Elon Musk umum akan aktifkan internet Starlink di Gaza

HarapanDaily.com
Keganasan Israel: Elon Musk umum akan aktifkan internet Starlink di Gaza
Bilionair Elon Musk sebentar tadi mengumumkan Starlink miliknya “akan menyokong sambungan kepada organisasi bantuan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa di Gaza.”

Pengumuman pengasas Tesla dan pemilik laman X itu susulan desakan warganet selepas jaringan telekomunikasi di wilayah bergolak itu terputus sepenuhnya.

Sementara itu, situasi di Gaza pada masa ini merupakan yang terburuk pernah disaksikan sejak keganasan Israel tercetus 7 Oktober lalu.

Lapor Al Jazeera, penduduk di selatan Gaza sedang berdepan situasi terburuk dan paling getir dalam sejarah peperangan Israel-Palestin.

Agensi berita itu dapat menyampaikan perkembangan masa ke masa dari kawasan kepungan Gaza menerusi satelit meskipun tidak kerap.
Gaza musnah teruk dengan lebih 7,000 rakyat Palestin terkorban dibedil pengganas Israel tanpa henti.

Menurutnya, komunikasi secara langsung gagal ekoran tindakan Israel memutuskan sepenuhnya jaringan telekomunikasi.

Semalam, jurucakap ketenteraan Israel menyebarkan peta yang menunjukkan Hospital Al Shifa menjadi tapak ibu pejabat pimpinan Hamas.

Hamas bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan sejam kemudian Gaza sudah terputus hubungan dengan dunia luar.

Kira-kira jam 7 malam waktu tempatan, serangan besar-besaran dilancarkan di laut dan darat menyasarkan utara Gaza sekitar Hospital Al Shifa.

Ratusan yang berada dalam kawasan itu dilaporkan terbunuh.

Pejuang Hamas dalam pada itu berikrar akan berjuang habis-habisan menentang rejim zionis yang tanpa henti meragut nyawa individu terutama kanak-kanak tidak berdosa.

Lapan warga India jadi pengintip Israel dijatuhkan hukuman mati

Agensi

DOHA – Lapan warga India yang bekerja di Qatar dijatuhkan hukuman mati kerana menjadi ejen pengintip bagi pihak Israel.

Menurut laporan dalam media India, kesemua mereka ditangkap tahun lalu kerana disyaki mengintip bagi negara Zionis tersebut mengenai program kapal selam tentera Qatar.

Menurut laporan media India, lapan lelaki itu adalah bekas pegawai tentera laut India bekerja untuk syarikat perunding Al Dahra dalam menasihati kerajaan Qatar mengenai pemerolehan kapal selam.

Al Dahra ialah syarikat yang berpangkalan di Teluk yang menawarkan “penyelesaian sokongan lengkap” kepada sektor aeroangkasa, keselamatan dan pertahanan.

Pada ketika ini, Qatar memainkan peranan perantara utama dalam rundingan pembebasan beberapa tebusan Israel yang ditahan di Gaza oleh kumpulan pejuang Palestin, serta kemasukan beberapa bantuan kemanusiaan untuk penduduk awam Gaza.

Berjuta-juta orang India tinggal dan bekerja di Teluk, sebilangan besar daripada mereka sebagai pekerja separuh mahir atau tidak mahir.

Mereka merupakan sumber pendapatan penting bagi India dan menyumbang kepada kejayaan ekonomi Teluk.- Agensi

Amerika Berang: Arab Saudi-China Kerjasama Bina Loji Janakuasa Nuklear

BERITAINTERNATIONALMALAYSIA

(DEFENCE SECURITY ASIA)  — Arab Saudi dilapor akan mempertimbangkan tawaran oleh China untuk membina loji janakuasa nuklear di negara Timur Tengah itu, dalam satu lagi bukti menunjukkan hubungan diplomatik yang semakin akrab di antara Riyadh dan Beijing.

Dalam masa yang sama, ia juga membuktikan hubungan yang semakin renggang di antara Arab Saudi dengan sekutunya “lama”, Amerika Syarikat.

Agensi kerajaan, China National Nuclear Corp (CNNC) telah mengemukakan tawaran untuk membina sebuah loji janakuasa nuklear di wilayah timur Arab Saudi berhampiran dengan sempadan negara itu dengan Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), menurut pegawai-pegawai Riyadh.

Kementerian Luar China tidak mengesahkan laporan oleh media, Wall Street Journal (WSJ) mengenai tawaran pembinaan loji janakuasa nuklear oleh agensinya tetapi jurucakapnya berkata,  Beijing akan terus menjalin kerjasama yang menguntungkan kedua-dua pihak meliputi pelbagai bidang termasuk tenaga nuklear.

Ia bagaimanapun berkata akan tetap mematuhi peraturan antarabangsa yang mengawal industri tenaga nuklear itu.

Nuklear
Stesen janakuasa nuklear yang sedang dibina di Emiriah Arab Bersatu
Arab Saudi sebelum ini dilaporkan cuba bekerjasama dengan Amerika Syarikat dalam usahanya untuk melaksanakan program nuklear untuk awam dalam salah satu syarat memintanya supaya mewujudkan hubungan diplomatik dengan Israel.

Israel membantah cadangan Arab Saudi untuk mewujudkan program nuklear untuk awam sebagai salah satu syarat untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan negara Yahudi itu.

Pegawai-pegawai Amerika Syarikat dilapor pernah berkata bahawa ia akan hanya berkongsi teknologi tenaga nuklear jika perjanjian dimeterai bagi mengelak usaha pengkayaan (enrichment) Uranium atau memproses plutonium di reactor – dua usaha untuk membangunkan senjata nuklear.

Menurut media berpengaruh itu, Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman bersedia untuk bekerjasama dengan agensi China itu sekiranya rundingan dengan pihak Amerika Syarikat itu menemui jalan buntu.  

Arab Saudi bercadang membina 16 buah loji janakuasa nuklear di negara itu untuk tempoh 25 tahun pada kos US$80 bilion dalam usahanya untuk mengurangkan kebergantungannya kepada minyak dan gas, walaupun rizab minyak dan gas oleh negara Arab Saudi itu adalah kedua terbesar di dunia.
Dimona
Dimona menempatkan reaktor nuklear Israel.
Selain itu Riyadh juga mahu bersaing dengan Iran yang telah memiliki berbelas stesen janakuasa nuklear. 

Dalam satu lagi bukti menunjukkan pengaruh Amerika Syarikat di Timur Tengah semakin pudar, Arab Saudi dan Mesir dilaporkan sedang berbincang dengan Beijing untuk memperolehi  pelbagai sistem persenjataan termasuk pesawat pejuang J-10C buatan syarikat negara itu.

Agensi industri pertahanan Arab Saudi, Saudi Arabian Military Industries (SAMI) juga dilapor sedang berbincang dengan China North Industries Group Corporation (NORINCO) untuk membeli pelbagai jenis sistem persenjataan termasuklah  sistem pesawat tanpa pemandu dan sistem pertahanan udara.

Angkatan Tentera Arab Saudi bercadang memperolehi sistem pertahanan udara buatan China, HQ-17AE yang sebenarnya adalah berdasarkan kepada sistem pertahanan udara “TOR” yang dibangunkan oleh Russia.

Cumanya, sistem pertahanan udara HQ-17AE itu telah dinaiktaraf dan kemampuannya telah dipertingkat oleh China.
Nuklear
Loji janakuasa nuklear Iran di Bushehr
Selain itu Arab Saudi sedang berunding dengan China untuk membeli sistem dron VTOL (Vertical Take-Off Landing) CR500, dron Cruise Dragon 5, sistem loitering munition dan sistem dron Sky Saker FX80.

Baru-baru ini, penganalisis pertahanan di Timur Tengah mendakwa Arab Saudi sedang berunding dengan China untuk memperolehi sehingga 12 buah kapal perang destroyer Type 052DE (varian eksport bagi kapal perang Type 052D).

Kapal destroyer Type 052D kelas-Luyang itu merupakan di antara kapal perang paling berkemampuan di dalam armada Tentera Laut China dan seringkali disamakan dengan kapal destroyer kelas-Arleigh Burke milik Tentera Laut Amerika Syarikat. — DSA

3 cedera siling pusat beli-belah runtuh ketika hujan lebat

FMT Reporters
Keadaan di pintu masuk Megah Rise Mall selepas sebahagian siling runtuh petang tadi.
PETALING JAYA: Tiga cedera ringan selepas sebahagian siling di sebuah pusat beli-belah di Taman Megah, di sini runtuh akibat hujan lebat dan angin kencang petang tadi.

Megah Rise Mall dalam kenyataan di Facebook berkata, tindakan segera diambil bagi menangani situasi itu dan pihak pengurusan sedang menyiasat insiden berkenaan.

