana mungkin DAP berperilaku sedemikian. Mereka bukan PAS.

JOHAN MAT ialah pembaca Malaysiakini.

Polis siasat gambar tular batu tertera ayat al-Quran dijadikan pelapik anjing

BERNAMA

Kepala Batas: Polis menjalankan siasatan lanjut berhubung tiga keping gambar tular di Facebook yang memaparkan dua batu tertera ayat al-Quran dijadikan pelapik tempat anjing tidur.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata gambar tersebut dikesan ditularkan semalam dan berdasarkan siasatan awal kejadian itu berlaku di sebuah kedai barang perkakasan di kawasan Teluk Air Tawar, di sini.

"Polis turut menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki hari ini berhubung hantaran di aplikasi media sosial TikTok milik akaun isterinya berkaitan gambar sama.

"Menerusi hantaran itu, seorang pengguna pemilik akaun TikTok telah meninggalkan komen iaitu 'rider PBA tanya owner kedai kata jangan sibuk' pada gambar berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki yang membuat laporan polis itu tidak mengenali pemilik akaun TikTok yang meninggalkan komen tersebut dan tujuan dia membuat laporan polis kerana terkilan dengan pemilik kedai perkakasan berkenaan yang tidak menghormati agama Islam.

Mohd Asri berkata pihaknya telah menghubungi pengendali laman Facebook Kementerian Nitizen Malaysia bagi memadam hantaran yang tular itu, selain turut menghubungi pemilik kedai perkakasan dan pemilik akaun TikTok untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Katanya lawatan pihak polis ke lokasi kejadian mendapati dua batu tertera tulisan ayat al-Quran itu telah tiada di tempat yang ditularkan.

"Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1997," katanya.

Menurutnya orang ramai dinasihatkan agar memadam dan tidak menularkan gambar tersebut bagi menjaga sensitiviti agama Islam dan mengelak berlakunya kejadian tidak diingini.

Mulut longkang akhirnya mohon ampun

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pemimpin PAS Sanusi Md Nor memohon ampun dan berharap Sultan Selangor tidak murka terhadapnya susulan kenyataannya yang didakwa telah memperlekeh Baginda berhubung pemilihan menteri besar.

Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) berkata beliau mengutuskan warkah kepada Sultan Selangor semalam untuk menjelaskan maksud sebenar ucapannya dalam satu ceramah yang telah diputar belit oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Warkah saya itu didahului dengan merafak sembah memohon ampun dan maaf kepada Sultan Selangor seraya berharap tidaklah timbul kemurkaan Baginda Tuanku Sultan bersabit isu sengaja dibangkitkan daripada ucapan itu,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Sanusi bagaimanapun tidak mendedahkan warkahnya dalam kenyataan itu untuk menjaga adab berurusan dengan istana.

“Saya dimaklumkan oleh pegawai Istana Selangor bahawa Sultan Selangor telah memberi perkenan untuk menerima dan membaca warkah saya itu pada hari Jumaat (14 Julai).”

Beliau turut mengesahkan telah memberi keterangan kepada pegawai penyiasat Bukit Aman pada 2 pagi semalam untuk membantu siasatan berhubung kontroversi itu.

Sanusi disiasat bagi kesalahan berkait kaum (race), agama (religion), dan raja (royalty) atau 3R; susulan dakwaan beliau menghina Sultan Selangor.

Dalam ucapannya yang tular, pemimpin PAS itu dipaparkan seolah-olah menyentuh tentang perkenan Sultan Selangor, berkait pelantikan “menteri besar cokia (tiada kualiti)”.

Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk Ahli Dewan Diraja Selangor Emran Kadir yang menyifatkan kenyataan Sanusi menghina institusi beraja di Selangor, memandangkan Sultan mempunyai prerogatif dalam pelantikan menteri besar.

Hanya RM1 juta, semua guna wang saya, kata abang Sanusi

FMT Reporters
Abang kepada menteri besar Kedah, Sahabudin Nor di banglo enam bilik miliknya di Sik yang menjadi perhatian baru-baru ini.
PETALING JAYA: Abang kepada Menteri Besar Kedah Sanusi Nor menjelaskan bahawa banglo miliknya di Sik dibina beliau menggunakan wangnya sendiri dengan kos kira-kira RM1 juta.

Sahabudin berkata nilai kediaman itu bukannya RM7.8 juta seperti yang didakwa baru-baru ini.

Banglo enam bilik itu dibina di atas tanah pusaka yang diwarisi isterinya dan kerja-kerja pembinaan bermula Februari tahun lalu. Anggaran awal pembinaan rumah itu hanya kira-kira RM800,000 dan jumlah keseluruhan mencecah lebih kurang RM1 juta.

“Saya bina rumah ini menggunakan wang simpanan hasil titik peluh ketika bekerja sebagai penyelam dasar laut di luar negara selama 27 tahun selepas berhenti berkhidmat di tentera laut.

“Kalau harganya RM7.8 juta, baik saya jual saja rumah ni, lagi untung,” katanya menurut Berita Harian.

Banglo itu mula menjadi perhatian pada minggu lalu apabila gambarnya tersebar di media sosial dan mendakwa ia milik Sanusi.

Bagaimanapun, pejabat Sanusi menafikan dakwaan itu. “Tiada satu sen pun wang menteri besar Kedah digunakan untuk membina banglo,” kata kenyataan itu.

Sahabudin berkata dia tidak tahu rumahnya tular di media sosial kerana beliau tidak menggunakan sebarang platform media sosial dan hanya mengetahui mengenai isu itu selepas diberitahu rakan dan anaknya.

“Bagi saya rumah ini tidaklah sebesar mana, ada lagi banglo penduduk Sik lebih besar daripada rumah saya. Mungkin sebab saya abang kepada menteri besar, mereka tularkan, ini semua bermotifkan politik,” katanya.

Pendatang asing semakin melampau kerana penguatkuasa cuai

Ini memang melampau bela kambing tanah DBKL
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
PIHAK DBKL menyita kambing yang berada di tanah lot milik Datuk Bandar Kuala Lumpur. FOTO Ihsan DBKL
PIHAK DBKL menyita kambing yang berada di tanah lot milik Datuk Bandar Kuala Lumpur. FOTO Ihsan DBKL
Kuala Lumpur: Tindakan dianggap berani luar biasa apabila ada warga asing dikesan membela kambing di atas tanah lot milik Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Aktiviti itu dikesan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang turut menyita barang jualan atau peralatan milik peniaga warga asing di Parlimen Batu di sini.

DBKL memaklumkan, kesalahan itu dilakukan di atas tanah lot 201224 yang juga milik Datuk Bandar Kuala Lumpur.

"Tindakan sita itu diambil susulan notis yang dikeluarkan pada 11 Julai lalu dan didapati pemilik kambing gagal mematuhi notis diberikan mengikut Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

" Ia bagi arahan berhenti membela dan memindahkan kambing ke luar kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) selain membersihkan serta meroboh kandang kambing," katanya.

Menurutnya, satu notis kompaun turut dikeluarkan mengikut Seksyen 82(5) Akta Kerajaan Tempatan 1976 atas kesalahan gagal mematuhi notis.

"Tindakan susulan akan terus dilaksanakan jika pemilik masih terus gagal mematuhi notis.

"Tindakan sudah dilaksanakan oleh petugas dari Pejabat Kesihatan Parlimen Batu serta Pejabat Cawangan Batu dan dibantu oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Hayunan pendulum PAS

Mohsin Abdullah

Pendulum. Terjemahannya dalam bahasa Melayu “batu ladung”. Ada juga yang menterjemahnya sebagai “bandul”. Apa pun ia biasa kelihatan pada jam dinding fesyen lama. Ia berhayun kiri kanan kiri kanan mengikut detik masa. Hayunan terhenti apabila jam ‘mati’.

Seorang kawan yang kebetulan bekas aktivis PAS pernah mengajukan “teori pendulum” semasa mengupas prestasi PAS dalam beberapa pilihan raya. Katanya, kecemerlangan PAS dalam suatu pilihan raya akan disusuli dengan prestasi tidak baik pada pemilihan berikutnya. Akan datang ia mencatatkan prestasi yang baik pula. Ringkasnya – prestasi baik, tidak baik, baik, tidak baik. Begitu. Seakan hayunan lantas teori pendulum.

“PAS menang Kelantan 1990, kalah PRU 1995 tapi Kelantan kekal walaupun prestasi kurang baik. 1999 menang besar ekoran isu Anwar Ibrahim, menang Kelantan, Terengganu. 2004 kalah balik. Walaupun Kelantan kekal Terengganu hilang,” kata beliau.

Perlu menyorot sedikit sejarah untuk menghayati apa yang kawan saya katakan itu. PRU 1990 ialah pilihan raya umum kali ketiga sejak Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri. Ia merupakan kali pertama “Umno Baru” bertanding setelah berlaku perang besar Umno pada 1987. Perang antara Tim A pimpinan Mahathir dengan Tim B pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li.

Ku Li menubuhkan Semangat 46 menjalin kerjasama dengan PAS dan beberapa parti kecil Melayu dan menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah atau APU. Gandingan ini berjaya menumpaskan Barisan Nasional di Kelantan (tetapi BN menang peringkat Parlimen). Walaupun Semangat 46 sudah bubar sekaligus APU sudah tiada, sekian lama PAS memerintah Kelantan sehingga hari ini.

Kalau pada 1990 PAS bersama APU cemerlang, lima tahun kemudian prestasi kurang memberangsang meskipun mengekalkan pemerintahan di Kelantan. Tetapi pada pilihan raya yang diadakan pada 1999 PAS mendapat untung besar daripada isu pemecatan Anwar daripada Umno setahun terdahulu. Meskipun tidak berjaya menumbangkan BN di peringkat nasional menerusi Barisan Alternatif, PAS mengekalkan Kelantan dan mendapat bonus apabila memenangi Terengganu. Jelas PAS memanfaatkan sentimen anti-Mahathir dalam kalangan pengundi Melayu ketika itu.

