Ulama Indonesia keluar fatwa boikot syarikat berkaitan Israel

Bharianonline

JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa menggesa orang ramai memboikot barangan dan perkhidmatan syarikat yang menyokong Israel sebagai menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin.

MUI menegaskan, umat Islam di negara itu perlu menyokong perjuangan Palestin menentang pencerobohan Israel dan mengisytiharkan bahawa sokongan untuk Israel atau penyokongnya adalah haram atau bertentangan dengan undang-undang Islam.

Ketua Eksekutif MUI, Asrorun Niam Sholeh berkata, pihaknya menggesa setiap umat Islam untuk mengelakkan sebanyak mungkin transaksi dan penggunaan produk Israel, mereka yang bergabung dengan Israel, dan menyokong penjajahan serta Zionisme.

"Kami tidak boleh menyokong mana-mana pihak yang berperang dengan Palestin, termasuk menggunakan produk yang hasilnya menyokong tindakan pembunuhan rakyat Palestin," katanya.

Fatwa MUI yang terbaharu itu menggesa orang ramai memboikot jenama barat yang menunjukkan sokongan kepada Israel dalam perangnya dengan pejuang Hamas.

Fatwa MUI tidak mempunyai kuasa undang-undang, namun berpengaruh bagi menggalakkan umat Islam di negara berpenduduk majoriti Islam paling ramai di dunia itu supaya tidak mengambil tindakan tertentu yang menyokong Israel.

Indonesia, yang menyokong kemerdekaan Palestin, menggesa penyelesaian konflik berdasarkan ketetapan rumusan dua negara yang dipersetujui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - AFP

Pasangan tunang maut dilanggar pemandu kereta berusia 16 tahun

Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my
Keadaan motosikal yang ditunggangi pasangan tunang yang maut selepas dilanggar pemandu kereta berusia 16 tahun dalam kemalangan di Kilometer (KM) 1.9 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai. FOTO Ihsan Pembaca
Bukit Mertajam: Dua individu dipercayai pasangan tunang maut selepas motosikal dinaiki mereka dilanggar kereta yang dipandu seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di Kilometer (KM) 1.9 Jambatan Pulau Pinang menghala arah Perai, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, impak kemalangan itu menyebabkan dua mangsa terdiri daripada seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia awal 20-an maut di lokasi kejadian.

"Pemandu kereta cedera ringan manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan jam 2.30 pagi itu berlaku apabila remaja itu yang datang dari arah Pulau menuju Perai disyaki melanggar bahagian belakang lori.

"Ekoran pelanggaran itu menyebabkan kereta yang dipandu hilang kawalan sebelum melanggar motosikal yang dinaiki lelaki dan pembonceng wanita yang menyebabkan kedua-duanya mengalami cedera parah lalu meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat.

Tan berkata, pemandu kereta ditahan reman selama sehari bagi membantu siasatan.

Polis turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan tampil untuk membantu siasatan.

39 bayi maut di Hospital al-Shifa akibat kurang oksigen

Bernama
Serangan artileri dan pengeboman udara Israel di sekitar Hospital al-Shifa dan kawasan kejiranan Gaza berterusan tanpa henti selama enam jam. (Gambar AP)
GAZA: Kementerian Kesihatan Palestin dalam kenyataan pada Sabtu berkata 39 bayi ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital al-Shifa maut kerana kekurangan oksigen.

Hospital itu yang terletak di Semenanjung Gaza, sebelum ini terjejas teruk susulan siri serangan Israel, lapor Anadolu Agency.

Serangan artileri dan pengeboman udara Israel di sekitar Hospital al-Shifa dan kawasan kejiranan Gaza berterusan tanpa henti selama enam jam, menurut saluran TV Palestin.

Pada petang Jumaat, pesawat Israel memperhebat serangan berterusan terhadap sejumlah hospital di Semenanjung Gaza, di sekitar Hospital al-Shifa, Hospital Indonesia, Hospital al-Awda, Hospital al-Quds, dan Hospital Kanak-Kanak al-Rantisi.

Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti ke atas Semenanjung Gaza termasuk melibatkan hospital, kawasan kependudukan, dan rumah ibadat, sejak 7 Okt.

Sekurang-kurangnya 11,078 rakyat Palestin terbunuh, termasuk 4,506 kanak-kanak dan 3,027 wanita.

Fitnah Guan Eng, polis rakam keterangan Siti Mastura pada Isnin

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis akan merakam keterangan Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad pada Isnin ini kerana didakwa mengeluarkan kenyataan didakwa fitnah terhadap Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Shuhaily Mohd Zain, berkata empat laporan polis telah diterima berhubung perkara itu.

“Setakat ini kita sudah menerima empat laporan polis berhubung isu ini dan siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman.

“Keterangan Siti Mastura akan diambil pada 13 Nov 2023,” katanya menurut Berita Harian.

Katanya, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, melalui rakaman video berdurasi 46 minit 51 saat itu, Mastura pada suatu majlis di Kemaman, Terengganu baru-baru ini, mendakwa pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang juga bapa Guan Eng, adalah sepupu kepada ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng.

Mastura turut mendakwa Kit Siang dan Guan Eng adalah sepupu kepada bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew, manakala Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok merupakan sepupu Betty Chew, isteri Guan Eng.

Semalam, Guan Eng meminta peguamnya memulakan prosiding jenayah terhadap Mastura atas “ucapan kebencian” selepas tempoh 48 jam untuk memohon maaf tamat.

Ahli Parlimen Bagan itu, berkata Mastura secara terang-terangan menggunakan hubungan kekeluargaan yang tidak pernah wujud bagi menimbulkan ketakutan terhadap DAP dan orang Cina yang dianggap bersifat perkauman dan ekstrimis.

Pada Khamis, Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi dan Ahli Parlimen Subang Jaya Michelle Ng mengiringi Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid untuk membuat laporan polis terhadap Mastura.

Wanita ‘cyborg’ pertama di dunia

KOSMO!
Synn menusuk jarum melalui lengannya semasa pesta Amazing Magic Live 2016 di Las Vegas. - Getty Images
SACRAMENTO, CALIFORNIA – Seorang wanita di California menerima pengiktirafan Guinness World Records selepas menanam 52 cip logam di bawah kulitnya, lapor portal berita MailOnline semalam.

Fungsi 52 implan cip yang ditanam Anastasia Synn, 52, termasuk untuk membuka kunci rumah, mencari objek logam, membuat panggilan telefon dan melakukan pertunjukan silap mata.