“Dukacita dimaklumkan siling anjung kereta di depan pintu masuk Megah Rise Mall runtuh ketika angin kencang dan hujan lebat kira-kira 3 petang tadi menyebabkan tiga orang cedera ringan.

“Kami sedang menyiasat punca kejadian dan bertindak segera bagi menangani situasi itu. Keutamaan kami ialah keselamatan dan kesejahteraan komuniti kami.”

Pusat beli-belah itu meneruskan operasi, tetapi kawasan terjejas dikepung.

Indonesia terbangkan pesawat guna bahan api campuran minyak sawit

Pesawat milik Garuda Indonesia melakukan penerbangan komersial pertamanya menggunakan bahan api jet campuran minyak sawit. - Foto REUTERS
Pesawat milik Garuda Indonesia melakukan penerbangan komersial pertamanya menggunakan bahan api jet campuran minyak sawit. - Foto REUTERS
JAKARTA: Indonesia semalam, melakukan penerbangan komersial pertamanya menggunakan bahan api jet campuran minyak sawit.

Ia dilakukan ketika pengeluar sawit terbesar dunia itu mendesak penggunaan biofuel lebih meluas untuk mengurangkan import bahan api.

Ketua Pegawai Eksekutif Garuda Indonesia, Irfan Setiaputra, berkata pesawat Boeing 737-800NG kendalian syarikat itu membawa lebih 100 penumpang dari Jakarta ke Surakarta dengan jarak kira-kira 550 kilometer.

"Kami akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Pertamina, Kementerian Tenaga dan pihak lain untuk memastikan harga bahan api ini berpatutan," katanya sambil menambah pesawat itu dijadual pulang ke Jakarta, semalam.

Garuda menjalankan beberapa ujian termasuk ujian penerbangan menggunakan bahan api baharu awal bulan ini, manakala ujian enjin, pada Ogos lalu.

Bahan api jet campuran minyak sawit dihasilkan firma tenaga Indonesia, PT Pertamina di kilang penapisannya di Cilacap, menggunakan teknologi hydroprocessed ester and fatty acid (HEFA) dan diperbuat daripada minyak isirong sawit luntur ditapis.

Pertamina berkata, bahan api berasaskan sawit itu kurang melepaskan gas rumah hijau, berbanding bahan api fosil, selain negara pengeluar minyak sawit menggesa minyak makan, dimasukkan ke dalam bahan mentah pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF).

Pengarah Pertamina, Alfian Nasution, berkata 2.0 SAF dihasilkan di unit Cilacap, menggunakan teknologi pemprosesan bersama dan diperbuat daripada minyak isirong sawit luntur ditapis dengan kapasiti pengeluaran 1,350 kiloliter sehari, pada 2021.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Tenaga, Harris Yahya, berkata penggunaan biofuel akan mengurangkan kesan rumah hijau.

Penerbangan adalah industri utama melepaskan gas rumah hijau, selain sedang mencari kaedah untuk mengurangkan jejak karbonnya, menggunakan sumber alternatif.

Pakar berkata, industri penerbangan akan memerlukan 450 bilion liter SAF setahun menjelang 2050, jika ia menyumbang kepada kira-kira 65 peratus pengurangan diperlukan untuk mencapai sasaran sifar pelepasan gas hijau.

Namun, beberapa negara menimbulkan kebimbangan mengenai potensi penebangan hutan bagi pengeluaran minyak sawit dari ladang dengan Kesatuan Eropah mengenakan sekatan import ke atas komoditi itu.

Pada 2021, Indonesia menjalankan ujian penerbangan dengan bahan api sama pada pesawat Dirgantara Indonesia, dari Bandung ke Jakarta.

Indonesia mewajibkan tiga peratus penggunaan biofuel untuk bahan api jet, menjelang 2020, namun pelaksanaannya ditangguhkan. - REUTERS

Pensyarah Palestin: Konflik ini akan beri kesan berpanjangan di Asia Barat

NS Ramli
story-image
Selepas hampir 30 tahun tidak kembali ke Jenin di Tebing Barat, Dr Radwan Jamal Elatrash masih berharap konflik berterusan di Gaza dapat menemui jalan penyelesaian.

Dia yang kini bertugas sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kuantan, Pahang mengakui perkembangan di Palestin sejak 7 Oktober lalu akan memberi kesan berpanjangan terhadap konflik di Asia Barat.

“Semua masalah ini tidak akan selesai dengan segera kerana Amerika Syarikat (AS) adalah sekutu Israel dan mereka akan melindungi jenayah perang dilakukan Zionis di sana.

“Saya masih mempunyai ahli keluarga di Jenin, mereka dalam keadaan selamat tetapi situasi di sana tidak stabil.

“Bila-bila masa sahaja pertempuran baru akan berlaku dan ini sangat merisaukan,” katanya ketika ditemui di Kuantan, Pahang, hari ini.
Jenin ketika diserang pada 25 Oktober lalu
Terdahulu, Radzwan menjadi ahli panel dalam forum sempena pelancaran Tabung Pahang For Palestine yang dilancarkan Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.

Wan Rosdy mengumumkan kerajaan Pahang menyumbang RM100,000 kepada tabung itu.

Ditanya mengenai krisis yang tercetus sejak kira-kira tiga minggu lalu di Gaza, Dr Radzwan berkata jelas bahawa Israel sedang melakukan "pembunuhan beramai-ramai".

“Saya cuma boleh gambarkan dengan satu perkataan saja iaitu ‘genocide’ dan ia akan berterusan jika masyarakat dunia tidak bersatu hati mengutuk kekejaman dilakukan tentera Zionis,” katanya lagi.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sehingga semalam sekurang-kurangnya 7,326 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan ke atas Gaza sejak awal bulan ini.

Daripada jumlah itu, seramai 3,038 adalah kanak-kanak.

Sementara itu, seorang lagi warga Palestin yang kini menyambung pengajian di ibu negara, Ahmad Radzwan Jamal berkata dia sangat tersentuh dengan sokongan rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.

“Saya gembira apabila begitu ramai orang memberi sokongan kepada kami. Saya harap semua negeri di Malaysia juga dapat bersama-sama menghulurkan sumbangan kepada Palestin melalui tabung disediakan,” katanya.

Dia yang mempunyai keluarga di Tebing Barat memberitahu hampir semua kenalannya masih dalam keadaan selamat.

“Cuma keadaan di sana sangat tidak stabil, namun paling terjejas ketika ini adalah semenanjung Gaza.

“Kalau nak dibandingkan situasi di Gaza 100 kali ganda lebih dasyat berbanding Tebing Barat,” katanya.

Gagal tunjuk dokumen sah, polis tahan 106 warga asing

KUALA LUMPUR - Polis menahan 106 warga asing kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa dalam satu operasi di sebuah pasar borong di sini hari ini.

Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Jonit berkata, dalam operasi Taring Nyah II pada jam 4.30 pagi itu, 103 lelaki dan tiga wanita yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan India.

"Kesemua pendatang tanpa izin itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6 (3), Seksyen 6 (1)(c), serta Seksyen 15 (4), Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959 dan Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berkaitan penyeludupan pendatang tanpa izin di mana-mana balai berhampiran.
- Bernama

Aida dengar jeritan isteri Badrul, lihat sekujur tubuh tak bernyawa

Serimah Mohd Sallehuddin
bhnews@bh.com.my
Aida tak perasan sebarang perubahan pada arwah Badrul, nampak okay dan sihat semalam. - Foto IG Aida Aris
Aida tak perasan sebarang perubahan pada arwah Badrul, nampak okay dan sihat semalam. - Foto IG Aida Aris
KUALA LUMPUR: Pelakon Aida Aris mendedahkan terdengar jeritan isteri Allahyarham Badrul Muhayat iaitu Norhayati Zulkapli daripada dalam bilik dan terkejut melihat sekujur tubuh yang tidak lagi bernyawa.

"Pagi tadi, saya terkejut bila mendengar jeritan Norhayati daripada dalam bilik.

"Secara kebetulan, kami menginap di homestay sama, jadi saya bergegas ke biliknya dan mendapati arwah sudah tidak sedarkan diri.

"Kami cuba memberi bantuan pernafasan, tapi tiada respon dan kami segera memanggil ambulans," katanya yang berada di Pulau Pinang kerana menyertai Karnival Uda di Jalan Baru Perai sejak semalam.

Aida berkata, kali terakhir berjumpa sebelum arwah masuk tidur, semalam.

"Saya tak perasan sebarang perubahan pada arwah. Dia pun nampak okay dan sihat sahaja.