Namun pada 2004 BN pimpinan Abdullah Ahmad Badawi mencatat kemenangan besar di peringat nasional. PAS tetap kekal memerintah Kelantan. Bagaimanapun ia kehilangan Terengganu. Abdul Hadi Awang hanya sempat memegang jawatan menteri besar Terengganu selama satu penggal.

Kesedihan terubat empat tahun kemudian pada PRU 2008 apabila PAS berjaya menjadi kerajaan di Kedah di samping Selangor apabila Pakatan Rakyat yang dianggotai bersama PKR dan DAP.

Pilihan raya 2013 dan 2018 tidak apa yang menakjubkan buat PAS tetapi PRU15 yang diadakan tahun lalu, PAS dengan garang menyapu banyak kerusi Parlimen di Kedah, Kelantan, dan Terengganu. Pencapaian itu digelar “Gelombang Hijau” sempena warna bendera PAS.

Begitu hayunan pendulum yang diperkatakan kawan saya si bekas aktivis PAS. Setelah prestasi mengkagumkan tahun lalu, Ogos ini PAS akan menghadapi enam pilihan raya negeri termasuk di Kedah, Kelantan, dan Terengganu yang diperintahnya. Saya tidak mahu bercakap mengenai teori pendulum kawan saya itu. Kalau pun ada hayunan, saya tidak berhasrat meramal arah mana ia akan terhayun. Takut dituduh tukang tilik. Lebih teruk dituduh tahyul dan taghut. Nauzubillah min zalik.

Pulak dah!! Mereka mahu ‘bunuh’ saya, Sanusi dakwa ucapan diputar belit

FMT Reporters

PETALING JAYA: Sanusi Md Nor mendakwa ucapannya diputar belit dan digunakan pihak tertentu untuk “membunuh” karakternya sebagai pemimpin politik pembangkang.

Menteri besar Kedah berkata, ucapannya dalam ceramah di Selayang Selasa lalu, tidak ada walau sepatah pun memberi maksud menghina Sultan Selangor seperti didakwa.

“Pemahaman mereka yang salah itu mahu dipaksakan ke atas orang lain semata-mata untuk raih laba politik daripada isu tersebut sambil ‘membunuh’ saya.

“Semua orang melompat masuk dalam satu isu yang mereka reka sendiri daripada plot 3R (agama, kaum, institusi raja),” katanya menurut Sinar Harian.

Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) itu dalam ceramah tersebut didakwa membuat perbandingan antara Sultan Kedah dan Sultan Selangor dalam melantik Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor yang dilabelnya “cokia” (tiada kualiti).

Susulan itu, Amirudin dilaporkan menempelak Sanusi yang disifatkannya “kurang ajar” terhadap Raja-raja Melayu, selain menyentuh isu 3R.

Beberapa individu termasuk ahli politik turut membuat laporan polis berhubung ucapan Sanusi.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata kertas siasatan terhadap Sanusi dibuka Rabu lalu dan keterangannya diambil polis hari ini. Setakat ini polis menerima 31 laporan terhadap pemimpin PAS tersebut.

Sementara itu, Sanusi berkata larangan menggunakan isu 3R ibarat tembok yang sengaja dibina untuk melindungi pemimpin politik lawan, bukan melindungi aspek sebenar 3R.

“Semua usaha kini ditumpukan untuk ‘bunuh’ beberapa pemimpin PN, kerana Pakatan Harapan dan Barisan Nasional tidak ada agenda pembangunan sendiri.

“Mereka tak ada modal baharu, yang ada senjata ‘membunuh’ lawan saja,” katanya.

Isu Sanusi: Berdiam diri bukan lagi pilihan buat PAS, kata Saifuddin

B Nantha Kumar

Berdasarkan perkembangan terkini, kata Saifuddin Nasution Ismail, oran ramai boleh memahami bahawa isu dakwaan Muhammad Sanusi Md Nor terhadap Sultan Selangor adalah sangat serius.

Justeru kata Setiausaha Agung PKR itu parti PN khususnya PAS tidak ada pilihan kecuali menyatakan pendirian mereka berhubung tindakan Sanusi di Selayang baru-baru ini.

"Majlis Syura (Ulama) PAS dan Jawatankuasa PAS Pusat wajib segera membuat keputusan berhubung keceluparan dan kebiadaban Sanusi terhadap Sultan Selangor.

"Berdiam diri bukan lagi satu pilihan atau parti itu dilihat bersetuju dengan penghinaan Sanusi terhadap institusi raja-raja Melayu," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Petang tadi, selain lebih 30 laporan polis dibuat pelbagai kumpulan atau orang perseorangan termasuk parti politik, Dewan Diraja Selangor turut merujuk Sanusi kepada pihak berkuasa.

Ia berkaitan ucapan Sanusi dalam ceramah politiknya pada 11 Julai lalu yang membandingkan pelantikan menteri besar di Kedah dan Selangor.

Antara lain menteri besar sementara Kedah itu berkata: “Hebatnya Sultan Kedah ni, bukan koman-koman, sultan tara tu hampa bayang, tengok menteri besar (merujuk kepada Sanusi), sultan hebat macam tu takkan pilih menteri besar cokia (lekeh) macam Amir(Amirudin Shari).

Kata Saifuddin desakan dan laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dibuat Dewan Diraja Selangor itu jelas mencerminkan seriusnya perbuatan Sanusi di mata pihak istana.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin yang juga menteri dalam negeri berkata PDRM polis akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap Sanusi selaras dengan undang-undang negara.

"Episod ini patut menjadi pengajaran kepada semua bahawa perbezaan politik tetap ada batasnya.

"Ia tidaklah boleh sehingga menghina sesama sendiri apatah lagi institusi raja-raja Melayu yang sangat dihormati kedudukan dan peranannya dalam negara kita," katanya.

Untuk rekod Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dilaporkan media sudah memberi teguran kepada Sanusi.

3 termasuk penguat kuasa ditahan disyaki seludup warga asing

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tiga suspek termasuk seorang penguat kuasa ditahan selepas dipercayai menerima rasuah RM12,000 untuk melepaskan warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Semua suspek ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah dengan kerjasama polis semalam, lapor Harian Metro.

Menurut sumber, anggota penguat kuasa berusia 35 tahun bertugas di Tawau itu dipercayai bersubahat dengan dua lelaki berusia antara 40 hingga lewat 50-an yang bertindak sebagai orang tengah bagi melepaskan warga asing tanpa dokumen perjalanan sah.

Mereka ditahan ketika hadir di pejabat SPRM Sabah kira-kira 6 petang.

Warga Indonesia terbabit dipercayai keluar dari Tawau ke Kuala Lumpur tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Tawau.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy yang mengesahkan tangkapan berkata, semua suspek akan ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Dewan Diraja Selangor tuntut Sanusi minta maaf segera

Malaysiakini

Seorang ahli Dewan Diraja Selangor berkata sultan di negeri itu berhak melantik sesiapa saja yang dirasakan wajar untuk menjadi menteri besar.

Justeru menurut Emran Abdul Kadir dia berpendapat Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor sebagai menghina institusi diraja Selangor apabila mempertikaikan pelantikan dibuat baginda.

Ditemui media di Shah Alam hari ini, Emran berkata kenyataan Sanusi itu dibuat kononnya pelantikan Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor oleh sultan sebagai tidak wajar.

“Kenyataan beliau (Sanusi) kita anggap sebagai menghina institusi raja di Selangor kononnya pelantikan Dato’ Menteri Besar (Amirudin) itu seolah-olah tidak wajar.

“Tuanku boleh melantik sesiapa sahaja untuk jadi Datuk Menteri Besar asalkan pemimpin berkenaan daripada pemenang undi yang paling banyak, itu (termaktub) dalam perlembagaan.

“Jadi, Tuanku telah melantik tepat sepertimana menteri besar sekarang seorang pemimpin yang dapat majoriti di Dewan Negeri Selangor, tidak patut dipersoal,” katanya dipetik akhar rasmi kerajaan negeri, Selangorkini hari ini.

Terdahulu Emran bersama beberapa ahli Dewan Diraja Selangor membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam bagi membolehkan Sanusi disiasat serta diambil tindakan.

Ia berkaitan ucapan Sanusi dalam ceramah politiknya yang membandingkan pelantikan menteri besar di Kedah dan Selangor. Ia berlangsung di Selayang pada 11 Julai lalu.

Sudah tersebar luas

Antara lain menteri besar sementara Kedah itu berkata: “Hebatnya Sultan Kedah ni, bukan koman-koman, sultan tara tu hampa bayang, tengok menteri besar (merujuk dirinya), sultan hebat macam tu takkan pilih menteri besar cokia (lekeh) macam Amir(udin).

Terdahulu seorang lagi ahli Dewan Diraja Selangor Mohamad Adzib Mohd Isa membuat laporan polis dan meminta agar tindakan dikenakan ke atas Sanusi.

Selain Polis Diraja Malaysia Mohamad Adzib juga meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mengambil langkah ke atas akaun media sosial ahli politik terbabit.

Turut hadir beberapa anggota Dewan Diraja Selangor termasuk bekas Ketua Audit Negara Ambrin Buang dan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Zawawi Salleh.

Emran berkata Dewan Diraja Selangor menuntut agar Sanusi membuat permohonan maaf secara terbuka kerana menghina institusi diraja negeri berkenaan.

Katanya permohonan maaf itu perlu dibuat segera kerana isu tersebut sudah tular.

“Kami minta beliau (Sanusi) memohon maaf secara terbuka secepat mungkin kerana perkara ini sudah tersebar luas.