Synn ialah ahli silap mata, pelakon lagak ngeri dan ‘biohacker’ iaitu seseorang yang membuat perubahan pada badannya  menggunakan teknologi untuk menjadikan hidup lebih mudah.

“Saya secara rasmi mengumumkan bahawa saya adalah manusia paling banyak mempunyai implan di dunia. Memandangkan rekod ini adalah yang pertama, mereka (Guinness World Records) terpaksa mencipta kategori rekod baharu,” katanya.

Prosedur implan yang dilakukan Synn termasuk magnet terbesar pernah ditanam dalam badan manusia serta magnet pemancar bunyi yang ditanam dalam tragus telinganya.

Implan yang paling kerap digunakan Synn ialah cip di tangan untuk membuka pintu rumahnya. 

Kira-kira separuh daripada implan dimilikinya adalah mikrocip yang ditanam untuk meningkatkan deria dan kebolehan diri seperti membuka kunci dan menghidupkan komputer.

Cip-cip selebihnya adalah bersifat magnetik dan memberinya ‘deria’ keenam seperti merasakan wayar hidup di sebalik dinding dan menentukan sama ada kotak kuasa menerima kuasa atau tidak.

“Saya boleh memberitahu anda jika ketuhar gelombang mikro anda mengeluarkan terlalu banyak radiasi,  tangan saya akan bergetar. Saya juga boleh mencari anting-anting seseorang yang hilang,” katanya. – AGENSI

Bersatu: Zahari Kechik, Azizi Abu Naim bakal berdepan tindakan undang-undang

HARAPAN DAILY 

Ahli Parlimen (MP) Jeli, Zahari Kechik dan MP Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim bakal berdepan tindakan undang-undang ekoran tindakan mereka menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut ketua penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris, pihaknya berada dalam proses mengumpulkan bukti untuk memboleh tindakan perundangan diambil terhadap mereka.

“Kita sedang meneliti berhubung tindakan yang bakal diambil kepada mereka berdua kerana mereka menerima watikah (untuk bertanding dalam pilihan raya lalu) daripada Pas.

“Kita juga akan mengheret mereka dalam lain-lain perkara yang melanggar undang-undang serta akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis kerana mereka secara jelas menyatakan sokongan kepada PM untuk mendapatkan habuan kewangan.

“Dalam kes ini juga wujudnya unsur-unsur sogokan yang menjanjikan habuan kewangan dan kita sifatkan ia sebagai satu bentuk rasuah yang dilakukan secara terang-terangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pelancaran jentera PRK Kemaman malam tadi.

Dua lagi MP Bersatu yang telah menyokong Anwar telah digantung keahlian.

Dulu PH cadang MP langgar keputusan whip parti hilang kerusi, tapi PN tolak

Malaysiakini

PN sendiri menentang cadangan PH untuk memperkenalkan undang-undang antilompat parti yang lebih ketat bagi membolehkan ahli parlimen mengosongkan kerusi sekiranya pendirian mereka bertentangan dengan whip parti masing-masing.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, yang menggotai jawatankuasa teknikal bagi menggubal akta berkenaan bersama dua lagi wakil PH, Gobind Singh Deo dan Hanipa Maidin pada 2022.

"Pendirian PH tindakan MP (ahli Parlimen) bertindak bertentangan keputusan whip parti di dalam dewan (dalam perkara seperti undian bajet, usul undi tidak percaya dan apa-apa RUU yang memberi kesan kepada kedudukan kerajaan) adalah dikira hilang kerusi dan pilihan raya kecil diadakan.

"Juga MP yang dipecat oleh parti kerana melanggar disiplin dan perlembagaan parti, dikira hilang kerusi.

“PN masa itu diwakili Hamzah (Zainuddin) dan Takiyuddin (Hassan). PN tidak setuju dengan cadangan PH di atas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Saifuddin berkata, disebabkan bantahan PN, Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku pengerusi jawatankuasa itu mengusulkan hanya cadangan yang mendapat konsensus semua parti akan diterima.

"Akhirnya keadaan bagaimana yang dikira MP hilang kerusi? Isytihar masuk parti lain. Isytihar jadi MP bebas. Isytihar sokong perdana menteri? Tidak hilang kerusi," kata Saifuddin.

Sementara itu, Wan Junaidi memberitahu Sinar Harian bahawa ketika dia mengetuai pasukan khas, dia sudah menyelesaikan sebarang kemungkinan kelompangan menerusi draf asal penggubalan RUU berkenaan.

Bagaimanapun katanya, draf asal yang disiapkan pada April 2022 itu ditolak jemaah menteri susulan terdapat empat menteri kabinet tidak bersetuju dengan salah satu klausa disertakan.

“Klausa itu menyatakan, kalau seseorang ahli Parlimen bertukar sokongan di dalam Dewan Rakyat terhadap blok berlawanan, mereka tetap akan dikira melompat parti walaupun tidak isytihar keluar atau dipecat parti.

“Apabila draf asal ditolak barisan kabinet, saya terpaksa mengadakan semula libat urus dengan semua parti politik dan merombaknya,” jelasnya.

Wan Junaidi berkata dia telah memberi amaran mengenai kelompangan akta itu kepada jemaah menteri pada April 2022.

“Saya sendiri terlibat banyak sesi libat urus bagi membincangkan draf RUU ini bersama ahli-ahli Parlimen setiap parti, namun ketika itu whip Bersatu tidak menyokong draf asal.

“Dengan Jemaah Menteri tetap mahukan kelulusan draf RUU Anti Lompat Parti dicapai secara konsensus, saya tiada pilihan lain.

“Saya turut akur apabila satu draf baharu RUU berkenaan yang disiapkan Peguam Negara bagi menggantikan draf asal saya, akhirnya diangkat ke Dewan Rakyat,” jelasnya.

Sejak bulan lalu empat Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar bagi mendapatkan peruntukan pembangunan sebanyak RM3 juta setiap tahun.

Semalam, Bersatu dilapor mendesak agar Akta Antilompat Parti dikaji semula susulan tindakan empat ahli parlimennya.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata kajian itu perlu dibuat kerana akta tersebut ada beberapa kelemahan.

Hikmah boikot, rupanya kita ada banyak produk lokal

Nor Afzan Mohamad Yusof

Serangan Israel ke atas Gaza meragut lebih 10,000 nyawa orang awam termasuk kanak-kanak dan wanita. Kerakusan Isreal itu bagaikan tidak ada tanda-tanda surutnya.

Badan dunia dan antarabangsa serta negara-negara besar juga seolah-olah membisu. Tiada taring langsung bagaikan menghalalkan sahaja pembunuhan beramai-ramai manusia yang tidak berdosa itu.