"Arwah beritahu matanya mengantuk dan nak masuk tidur, malam tadi. Itu sahaja yang sempat kami bualkan sebelum arwah masuk bilik," katanya kepada BH Online.
Aida terkejut dengar jeritan Norhayati daripada dalam bilik, sebelum melihat arwah Badrul sudah tidak sedarkan diri. - Foto IG Aida Aris
Aida terkejut dengar jeritan Norhayati daripada dalam bilik, sebelum melihat arwah Badrul sudah tidak sedarkan diri. - Foto IG Aida Aris
Difahamkan, jenazah arwah Badrul masih lagi berada di homestay dan isterinya kini masih berada di balai polis untuk membuat laporan.

"Setakat ini, kami masih menunggu Norhayati pulang dari balai polis.

"Jenazah masih berada di homestay, selepas itu barulah kita tahu keputusan bawa arwah ke mana," katanya.

Terdahulu, Allahyarham Badrul, 55, disahkan meninggal dunia dalam tidur pada pagi tadi.

Beliau meninggalkan seorang balu, Norhayati yang baru dinikahi pada 18 April lalu.

Allahyarham Badrul memiliki dua cahaya mata, hasil perkahwinannya yang terdahulu masing-masing berusia 14 dan 16 tahun.
Badrul bersama isterinya, Norhayati Zulkapli pada majlis pra tayangan filem Cerana Biduk Bu Merah, 6 Oktober lalu. - Foto NSTP
Badrul bersama isterinya, Norhayati Zulkapli pada majlis pra tayangan filem Cerana Biduk Bu Merah, 6 Oktober lalu. - Foto NSTP

Kelantan: ‘Macam mana nak lawan Israel, solat sunat dua rakaat pun lari’

KOSMO!

Tangkap layar klip video seorang imam menegur jemaah di Masjid Muhammadi, Kota Bharu.
PETALING JAYA – Satu klip video yang dipercayai dirakam di sebuah masjid di Kelantan mendapat perhatian ramai apabila teguran imamnya menjentik hati jemaah masjid tersebut.

Kejadian yang dirakamkan di Masjid Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan itu dipercayai berlaku selepas solat Jumaat apabila kariahnya menganjurkan solat sunat bagi mendoakan rakyat Palestin yang kini berada dalam situasi perang.

Namun yang menariknya apabila teguran imam masjid tersebut telah mencuit hati orang ramai apabila menegur jemaah yang tergesa-gesa keluar masjid selepas solat Jumaat selesai.

“Macam mana nak lawan Israel, solat sunat dua rakaat pun lari. Tak boleh macam ni. Kita solat pun dalam aircond (penghawa dingin), 10 minit sahaja, saya cepatkan,” tegur imam tersebut.

Selepas teguran terbabit dibuat, kelihatan jemaah masjid kembali memenuhi saf di dalam masjid.

Rata-rata orang ramai turut memuji imam tersebut yang berani menegur secara terus kepada jemaah yang hadir dan ada yang bersetuju dengan cara yang dilakukan imam itu.

“Pecah perut aku, betul pak imam cakap, kita ni kalau cakap pasal Palestin bergegar rumah. Nak solat sunat dua rakaat pun tak boleh.

“Kita tak mampu nak berperang terima hakikat, tapi kita mampu berdoa keselamat saudara kita di sana,” kata Iruwan Hakim.

“Tepat sekali imam, kita nak minum ait teh panas pun tiup lagi, inikan pula nak pergi berperang di sana. Kita doakan mereka dari jauh, insya-Allah moga rakan kita di Palestin selamat,” kata Nazim Alias. – KOSMO! ONLINE.

Pesta makan jadi 'pesta gelek', penganjur mohon maaf

Mohamad Fahd Rahmat
am@hmetro.com.my
TANGKAP layar video yang tular di media sosial
TANGKAP layar video yang tular di media sosial
Kluang: Pencsaiaga yang menyertai Jelajah Makan Johor di Dataran IKS Simpang Renggam di sini, bengang dengan tindakan penganjur yang membiarkan 'aksi gelek' mencemari karnival itu sehingga ia terpaksa dibatalkan.

Akibatnya, mereka mendakwa mengalami kerugian selepas pihak berkuasa mengarahkan karnival terbabit dibatalkan serta-merta berikutan rakaman video tarian kurang sopan pengunjung itu tular di media sosial dan menerima kecaman orang ramai.

Peniaga yang enggan namanya disiarkan berkata, mereka sepatutnya berniaga di situ sehingga Ahad ini, namun dia terpaksa menanggung kerugian tidak balik modal selepas karnival itu dibatalkan.

"Barang mentah kami sudah beli dengan banyak, termasuk menanggung kos logistik. Ada peniaga datang dari jauh seperti Pahang dan Kelantan.

"Pembatalan terus (Jelajah Makan Johor) ini menjadi bebanan buat peniaga kerana kami tak mampu membayar gaji pekerja, " katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dia juga berpendapat, pihak berkuasa sepatutnya mengarahkan penganjur membatalkan acara hiburan dan pentas sahaja, bukannya membatalkan keseluruhan karnival makanan itu.

Dalam pada itu, penganjur Jelajah Makan Johor dalam kenyataannya di Facebook Jelajah Bazaar Lelong Johor tampil memohon maaf berhubung insiden berkenaan.

Menurut kenyataan itu, pihaknya bertanggungjawab sepenuhnya di atas kejadian itu dan menghargai teguran diberikan, selain berjanji perkara itu tidak akan berulang lagi.

"Selaku penganjur Jelajah Makan Johor yang bertempat di dataran IKS Simpang Renggam, dengan ini memohon maaf kepada semua warga Simpang Renggam dan juga kepada pihak berkuasa tempatan terutamanya Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) di atas kejadian yang viral (tular).

"Sesungguhnya kesilapan itu berlaku atas kelemahan kami sendiri yang gagal mengawal pengunjung yang datang untuk berhibur. Tiada niat lain dari kami semasa menganjurkan program ini selain untuk memeriahkan program anjuran kami. Namun atas kelemahan, kami gagal mengawal tindak tanduk pengunjung yang telah mencemarkan nama baik MDSR," katanya.

Polis buru pemandu lori, langgar maut wanita

FMT Reporters
Keadaan di tempat kejadian selepas sebuah motosikal dipercayai dilanggar lari sebuah lori di KM18.6 Lebuhraya Persekutuan, Petaling Jaya tengah malam tadi. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA: Polis memburu pemandu lori dipercayai lari selepas melanggar sebuah motosikal yang menyebabkan seorang wanita maut di KM18.6 Lebuhraya Persekutuan, dekat sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.35 tengah malam itu, mangsa berusia 58 tahun yang membonceng Yamaha Sport meninggal dunia di tempat kejadian manakala suaminya cedera.

Suaminya yang berusia 76 tahun dirawat di Hospital Shah Alam.

Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata pasangan terbabit dalam perjalanan dari Batu Tiga, Shah Alam ke Lembah Subang.

“Motosikal dinaiki mereka dikatakan dilanggar sebuah lori dari arah belakang dan terus melarikan diri selepas pelanggaran,” katanya menurut Harian Metro.

Polis giat mengesan kenderaan terbabit kemalangan itu dan menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Saksi dan orang ramai mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik IPD Petaling Jaya, Mohammad Najib Mohd Azaman di talian 012-3526147 bagi membantu siasatan.

Takut dihantar ke sekolah, rupanya trauma dirogol bapa saudara

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
SUSPEK lelaki berusia 57 tahun diberkas polis di rumahnya di Papar. FOTO Ihsan Polis
SUSPEK lelaki berusia 57 tahun diberkas polis di rumahnya di Papar. FOTO Ihsan Polis
Papar: Curiga seorang ibu kerana anaknya enggan dihantar dan diambil ke sekolah oleh bapa saudaranya akhirnya terjawab apabila kanak-kanak itu membongkar perbuatan terkutuk lelaki terbabit yang merogolnya.

Kanak-kanak berusia 12 tahun mendedahkan kepada ibunya bahawa dia dirogol bapa saudaranya pada Ogos lalu, di dalam kenderaan milik suspek, di tepi jalan berhampiran Kampung Langsat, di sini.

Suspek berusia 57 tahun itu sebelum ini dipertanggungjawabkan untuk menghantar dan mengambil mangsa di sekolah.

Susulan itu, ibu mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar kelmarin.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar membuat serbuan di sebuah kampung, di Papar kira-kira 2 petang semalam.

Katanya, hasil serbuan dan pemeriksaan dalam rumah berjaya menahan suspek terbabit dan turut dirampas adalah pakaian dan juga kenderaan milik suspek.

"Kejadian berlaku ketika suspek menjemput mangsa yang selesai sesi persekolahan.

"Ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, suspek merogol mangsa di dalam kereta kereta milik suspek di kawasan tepi jalan berhampiran Kampung Langsat.