“Kami buat laporan untuk membolehkan polis jalankan siasatan dan ambil pendekatan sewajarnya ke atas kenyataan itu,” katanya yang juga Orang Besar Daerah Petaling.

Dewan Diraja Selangor dianggotai 23 ahli dengan dipengerusikan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Ahli Dewan Diraja Selangor mohon polis bertindak pada Sanusi

Malaysiakini

Isu kenyataan Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menghina Sultan Selangor terus menarik perhatian termasuk kalangan orang bukan politik.

Kali ini Dewan Diraja Selangor pula merujuk Pengarah Pilihan Raya PAS dan PN itu kepada polis.

Dalam aduannya, ahli Dewan Diraja Selangor Mohamad Adzib Mohd Isa menganggap kenyataan dibuat Sanusi beberapa hari lalu sebagai sangat tidak bertanggungjawab.

Ia juga katanya boleh mencetuskan keresahan dan kekecohan dalam kalangan masyarakat khususnya di Selangor.

Kata Mohamad Adzib tindakan Sanui - yang kini menjadi menteri besar sementara Kedah - boleh dianggap menghina kedaulatan institusi diraja di Selangor.

"Saya memohon polis dapat mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Menteri Besar Kedah ini.

"Saya juga berharap agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia boleh mengambil tindakan dengan menutup semua akaun media sosial menteri besar Kedah yang mengandungi ucapan yang berkaitan agak beliau tidak terus menggunakan platform berkenaan untuk menyebarkan video ceramah tersebut yang berunsur hasutan dan fitnah terhadap raja kami," katanya dalam laporan berkenaan.

Ia dibuat di Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam petang ini.

Turut mengiringi Mohamad Adzib ialah beberapa individu berpengaruh termasuk bekas Ketua Audit Negara Ambrin Buang, dan anggota Dewan Diraja Selangor yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Mohd Zawawi Salleh serta Mohammad Khusrin Munawi.

Baru-baru ini Sanusi dilihat membandingkan pelantikan menteri besar di Kedah - merujuk kepada dirinya sendiri - dengan Selangor dan mengaitkan proses itu dengan pihak istana kedua-dua negeri.

Dalam ucapan sama, timbalan pesuruhjaya PAS Kedah itu juga melabel menteri besar sementara Selangor Amirudin Shari sebagai ahli politik cokia.

Ia mengundang protes pelbagai pihak. Media melaporkan sehingga tengah hari tadi ada lebih 30 laporan polis dibuat ke atas Sanusi.

Mohamad Adzib berkata dalam ucapan sama Sanusi juga menyentuh isu agama, perkauman dan raja Melayu (3R).

"Kes ini boleh diklasifikasikan di bawah kesalahan Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia," katanya dalam laporan tersebut.

Akibat terlupa, duit RM60,000 bertaburan atas jalan

BERNAMA

Jertih: Seorang lelaki mendakwa kehilangan kira-kira RM30,000 apabila wang tunai berjumlah lebih RM60,000 yang diletakkan atas but keretanya, terjatuh dan bertaburan di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu dekat Kampung Lak Lok di sini, pada 11 pagi semalam.

Ibu lelaki itu, Che Safiah Abdullah, 63, berkata anaknya Wan Ibrahim Wan Leh, 24, terlupa yang beliau sudah meletakkan beg kain berisi wang tunai di atas but kereta jenis Honda Civic, sebelum bergerak dari rumah ke sebuah bank untuk menyimpan wang itu.

"Selepas kejadian itu, Wan Ibrahim mengalami kemurungan dan hanya berkurung di dalam bilik, memandangkan wang itu dikumpulnya sejak empat tahun lalu hasil pendapatan sebagai tukang gunting di bandar Jertih.

"Lebih menyedihkan Wan Ibrahim, wang itu untuk membeli kereta sendiri sebab kereta yang digunakan sekarang milik kakaknya dan dia mahu jelaskan hutang dan upah haji arwah bapa kandung dan bapa tirinya," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Lak Lok di sini, hari ini.

Che Safiah berkata anaknya yang masih bujang itu, meletakkan beg berisi wang tersebut di atas but kereta kerana terlebih dahulu mahu membersihkan bahagian dalam kereta.

Namun dia terlupa wang berada di situ dan terus memandu ke arah bandar.

Wan Ibrahim menyedari wang itu terjatuh sebaik sampai di bandar Jertih kira-kira 10 minit kemudian, sebelum berpatah balik ke tempat kejadian berhampiran persimpangan U di Kampung Lak Lok.

"Setiba di situ beberapa orang awam yang membantu memungut wang yang berterabur di atas jalan raya, menyerahkan balik wang kepada anak saya berjumlah sekitar RM30,000, namun ada individu yang tidak bertanggungjawab dipercayai mengambil wang itu.

"Anak saya kemudian pergi membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja untuk tindakan lanjut dan kami berharap agar mana-mana individu yang mengambil baki wang itu agar memulangkan kembali kepada keluarga saya," katanya.

Che Safiah berkata kejadian tersebut turut dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah premis kedai berhampiran.

Beliau turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat mengenai baki wang tersebut boleh menghubunginya di talian 013-5395538.

'Hina Sultan': 31 laporan dibuat terhadap Sanusi, kata KPN

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis sudah mengambil keterangan Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor berhubung dakwaan menghina Sultan Selangor selepas menerima 31 laporan di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata kertas siasatan terhadap Sanusi dibuka Rabu lalu dan keterangannya diambil polis di ibu negara hari ini.

“Setakat 11 pagi ini (Jumaat), kita telah terima 31 laporan polis.

“Siasatan dijalankan pasukan khas dari Bukit Aman yang memfokuskan isu 3R, iaitu berkait agama, kaum dan institusi diraja,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, kes membabitkan 3R akan disiasat segera mengikut Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 serta Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Isu 3R ini kerap dimainkan, terutama apabila hampir PRN. Mana-mana pihak, termasuklah badan bukan kerajaan (NGO), ahli politik atau bekas ahli politik didapati cuba memainkan isu ini tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.”

Sanusi dalam sebuah ceramah di Selayang Selasa lalu membuat perbandingan antara Sultan Kedah dan Sultan Selangor dalam melantik Amirudin Shari menjadi menteri besar Selangor yang dilabelnya “cokia” (tiada kualiti).

Susulan itu, Amirudin dilaporkan menempelak Sanusi yang disifatkannya “kurang ajar” terhadap raja-raja Melayu, selain menyentuh isu 3R.

Selain Sanusi, polis turut menyiasat bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang membabitkan isu 3R.

Dalam pada itu, Razarudin hari ini berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengambil keterangan Hadi di pejabatnya di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur semalam.

Katanya, keterangan Lim pula diambil di Pulau Pinang pada Jumaat, di mana kertas siasatan dua ahli politik itu sedang dilengkapkan sebelum dihantar ke pejabat peguam negara selewat-lewatnya Isnin depan.

PMX: Pelaburan Tesla, SpaceX bakal wujud puluhan ribu peluang kerja

Faiz Zainudin
Tesla akan membuka ibu pejabat di Selangor tahun ini. (Gambar AFP)
GOMBAK: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjangkakan hasil pelaburan daripada perbincangannya dengan pemilik Tesla yang juga pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk bakal membuka puluhan ribu peluang pekerjaan di Malaysia.

“Perbincangan dengan Elon Musk tadi adalah satu perkembangan yang baik tentang peningkatan dalam kemasukan kenderaan elektrik (EV).

“Kalau (pelaburan) skali SpaceX dan EV itu akan melibatkan puluhan ribu kerja mahir,” katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat di Masjid Al-Khairiyah Taman Sri Gombak.

2 wanita ditahan terlibat dengan beraksi ‘Superman’ di PLUS

Bernama
IPOH: Dua wanita yang aksi mereka tular kerana menunggang motosikal secara berbahaya, termasuk melakukan aksi “Superman” di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) ditahan polis semalam.

Ketua Polis Muallim, Mohd Hasni Mohd Nasir, berkata kedua-duanya menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Muallim pada 9.10 malam.

Beliau berkata, mereka berjaya dikesan polis susulan rakaman video 45 saat memaparkan dua penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya tular di media sosial sejak kelmarin.

“Siasatan awal mendapati aksi mereka dirakamkan di KM375.9 arah utara pada Ahad lalu dan remaja berusia 18 dan 21 tahun itu menunggang dari Kuala Lumpur ke Ipoh.

“Apabila mereka sampai di kawasan rehat dan rawat Behrang, kedua-dua suspek melakukan aksi ‘Superman’, iaitu meniarap di atas tempat duduk dan mencelah antara kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan.

Hasni berkata, kedua-duanya yang berasal dari Pulau Indah, Selangor dan masing-masing bekerja sebagai operator platform e-dagang dan pengasuh bayi serta tiada rekod jenayah.

“Polis mengeluarkan saman ke atas mereka kerana kesalahan tiada lesen dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Wanita didakwa simbah asid menangis di mahkamah

Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my
WANITA warga emas yang didakwa menyimbah asid ke arah suami isteri dan anak mereka tiba di Mahkamah Selayang hari ini. FOTO Aswadi Alias.
WANITA warga emas yang didakwa menyimbah asid ke arah suami isteri dan anak mereka tiba di Mahkamah Selayang hari ini. FOTO Aswadi Alias.
Selayang: Wanita menangis teresak-esak ketika dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini untuk didakwa atas pertuduhan menyimbah asid kepada suami isteri, minggu lalu.

Warga emas itu yang tiba pada 9 pagi, dengan memakai jubah biru, diiringi anggota polis.