Kita di sini sebagai manusia biasa, selain berdoa, teruskanlah menggunakan kuasa kita untuk memboikot produk-produk dari negara Isreal dan negara-negara sekutu dengannya.

Jangan pandang sinis usaha ini kerana laporan ekonomi antarabangsa, jelas menunjukkan tindakan boikot ini menjejaskan ekonomi Isreal dan negara lain yang menyokongnya.

Realitinya, kalau kita tengok dengan mata hati, banyak manfaatnya memboikot produk daripada negara berkenaan.

Hikmah boikot, rupanya kita ada banyak produk lokal yang berkualiti. Tengok sahaja di media sosial kita, semakin ramai yang sudah berani berkongsi mengenai produk tempatan, yang sebelum ini kita tak sedarpun mengenai kewujudannya.

Begitupun saya nak membuat teguran juga, khusus buat usahawan tempatan kita ini. Mereka bukan saja perlu berani tetapi rajin-rajinlah mempromosi produk mereka, barulah lebih cepat dikenali.

Macam jenama dan produk yang kita biokot itu, mereka bukan terkenal sekelip mata. Kuasa pemasaran dan promosi serta pengiklanan yang pastinya membabitkan bajet yang besar, mampu menjadikan namanya besar.

Biarpun ramai tahu makanan dan minuman ditawarkan itu tidak sihat, tetapi tetap terkenal.

Bermula dengan satu restoran, ia berkembang menjadi ribuan cawangan sebab promosi dan kesungguhan menawan selera tempatan.

Kalau tak percaya, pergi ke negara lain, jenama sama tapi mesti ada beza rasanya.

Malah mereka berkuasa menakluk selera orang tempatan hingga kita seolah-olah terlalu bergantung kepada produk ditawarkan, hingga sanggup ‘bergaduh’ dan mempertahankan restoran itu.

Itu saja rahsianya sebenarnya. Selebihnya mereka memaparkan makanan gaya hidup. Sesiapa yang makan atau berupaya membeli, mereka dilihat golongan yang berkemampuan.

Peniaga kita tidak boleh duduk diam-diam dan hanya berkuasa di kampung-kampung.

Promosi dan sebarkan. Kami di Utusan Malaysia memang sering memberikan pendedahan dan peluang kepada produk tempatan. Tetapi ia mestilah dilakukan secara menang-menang. Kitakan sama-sama berniaga.

Layangkan kiriman emel atau telefon ke pejabat, kita pasti boleh bekerjasama. Cari hikmah di sebalik suatu kesuraman.

Nor Afzan Mohamad Yusof Pengarang Berita Utusan Malaysia

Rezeki terpijak', nelayan jadi jutawan

Agensi

IKAN Sowa. FOTO Agensi

Karachi: Seorang nelayan di bandar Karachi,  Pakistan, menjadi jutawan dalam sekelip mata selepas melelong 'ikan emas' yang mempunyai banyak khasiat perubatan.

Portal NDTV melaporkan Haji Baloch tinggal di perkampungan nelayan miskin, Ibrahim Hyderi.

Ketika turun laut mencari rezeki di Laut Arab pada Isnin lalu, Haji Baloch dan anak kapalnya berjaya menangkap ikan yang dikenali sebagai 'ikan emas' atau Sowa dalam dialek tempatan

"Kami sedang memancing di perairan Karachi... apabila kami terjumpa 'ikan emas' yang besar ini, dan ia adalah rezeki yang tidak terkira bagi kami," katanya.

Haji Baloch berkata, dia akan berkongsi wang itu dengan tujuh anak kapalnya.

"Keseluruhan hasil tangkapan itu dijual dengan harga kira-kira 70 juta rupee Pakistan (kira-kira RM1.14 juta) di pelabuhan Karachi pada pagi Jumaat selepas hasil tangkapan itu dilelong," kata Mubarak Khan dari Forum Rakyat Nelayan Pakistan.

Ikan Sowa dianggap tidak ternilai dan jarang dapat ditangkap. Bahan dari perutnya dikatakan mempunyai sifat penyembuhan dan perubatan yang hebat. Bahan seperti benang daripada ikan itu juga digunakan dalam prosedur pembedahan.

"Seekor ikan itu memperoleh kira-kira 7 juta rupee (kira-kira RM114,323) dalam lelongan," kata Baloch.

Ikan Sowa biasanya mempunyai berat antara 20 hingga 40 kilogram (kg) dan boleh membesar sehingga 1.5 meter, ia memang dicari di negara Asia Timur.

Lebih penting lagi, ikan Sowa juga mempunyai kepentingan budaya dan tradisional selain penggunaannya dalam ubat-ubatan tradisional dan masakan tempatan.

Ikan Sowa hanya datang berhampiran pantai semasa musim pembiakan.





 hasil tangkapan itu dijual dengan harga kira-kira 70 juta rupee Pakistan (kira-kira RM1.14 juta) di pelabuhan Karachi pada pagi Jumaat selepas hasil tangkapan itu dilelong," kata Mubarak Khan dari Forum Rakyat Nelayan Pakistan.

Ikan Sowa dianggap tidak ternilai dan jarang dapat ditangkap. Bahan dari perutnya dikatakan mempunyai sifat penyembuhan dan perubatan yang hebat. Bahan seperti benang daripada ikan itu juga digunakan dalam prosedur pembedahan.

"Seekor ikan itu memperoleh kira-kira 7 juta rupee (kira-kira RM114,323) dalam lelongan," kata Baloch.

Ikan Sowa biasanya mempunyai berat antara 20 hingga 40 kilogram (kg) dan boleh membesar sehingga 1.5 meter, ia memang dicari di negara Asia Timur.

Lebih penting lagi, ikan Sowa juga mempunyai kepentingan budaya dan tradisional selain penggunaannya dalam ubat-ubatan tradisional dan masakan tempatan.

Ikan Sowa hanya datang berhampiran pantai semasa musim pembiakan.

Tujuh juta bakal derita diabetes pada 2025

Hmetro 

Kuala Lumpur: Kelaziman penyakit diabetes dalam kalangan rakyat Malaysia dilihat semakin meningkat, dengan anggaran tujuh juta rakyat orang dewasa akan menghidap penyakit diabetes menjelang 2025, kata Pakar Perunding Endokrinologi dari Pusat Perubatan Sunway Dr Teoh Wei Leng.

Beliau berkata, jenis yang paling biasa dihidapi bagi penyakit ini ialah Diabetes jenis 2, yang sejak akhir-akhir ini turut menjejaskan ramai golongan muda.