"Selepas merogol mangsa, suspek menghantarnya pulang ke rumah seperti biasa," katanya.

Kamaruddin berkata, suspek adalah adik-beradik kepada bapa mangsa dan suspek tinggal berhampiran dengan rumah mereka.

"Mangsa juga menyatakan perkara itu hanya berlaku sekali dan mangsa sudah dirujuk ke Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas, untuk pemeriksaan lanjut.

"Suspek ditahan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan dan akan dipohon reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan," katanya.

Ibu menang tuntutan 'halau' 2 anak keluar rumah

Agensi

Rom: Seorang wanita di Itali memenangi kes mahkamah iaitu tuntutan untuk mengusir dua anak lelaki, berumur 40 dan 42, dari rumahnya selepas mereka enggan keluar atau menghulurkan wang bagi meringankan bebannya.

Oddity Central melaporkan, wanita itu tiada pilihan selain pergi ke mahkamah untuk mengusir dua anak lelakinya yang sudah dewasa.

Wanita berusia 75 tahun dari bandar Pavia, di utara Itali itu, sudah lama meminta dua anaknya supaya keluar dari rumah.

Tambahan, kedua-duanya mempunyai pekerjaan dan mampu menyewa tempat tinggal sendiri.

Bagaimanapun, mereka tidak pernah mengendahkannya malah enggan menghulurkan wang belanja atau melakukan kerja rumah.

Bagi mendapat keadilan, ibu mereka tidak mempunyai pilihan selain 'mengheret' dua anaknya itu ke mahkamah.

Kes mahkamah yang pelik itu baru-baru ini diakhiri dengan keputusan Hakim Simona Caterbi yang bersimpati dengan wanita itu.

Berikutan itu, Simona mengeluarkan notis pengusiran terhadap dua anak lelakinya.

Dalam keputusannya, hakim berhujah bahawa menjadi kewajipan ibu bapa untuk menyediakan nafkah kepada anak-anak mereka sehingga mencapai umur 18 tahun namun tidak wajar apabila anak-anak berusia 40-an.

Menurut data tahun lalu, hampir 70 peratus orang dewasa berumur 18 hingga 34 tahun masih tinggal di rumah bersama ibu bapa mereka.

Meskipun begitu, kes membabitkan pengusiran ibu bapa terhadap anak sangat jarang berlaku.
-hmetro 

Bunuh lelaki dalam pergaduhan, polis tahan 3 suspek

Bernama

JOHOR BAHRU: Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam pergaduhan dua hari lalu di negeri ini sehingga mengakibatkan seorang mangsa maut.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan Raub Selamat berkata ketiga-tiga suspek ditahan selepas kereta dinaiki mereka terbabas ketika cuba melarikan diri di Jalan Tun Dr Ismail kira-kira pukul 5.30 pagi semalam.

“Hasil semakan mendapati seorang suspek mempunyai dua kes jenayah berkaitan dadah, dan hasil ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata polis turut merampas sebilah pisau daripada mereka, dan kes bunuh itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh membawa hukuman mati.

Sementara itu, difahamkan dalam kejadian tengah malam Khamis hingga kira-kira pukul 1 pagi Jumaat, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai pergaduhan melibatkan beberapa lelaki sehingga mengakibatkan seorang maut.

Polis tahan 2 lelaki ugut PM, timbalan KPN di FB

FMT Reporters

PETALING JAYA: Dua lelaki tempatan ditahan semalam disyaki membuat hantaran berbaur ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay di Facebook.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Suhaily Mohd Zain berkata suspek pertama yang dipercayai pemilik akaun Facebook ‘Nekad Hikers Ventures’, berusia 51 tahun ditahan Bandar Baru Bangi, Selangor.

“Suspek kedua dipercayai pemilik akaun Facebook ‘Jgad Zruu’ berumur 27 tahun ditangkap Bukit Mertajam, Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama dan Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

“Polis turut mengingatkan orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutama melibatkan kegentaran awam dan keselamatan negara.

Rakyat sanggup belikan YB Pas tiket pesawat berjuang di Palestin

HarapanDaily.com
Rakyat sanggup belikan YB Pas tiket pesawat berjuang di Palestin
Sikap pemimpin Pas bergelar ‘YB’ yang dilihat masih mahu berpolitik mengenai jenayah perang di Palestin mengundang rasa rimas rakyat negara ini.

Antaranya, pengguna Facebook Norman Radzuan yang mengaku sudah tidak mampu lagi berhujah dengan puak pembangkang apabila menuduh kerajaan MADANI belum menyatakan tindakan lebih tegas.

“Beginilah, saya nak minta kerajaan tawarkan brother lebai ini berjuang ke Palestin.

“Saya sanggup belikan tiket kapal terbang untuk dia jika dia sanggup ke sana berjuang dengan pejuang-pejuang Hamas,” sindirnya dalam hantaran hari ini.

‘Tawaran’ Norman itu sebagai reaksi terhadap kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari semasa sidang Dewan Rakyat, pada 26 Oktober lalu.

Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pas Pusat pada persidangan Parlimen pada 26 Oktober lalu meminta Menteri Luar Negeri menyatakan mengapa kerajaan masih belum menyatakan pendirian dan tindakan yang lebih tegas dalam isu konflik di Palestin.

Malah, Fadhli memberi contoh tindakan tegas yang dimaksudkannya itu seperti mendesak agar Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Susulan itu, orang ramai membidas sikap pembangkang yang masih berpolitik dalam isu kritikal seperti Palestin.

Hal ini memandangkan Perdana Menteri terbukti lantang menyuarakan hak Palestin bahkan mengecam negara Barat yang bersikap hipokrit dalam memperjuangkan kebebasan Palestin.

Puad Zarkashi: PAS ugut Bersatu jangan lagak ‘abang besar’

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno mendakwa bayangan PAS kembali menjadi kerajaan mungkin disuarakan untuk “mengugut” Bersatu supaya jangan berlagak “abang besar” dalam Perikatan Nasional (PN).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi, berkata kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pada Muktamar Pemuda minggu lalu menunjukkan PN diketuai Muhyiddin Yassin mempunyai masalah dalaman.

Dakwanya, ia mungkin bertitik-tolak susulan tindakan parti Islam itu melantik bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat di empat negeri ditadbir PAS atau “state-government 4” (SG4) bukannya Muhyiddin.

“Dakwaan Adun Kuala Perlis (Abu Bakar Hamzah) daripada Bersatu bahawa wujud pergolakan di Perlis sebenarnya pergolakan dalaman PN yang berkaitan perkongsian kuasa di negeri itu.

“Tuan Ibrahim juga menyindir Bersatu, dengan 18 kerusi Parlimen, PAS boleh duduk dalam kerajaan ini pula dengan 43 kerusi. Tanpa PAS, Bersatu tidak akan menang kerusi Parlimen mereka sekarang,” katanya kepada FMT.

Namun, Puad yang juga Adun Rengit berpendapat hasrat PAS menjadi kerajaan mungkin hanya “mimpi di siang hari” kerana tidak banyak jalan selain menyertai kerajaan perpaduan.

“Tidak ada cara lain kecuali cara ‘tebuk atap’. Itu pun jika GPS (Gabungan Parti Sarawak) secara ‘enbloc’ tinggalkan kerajaan perpaduan termasuk sekurang-kurangnya 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional/Pakatan Harapan sanggup meletak jawatan dan bertanding semula.

“Itu langkah bunuh diri,” katanya sambil menyatakan PAS takut kedudukannya sebagai pembangkang menyebabkan ia hilang pengaruh untuk mendapat sokongan bukan Melayu.

Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong, berkata kenyataan Tuan Ibrahim mungkin untuk mengurangkan kerisauan penyokong dan Ahli Parlimen PN yang tertekan menjadi pembangkang tanpa kemudahan berbanding ketika menjadi kerajaan.

“Seperti contoh Kuala Kangsar (Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid) umum sokong Anwar Ibrahim untuk mendapatkan peruntukan, jadi dia (PAS) pun risau dan takut (sokongan wakil rakyat beralih kepada kerajaan) sebab itu buat kenyataan sedemikian,” kata Ahli Parlimen Kota Melaka itu.

Sudah-sudahlah manjakan

AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI

SEBAGAI seorang pembayar cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), saya menyokong penuh langkah kerajaan untuk memperkenalkan subsidi bersasar.

Ini kerana, sudah lama saya sakit hati dan ‘berbulu mata’ apabila melihat warga asing rakus menjarah barangan bersubsidi.

Manakan tidak, kita rakyat tempatan terutamanya yang tinggal di kampung sangat susah untuk mendapatkan bekalan gula, minyak peket bersubsidi. Kalau ada pun kena beli gula premium dahulu baru dibenarkan beli gula biasa.