Semalam, Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Arifin Mohamad Nasir berkata, suspek berusia 60-an akan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan wanita berusia 60-an bersama suami yang juga pengusaha kedai roti naan menempuh detik cemas apabila disimbah asid semasa memasuki lif di Pangsapuri Laksamana Jaya, Batu Caves, Gombak.

Kejadian itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bangunan pangsapuri terbabit.

Ia kemudiannya tular di media sosial, memaparkan seorang individu berdiri berhampiran mangsa, semasa menunggu lif sebelum bertindak menyimbah cecair dipercayai asid.

Mangsa dan suaminya warga Pakistan menerima rawatan di Hospital Selayang. Enam hari selepas kejadian, seorang wanita warga emas ditahan bagi membantu siasatan kes itu.

PH Selangor beri Umno semua kerusi ditandingi Bersatu pada 2018

Shahrul Shahabudin

PETALING JAYA: Semua kerusi DUN ditandingi Bersatu di Selangor pada PRU14 akan diperuntukkan kepada Umno, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Amirudin Shari.

Katanya, PH juga akan memberi laluan kepada Umno di “satu atau dua” kerusi dimenanginya pada 2018 atas semangat perpaduan.

“PH akan bertanding lebih 40 kerusi,” katanya pada program The Breakfast Grille BFM pagi tadi.

Pada PRU 2018, Bersatu yang ketika itu merupakan komponen PH, bertanding tujuh kerusi DUN di Selangor dan memenangi empat kerusi. Sebanyak 56 kerusi dipertandingkan pada PRN Selangor.

Amirudin menolak khabar angin PN akan mencalonkan bekas pemimpin Umno negeri dalam PRN kerana gabungan pembangkang itu hanya akan kitar semula pemimpin lama, bukannya menetapkan hala tuju baharu untuk Selangor.

Beliau menyuarakan keyakinan terhadap PH dan Barisan Nasional (BN) mampu memenangi lebih 40 kerusi di Selangor, tetapi memberi amaran supaya mereka tidak leka dalam berkempen.

Menteri besar Selangor itu juga menepis kritikan rakan sejawatannya dari Kedah, Sanusi Nor terhadap kerajaan negeri PH, dengan mengatakan wakil PAS itu pada dasarnya mengkritik rakan sekerja PN, Azmin Ali.

Sanusi mendakwa pembangunan di Selangor bukan disebabkan dasar kerajaan negeri PH, tetapi ia bernasib baik kerana terletak berdekatan ibu negara, Kuala Lumpur.

PH menerajui Selangor sejak pertama kali memenangi negeri itu dalam PRU12 pada 2008. Negeri itu menyaksikan tiga menteri besar berbeza sepanjang tempoh itu – Allahyarham Abdul Khalid Ibrahim, Azmin dan Amirudin.

Amirudin: PH beri laluan kepada Umno di 'satu, dua' kerusi S'gor

Hariz Mohd

PH bersetuju memberi laluan kepada BN di beberapa kerusinya pada pilihan raya negeri Selangor akan datang, kata Amirudin Shari.

Bercakap dalam temu bual di sebuah stesen radio yang disiarkan pagi ini, pengerusi PH Selangor itu berkata ini dilakukan atas semangat perpaduan tetapi tidak memberi butiran khusus kecuali sekadar berkata, ia melibatkan "satu atau dua kerusi".

“Sudah tentu, kita terpaksa mengalah atas semangat perpaduan. (Tetapi) Saya tidak dalam kedudukan untuk menjawab. Pengerusi gabungan kerajaan perpaduan akan mengumumkannya (senarai calon).

“Kami lepaskan apa yang kami anggap untuk setiap parti sebelum ini pada pilihan raya umum ke-14... Sudah tentu kerusi yang dimenangi Bersatu ketika bertanding di bawah bendera PKR.

"Dan satu atau dua (kerusi PH) kepada Umno atas  semangat perpaduan," katanya pada temu bual di segmen Breakfast Grille di radio BFM.

Amirudin, yang juga menteri besar Selangor, juga cuba mengelak daripada mengulas tentang senarai calon PH-BN untuk Selangor apabila ditanya oleh pengacara program jika akan ada kejutan.

Adun Sungai Tua itu mendakwa dia belum melihat senarai calon, sambil menambah bahawa PH Selangor hanya mengemukakan cadangan mereka kepada kepimpinan pusat gabungan itu berdasarkan pencalonan daripada bahagian.

“Ia semata-mata senarai PH dan Umno. Tetapi saya belum melihatnya lagi. Kami akan mengadakan mesyuarat pada 16 Julai ini.

“Ya, (kami kemukakan) cadangan, tetapi ini belum muktamad. Saya tidak boleh umum, saya tidak boleh mengulas tentang senarai itu.

“Sudah tentu, presiden ada hak, pengarah pilihan raya negara kita Rafizi (Ramli) ada hak. Kita hanya susun calon-calon dari peringkat bahagian,” katanya.

Pada wawancara itu, Amirudin juga membidas slogan  “Selangor Baharu” yang dicetuskan oleh Perikatan Nasional (PN).

Dia memberitahu BFM bahawa tiada perkara baharu dengan apa yang ditawarkan PN, terutama dengan rancangannya untuk menampilkan beberapa bekas pemimpin Umno.

“Ini bukan ‘baru’ atau perubahan dalam kepimpinan. Bagi saya, propaganda Selangor Baharu hanyalah kitar semula,” kata Amirudin sambil menambah dia  bagaimanapun tidak mengambil mudah cabaran PN.

Menurut menteri besar itu, PH dan BN masih perlu menangani isu pemindahan undi antara kedua-dua parti yang pernah menjadi seteru utama.

Beberapa tinjauan menunjukkan bahawa penyokong PH  lebih bersedia untuk memberikan sokongan kepada calon BN, tetapi sebaliknya, bilangan kumpulan yang belum membuat keputusan juga masih tinggi.

“... Saya rasa kita perlu menjelaskan kepada jentera kita, teruskan menjelaskan kepada pengundi betapa pentingnya perpaduan dan untuk sejajar dengan kerajaan persekutuan untuk pemulihan ekonomi.”

Ketika keldai mahu menjadi unta

Al-Abror Mohd Yusuf

Bersepah-sepah sebenarnya lagu 'gelap' yang dengan bertemakan khianat, curang, keji dan menggetarkan tetapi diterima ramai - termasuk mungkin golongan polis moral - secara selamba.

Ia berlaku dengan sangat bersahaja, antara lain kerana mesej yang dibawa itu dipakaikan dengan irama yang mengasyikkan. Kata-kata yang dipilih menjadi lirik pula biasanya puitis dan berbunga-bunga.

Pedulilah sama ada ia diilhamkan di luar negara atau dalam Malaysia.

Sisi-sisi gelap banyak diceritakan dengan lagu dan menjadi siulan ramai. Ia hanya dibantah atau dipersoalkan selepas ada individu atau pihak tertentu membangkitkan isu.

Itu pun belum tentu diterima, apatah lagi pada masa sama pihak yang mempertikaikan itu sendiri kadang-kadang lebih kartun daripada kartun. Orang macam itu memang ada dan bersepah-sepah juga.

Disumpah paranoid atau pelbagai teori konspirasi, misalnya.

Lama sebelum itu pun orang kita sudah terbiasa dengan sisi 'gelap' dalam seni hiburan. Misalnya pelbagai dialog spontan yang disambut dengan ketawa ria penonton.

"Itu kubur tempat kau nak mampus, bahlol!" misalnya, atau "Dah tua pun bodoh" dan “Bapak kau kan dah mampus?"

Ia disaksikan, diraikan dan kemudian dilupakan sebelum ditiru sekali-sekala.

Kemudian datanglah zaman yang lebih kemudian.

Caci maki di masjid dinormalkan

Ketika biasanya agamawan itu seorang yang selalu meneduhkan, berjurus, menjaga kelakuan sebaik mungkin kerana sedar diri dia diperhatikan dan diteladani, ada 'agamawan' tertentu yang semacam ketagih membodohkan orang lain.

Kadang-kadang dia orang lain yang tidak sehaluan atau berbeza fikrah dengannya. Namun pada masa lain dia mungkin tidak teragak-agak membodohkan orang yang tercanguk mendengar 'kuliah' di depannya.

Ia juga diraikan. Dapat difahami dalam banyak keadaan makian dan hinaan itu adalah sejenis jenaka dalam pengajian. Namun pada ketika tertentu makian yang dilabel sebagai jenaka itu keterlaluan, dan mungkin ia lebih banyak mengisi slot 'kuliah' itu berbanding ilmu yang disampaikan.

Memanglah, apabila dewan masjid itu bergemuruh dengan ketawa, siapa yang tidak naik syok. Ia akan mendorong seseorang ustaz - atau mungkin 'tuan guru' - untuk lebih melawak.

Caci maki dan carutan di dalam masjid pun sudah dinormalkan perlahan-lahan.

Di celah-celah era itu, muncul di sana sini pelawak yang memilih untuk menjentik naluri ketawa orang ramai dengan jenaka lucah atau bertindih makna.

Ia adalah modal yang sangat mudah dan laris di pasaran.

Justeru apa yang kita risau dan gegerkan apabila orang politik pula tanpa teragak-agak menjadi badut dengan mengambil lorong keji sebegitu?

Ia adalah buah yang kita petik ranum hasil semaian yang dibaja perlahan-lahan. Dan sudah tentu baja terbaik untuk menyuburkan budaya itu namanya "agama".

Ketika orang bertamadun semakin terarah kepada budaya saling menghormati antara satu sama lain, berfikir panjang sebelum bersuara, mengukuhkan empati dan seumpamanya, orang politik memilih untuk menjadi popular dengan cara yang lain daripada lain.

Antara 'jenaka' paling keji yang mampu difikirkan ketika ini ialah mempersendakan keadaan fizikal orang lain, khususnya individu yang dibenci. Ia kemudian menjadi begitu lunak kerana sangat menghiburkan, dan disambut dengan tepukan gemuruh.