"Salah satu perkara yang paling membimbangkan ialah usia pesakit yang didiagnosis dengan diabetes kini semakin muda.

"Baru-baru ini saya mendiagnos seorang remaja berumur 17 tahun yang mempunyai sejarah obesiti sejak kanak-kanak serta sejarah keluarga dengan diabetes.

"Malah pakar endokrinologi pediatrik kami juga menerima lebih ramai pesakit kanak-kanak Jenis 2 itu dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Beliau berkata, diabetes ialah satu penyakit yang kronik apabila pankreas seseorang individu itu tidak menghasilkan insulin yang mencukupi atau apabila pankreas tidak dapat menggunakan insulin yang dihasilkan dengan berkesan.

"Insulin ialah hormon yang membantu glukosa masuk ke dalam sel kita bagi digunakan untuk tenaga dan apabila ini gagal, ia boleh menyebabkan paras glukosa meningkat dalam badan kita dan dalam jangka masa yang lama boleh meningkatkan risiko kerosakan organ pada mata, buah pinggang, saraf, saluran darah atau jantung," katanya.

Beliau menegaskan tabiat pemakanan yang buruk, gaya hidup tidak aktif, dan obesiti adalah penyebab utama diabetes, dan disebabkan itu didikan amalan memilih makanan yang sihat sejak kecil adalah perlu agar dapat membentuk tabiat pemakanan yang baik sepanjang hayat sekali gus mengurangkan peningkatan obesiti.

"Kerap membuang air kecil, dahaga yang berlebihan, penurunan berat badan secara tiba-tiba, dan kelesuan adalah tanda-tanda yang sering berlaku. Jika anda mengalami gejala ini, jangan abaikannya, periksa paras gula dalam darah anda dengan segera. Hari ini paras gula dalam darah boleh diperiksa secara percuma atau dengan sedikit bayaran di farmasi atau klinik," katanya.

Beliau berkata, salah satu cabaran dalam menguruskan diabetes ialah penyebaran mitos dan tanggapan yang salah dan Dr Teoh dengan pantas menepis tanggapan salah ini, terutamanya yang berkaitan dengan ubat.

"Tanggapan salah yang biasa kita dengar ialah ubat diabetes boleh memudaratkan buah pinggang. Walhal hakikatnya diabetes yang tidak terkawal itulah yang membawa kepada kerosakan buah pinggang, bukannya ubat preskripsi. Kerana itulah penting untuk pesakit mematuhi jadual janji temu dengan doktor diabetes mereka," katanya.

"Diet seimbang yang merangkumi bijirin penuh, protein tanpa lemak, buah-buahan, dan sayur-sayuran adalah penting. Gabungkan pemakanan sihat ini dengan senaman yang kerap - walaupun dengan berjalan pantas setiap hari, ini boleh membawa kepada perubahan besar," tambahnya.

Berhubung pilihan rawatan Dr Teoh berkata, terdapat kemajuan yang memberangsangkan dalam rawatan dan pengurusan diabetes ketika ini, daripada ubat-ubatan berinovasi hinggalah kepada sistem pemantauan glukosa yang berterusan, serta pelbagai peralatan yang boleh digunakan bagi merawatnya.

"Bagaimanapun penjagaan peribadi yang sesuai dengan keperluan atau gaya hidup pesakit, serta pengetahuan pesakit terhadap diabetes merupakan perkara asas yang perlu ada bagi mendapatkan rawatan yang berkesan," katanya.

Dr Teoh berkata, dengan ilmu pengetahuan dan sokongan yang betul, individu yang menghidap diabetes boleh menjalani kehidupan yang normal, dan menurutnya ia boleh dilakukan menerusi pendekatan holistik yang merangkumi pemahaman mengenai keadaan penyakit itu dan membuat pilihan bermaklumat.

Dipenjara 30 tahun, lelaki akhirnya dihukum mati

AFP
BRENT Brewer. FOTO AFP
BRENT Brewer. FOTO AFP
Houston: Seorang lelaki di Texas yang menghabiskan lebih 30 tahun di blok atau seksyen di penjara bagi mereka yang akan dijatuhi hukuman mati, akhirnya menjalani hukuman itu pada Khamis.

Dia sebelum ini ditempatkan di situ kerana pembunuhan dilakukannya semasa rompakan ketika berusia 19 tahun.

Brent Brewer, 53, menjalani hukuman mati dengan suntikan maut selepas 6 petang waktu tempatan di Penjara Negeri Texas di bandar Huntsville, kata pegawai penjara.

Brewer dijatuhi hukuman mati pada 1991 kerana menikam sehingga mati Robert Laminack, 66, pada 1990, dalam rompakan yang hanya membabitkan wang tunai AS$140 (kira-kira RM661).

2,350 banduan dihukum mati
Pada hari kejadian, Laminack menumpangkan Brewer dan teman wanitanya, Krystie Lynn Nystrom yang akhirnya turut dihukum dengan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana bersubahat.

Brewer sudah merayu penangguhan pelaksanaan hukuman mati itu minggu ini kepada Lembaga Pengampunan dan Parol Texas, tetapi ditolak sebulat suara.

Usul yang difailkan kepada Mahkamah Rayuan Jenayah Texas juga ditolak.

Dalam video yang dikeluarkan oleh peguamnya, Brewer meminta maaf kepada keluarga mangsanya.

"Saya minta maaf atas apa yang saya lakukan," katanya. "Walaupun ia tidak mengubah keputusan sekurang-kurangnya mereka dapat mendengarnya sebelum saya pergi.

"Apabila anda berumur 19 atau 20 tahun dan anda keliru, atau anda menggunakan dadah dan minum, atau anda bergaul dengan orang yang salah, anda tidak mempunyai sistem nilai sebenar," katanya.

Hukuman mati sudah dimansuhkan di 23 negeri Amerika Syarikat, manakala tiga lagi - California, Oregon dan Pennsylvania - mematuhi moratorium mengenainya.

Bersatu terus dibolosi gol sendiri

Hishamuddin Aun

Jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia berharap keputusan menggantung dua Ahli Parlimennya kerana menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai satu pengajaran, maka parti itu ternyata gagal. Daripada asalnya cuma satu, kemudian dua, tiga dan kini empat, ia menunjukkan mereka tidak takutkan tindakan atau apa saja kemungkinan pada ketika parti itu terus dibelakangkan.