Perkara ini berlaku ke atas saya sendiri dan rakan yang tinggal di kampung yang mendakwa bekalan gula dan minyak peket amat susah di Kelantan.

Jika dilihat, perkara seperti ini berlaku atas beberapa faktor, antaranya ketirisan subsidi oleh pihak tidak bertanggungjawab membawa barangan subsidi merentas sempadan negara.

Selain itu, ada juga peniaga yang berkomplot menjual bara­ngan subsidi kepada warga ­asing walaupun mereka hanya me­numpang di negara kita dan tidak membayar sesen pun cukai.

Justeru, mengelakkan isu ketirisan subsidi ini menghantui rakyat, saya tertarik dengan perkongsian oleh pakar eko­nomi dari Sekolah Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Emeritus Dr. Barjoyai Bardai yang mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan Institusi Pentadbiran Perpindahan Subsidi.

Katanya, dengan adanya institusi itu, langkah kerajaan untuk mengaplikasikan kaedah pemberian subsidi kepada rakyat melalui pindahan tunai boleh dilakukan.

Bagaimanapun, katanya, institusi terbabit perlu diletakkan bawah seliaan Kementerian Kewangan (MoF) yang bertindak sebagai ‘paymaster’ kepada pemberian subsidi.

“Biarpun MoF mempunyai bahagian pembayaran yang bertanggungjawab membuat pindahan kepada pelanggan atau pembekal kerajaan, sebuah institusi dengan pengasingan tugas wajar ditubuhkan bagi melicinkan pemberian subsidi pindahan tunai.

“Ini kerana, ia membabitkan satu tugasan baharu dengan ­kerja yang banyak, malah pe­nerima juga dijangka menjangkau lebih lapan juta orang, ia bukan jumlah kecil dari segi individu mahupun amaun bayarannya.

“Institusi itu nanti akan me­nguruskan hal berkait pentadbiran, pengurusan data termasuk verifikasi akaun, menentukan siapa golongan penerima, dan memastikan pindahan tunai dilakukan mengikut jadual.

Dalam pada itu, pakar kewa­ngan keluarga, Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri menyifatkan cada­ngan pemberian subsidi menerusi pindahan tunai itu amat baik dalam usaha mengatasi soal ketirisan kepada kira-kira 3.5 juta warga asing di negara ini.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia di Universiti Putra Malaysia itu berkata, ia juga selaras dan rasional dengan apa yang sering diungkapkan Perdana Menteri, iaitu mengatasi subsidi kepada bukan sasaran yakni golongan kelas atasan atau ‘mahakaya’.

“Tinggal lagi perlu perhalusi mekanisme penyalurannya. Saya melihat dalam belanjawan ada sebut soal Pusat Data Utama yang menggabungkan data daripada 200 agensi, jadi saya kira ia boleh dijadikan platform rujukan,” katanya.

Beliau berkata, cadangan subsidi melalui pindahan tunai juga selari ke arah era digitalisasi kini, selain mencadangkan pemberian subsidi itu ditetapkan mengikut kemampuan kewangan kerajaan sama ada dikreditkan setiap tiga bulan, enam bulan atau setahun sekali.

Warga asing ditemukan dengan kesan tetakan di tengkuk, enam ditahan

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
MAYAT lelaki warga asing ditemukan dengan kesan tetakan di tengkuk di tepi jalan. FOTO Ihsan PDRM
MAYAT lelaki warga asing ditemukan dengan kesan tetakan di tengkuk di tepi jalan. FOTO Ihsan PDRM
Baling: Enam termasuk lima lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan penemuan mayat seorang lelaki dengan kes tetakan di tengkuk di tepi jalan arah Kampung Sirako -Tebing Tinggi, Kupang, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mayat lelaki warga asing itu ditemukan dalam keadaan tertiarap di tepi kebun getah yang dikelilingi semak samun.

"Mangsa ditemui berhampiran sebuah motosikal jenis Suzuki Best yang terbalik kurang satu meter dari mayat.

"Tempat kejadian tidak mempunyai kamera rakaman litar tertutup (CCTV) dan identiti serta bangsa belum dikenal pasti, namun dianggarkan berusia awal 40 an," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Susulan itu, katanya, polis menahan seorang lelaki warga tempatan dan 5 warga asing di kawasan kebun sayur kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

"Tangkapan dilakukan berperingkat bermula jam 1.30 petang.

"Lelaki tempatan itu dipercayai pengusaha kebun sayur manakala lima warga asing itu tidak mempunyai dokumen," katanya.

Shamsudin berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat dan dapat membantu siasatan diminta menghubungi IPD Baling di talian 04-4708222 atau Pegawai Penyiasat Kes Asisten Superintendan Tan See Yean di talian 019-6687687 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Salah atasi rekod 17 tahun Henry

Agensi
AKSI Salah menjaringkan gol kelima Liverpool ketika menentang Toulouse di Anfield. FOTO AFP
AKSI Salah menjaringkan gol kelima Liverpool ketika menentang Toulouse di Anfield. FOTO AFP
London: Jaringan Mohamed Salah ketika Liverpool membelasah Toulouse 5-1 dalam aksi Liga Europa menyaksikan bintang Mesir itu memecahkan rekod 17 tahun milik Thierry Henry.

Bekas pemain antarabangsa Perancis, Henry menjaringkan 42 gol dalam kejohanan Eropah untuk Arsenal dengan jaringan terakhir ketika menentang Porto pada September 2006. Dia tidak menambah jumlah itu ketika beraksi kali kedua bersama Gunners yang menyaksikan dia hanya sekali bermain di peringkat Eropah.

Rekod jaringan terbanyak Eropah oleh pemain Liga Perdana Inggeris yang dipegang Henry bertahan lebih sedekad. Namun Salah akhirnya memintas catatan Henry dengan gol kedua dalam saingan Liga Europa musim ini untuk menambah koleksi peringkat Eropah kepada 43 gol miliknya.

Gol pertama Salah musim ini ketika menang 3-1 di LASK, antara tiga kemenangan berturut-turut skuad Jurgen Klopp manakala kemenangan terbaru awal pagi tadi ketika membelasah Toulouse menyaksikan Diogo Jota, Wataru Endo, Darwin Nunez dan Ryan Gravenberch turut menjaringkan gol.
-hmetro 

'Lucah': Rara rujuk MP Langkawi ke jawatankuasa hak dan kebebasan

Malaysiakini

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, menghantar usul ke pejabat setiausaha Dewan Rakyat untuk merujuk Ahli Parlimen Langkawi, Mohd Suhaimi Abdullah ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Katanya usul berkenaan susulan kenyataan Mohd Suhaimi yang biadab, lucah dan berunsurkan gangguan seksual kepada ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok pada 26 Okt lalu.

Syefura atau lebih dikenali sebagai Rara berkata kelakuan Mohd Suhami secara tidak langsung menghina Akta Antigangguan Seksual yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 20 Julai tahun lalu.

"Menerusi akta tersebut, gangguan seksual ditakrifkan sebagai apa-apa kelakuan yang tak diingini yang bersifat seksual dalam apa-apa bentuk sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal yang ditujukan kepada seseorang yang secara munasabahnya menyinggung atau menghina atau merupakan suatu ancaman kepada kesejahteraannya.

"Oleh yang demikian harapan saya adalah untuk beliau dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan serta mendapat tindakan yang sewajarnya agar ia menjadi pengajaran kepada setiap ahli parlimen yang lain agar tidak berkelakuan biadab dan tidak mengeluarkan kenyataan lucah terhadap mana-mana ahli parlimen yang lain," kata Rara dalam satu kenyataan.

Semalam ketika perbahasan di Dewan Rakyat, Suhaimi mencetuskan kontroversi apabila mengundang Kok ke Langkawi dalam keadaan tanpa berpakaian.

Ia sebagai respons terhadap pertanyaan Kok yang memintanya mengesahkan sama ada benar pelancong tidak dibenarkan memakai seluar pendek di bawah pentadbiran kerajaan PAS.

“Saya nak jemput khusus kepada Seputeh, YB Seputeh datang tak mahu pakai apa pun tak apa,” katanya.

Ketika diarahkan untuk menghentikan perbahasan oleh Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong Yeing, Suhaimi menuding jari kepada Kok kerana bertanya soalan berkaitan pemakaian seluar pendek di Langkawi terlebih dahulu.

Dia juga enggan menarik balik kenyataan itu meskipun diminta oleh Chong Zhemin (PH-Kampar).

"Saya terlupa hendak sebut, saya nak bayangkan bagaimana Seputeh datang tidak pakai apa-apa ke Langkawi. Itu saja," tambahnya.