Jangan lupa, ucapan menghina, mempersenda dan memperolok-olokkan fizikal orang yang dimusuhi itu biasanya dimulakan dengan salam, selawat ke atas Rasulullah dan satu dua ayat al-Quran.

Untuk melengkapkannya, menjadi kelaziman ucapan-ucapan keji sebegitu tidak akan tamat kecuali dibacakan kalimah suci juga. Wabillahi taufiq dan hidayah, contohnya.

Demikianlah, kita pun berteriak, bersyarah dan mengacung tangan ke udara dengan perasaan bersemangat mahu membela agama. Kita menekankan bahawa agama yang dianuti ini sempurna, serba indah, tidak memusuhi sesiapa dan menjanjikan syurga.

Kemudian kita pun mengeluh apabila agama yang sesempurna itu dipandang serong, dihina, dipandang rendah atau bahkan ditolak. Punya bertuah sikap itu.

Bakar lori lepas berang buah sawit dicuri

ADNAN IBRAHIM

SEBUAH lori dibakar di sebuah ladang selepas ditemui dengan buah Kelapa Sawit dipercayai di curi dari sebuah ladang di Jalan Parit 5, Sungai Linau, Simpang Renggam, Kluang, Johor, semalam.
KLUANG – Berang selepas mengetahui buah kelapa sawit di ladang tempat mereka bekerja dicuri, sebuah lori yang penuh dengan muatan dipercayai hasil curi dibakar oleh dua pekerja di Jalan Parit 5, Sungai Linau, Simpang Renggam, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, bagaimana pun tindakan dua pekebun berusia 40 dan 50 tahun itu menyebabkan mereka ditahan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

Katanya, sebelum itu, kejadian kecurian buah kelapa sawit itu disedari berlaku pada pukul 8.30 pagi apabila penyelia ladang masuk ke kawasan ladang dan menemui kesan buah sawit sudah dipotong.

Menurutnya, perkara tersebut kemudian dimaklumkan kepada anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada pukul 11 pagi.

“Bertindak atas maklumat sepasukan anggota dari Balai Polis Simpang Renggam telah membuat rondaan dan ternampak empat lelaki sedang memunggah buah kelapa sawit dari lori yang terbakar di ladang itu.

“Menyedari kehadiran pihak polis keempat-empat suspek melarikan diri namun seorang daripadanya berjaya ditangkap dan hasil soal siasat keatas suspek pihak polis berjaya menahan baki tiga suspek berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau lagi, semua suspek berusia mengaku mencuri buah kelapa sawit dari ladang PPSB Simpang Renggam itu dan semakan ke atas lori berkenaan mendapati milik syarikat swasta yang didaftarkan di Johor Bahru.

Ujarnya, semua suspek yang bekerja sebagai buruh masing-masing berusia 30-an beralamat di Simpang Renggam dan daerah ini dengan tiga daripadanya mempunyai 21 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Ujian air kencing mendapati semua mereka positif dadah jenis methamphetamine manakala kerugian dianggarkan RM300 selain lori dan buah sawit dirampas,”katanya.

Menurut Bahrin, pekerja bertindak membakar lori berkenaan kerana marah buah sawit dicuri. Kedua-dua pekebun itu mengakui berada di tempat kejadian semasa kejadian berlaku.

“Semua enam suspek berkenaan ditahan reman selama empat hari sehingga 16 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 (KK) bagi dua pekebun dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan untuk empat suspek yang disyaki mencuri buah kelapa sawit,” katanya. – KOSMO! ONLINE

M Daud Kilau: 'Yang kata saya sudah mati cepat-cepat datang minta maaf'

Muhamad Lokman Khairi
am@hmetro.com.my
M Daud Kilau
                                         M Daud Kilau
Bagan Datuk: "Setiap kali saya masuk hospital, ada pihak yang kata saya meninggal dunia, sehingga ada yang datang ziarah di rumah. Berapa kali manusia mati agaknya?" kata raja gelek, Datuk M Daud Kilau.

Terdahulu, tular di media sosial sejak pagi hari ini yang menyatakan penyanyi lagu malar segar, Sirih Pinang dan Cek Mek Molek berusia 85 tahun itu meninggal dunia.

Ketika dihubungi, M Daud Kilau berkata, dia masih bernafas dan meluahkan perasaan hairan di sebalik berita kematiannya yang sudah beberapa kali dihebohkan.

"Saya masih bernafas, masih sihat walaupun kesihatan agak terganggu sedikit. Saya macam biasa saja, saya makan apa yang sedap, ikan kegemaran saya ikan tongkol, hari ini isteri saya masak.

"Dia menjaga saya pagi, malam, waktu tidur dan sekarang dia sentiasa berada di samping saya.

"Saya memang tak sihat, kebas kaki dan tangan, biasalah sakit orang tua. Hari ini ada orang datang ke rumah saya, mereka nak menziarahi sebab dapat mesej mengatakan saya sudah meninggal dunia, mereka datang bertanyakan pada isteri saya pagi tadi," katanya.

Juara Bintang Radio di Singapura 1968 itu turut meminta individu yang mencetuskan berita palsu berkenaan datang berjumpa dengannya serta memohon maaf.

"Kepada individu yang kata saya sudah mati, harap datanglah berjumpa dengan saya. Kita bersalaman, berkenalan, tidak salah.

"Datanglah segera jumpa saya minta maaf, mana tahu kalau betul-betul Allah ambil nyawa saya, tak sempat nak bercakap dengan saya, minta maaf pada saya.

"Nanti tak payah nak jumpa di 'sana', kalau di dunia pun payah nak berjumpa apatah lagi di 'sana' nanti," katanya.

Sementara itu, isterinya, Datin Rohani Awang Ngah berkata, dia terpaksa menjawab panggilan telefon dari ahli keluarga serta rakan artis sejak pagi tadi yang cemas bertanyakan situasi suaminya.

"Anak saudara saya yang tinggal di Kuala Lumpur menangis kerana menyangka memang benar suami saya sudah meninggal dunia. Dia tanya betulkah Pak Su (Daud Kilau) meninggal dunia, saya jawab Pak Su sedang makan.

"Datuk DJ Dave pun menelefon bertanyakan perkara sama, saya banyak terima panggilan telefon sehingga saya tak sempat jawab.

"Jiran, kawan dan peminat juga datang ke rumah kami hari ini dalam keadaan bersedih kerana menyangka mesej berkenaan benar," katanya.

Sebelum ini, berita palsu kononnya bintang veteran itu meninggal dunia sudah beberapa kali terjadi antara Januari 2016 dan September 2022, kedua-duanya adalah sewaktu beliau dimasukkan ke wad Hospital Teluk Intan kerana mengadu sukar membuang air kecil dan alami paru-paru berair.

Bahan politik disebar di masjid, Jais beri amaran jangan langgar titah Sultan

FMT Reporters
Pengarah Jais Mohd Shahzihan Ahmad memberi amaran kepada pentadbir masjid dan surau tidak membiar bahan terbitan berunsur politik disebar di rumah ibadat.
PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memberi amaran mengenakan tindakan dan membatal lantikan pentadbir masjid dan surau kerana membenarkan ahli politik berpolitik di rumah ibadat termasuk membiar bahan terbitan berunsur politik disebar.

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad, berkata masih ada pegawai masjid di negeri itu didapati mengambil ringan ketetapan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bagi mengekalkan masjid dan surau sebagai “zon aman serta bebas sebarang elemen atau pengaruh politik”.

“Tindakan pihak tertentu yang mengambil kesempatan menjelang proses PRN dengan mengedar bahan bercetak berunsur politik dan berpolitik di masjid atau surau adalah suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan melanggar titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah serta ketetapan Mais,” katanya menurut Bernama.

Katanya, Sultan Selangor sejak 2018 telah bertitah mengingatkan agar masjid atau surau menjadi tempat beribadat yang aman dan sejahtera serta tidak dipolitikkan.

Beliau berkata, sebarang tindakan yang bersifat menghina, mengingkari, melanggar atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atau arahan Mais boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 12 (a) atau (b), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Pegawai masjid yang terlibat juga boleh dikenakan tindakan dan dibatalkan pelantikannya oleh Mais berdasarkan Peraturan 7 (f), Peraturan-Peraturan Masjid Dan Surau (Negeri Selangor) 2017,” katanya.

Sering pinjam duit disyaki punca lelaki Nepal dibunuh

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga asing maut dipercayai dijerut dan dipukul akibat dendam kerana sering meminjam dan mencuri wang rakan sekerja dalam kejadian di rumah kedai Taman Merdeka Jaya, Melaka.

Ketua Polis Melaka Tengah, Christopher Patit, berkata mayat warga Nepal berusia 32 tahun itu ditemui dalam tandas selepas pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira 6.42 petang semalam.

Katanya, siasatan mendapati mangsa dan suspek saling mengenali dan rakan sekerja selama tiga bulan.

“Soal siasat awal dijalankan mendapati motif kejadian disebabkan suspek tidak berpuas hati dan berdendam dengan mangsa kerana si mati selalu meminjam dan mencuri duitnya, selain mangsa turut dikatakan sering lambat membuka pintu.

“Pemeriksaan turut mendapati terdapat kesan jerutan pada badan mangsa,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan tidak hadir bekerja pada hari kejadian sebelum majikannya ke asrama pekerja bagi mencarinya dan menemui mayat lelaki terbabit.

“Mayat berkenaan ditemui di tandas di premis itu, siasatan turut menemui sebatang kayu dan kabel telefon berhampirannya,” katanya.

Katanya, polis berjaya menjejaki suspek yang juga warga Nepal berusia 20 tahun di hentian rehat di Pedas Linggi, kira-kira 11.30 malam semalam.