Sebarang pendirian menyokong perdana menteri tanpa mengisytiharkan keluar parti tidak membolehkan mana-mana pelakunya hilang status Ahli Parlimen mengikut undang-undang anti-lompat parti. Berbanding parti-parti lain di Dewan Rakyat, Bersatu yang menanggung kesan terbesarnya setakat ini.

Ia bukan satu kegagalan kecil, sebaliknya kegagalan yang mengundang aib kepada kepemimpinannya jika diambil kira Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik berbuat demikian kelmarin dan semalam atas hujah kepentingan rakyat lebih diutamakan.

Bukan juga menghairankan Bersatu Kelantan tidak berlengah untuk menaikkan naratif bahawa Mohd Azizi ditawarkan ganjaran lumayan untuk sokong Anwar. Selagi tiada siasatan menyeluruh dijalankan, naratif itu yang tidak pun berbeza dengan sebelumnya yang harus tidak lebih sebagai cubaan untuk menutup malu.

Selepas seorang demi seorang Ahli Parlimennya beralih sokongan, apa lagi yang parti itu dapat kata?

Malah, apa yang awalnya dianggap janggal dan satu budaya baharu gara-gara adanya Ahli Parlimen dari blok pembangkang di Dewan Rakyat yang menyatakan sokongan terhadap Anwar, kini ia semakin menjadi norma biasa. Selepas ini entah berapa ramai lagi yang akan menuruti jejak yang sama.

Didahului oleh Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang menyatakan sokongan terhadap Anwar pada 12 Okt, pendirian serupa diambil Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman yang mengumumkannya pada 30 Okt dan seterusnya Mohd Azizi pada Selasa dan Zahari semalam – kesemuanya menawarkan alasan permasalahan rakyat di kawasan mereka sebagai pertimbangan utama.

Hanya kelmarin (Selasa), Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu menggantung keahlian dan semua jawatan Suhaili dalam parti itu bagi tempoh enam tahun, menyusuli penggantungan empat tahun ke atas Iskandar pada Jumaat lalu. Belum pun kering dakwat pada surat penggantungan kedua-duanya, Azizi dan Zahari pula memilih waktu yang tidak berselang lama untuk mengumumkan pendirian.

Persamaan dalam tindakan keempat-empatnya ialah mereka bersepakat kekal sebagai Ahli Parlimen Bersatu di samping mengisytiharkan untuk menyokong sebarang dasar dan inisiatif kerajaan dalam memulihkan ekonomi serta mengutamakan kebajikan dan kepentingan rakyat sehingga PRU16, yang jangkaannya pada 2027.

Bolehkah diandaikan surat penggantungan Azizi dan Zahari sedang disiap menggunakan ‘template’ yang sama seperti dua rakan mereka sebelumnya? Bolehkah juga dijangkakan selepas hukuman empat tahun ke atas Iskandar dan enam tahun ke atas Suhaili, penggantungan lebih lama menanti Azizi dan Zahari? Atau mungkinkah ini akan merintis tindakan pemecatan pula? Biarlah kepimpinan Bersatu yang tercari-cari jawapannya.

Pengerusi Bersatu Kelantan Kamarudin Md Nor dilaporkan mendakwa Azizi ditawarkan habuan lumayan sekiranya menyatakan sokongan kepada perdana menteri – sesuatu yang didakwanya dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Gua Musang itu dalam mesyuarat Bersatu Sabtu lalu. Dalam tempoh hanya tiga hari, katanya, Azizi berubah pendirian.

Itu hanya menambah beban Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin yang Jumaat lalu menyatakan PN masih mengumpul segala maklumat berhubung dakwaan ugutan yang diterima Ahli Parlimennya supaya menyokong kerajaan perpaduan.

Dalam pada itu, sudah timbul cakap-cakap bahawa PAS sedang memerhatikan krisis ini dan meneliti segala kemungkinan, termasuk sama ada ia masih mahu meletakkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) atau mengesyorkan agar jawatan itu diberikan kepada PAS buat sementara waktu sehingga krisis diselesaikan. Ada juga pendapat bahawa jalan paling selamat untuk Muhyiddin ialah menyerahkan jawatan pengerusi PN kepada PAS dan selesaikan masalah dalaman Bersatu yang kian meruncing.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu wartawan di Parlimen bahawa PAS meminta Bersatu menguruskan isu berkenaan, di samping dimaklumkan parti itu sudah mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Parlimennya. Kepada kemungkinan ada Ahli Parlimen PAS terdorong mengambil pendirian serupa, Tuan Ibrahim percaya mereka kekal istiqamah dan menjaga maruah parti.

Namun, ia tidak jadi halangan buat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi secara sinis menyoal Ahli Parlimen PN yang lain bila mereka akan mengambil tindakan yang sama, dengan menasihatkan mereka supaya tidak menunggu terlalu lama.

“MP Jeli (Zahari), Tanah Merah (Ikmal Hisham Abdul Aziz), Ketereh (Khlir Mohd Nor), Hulu Terengganu (Rosol Wahid), Sungai Besar (Muslimin Yahaya) dan Langkawi (Mohd Suhaimi Abdullah) bila lagi? Jangan tunggu lama-lama. Kapal lama semakin tenggelam. Welcome aboard,” katanya.

Semalam pula, tersiar satu laporan bahawa kira-kira seminggu selepas mengisytiharkan sokongan kepada perdana menteri, Suhaili sudah dijamin peruntukan daripada kerajaan perpaduan. Menerusi catatan di Facebook, Suhaili berkata beliau hadir ke pejabat Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Wilayah Persekutuan untuk menguruskan peruntukan itu semalam dan peruntukan itu akan disalurkan terus ke pusat khidmatnya tidak lama lagi.

Laporan itu dengan sendirinya menempelak ketua whip PN Takiyuddin Hassan yang Jumaat lalu berkata PN tidak akan meneruskan perundingan berkaitan peruntukan sama rata wakil rakyat kepada pembangkang. Alasan beliau ialah selepas beberapa kali berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, kerajaan meminta beberapa jaminan selain mahukan pembangkang menulis surat kepada kerajaan seolah-olah memohon peruntukan tersebut.

Pendek kata pembangkang mahukan peruntukan itu tapi mereka enggan memohonnya. Dengan kata lain, peruntukan itu dianggap sesuatu yang kerajaan terhutang kepada mereka. Anwar dalam reaksinya meminta pembangkang untuk terus berbincang dengan Fadillah.

Senang cakap bola kini dikembalikan ke kawasan mereka. Terserah kepada PN dan Bersatu untuk bermain secara bertahan yang setakat ini menyaksikan mereka dah bolos empat kali oleh gol sendiri atau hindar daripada berlarutan.