Mengulas perkara itu Rara berkata dia kesal dengan perilaku ahli parlimen berkenaan yang enggan menghentikan perbahasan walaupun telah ditegur berkali-kali oleh timbalan speakar.

"Sebagai seorang ahli parlimen, beliau adalah contoh kepada penduduk kawasan yang diwakili beliau dan juga kepada rakyat Malaysia.

"Namun begitu melihat kepada respon yang diberikan, beliau seakan-akan tidak kesal dengan apa yang diucapkan bahkan menokok tambah kenyataan beliau,” katanya.

Penyanyi kumpulan rock kemalangan, warga emas maut

Asrol Awang
am@hmetro.com.my
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan. FOTO Facebook Polis Trafik Kuantan
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan. FOTO Facebook Polis Trafik Kuantan
Kuantan: Penyanyi kumpulan rock popular 1990-an terbabit kemalangan di Jalan Kuantan-Maran berhampiran susur Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Unipsas) di sini, hari ini.

Dalam kejadian 10.45 pagi itu, kereta BMW dipandu penyanyi itu berlanggar dengan motosikal Yamaha Lagenda menyebabkan penunggangnya, Eddy Kusmiran Ambi, 61, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta BMW yang dipandu lelaki berusia 53 tahun itu dalam perjalanan dari arah bandar ini menuju ke Rompin.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal dipandu mangsa di lorong kiri laluan dipercayai mengubah haluan ke lorong kanan.

"Pemandu kereta cuba mengelak tetapi terlanggar bahagian belakang motosikal itu. Penunggang motosikal itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Video tentera Israel mengaku rogol wanita Palestin tersebar

Utusanonline
Video tentera Israel mengaku rogol wanita Palestin tersebar
GAZA: Media sosial sejak semalam dibanjiri klip video yang menyiarkan pengakuan bekas tentera Israel yang pernah mencabuli kehormatan wanita Palestin.

Menerusi klip video dokumentari Mepa News, seorang pesara tentera menceritakan rakan sejawatan pernah merogol gadis berusia 16 tahun semasa insiden penindasan di kampung Tantura, pada 1948.

Kongsinya, penduduk wanita di perkampungan itu mempunyai kulit yang cantik seperti bangsa Eropah sehingga membuatkan tentera Zionis tidak mampu menahan gejolak nafsu.

Malah, lebih dahsyat dedahnya, dia bersama tentera lain bertindak kejam dengan mengurung tahanan lelaki Palestin di dalam sel tahanan dikelilingi wayar besi.

“Kemudian kami akan mengarahkan mereka duduk sebelum menembak seorang demi seorang dengan mesingan,” kongsinya dengan nada bangga.

Berkongsi pengalaman melakukan kekejaman ketika masih berkhidmat dengan Zionis Israel, seorang pesara tentera lain dengan angkuh memberitahu pernah menembak mati rakyat Palestin.

Disoal tentang jumlah yang menjadi korban ditangannya, katanya, dia tidak mampu mengingati angka tersebut kerana tidak sempat mengiranya terlebih dahulu.

“Saya pegang senapang yang ada 250 butir peluru. Saya akan tembak sesiapa sahaja tanpa sempat nak kira.

“Kalau nampak budak sekolah tiba-tiba angkat tangan, saya akan terus tembak tanpa bagi amaran,” katanya sambil tergelak mengenang peristiwa tersebut.

Klip video yang tular itu merupakan sebahagian daripada dokumentari penuh yang memaparkan pengakuan pesara tentera ketika bertindak kejam terhadap penduduk kampung berkenaan.

Berdasarkan catatan sejarah, pertumpahan darah di Tantura berlalu pada malam 22 hingga 23 Mei 1948, semasa perang Arab-Israel.

Dianggarkan hampir 200 penduduk kampung Palestin diseksa dengan kejam oleh tentera Zionis, ketika tujuh dekad lalu.

Kesemua penduduk yang maut dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan pantai Tel Dor, Nahsholim, wilayah jajahan Israel.

Terima ratusan ugutan bunuh, Bella Hadid tidak berganjak sokong Palestin

Astroawani

Gempak
Terima ratusan ugutan bunuh, Bella Hadid tidak berganjak sokong Palestin
Terima ratusan ugutan bunuh, Bella Hadid tidak berganjak sokong Palestin
Bella tegas memberitahu dunia bahawa dia menentang kekerasan dan kekejaman yang berlaku dan menuntut keharmonian dan sifat manusiawi. -Gempak
ADIK kepada supermodel Gigi Hadid, Bella, mendedahkan seluruh ahli keluarganya hidup dalam situasi tegang kerana menerima ratusan ugutan bunuh selepas kakaknya mengutuk serangan Israel terhadap Palestin.

Gigi beberapa minggu lalu dengan lantang mengutuk tindakan kejam rejim Zionis yang membedil dan membunuh ribuan nyawa rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Dia antaranya juga mendesak agar barisan pemimpin dunia bergabung dan menentang kekejaman atas dasar kemanusiaan.

Namun, kata Bella, tidak ada seorang pun daripada mereka akan berganjak daripada menzahirkan sokongan terhadap Palestin hanya kerana menerima ugutan bunuh.
Bella, 27, berkongsi situasi keluarga sejak dua minggu lalu menerusi kenyataan yang disiarkan di akaun Instagramnya.

“Saya mencari perkataan yang sesuai untuk menggambarkan kehidupan kami sejak dua minggu lalu.

"Ia sangat menegangkan dan ini terjadi hanya kerana kami bersuara tentang nyawa manusia yang tidak berdosa,” tulisnya seperti dilaporkan Dailymail.uk.

Model tersebut kemudian menulis tidak akan berdiam diri dan tidak takut dengan ‘ketegangan’ yang dihadapi mereka.

“Saya menerima ratusan ugutan bunuh setiap hari. Nombor telefon saya didedahkan dan keluarga berada dalam keadaan bahaya.
“Dan saya tidak boleh lagi berdiam diri. Ketakutan bukan satu pilihan.

"Penduduk Palestin terutama di Gaza termasuk kanak-kanak tidak boleh melihat kita berdiam. Bukan kita yang berani tapi mereka,” tulisnya.

Menerusi kenyataan tersebut, Bella dengan tegas memberitahu dunia dia menentang kekerasan dan kekejaman yang berlaku dan menuntut keharmonian dan sifat manusiawi.

“Saya berduka setiap hari melihat apa yang terjadi. Saya trauma dengan apa yang berlaku terhadap Gaza. Tapi saya juga berduka dengan banyak kematian keluarga Israel.

“Namun saya mengutuk sikap penjenayah.
“Saya mahukan keharmonian dunia kerana kita berhak menikmati kehidupan yang baik dan selamat,” ujarnya lagi. -Gempak

Anggota polis nafi pukul ibu mentua

Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap ibu mentuanya dengan memukul warga emas itu, Jun lalu.

Tertuduh, P Hemaath Kumar, 35, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap wanita berusia 63 tahun dengan cara memukul menggunakan tangan di sebuah rumah di Bandar Baru Sri Petaling di sini pada 9.20 malam, 25 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadiela Eleena Jamaluddin Akbal menawarkan jaminan RM4,000 terhadap tertuduh.

Dalam rayuannya, peguam Vinod Sharma yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah dikenakan.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Majistret Atiqah Mohamed@Mohamad Saim membenarkan tertuduh diikat jamin RM800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 November untuk sebutan kes.

Difahamkan, tertuduh sebelum ini pernah didakwa atas kesalahan memukul isterinya.

Ustaz didakwa amang seksual murid

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang ustaz yang juga guru bahasa Arab dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang muridnya dalam kejadian Jun lalu.

Tertuduh, Abdul Halim Ismail, 36, mengaku tidak bersalah dan memohon perbicaraan sebaik kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.

Berdasarkan pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu dalam sebuah bilik di Rumah Peranginan Persekutuan, Pulau Pangkor, di antara jam 10 malam hingga 11 malam 28 Jun lalu.

Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa sama termasuk seks oral di sebuah bilik di Nipah Bay Villa, Pulau Pangkor, antara 10 malam hingga 12 tengah malam 30 Jun lalu.

Dia didakwa melakukan dua kesalahan itu mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792) yang boleh dihukum mengikut seksyen sama, dibaca bersama Seksyen 27 Akta yang sama, menurut Berita Harian.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan; manakala Seksyen 27 Akta 792 memperuntukkan bahawa seseorang yang disabitkan bersalah atas mana-mana kesalahan di bawah Akta itu maka dia hendaklah diletakkan di bawah pengawasan polis minimum setahun namun tidak melebihi tiga tahun bermula sebaik selepas tempoh hukuman yang dijatuhkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amira Nabihan Shahrir, manakala tertuduh belum diwakili peguam.