Christopher berkata, suspek direman seminggu hinga 19 Julai dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jaga mulut di pentas politik, mursyidul am PAS tegur Sanusi

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS Hashim Jasin menegur Sanusi Md Nor supaya menjaga percakapan di pentas politik untuk mengelakkan kontroversi yang menyentuh sensitiviti berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R).

Hashim yang memberi teguran itu susulan kenyataan Sanusi yang didakwa seolah-olah memperlekehkan Sultan Selangor berkata, pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) perlu lebih bertenang dan berlapang dada.

“Sanusi ke…tak kiralah pemimpin mana pun perlu lebih bertenang,” katanya kepada FMT mengulas rakaman ceramah Sanusi seolah-olah menyentuh tentang perkenan Sultan Selangor, berkait pelantikan “menteri besar cokia (tiada kualiti)”.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan Sanusi disiasat bagi kesalahan berkait 3R.

Sebelum itu, Sanusi yang juga menteri besar Kedah turut mencetuskan kontroversi menerusi Podcast “Keluar Sekejap” disiarkan Isnin lalu dengan mendakwa orang bukan Islam paling ramai ditangkap atas kesalahan memberi dan menerima rasuah.

Mengakui Sanusi sebagai pemimpin PAS “yang agak keras”, Hashim berkata ucapan menyentuh sensitiviti seolah-olah sukar dielak ketika masing-masing berada dalam “mood” pilihan raya.

“Bila berada atas pentas (ceramah politik) kemungkinan itu ada (tidak boleh kawal percakapan) kerana kita dalam mood pilihan raya.

“Perkara itu boleh timbul,” katanya mengharapkan semua pihak boleh berlapang dada dan memaafkan sesama sendiri untuk mengelak pertikaian itu berlanjutan hingga ke mahkamah.

Fitnah PM: Setiausaha politik Anwar buat laporan polis

PUTRAJAYA - Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi pada Khamis membuat laporan polis terhadap tiga individu kerana menganggap ketiga-tiga individu berkenaan telah mengeluarkan dan menyebar beberapa kenyataan palsu dan bersifat memfitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Individu berkenaan adalah aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che'gu Bard, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Raggie Jessy Rithaudeen.

Bercakap kepada media selepas membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini pada Khamis, Ahmad Farhan berkata, laporan polis berkenaan adalah berhubung kenyataan media Che'gu Bard dan ucapan Wan Saiful dalam satu ceramah di Kedah baru-baru ini mengenai kediaman peribadi dan kenderaan yang digunakan Anwar yang didakwa milik seorang ahli perniagaan.

"Kesemua kenyataan itu adalah tidak berasas, berniat jahat dan bermotifkan politik,” katanya yang turut ditemani peguam Anwar, Datuk S Sankara Narayanan Nair.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan pihaknya akan menjalankan siasatan.

Sementara itu, Sankara Narayanan Nair berkata, pihaknya mempunyai bukti dan dokumen berkaitan perjanjian pajakan kediaman Anwar di Sungai Long, Kajang, namun ia tidak boleh didedahkan kepada umum.

"Hartanah yang didiaminya adalah termaktub dalam perjanjian pajakan olehnya selama 10 tahun, ditandatangani pada tahun 2020, lama sebelum beliau menjadi Perdana Menteri.

"Pajakan itu dibayar dengan sewajarnya, tiada pertikaian mengenai siapa yang memiliknya," katanya. - Bernama

Bahaya mainkan isu 3R untuk raih undi

Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Penggunaan isu 3R (kaum, agama, raja) oleh orang politik untuk meraih undi perlu dihentikan sebelum memuncak ke tahap yang amat berbahaya.

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan, berkata, ia terutama dalam keadaan politik semasa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) apabila pengundi Melayu dikatakan adalah pembuat keputusan atau 'king maker'.

Beliau berkata, sebarang usaha menarik hati pengundi Melayu menggunakan isu 3R akan menyebabkan masyarakat di negara ini terbelah kepada dua kumpulan besar.

"Ia (mainan isu 3R) akan membentuk kumpulan pengundi Melayu 'versus' pengundi bukan Melayu atau pengundi beragama Islam versus pengundi bukan Islam.

"Masalahnya perbezaan ideologi politik dalam konteks sebenarnya itu tak ada. Tetapi yang berlaku perbezaan dalam isu 3R.

"Ini amat merbahaya sekali kalau kita lihat bentuk masyarakat kita pada ketika ini.

"Memang ketika ini pihak kerajaan dan pihak pembangkang menggunakan isu ini. Ia berlaku sejak tiga atau empat dekad lalu dan sudah sampai ia dihentikan," katanya.

Beliau berkata, suasana apa yang dilihat hari ini adalah hasil yang bermula penggunaan isu 3R dalam meraih undi manfaat politik dan kesannya berlanjutan.

"Kita lihat kesannya begitu negatif sekali. Kalau tak dibendung daripada sekarang ia akan menjadi lebih teruk sekali.

"Sebab itu kerajaan dikatakan akan mengambil tindakan tegas. Kerajaan boleh sahaja menggunakan juga isu itu tetapi sebagai kerajaan yang bertanggungjawab sewajarnyalah melihat ia tidak memberi manfaat.

"Saya tidak menyalahkan orang ramai tetapi saya menyalahkan orang politik yang menggunakan isu 3R ini untuk meraih manfaat atau pun meraih undi dalam pilihan raya," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa memberi amaran terakhir kepada mana-mana pihak yang menyentuh isu 3R terutama ketika menghadapi PRN.

Beliau dilaporkan berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil kepada mana-mana individu tanpa mengira pangkat, kaum, atau agama yang sengaja mencetuskan isu itu hingga membawa suasana tidak harmoni.

Air mata hakim ‘gugur’ dengar fakta kes 3 kali bapa rogol anak

FMT Reporters

PETALING JAYA: Hakim Mahkamah Sesyen Muar sebak sehingga menitiskan air mata ketika mendengar fakta kes seorang bapa didakwa merogol anak kandungnya.

Menurut Berita Harian, Abu Bakar Manat, yang mempengerusikan prosiding dilihat dalam keadaan sedemikian apabila fakta kes dibaca bagi tiga tuduhan merogol pada Jun dan awal bulan ini melibatkan lelaki berusia 46 tahun itu.

Tertuduh mengaku bersalah dan dihukum penjara 72 tahun serta 30 sebatan dengan hukuman penjara diarah berjalan serentak.

“Sebagai ayah, kamu sepatutnya menjadi wira dalam keluarga melindungi anak-anak. Saya sedih mengapa perkara ini boleh berlaku,” kata Abu Bakar memetik laporan itu.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa merogol anak kandungnya berusia 14 tahun dengan kejadian pertama berlaku pada 22 Jun, pada 1.30 pagi.

Dia sekali lagi mengulangi perkara sama pada 26 Jun, pada 2 pagi dengan kejadian terakhir dilaporkan berlaku pada 3 Julai lalu, 4.30 pagi.

Semua ketiga-tiga kejadian berlaku di tempat sama iaitu sebuah rumah di Batu Pahat.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan sehingga 10 kali bagi setiap pertuduhan.

Selepas mengambil kira pengakuan tertuduh, Abu Bakar kemudian menjatuhi hukuman penjara 24 tahun dan 10 sebatan masing-masing untuk pertuduhan pertama, kedua, dan ketiga.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara serentak, tetapi bagi hukuman sebatan, perlu dijalankan secara berasingan.

Bagaimanapun, Seksyen 288 Kanun Tatacara Jenayah menyatakan 24 sebatan adalah jumlah maksimum dibenarkan mengikut kanun berkenaan.

Tertuduh juga diarahkan menjalani hukuman itu bermula dari tarikh ditahan 8 Julai lalu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhi hukuman maksimum dengan mengambil kira perkembangan terkini kes rogol melibatkan bapa kandung selain mencerminkan kepentingan awam melebihi tertuduh.

Polis buka kertas siasatan ke atas Sanusi atas dakwaan 'hina' Sultan Selangor

Hariz Mohd

Polis telah melancarkan siasatan terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataannya yang didakwa menghina Sultan Selangor, kata Ketua Polis Negara Razarudin Hussain.

Razarudin berkata ahli politik sepatutnya menghindari isu 3R (race, religion, royalty) agar tidak mencetuskan ketegangan, terutama menjelang PRN.

“Berkenaan menteri besar Kedah, kita telah buka kertas siasatan berkaitan 3R semalam," katanya dalam sidang media di Bukit Aman.

Razarudin merujuk kenyataan Sanusi dalam satu ceramah kelmarin, di mana dia didakwa memperlekehkan perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap pelantikan Amirudin sebagai menteri besar Selangor.

Dalam satu rakaman video yang tular di media sosial, Sanusi dilihat membandingkan Sultan Kedah dan Sultan Selangor.

"Bukan koman-koman (lekeh), sultan setara itu hangpa bayang dan tengok menteri besar (merujuk dirinya), sultan hebat macam itu tak akan pilih menteri besar cokia macam Amir (Amirudin). Inci pun tak berapa cukup," katanya.

Pasukan petugas khas siasat 3R

Razarudin berkata kes Sanusi disiasat oleh pasukan petugas khas yang mengendalikan kes 3R.

Dalam pada itu, dia berkata polis mendapati insiden membabitkan 3R semakin meningkat menjelang PRN.

Katanya, ia berbahaya terutama apabila disentuh oleh pemimpin yang berpengaruh.

"Jadi lagi bagus kita jangan bercakap isu 3R ini, terutama hampir dengan PRN.

"Contohnya, kalau yang bercakap itu ketua macam saya, saya mengapi-apikan orang, pengikut saya akan lebih semangat untuk mungkin (boleh menyebabkan hal) tidak selamat di mana-mana seamasa PRN nanti.