Apabila Gaza lumat, perdamaian tetap tidak akan tercapai

Zin Mahmud

Pada 7 November lalu, cukup sebulan apa yang media panggil sebagai Konflik Israel-Hamas tetapi lebih tepat lagi Perang Gaza sekian kalinya. Cuma kali ini ia menjadi suatu pembunuhan ramai atau massacre besar dengan pada tarikh itu, jumlah kematian di Gaza meningkat 8,000 kebanyakannya kanak-kanak dan bayi.

Pejuang Palestin yang mati, atau disebut syahid dianggarkan 200 orang. Pejuang itu merujuk kepada militan Hamas dan Jihad Islami.

Militan bermaksud pasukan yang bersenjata tetapi bukan digaji oleh kerajaan. Kalau pasukan bergaji kerajaan, ia dipanggil tentera. Israel mempunyai angkatan tenteranya yang bernama Angkatan Pertahanan Israel (IDF). Palestin tidak mempunyai tentera. Hamas adalah pertubuhan politik yang mempunyai sayap bersenjatanya iaitu Briged Al-Qassam.

Tidak semua ahli Hamas menganggotai briged ini. Briged ini dan militan Jihad Islami yang sedang berperang dengan Israel di Gaza pada waktu ini. Jihad Islami adalah kumpulan lain yang tidak tertakluk pada kepimpinan Hamas.

Hujung minggu lalu adalah waktu sibuk bagi Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken. Pada 5 November, beliau mengadakan perjumpaan mengejut dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas di Ramallah, Tebing Barat. Sebelum itu beliau bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan kemudian berada di Amman, Jordan bertemu dengan menteri-menteri negara Arab.

Selepas itu beliau pergi bertemu Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudani di Baghdad dan seterusnya ke Ankara untuk berjumpa Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Blinken membawa perutusan dari Presiden Joe Biden. Tentulah tidak diketahui apa yang tersirat tetapi apa yang dilaporkan ialah Amerika sedang memaklumkan pada pemimpin- pemimpin Timur Tengah mengenai rancangannya terhadap Gaza selepas "Hamas tiada".

Pertemuan itu memakan masa satu jam. Ia diakhiri dengan video kedua pemimpin itu duduk bersebelahan dan kemudian bersalaman. Di belakang mereka ialah gambar Kubah Batu atau Dome of the Rock dengan bendera Presiden Palestin, iaitu bendera Palestin dengan ada jata negara Palestin.

Tidak ada kenyataan dikeluarkan oleh kedua-dua pemimpin. Laporan yang ada hanya dari pegawai pejabat Mahmoud yang enggan namanya disebut. Blinken hanya memberi kenyataan semasa beliau berada di Baghdad.

Dari mimik muka dan bahasa badan, kelihatannya rasa tidak puas hati oleh kedua-dua pihak lebih-lebih lagi Mahmoud. Wajahnya kelihatan marah dan sedih. Permintaan Mahmoud supaya gencatan senjata perlu segera dibuat telah ditolak oleh Amerika.

Sebelum itu, Amerika cadangkan kepada Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu supaya diadakan gencatan senjata sementara atau pauses bagi membolehkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza. Tetapi Benjamin menolak kerana katanya sebarang gencatan senjata akan membolehkan Hamas berkumpul semula dan memulihkan kekuatan.

Mahmoud tolak gencatan senjata sementara, beliau mahu yang kekal supaya orang awam terutama kanak-kanak tidak menjadi mangsa bom. Blinken kata pihaknya akan berusaha supaya nyawa dapat diselamatkan.

Amerika bukan orang tengah di antara Israel dan Palestin. Amerika dan Israel adalah sekutu. Blinken bukan hanya seorang Yahudi tetapi mengumumkan bahawa jati diri atau

identiti beliau adalah Yahudi dan secara automatik menyokong Israel. Dalam erti kata lain beliau boleh disifatkan sebagai "Jew first, America second". Walaupun sebenarnya, menjadi Yahudi tidak semestinya menyokong Zionisme atau Israel.

Tetapi pernyataan identiti itu hanya menambah kemarahan umat Islam terhadap Amerika. Biden pula, seperti yang dipaparkan dalam video yang tertular, sejak muda lagi, iaitu ketika menjadi ahli senat adalah penyokong Israel.

Dalam satu laporan lain pula, pertemuan Blinken dengan Mahmoud membawa cadangan senario selepas Hamas dimusnahkan. Maknanya gambaran yang dibawa oleh Blinken ialah Israel menang dalam konflik ini dengan Hamas berjaya dihapuskan, sesuatu yang tentunya tidak gemar didengar oleh orang Islam. Ini kerana bagi orang Islam. Israel akan kalah dalam perang ini.

Tetapi Blinken nenegaskan bahawa walaupum Israel berjaya mengalahkan Hamas, perdamaian kekal adalah dengan menubuhkan negara Palestin merdeka dan berdaulat, iaitu penyelesaian dua negara (two states solution). Untuk itu, Amerika mempelawa Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang diketuai Mahmoud menjadi wakil keseluruhan Palestin, termasuk Gaza. Maka Mahmoud menyatakan kesediaannya untuk mentadbir Gaza. Ini kerana selama ini Gaza ditadbir oleh Hamas.

Untuk itu, Blinken mengharapkan sokongan dari negara-negara Arab khususnya Mesir, Jordan dan Iraq serta juga Turki. Cadangan ini adalah di atas senario Hamas berjaya dihapuskan di atas bumi Gaza yang hancur. Iaitu dihancurkan oleh Israel dengan menggunakan senjata yang dibekalkan oleh Amerika.

Israel tidak mahu negara Palestin yang merdeka ditubuhkan. Mereka mahu penyelesaian satu negara, iaitu Israel menelan kedua-dua Tebing Barat dan Gaza. Orang Palestin digesa supaya berpindah ke Sinai, Mesir. Atau pada perkataan lain, mereka dihalau.

Dalam pada itu sistem apartheid yang menjadikan orang bukan Yahudi sebagai warga kelas kedua diteruskan.

Tetapi pihak penyokong Palestin yang banyak dahulu menyokong penyelesaian dua negara kelihatannya kini mahukan satu negara, iaitu Palestin ditubuhkan dengan merangkum keseluruhan bumi Palestin iaitu termasuk Israel sekarang. T

etapi tentunya tanpa apartheid, semua warga, Arab dan Yahudi adalah saksama. Namum dengan hak warga Palestin di luar negara pulang ke tanah air, sememangnya orang Arab akan menjadi majoriti. Tentulah keadaan ini tidak dapat diterima oleh Israel. Fahaman Zionisme menetapkan bahawa mereka mahukan negara Yahudi. Tidak kurang daripada itu. Walaupun sekular dan demoktatik tetapi ia dalam lingkungan bangsa Yahudi.