Amira Nabihan pada mulanya memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh serta meminta suatu tarikh sebutan kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.

Tertuduh kemudian merayu supaya jaminan ditawarkan pada kadar minimum dengan meminta mahkamah mengambil kira jumlah pendapatannya RM4,000 sebulan yang turut menanggung biaya bapanya yang sedang sakit di kampung, selain membantu adik-beradiknya yang bekerja kampung.

Pendakwaan kemudiannya meminta mahkamah mengenakan syarat tambahan sekiranya tertuduh dibenarkan diikat jamin iaitu tidak dibenarkan mendekati serta mengganggu mangsa dalam tempoh jaminan sehingga kes selesai.

Mahkamah akhirnya membenarkan tertuduh dijamin RM6,000 bagi setiap pertuduhan (RM12,000 untuk dua pertuduhan) dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan itu, selain menetapkan 5 Dis ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sultan Johor dipilih sebagai Agong

Malaysiakini

Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, berkuat kuasa 31 Januari tahun depan.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pula dipilih sebagai timbalan baginda, menurut agensi berita nasional Bernama.

Perkembangan itu diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed Danial Syed Ahmad.

Terdahulu, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-263 (Khas) bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Mesyuarat yang bermula 10.10 pagi itu dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan semua Raja-Raja Melayu, kecuali Kelantan dan Perlis.

Pemilihan itu diadakan susulan tempoh lima tahun penggal pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, bakal tamat pada 30 Januari tahun depan.

Al-Sultan Abdullah melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019 setelah dipilih pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja pada 24 Januari tahun sama.

PAS Perlis tak bergolak, tapi ada Adun 'hentak' kerajaan negeri - MB

Malaysiakini

Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli menyangkal dakwaan pengerusi Bersatu negeri Abu Bakar Hamzah bahawa wujud pergolakan dalam PAS di negeri itu.

Mohd Shukri yang juga menteri besar sebaliknya berkata ada Adun PN yang tidak henti "menghentak" kerajaan negeri.

"Memang tiada pergolakan dalaman berlaku dalam Pas Perlis cuma adalah seorang dua yang teruja selepas menang (PRU15) ini yang seronok 'hentak' kerajaan macam nak jatuhkannya.

"Secara keseluruhannya tidaklah wujud 'geng penebuk kapal' ini kerana kami sebagai wakil rakyat PN masih duduk dan bekerja secara harmoni malah mesyuarat juga diadakan secara bersama sebagai pentadbir negeri ini," katanya seperti dipetik Harian Metro hari ini.

Namun, dia berkata tiada usaha di kalangan Adun PN untuk keluar dari gabungan itu memandangkan pindaan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis sudah diluluskan bagi membolehkan Enakmen Anti-Lompat Parti dilaksanakan.

Mohd Shukri adalah pengerusi PN Perlis manakala Abu Bakar timbalannya.

Semalam, FMT memetik Abu Bakar sebagai berkata antara isu yang melatari konflik dalaman PAS Perlis terkait dengan "kefahaman agama" selain susun atur gerak kerja dan pentadbiran negeri.

“PAS sedang bergolak di Perlis, tidak ada keselarian dan kesaksamaan dalam kalangan kita," katanya, sambil menambah Bersatu tidak berhasrat untuk masuk campur dalam kemelut tersebut.

Abu Bakar juga berkata hubungan Bersatu dengan PAS kekal utuh dan berharap isu berkenaan dapat diselesaikan segera.

Pergolakan PAS Perlis selesai dalam seminggu, kata mursyidul am

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata pergolakan dalaman parti itu di Perlis akan diselesaikan dalam masa seminggu.

Menurutnya, tidak bersetuju antara satu sama lain adalah sebahagian dalam proses pentadbiran yang dilalui semua pihak.

“Mungkin ada berlaku (pergolakan), tetapi saya nak tegaskan kalaupun ada sikit-sikit perkara yang agak nampak tak begitu lancar, tapi dalam kawalan. Kita boleh kawal.

“Jadi insya-Allah dalam seminggu ni (selesaikan)…kalau usaha diputuskan oleh muktamar baru-baru ni dilaksanakan maka saya yakin ia akan kembali normal balik,” katanya kepada FMT.

Hashim mengulas dakwaaan Pengerusi Bersatu Perlis Abu Bakar Hamzah bahawa berlaku pergolakan dalaman PAS di negeri itu sehingga menimbulkan tidak selesa rakan komponen Perikatan Nasional.

Abu Bakar berkata ‘pergolakan’ itu melibatkan isu kefahaman agama, susun atur gerak kerja dan pentadbiran negeri itu.

Kenyataan Abu Bakar menyusul peringatan Presiden PAS Hadi Awang minggu lalu supaya ahli parti tidak menjadi “penebuk kapal” untuk menjatuhkan kerajaan diperintahnya.

“Jangan ada kalangan ahli menjadi penebuk kapal. Kita kena pertahan (negeri) parti kita memerintah. Kelemahan kita tolong jangan dedah kepada lawan,” kata Hadi.

Perlis antara negeri diperintah PAS selain Kedah, Kelantan, dan Terengganu. Pentadbiran negeri utara itu bertukar pada PRU15 yang menyaksikan dominasi Barisan Nasional (BN) dihentikan.

Harga ayam diapung-naik atau turun?

Wai Tee

Semua berdebar-debar menunggu hari pelaksanaannya. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu telah mengumumkan. Begitu juga semasa sesi soal jawab perdana menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, perdana menteri turut menyatakan yang harga ayam dan telur akan diapungkan.

Pengguna, pengeluar dan peniaga menanti dengan penuh debaran pengumuman dijangka dibuat pada 30 Okt ini. Apakah apungan harga ayam akan berkuat kuasa pada 1 Nov atau tarikh yang diumumkan?

Persoalan lebih utama bagi pengguna adalah apakah reaksi pasaran bila diapungkan? Apakah harga ayam akan menjadi lebih rendah atau lebih tinggi dari harga kawalan ketika ini iaitu RM9.40 sekilogram? Begitu juga dengan telur ayam gred A, B dan C? Apakah pengguna bersedia untuk menerima hakikat harga yang ditentukan oleh pasaran?

Apakah faktor utama mendorong kerajaan melaksanakan dasar yang tidak popular ini? Apakah masa ini sesuai? Apakah kedudukan fiskal negara merupakan pertimbangan utama? Apakah data digunakan untuk menyokong pengapungan harga ayam?

Yang pasti sistem penyampaian subsidi sedia ada iaitu subsidi pukal tidak mencapai objektifnya. Malah terdedah kepada ketirisan dan pembaziran. Pengapungan harga ayam ini merupakan salah satu usaha untuk mengatasi ketirisan dan memastikan dinikmati oleh golongan sasaran. Lebih-lebih lagi bila warga asing turut menikmati subsidi disalurkan melalui ayam dan telur. Kerajaan perpaduan dikira berani mengambil dasar tidak popular ini walaupun subsidi bersasar diperkatakan sejak 12 tahun lalu.

Ayam dan telur adalah makanan paling popular rakyat Malaysia. Ayam dan telur juga merupakan sumber protein termurah. Malaysia pula merupakan negara pengguna ayam tertinggi di Asia dan ketiga di dunia dengan penggunaan per kapita sebanyak 46.8kg setahun dan dijangka mencapai 50kg setahun menjelang 2025.

Harga ayam dikawal kerajaan sejak dua tahun lalu. Satu jangka masa agak lama. Harga kawalan terakhir ialah RM9.40 per kg bagi ayam bulat bersih standard.

Harga termurah di Asia. Di sebalik harga kawalan tersebut, kerajaan terpaksa mengeluarkan subsidi tinggi iaitu RM3.8 bilion bagi memastikan harga ayam bulat di tahap yang rendah dan mampu dibeli kebanyakan rakyat Malaysia.

Subsidi sebanyak 80 sen sekilogram itu diberi kepada penternak ayam di peringkat ladang yang diuruskan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Harga ayam ditentukan di pelbagai peringkat terdiri penternak, pemborong/pembekal dan peruncit. Ayam pedaging dewasa akan dijual oleh penternak kepada pemborong/pembekal yang kemudian menjual kepada peruncit sebelum dibeli pengguna. Setiap peringkat itu mempunyai margin keuntungan munasabah.

Sebanyak 70% kos pembesaran ayam yang mengambil masa antara 35 hingga 49 hari adalah makanan ternakan terdiri jagung, kacang soya dan vitamin. Makanan ternakan semuanya diimport. Kekurangan bekalan di pasaran dunia, kadar pertukaran asing dan kos pengangkutan mempengaruhi harga import makanan ternakan. Jika salah satu daripada komponen itu naik, maka harga makanan ternakan akan melonjakkan kos pembesaran ayam. 30% kos selebihnya adalah kos anak ayam (Day-of-chick), tenaga elektrik reban ayam dan tenaga buruh.