"Itu bahaya perkara-perkara 3R ini bila disentuh," katanya lagi.

Berkenaan kes 3R, Razarudin berkata polis telah membuka 61 kertas siasatan sejak 27 Mac.

Ia termasuk kes melibatkan individu berprofil tinggi seperti Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dia berkata polis mendapati ada ucapan yang disiasat memang mengandungi unsur yang melanggar undang-undang.

"Sebahagian kertas siasatan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara," katanya lagi.

‘Pemberontak’ Umno mungkin undi tolak Bajet 2024, kata pemimpin Johor

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Beberapa Ahli Parlimen mungkin mengundi menolak Bajet 2024 Oktober ini, jika Perikatan Nasional (PN) menang besar dalam PRN bulan depan, kata seorang pemimpin Umno Johor yang enggan dinamakan.

“Jika mereka menang empat atau lima negeri, maka ya, anda mungkin lihat Ahli Parlimen kerajaan undi menentang bajet.

“Sekurang-kurangnya 12 Ahli Parlimen mungkin memberontak, termasuk seorang menteri daripada kerajaan terdahulu,” kata sumber itu sambil menambah “pemberontak” itu daripada Umno dan sebuah parti mesra Barisan Nasional.

Beliau berkata, punca utama di sebalik tindakan itu ialah rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Presiden Umno Zahid Hamidi.

“Ramai dalam parti tidak menyokongnya. Justeru, anda akan lihat sejumlah besar ahli Umno tidak mengundi dalam PRN.”

Sumber itu berkata, Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak mungkin menyertai parti pembangkang, jika ditawarkan jawatan menteri.

“PN berhasrat menubuhkan kerajaan, jadi mereka akan beri sebanyak mungkin jawatan menteri bagi memenuhi keperluan Ahli Parlimen ini.”

Ketika ini, kerajaan perpaduan menguasai 148 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, bermakna Perdana Menteri Anwar Ibrahim masih mempunyai sokongan mencukupi untuk Bajet 2024, walaupun jika 12 Ahli Parlimen meninggalkan blok kerajaan.

Satu lagi sumber daripada Umno, yang dikenali memihak kepada Zahid, berkata situasi itu membimbangkan.

“Ya, kita menyedari langkah ini, oleh itu kita perlu memastikan setiap Ahli Parlimen datang dan mengundi untuk parti. Kemungkinan undi menentang bajet akan diketahui apabila kita lihat keputusan PRN, khasnya di Selangor.

“Jika Selangor tumbang, maka ya kita akan bimbang kerana ia petunjuk PN mendapat sokongan rakyat,” kata pemimpin Umno dari Negeri Sembilan itu.

Sementara itu, sumber daripada Warisan berkata, sebilangan ahlinya tidak puas hati dengan kepimpinan parti yang memutuskan tidak bertanding dalam PRN.

“Sekumpulan kecil ahli mahu parti bertanding, tetapi kepimpinan Semenanjung menyokong keputusan Presiden Shafie Apdal dan Majlis Tertinggi tidak menyertai PRN,” kata sumber berpangkalan di Semenanjung itu.

Menurutnya, ahli tidak puas hati itu, khasnya berpangkalan di Sabah, merasakan Warisan patut memberi impak di Semenanjung.

“Mereka merasakan parti tidak patut bersetuju dengan semua kehendak Anwar, tetapi perlu membuat pendirian.”

Di Sarawak, seorang pemimpin GPS berkata, kebanyakan Ahli Parlimen parti itu mungkin menerima keputusan presidennya, walaupun “ada tiga atau empat orang mungkin menentangnya” dan khabar angin Ahli Parlimen menunjukkan sokongan kepada PN bukan perkara baharu.

Hina Sultan Selangor: Zahid minta Sanusi 'taubat'

Nora Mahpar

PUTRAJAYA: Presiden Umno Zahid Hamidi meminta Sanusi Md Nor ‘taubat’ susulan dakwaan pemimpin PAS itu menghina Sultan Selangor pada satu ceramah di Selayang, kelmarin.

Beliau mewakili Barisan Nasional mengingatkan Sanusi bahawa tidak semua perkara perlu dijadikan bahan kempen.

“Politik bukan bahan lawak…saya harap dia bertaubat,” katanya, mengulas ucapan Sanusi yang tular di media sosial sejak semalam.

Dalam rakaman itu, Sanusi dipaparkan seolah-olah menyentuh tentang perkenan Sultan Selangor terhadap pelantikan Amirudin Shari sebagai menteri besar.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangan memorandum persefahaman antara Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

Menteri minta SPRM siasat banglo dikaitkan dengan MB Kedah

Malaysiakini

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat pemilikan banglo bernilai jutaan ringgit yang dikaitkan dengan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Jelas Fahmi, meskipun pemimpin PAS itu mendakwa banglo berkenaan milik abangnya, namun wajar untuk SPRM menyiasatnya terlebih dulu.

"Kita kena tanya dia satu benda simple (mudah), banglo macam mana...banglo ni siapa punya banglo.

"Orang dulu-dulu sebelum ni, kita tanya pasal isu Bangla (Bangladesh). Sekarang kita tanya pasal isu banglo pula.

"Jadi Sanusi kita kena tanya dia, kena tanya dia dari mana datang (banglo), dia kata abang dia berhempas pulas dengan (ikan) Yu untuk dapatkan banglo ni," katanya ketika berucap pada program Jelajah Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang di Dewan Serbaguna Haji Omar, Kampung Bukit Belimbing, di Tanjung Karang, malam tadi.

Dua hari lalu, Muhammad Sanusi menafikan rumah banglo mewah di Sik Kedah miliknya, sebaliknya ia milik abangnya yang dikenali sebagai Budin.

Menurut Sanusi, seperti dipetik Harakahdaily, abangnya itu bekerja sebagai penyelam dasar laut.

Penafian itu dibuat ketika dakwaan dia memiliki sebuah rumah banglo di Sik seperti yang ditularkan menerusi media sosial.

"Orang Sik rata-ratanya tahu rumah itu rumah Budin bukan Sanusi. Sebagai adik, saya tahu abang saya sudah lama bekerja keras untuk membahagiakan keluarganya.

“Dia seorang yang berhati cekal, kuat kerja, berdisiplin dan mempunyai kesanggupan yang sangat tinggi untuk meningkatkan taraf hidup.

"Dia juga bijak menguruskan wang dan membeli harta. Saya sendiri kagum dengan pengorbanan dan kesanggupannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Fahmi menggesa SPRM supaya "memeriksa" abang menteri besar Kedah yang didakwa sebagai pemilik kediaman itu.

"Jadi saya harap pihak SPRM boleh tolong periksa\lah ya abang beliau (Muhammad Sanusi).

"Tengok sikit besar betul rumah banglo ni," katanya lagi.

Azmin Ali dicabar lawan Amirudin

MOHD IZZATUL IZUAN TAHIR

KUALA SELANGOR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dicabar bertanding di kerusi yang ditandingi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos depan.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, Mohamed Azmin jika bersedia untuk menjadi Menteri Besar Selangor sewajarnya menunjukkan keberanian untuk bertanding menentang Amirudin.

"Di mana sahaja Amirudin bertanding, maka (Mohamed) Azmin mesti turun berlawan dengan Menteri Besar.

"Saya akan bantu (Amirudin) untuk memastikan kita berjaya membenam (Mohamed Azmin) kalau bertanding di DUN (Dewan Undangan Negeri) (bawah Parlimen) Gombak atau jika beliau bertanding di Hulu Kelang, kita pastikan beliau tewas di sana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Jelajah Kita Selangor Arus Merah Kuning Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati di kawasan tapak parkir kereta di sini pada Rabu malam.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan Amirudin mewakili Pakatan Harapan (PH) menang dengan majoriti 12,729 undi.

Amirudin meraih 72,267 undi, manakala Mohamed Azmin yang juga penyandang kerusi itu tiga penggal lalu bertanding atas tiket PN mendapat 59,538 undi.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata, pembangkang ketika ini dilihat berkempen dan memainkan sentimen bangsa, agama dan institusi diraja (3R).

"Kamu boleh cakap macam-macam, tetapi kita serah kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan," jelas beliau.

Justeru katanya, rakyat seharusnya menghukum pembangkang dengan memberi undi kepada PH pada 12 Ogos depan.

"Hanya satu sahaja cara iaitu rakyat bersama-sama memberi signal jelas untuk menolak PN dan memilih PH dalam PRN enam negeri ini," tambahnya.

Wahai kakitangan awam

Mohsin Abdullah

Berikutan dakwaan oleh Tiong King Sing, si menteri pelancongan, seni dan budaya, bahawa ada rasuah membabitkan pihak imigresen di KLIA, beberapa hari lalu timbul dua laporan yang pada hemat saya menarik.

Laporan pertama disiar oleh Utusan Malaysia pada 8 Julai. Menurut laporan itu siasatan SPRM tidak menemukan sebarang elemen rasuah dalam kes dua wanita China tidak dibenarkan memasuki negara ini sehingga menimbulkan kekecohan di KLIA pada 29 Jun lalu.

Kemudian laporan kedua pada hari yang sama. Ketua Pesuruhjaya Azam Baki dipetik berkata terlalu awal untuk membuat kesimpulan tiada rasuah dalam insiden KLIA itu. Kata beliau lagi, siasatan baru masuk hari keenam (waktu beliau membuat penafian) “dan tidak munasabah untuk menyelesaikannya dalam tempoh tersebut”. Ertinya kita mesti tunggu siasatan selesai. Jangan ada prejudis dan jangan buat kesimpulan setakat ini.