Begitu juga jika Israel itu bermaksud merangkumi Tebing Barat dan Gaza. Maka mereka pun menghalau keluar sebahagian besar orang Palestin. Maka bukan saja orang Palestin tidak akan dapat menerima, negara-negara Arab, umat Islam malah pendapat dunia tidak akan dapat menerima.

Bukan saja perkara ini tidak dapat diselesaikan, malah untuk apa yang perlu dilakukan sebaik saja Gaza "bersih daripada Hamas" jika itu benar-benar terjadi juga tidak dapat ditangani.

Untuk menyerahkan Gaza bulat-bulat, atau sebahagian besarnya kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) adalah suatu yang sukar untuk diterima oleh penduduk Gaza. Ini kerana ia seolah-olah PA bekerja untuk Israel. Hamas dan penduduk Gaza berkorban melawan dan menjadi mangsa Israel, PA pula dapat habuan dengan memperoleh kuasa mentadbir Gaza.

Merekalah kelak dibayar gaji dan berkuasa di atas pendufuk Gaza, serentak itu melakukan sebarang dasar yang dikehendaki Israel. Rakyat Israel pun juga tidak akan setuju. Penat- penat tentera Israel melanggar Gaza dan menghapuskan Hamas, kuasa pentadbiran diserahkan kepada PA.

Tetapi setelah melumatkan Gaza, tentera Israel tentunya akan berundur, dan ada cadangan supaya pasukan tentera pengaman dari negara-negara Islam datang mengawal.

Maknanya mengawal keamanan iaitu ketika tentera Israel berundur dan pasukan pentadbir PA masuk seperti yang dicadangkan oleh Amerika. Tentera-tentera pengaman itu mungkin dari Maghribi, Turki. Pakistan, malah Malaysia pun bersedia datang.

Gaza walaupun lumat perlu dibangunkan kembali kerana rakyatnya perlu meneruskan hidup dan menyambung zuriat bangsa Palestin. Tetapi sekepas itu, apa yang perlu dilakukan dan apa yang akan berlaku?

Masa depan itu sentiasa terbuka. Apa yang akan berlaku pada sejarah adalah seringkali berada di luar daripada jangkaan. Kepimpinan Israel hampir pasti berubah. Netanyahu akan digantikan. Namun negara terpendam atau "deep state" Israel tetap tidak berubah. Begitu juga dengan Amerika. Mereka mungkin dapat presiden baharu apabila pilihan raya presiden diadakan. Gaza pasti jadi isu. Sama ada Republikan atau Demokratik yang menang, negara terpendamnya tetap sama.

Mereka akan lebih keras terhadap orang Islam di sana yang dilihat menjadi aktif dalam demonstrasi pro-Palestin terutama orang asing. Pengeluaran visa untuk pelawat dan pelajar Islam akan menjadi lebih ketat. Tetapi Amerika walau siapapun presidennya akan berusaha supaya Israel lebih selamat dengan mencari penyelesaian damai kekal untuk Palestin.

Hamas kalaupun dapat dimusnahkan akan menyertai generasi baharu pejuang Palestin, mungkin dalam bentuk lain. Perjuangan "dari sungai ke segara" akan berterusan untuk generasi-generasi akan datang.

Ramasamy bayar ganti rugi, tetapi Zakir ‘belum boleh sentuh wang’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy, yang telah menyerahkan cek berjumlah RM1.52 juta sebagai ganti rugi libel, berkata pendakwah Zakir Naik belum boleh mendermakan wang itu untuk sebarang tujuan.

Ramasamy diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi kepada Zakir awal bulan ini selepas memihak kepada pendakwah itu dalam saman fitnahnya.

Di Facebook, bekas Adun DAP itu berkata, wang itu – yang dikumpul menerusi pendanaan awam – akan dibayar kepada peguam Zakir dan disimpan dalam akaun klien sehingga proses rayuan selesai.

“Plaintif tidak boleh ‘sentuh’ mahupun ‘dermakan’ wang (itu) untuk sebarang tujuan sehingga semua rayuan selesai! Perjuangan masih diteruskan,” kata Ramasamy, merujuk kepada Zakir yang pada 4 Nov berkata, beliau akan mendermakan wang itu untuk perjuangan Palestin.

Zakir memfailkan dua saman berasingan pada 2019, mendakwa Ramasamy telah membuat lima kenyataan berunsur fitnah terhadapnya.

Menurutnya, kenyataan-kenyataan tersebut disiarkan di beberapa laman media sosial dan dilaporkan oleh beberapa portal berita antara 2016 dan 2019.

Ramasamy berkata, beliau bercadang untuk memfailkan rayuan, dan sekiranya Mahkamah Rayuan memihak kepadanya, dana yang terkumpul akan didermakan kepada mereka yang memerlukan, katanya.

M'sia juarai pertandingan World Robot Olympiad 2023

Malaysiakini

Pasukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berjaya muncul Juara Keseluruhan Pertandingan Antarabangsa World Robot Olympiad (WRO) 2023 yang berlangsung di Panama City, Panama, bermula 7 Nov hingga kelmarin.

KPM dalam satu kenyataan memaklumkan kejayaan itu merupakan kejuaraan ke-11 daripada 19 kali penyertaan Malaysia dalam WRO dan kejuaraan itu diperoleh setelah pasukan negara berjaya meraih empat pingat emas dan dua pingat perak daripada keseluruhan tujuh kategori yang dipertandingkan.

Menurut KPM pasukan Malaysia yang diketuai Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Shafruddin Ali Hussin, diwakili oleh 49 peserta dalam kalangan murid sekolah rendah dan menengah serta pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG).

“Malaysia turut menghantar pegawai KPM yang bertugas sebagai pengadil kejohanan dalam pertandingan yang disertai oleh 1,200 peserta dari 80 buah negara itu,” katanya.

Sementara itu, Shafruddin dalam kenyataan sama berkata beliau berbangga dengan pencapaian itu yang disifatkannya terbaik sepanjang Malaysia menyertai WRO.

“Kerjasama berpasukan yang baik, komitmen dan sokongan semua pihak termasuk daripada Sasbadi Holdings Berhad yang merupakan rakan strategik KPM adalah ramuan penting pasukan negara untuk mengatasi saingan sengit daripada pasukan lain,” katanya.