Salah satu dorongan untuk mengapungkan harga ayam ialah kestabilan harga makanan ternakan. Seharusnya harga ayam di pasaran bila diapungkan tidak meningkat banyak. Ada yang meramalkan harga apung adalah harga kawalan ditambah dengan subsidi yang dialihkan iaitu RM10.20 sekilogram. Itu mungkin pengharapan kita semua!

Berdasarkan data antarabangsa, kedua-dua harga kacang soya dan jagung didapati menurun. Harga puncak soya direkodkan pada RM2,660 per tan metrik pada Februari 2023 dan kini menurun kepada RM2,290 per tan metrik pada Jun dan naik sedikit kepada RM2,400 per tan metrik pada September lalu.

Begitu juga dengan jagung yang mencatakan harga USD680 per tan metrik pada Januari hingga Mac lalu dan kini turun kepada USD450 per tan metrik sejak September 2023.

Oleh kerana 70% daripada kos keseluruhan penternakan ayam adalah kos makanan ternakan, seharusnya apabila kerajaan mengumumkan pengapungan harga ayam dan telur kelak, kenaikannya tidak melonjak kepada RM11 sekilogram seperti digembar-gemburkan di akhbar sejak beberapa hari lalu. Apa yang harus dilakukan jika harga ayam benar-benar mencapai ke tahap RM11 sekilogram bila diapungkan?

Di sinilah kerajaan harus menggunakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bagi memastikan tiada elemen pencatutan yang memangsakan pengguna. Pemeriksaan kos dan harga di semua peringkat rantaian termasuk harga makanan ternakan bagi memastikan margin yang munasabah dibenarkan. Kerajaan juga harus menyiasat secara terperinci kewujudan kartel dalam industri ayam.

Kerajaan juga harus bersedia membenarkan pengimportan ayam hidup atau ayam segar beku yang lebih murah dari harga diapungkan untuk dilambakkan bagi menstabilkan harga ayam di pasaran tempatan.

Pengapungan harga ayam ini adalah langkah perintis untuk kerajaan kembali kepada sistem ekonomi pasaran terbuka. Dan pengapungan ini juga harus digandingkan dengan program rasionalisasi subsidi untuk negara berpindah kepada subsidi bersasar. Jika ia berjaya, pengalaman ini boleh dikembangkan kepada komoditi lain seperti minyak masak, gula, LPG, RON95 dan diesel.

Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pula harus digandingkan dengan program pengapungan harga dan subsidi bersasar. Penerima harus disedarkan bahawa STR diterima itu adalah sebahagian daripada bantuan kerajaan untuk mengurangkan beban kos sara hidup terutama bagi menampung perbezaan harga setelah sesuatu komoditi itu diapungkan harganya.

PM keliling Arab perjuang Palestin tapi Pemuda PN anggap ‘wayang paling buruk’

HarapanDaily.com
PM keliling Arab perjuang Palestin tapi Pemuda PN anggap ‘wayang paling buruk’
ARIF ATAN

Lawatan kerja Perdana Menteri ke Turki, Mesir dan Arab Saudi baru-baru ini bagi menyatakan pendirian Malaysia terhadap isu Palestin rupanya dianggap seorang Pemuda Perikatan Nasional (PN) sebagai ‘wayang paling buruk’.

Bendahari Pemuda PN Selangor, Ahmad Azarul berkata, tindakan Datuk Seri Anwar berkeliling di negara-negara Arab baru-baru ini hanya untuk persediaan pidato dalam Himpunan Malaysia Bersama Palestin, 24 Oktober lalu.

Dia yang juga Ketua Armada Bersatu Shah Alam mengaitkan keputusaan Parlimen menolak usul untuk mengheret Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

“Patutlah (Anwar) pergi Arab sehari, Turki sehari, sana sini sehari. Rupanya, untuk persediaan ucapan malam ini (Himpunan Malaysia Bersama Palestin).

“Maka ada yang terpedaya, impress dengan PMX. Sedangkan, nak bawa usul untuk bawa Netanhayu ke mahkamah antarabangsa pun Parlimen tolak!

“Wayang bukan sekadar wayang. Ini wayang paling buruk!” katanya menerusi ciapan di laman X.

Susulan itu, rata-rata warganet menyelar pelapis muda komponen PN itu termasuk menyindirnya agar tidak menulis lebih laju dari otak.

Ramai juga mengingatkan bahawa dalam tindakan genosid terhadap rakyat Palestin ini sepatutnya semua pihak perlu mengetepikan perbezaan politik kepartian.

“Kau hanya fikir nak menangkan Abah kau dan parti politik kau. Cuba Abah (Mahiaddin) di pentas (Himpunan Malaysia Bersama Palestin) mesti kau puji, ‘kan?

“Pemimpin Islam negara sendiri kau hina. Kau tak tau ke adab hormat pemimpin?

“Pemimpin-pemimpin kerajaan luar negara hormat Anwar sampaikan Putera Raja tunggu dan hantar beliau ke kereta. Kau pula kerja menghina orang di media sosial,” demikian teguran orang ramai.
Himpunan Malaysia Bersama Palestin menyaksikan Stadium Axiata Arena di Bukit Jalil dilimpahi orang ramai.

Namun, Ahmad Azarul kemudiannya dilihat membalas kritikan netizen dengan berkata, cakap kena selari dengan tindakan.

“Orang takkan bising kalau cakap tu selari dengan tindakan. Ingat orang percaya ke bila Parlimen sendiri tolak usul hendak bawa Netanyahu ke mahkamah antarabangsa?” katanya kembali menyoal.

Respon Azarul itu juga kemudiannya mengundang cemuhan netizen termasuk membidas sikap pemimpin PN yang setiap hari burukkan nama negara serta ingin menjatuhkan negara.

“Usaha nak bangunkan negara, PN langsung tiada.

“Kau nak dengar dan lihat benda yang kau nak saja. Benda lain kau tutup mata atau buat tak tahu. Educate yourself!

“Orang kalau dah busuk hati, benda baik pun boleh jadi jahat. Bodoh pencacai PN ni,” kata beberapa warganet lagi.

Setakat ini, keganasan Israel telah mengorbankan sekurang-kurangnya 6,546 rakyat Palestin manakala 17,439 lagi cedera.

Rejim pengganas pimpinan Benjamin Netanyahu berkenaan juga akan melakukan serangan darat pada bila-bila masa selepas lebih dua minggu mengebom tanpa henti kawasan di Semenanjung Gaza yang padat dengan lebih 2 juta penduduk itu.

'Saya tidak akan berganjak, walau zionis terus mara'

Dipetik dari Astroawani 

Itulah luahan seorang lelaki yang kematian isteri dan empat orang anaknya termasuk bayi berusia dua Nolan. 

Meskipun dibedil bertubi-tubi, diugut pelbagai cara oleh zionis Israel, rakyat Palestin tidak sesekali tewas dengan semangat juang mereka.

Malah ada yang bertegas dengan pendirian untuk tidak berganjak sama sekali menyerahkan tanah, meninggalkan rumah mereka untuk dihancurkan oleh tentera Israel.

#IsraelCuak

Upah 'samseng' tuntut RM120,000

Mohamad Fahd Rahmat
am@hmetro.com.my
TANGKAP layar video tular di medai sosial. FOTO tular
TANGKAP layar video tular di medai sosial. FOTO tular
Kluang: Tidak berpuas hati kerana tuntutan RM120,000 tidak dilayan mendorong seorang individu mengupah 'samseng' untuk memalukan mangsa dan keluarganya.

Dalam kejadian 4.30 petang di Taman Gunung Lambak di sini pada Isnin lalu itu, 'samseng' yang bekerja di syarikat pengutip hutang itu bertindak menggunakan pembesar suara membuat bising dan memasang gegantung di hadapan rumah keluarga mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Nik Mohd Azmi Husin berkata, berikutan itu, polis menangkap empat suspek yang juga di Jalan Tebrau, Johor Bahru, kira-kira 8 malam tadi.

"Hasil siasatan polis mendapati mangsa dan rakannya menjalankan perniagaan menjual penghawa dingin namun syarikat itu gulung tikar.

"Akibatnya, rakan perniagaan mangsa menuntut semula modal pelaburan yang dikeluarkan mereka sebanyak SGD20,000 (69,823.70) dan RM50,000," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, semua suspek berusia lingkungan 27 hingga 38 tahun dan semakan mendapati tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951, Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular video berdurasi empat minit 42 saat di media sosial memaparkan tindakan sekumpulan lelaki membuat gangguan di rumah berkenaan hingga mendapat pelbagai reaksi netizen.