Sebelum itu atau lebih tepat 4 Julai 2023, wartawan veteran A Kadir Jasin menulis di Facebook berjudul “Melayu layu kerana rasuah”. Perlu dinyatakan beliau menulis secara am walaupun ada menyentuh sedikit tuduhan Tiong. Kadir juga pada pandangan saya turut ‘menyindir’ pertubuhan perniagaan yang dimonopoli orang Cina, yang berpusu-pusu menyokong Tiong walhal katanya “yang banyak menggunakan rasuah sebagai modal adalah golongan peniaga”. Adakah betul anggapan saya itu satu ‘sindiran’ atau salah anggap?

Apa pun bukan itu isunya di sini. Yang saya setuju ialah apabila Kadir berkata maruah orang Melayu rosak, martabat jatuh, dan integriti dicurigai apabila sebahagian terlibat dengan rasuah “ibarat beberapa ekor kerbau bawa lumpur habis satu kandang terpalit,” katanya.

Kata Kadir, persepsi orang Melayu rasuah begitu meluas dan menular “lagi-lagilah apabila sudah dibuktikan berulang kali orang Melayu berkedudukan tinggi disiasat, didakwa ada kes prima facie,didapati bersalah dan dihukum kerana rasuah”.

Kata beliau lagi oleh sebab memang ada orang Melayu yang rasuah maka apabila “berlaku serangan seperti yang dilakukan oleh Tiong maka susah bagi orang Melayu mempertahankan kakitangan awam tanpa ragu-ragu.” Benar.

Berbalik soal persepsi orang Melayu rasuah begitu meluas dan menular yang disebut tadi. Kata Kadir, ini juga kerana serendah-rendah orang Melayu dia sedikit sebanyak ada kuasa kerana bekerja sebagai ketua kerani pejapatan, kastam, imigresen, maritim, dan inspektor kesihatan. Semua pekerjaaan ini dan banyak lagi kata beliau ada “power”. Ringkasnya kakitangan awam yang ada kuasa.

Saya juga mahu bercakap mengenai kakitangan awam – yang ada power, yang ada sikit power, malah yang tidak ada power. Saya bercakap bukan pada aspek rasuah. Yang ingin saya katakan ialah mengenai tugas dan tanggungjawab kakitangan awam keseluruhannya. Maksud saya menjalankan tugas, memikul tanggungjawab dengan cekap dan bagus, serta beramanah. Lakukan demi bangsa sendiri. Kakitangan kerajaan majoriti orang Melayu. Overwhelming Malay. Lantas jika atau apabila mereka tidak cekap, tidak efficient, tidak bagus, bangsa Melayu lah yang dituduh tidak cekap, tidak cerdik, tidak rajin, dan bermacam tuduhan yang tidak sedap didengar, yang menyayat dan menyakiti hati.

Ini kita sudah sering dengar dilemparkan. Seluruh bangsa Melayu terpalit akibat kakitangan yang tidak menjalankan tugas dengan bagus. Kalau ada pun tuduhan ke atas kakitangan awam secara khusus ia kerap disusuli dengan kata-kata “orang Melayu memang macam tu”.

Benar ada kakitangan awam yang rajin dan bekerja keras tetapi tidak dapat dinafikan ada dalam kalangan mereka yang malas, kaki ponteng, tidak menjalankan tugas dengan jujur dan baik, bengis dan sombong terhadap orang awam yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan serta pelbagai elemen negatif. Lazimnya perkara negatif lah yang selalu tidak dilupa orang. Lalu semua perkara tidak baik itu dikaitkan dengan amalan orang Melayu. Hilang kredibiliti dan kewibawaan orang Melayu.

Oleh itu kakitangan awam wajib jalankan tugas dan amanah dengan hebat. Lakukan yang paling baik. Saya sedar ada frustration dalam perkhidmatan awam terutama soal naik pangkat. Ada kakitangan yang pandai main wayang dan kaki ampu mendapat ganjaran meskipun malas. Mereka bijak sembunyi keburukan diri manakala kakitangan yang dedikasi terabai kerana tidak pandai menonjol diri. Ini masalah besar yang kita harap dapat diatasi. Diakui this is easier said than done.

Namun kakitangan awam mesti tampil dengan prestasi cemerlang kerana diatas bahu mereka terletak maruah bangsa. Mereka mewakili Melayu.

MP PKR minta rakyat sabar, pentadbiran Anwar ibarat bayi belum berlari

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahli Parlimen PKR Hassan Karim, antara penyokong blok kerajaan lantang mengkritik pentadbiran Anwar Ibrahim, meminta rakyat bersabar menunggu perdana menteri menyelesaikan pelbagai masalah negara.

Wakil rakyat Pasir Gudang itu berkata Anwar yang mula memegang tampuk pemerintahan di Putrajaya pada penghujung November lalu kini giat menyelesaikan satu persatu masalah diwarisi daripada pentadbiran dahulu.

Beliau turut mengibaratkan pentadbiran presiden PKR itu sebagai bayi berusia tujuh bulan yang belum pandai berlari.

“Kita telah menunggu lama untuk beliau menjadi perdana menteri, rakyat kena sabar sikit…kalau bayi tujuh bulan anak itu belum pandai berlari.

“Jadi masalah negara ini besar dan banyak, tetapi beliau buat (selesai) satu demi satu,” katanya berucap pada Jelajah Madani DUN Permatang malam tadi yang disiarkan di Facebook.

“Kadang-kala saya kritik juga dia, ada orang marah…tetapi tegur itu tegur sayanglah pemimpin kita.”

Jelajah itu turut dihadiri pemimpin Barisan Nasional (BN) Selangor yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRN bulan depan.

Hassan dalam satu temu bual dengan FMT pada April lalu mendedahkan bahawa pandangan jujurnya mengenai kerajaan Anwar meresahkan beberapa pemimpin yang menghantar mesej kepadanya, memintanya “lebih mengawal diri kerana PKR kini kerajaan”.

Tiga puisi bertajuk Ku Simpan Risalah Reformasi di Dalam Peti, Kuasa Mengubah Segala-galanya dan Satu Deklarasi dihasilkannya itu juga secara berkias mengkritik Anwar.

Puisi itu antara lain mendakwa Anwar menggadai prinsip perjuangan selain mempersoalkan perjanjian PH dengan gabungan parti membentuk kerajaan perpaduan.

Menteri komunikasi dan digital saran Muhyiddin cermin diri dulu

Samuel Chua

PUTRAJAYA: Jurucakap utama kerajaan, Fahmi Fadzil membidas Muhyiddin Yassin kerana mendakwa pentadbiran Anwar Ibrahim “tidak boleh diharap”, kerana kata-kata bekas perdana menteri itu sendiri meragukan.

Pengerusi Perikatan Nasional itu sebelum ini menyifatkan pentadbiran Anwar “tidak boleh diharap” dan mendakwa ia gagal selesaikan pelbagai isu.

“Kadang-kala, apabila saya mendengar kenyataan daripada Muhyiddin, bagi saya ianya tidak boleh diharap,” kata menteri komunikasi dan digital itu ketika ditemu bual FMT.

“Dia boleh kata kepada orang ramai yang dia dah tandatangan contohnya dokumen tentang pelupusan hutang Felda… tapi soalan asas di situ ialah kamu tandatangan atau tidak?” katanya, merujuk kepada hutang berkait Felda.

“Jawapannya ialah kamu tidak tandatangan (dokumen pelupusan), kamu tak boleh diharap.”

Pada Julai 2021, Muhyiddin selaku perdana menteri ketika itu mengumumkan kerajaan bersetuju melupuskan hutang peneroka Felda yang berjumlah RM8.3 bilion, namun tertakluk pada syarat tertentu.

Bagaimanapun, Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyangkal dakwaan bahawa hutang telah dilupuskan sehingga lah beliau berbuat demikian baru-baru ini.

Muhyiddin mempertikaikan dakwaan Anwar, antaranya dengan memetik kenyataan Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said di Parlimen, namun perdana menteri menegaskan bahawa beliau lah yang menandatangani dokumen berkaitan.

Bagi Fahmi, isu-isu seperti dakwaan Muhyiddin tentang program pelupusan hutang Felda yang menimbulkan keraguan sama ada Ahli Parlimen Pagoh itu boleh dipercayai.

“Jadi bagi saya, sebelum Muhyiddin berkata apa-apa kepada mana-mana pihak yang lain, lihatlah dalam cermin wajah Tan Sri yang tak boleh diharap,” katanya.

Dua ibu tunggal didenda RM2,000 kerana menyundal

Faris Fuad
faris.fuad@bh.com.my

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret hari ini mengenakan denda RM2,000 masing-masing terhadap dua ibu tunggal yang juga tukang urut kerana menawarkan khidmat seks kepada seorang anggota polis berpangkat koperal, bulan lalu.

Majistret, Zhafran Rahim Hamzah, memutuskan hukuman berkenaan selepas warga Vietnam, Tu Dong Thuy Hoa dan Thi Lan Giang, masing-masing berusia 33 tahun, mengaku bersalah atas tuduhan terbabit.

Mahkamah juga mengarahkan mereka dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati mencari langganan bagi tujuan persundalan dengan menawarkan perkhidmatan seks kepada anggota polis berpangkat koperal di sebuah bilik hotel di Taman Equine, Seri Kembangan, jam 6 petang, 27 Jun lalu.

Kesalahan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, peguam bela kedua-dua tertuduh, M S Jasmine Faith, memohon hukuman berbentuk denda atas alasan anak guam berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

"Dua anak guam masing-masing perlu tanggung seorang anak berusia lima serta 10 tahun, selain memohon maaf atas perbuatan itu.

"Anak guam direman selama 15 hari sejak ditangkap selepas bekerja selama dua hari sebagai tukang urut, ia menjadi pengajaran kepada mereka," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Md Kamal, memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.