Sementara itu Shafruddin berkata KPM sentiasa berusaha meningkatkan minat murid dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) termasuk menerusi program robotik yang menarik dan menghiburkan.

- Bernama

Terengganu: Gadis 15 tahun dirogol lapan lelaki bergilir-gilir

NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Tujuh remaja lelaki ditahan reman bagi membantu siasatan kes merogol seorang remaja perempuan di Mahkamah Majistret Kemaman hari ini.
KEMAMAN – Tujuh remaja lelaki ditahan bagi membantu siasatan dakwaan memperkosa seorang remaja perempuan berusia 15 tahun pada tahun lalu.

Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 14 hingga 19 tahun di tahan di beberapa lokasi berasingan petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, penahanan itu berikutan aduan diterima daripada mangsa baru-baru ini.

Beliau berkata, remaja perempuan tersebut mendakwa diperkosa secara bergilir-gilir oleh lapan lelaki di sebuah rumah di Kijal di sini pada Julai tahun lalu.

“Mangsa mendakwa dibawa seorang kenalan lelakinya di sebuah rumah tersebut sebelum dirogol bersama tujuh lelaki lain.

“Setakat ini, tujuh suspek yang sebahagiannya berasal dari luar Terengganu sudah berjaya ditahan manakala seorang lagi sedang diburu,” katanya di sini hari ini.

Hanyan berkata, kesemua suspek telah ditahan reman selama enam hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Perintah reman dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin di Mahkamah Majistret di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak sengaja gilis anak yang disangka sudah masuk kereta

Utusanonline
TANGKAP layar rakaman CCTV kejadian seorang ibu terlanggar anaknya di tempat letak kereta di bandar Minsk, Belarus.-AGENSI
MINSK: Tular baru-baru ini rakaman detik cemas seorang ibu tergilis anak lelakinya yang berusia lima tahun ketika kanak-kanak itu sedang memasuki kereta di kawasan parkir di bandar Minsk di Belarus.

Kejadian itu berlaku beberapa hari lalu di kampung Kopyshche dan kamera litar tertutup (CCTV) merakam detik mengejutkan itu.

Dalam video itu, budak lelaki berkenaan dilihat berdiri di sebelah pintu penumpang belakang kereta Hyundai berwarna merah, tetapi semasa dia cuba masuk ke dalam kereta, ibunya sudah memandu ke hadapan.

Kanak-kanak itu terseret sebelum terjatuh dan digilis oleh tayar belakang kereta ibunya.

Sebaik sahaja menyedari anaknya sudah terbaring di atas jalan, wanita itu dengan panik bergegas keluar dari kereta, tetapi malangnya terlupa untuk menekan brek.

Kenderaan itu akhirnya berhenti selepas melanggar dinding blok apartmen, dengan seorang lagi anak wanita itu dilaporkan masih berada di tempat duduk penumpang.

Seorang wanita yang kebetulan lalu di situ cuba membantu wanita tersebut ketika dia mendukung anak lelakinya yang sudah lemah sambil berlari semula ke keretanya.

Laporan terkini memaklumkan kanak-kanak lelaki itu dikejarkan ke hospital selepas mengalami beberapa kecederaan dan sedang menerima bantuan perubatan yang diperlukan.

Polis tempatan memuat naik video itu di laman web mereka sebagai amaran kepada ibu bapa supaya lebih berhati-hati ketika melakukan perjalanan bersama anak-anak.

Menurut pihak berkuasa, empat laporan kesalahan dibuat terhadap pemandu wanita berusia 36 tahun itu termasuk tuduhan melakukan kemalangan jalan raya dan melanggar peraturan pengangkutan penumpang bawah umur-.AGENSI

Operasi sasar Israel dan sekutunya, AS diperhebat

Sinar Harian
Penduduk di utara Gaza berjalan kaki beramai-ramai menuju ke kawasan selatan ketika pertempuran semakin sengit. - Foto AFP
Penduduk di utara Gaza berjalan kaki beramai-ramai menuju ke kawasan selatan ketika pertempuran semakin sengit. - Foto AFP
SANAA - Angkatan Tentera di Yemen telah melancarkan satu lagi operasi ketenteraan ke atas rejim Zionis pada Khamis sebagai tanda solidariti dengan penduduk Palestin.

Jurucakapnya, Brigadier Jeneral Yahya Saree berkata, sejumlah misil balistik menyasarkan beberapa lokasi di bahagian selatan Tel Aviv termasuk kawasan Umm al-Rashrash di bandar Eilat.

Rangkaian stesen TV, al-Masirah melaporkan operasi itu berjaya mencapai objektif asal pasukan tersebut.

"Kami akan meneruskan kempen ketenteraan ini sehingga Israel menghentikan kekejaman mereka terhadap saudara kami di Gaza," tegasnya.

Sehari sebelum ini, tentera di Sanaa turut menembak jatuh dron canggih milik Amerika Syarikat (AS) ketika pesawat tanpa pemandu itu terlibat dalam operasi untuk 'membantu' sekutu kuat mereka mengebom Gaza.

Dalam perkembangan berkaitan, serangan dron telah dilancarkan ke atas pangkalan tentera udara di wilayah Kurdistan, Iraq yang menempatkan pasukan tentera AS.

Gerakan Kata'ib Sayyid al-Shuhada mengaku bertanggungjawab membedil Pangkalan Tentera Udara al-Harir itu yang terletak kira-kira 45 kilometer di utara Lapangan Terbang Antarabangsa Erbil.

Setiausaha Agungnya, Abu Alaa al-Walaei menegaskan serangan ke atas kedudukan AS di Baghdad hanya akan dihentikan apabila kempen pengeboman dahsyat ke atas Gaza berakhir dan konvoi bantuan kemanusiaan dibenarkan memasuki wilayah itu tanpa sebarang sekatan.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Akhbar Pentagon, Sabrina Singh memaklumkan tentera AS telah diserang sebanyak 46 kali sejak 17 Oktober lalu termasuk 22 kejadian serangan di Syria.

Jelasnya, seramai 56 anggota turut cedera dalam insiden itu dan sebahagiannya telah kembali bertugas. - Agensi

‘Andai neraka di Bumi, Gazalah tempatnya’, kata jurucakap PBB

Bernama
Jurucakap Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan, Jens Laerke menggambarkan Gaza kini seperti ‘neraka’. (Gambar AP)
GENEVA: Pejabat kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata badan antarabangsa itu tidak boleh menghantar trak bantuan ke utara Gaza berikutan konflik yang tercetus di wilayah yang dikepung itu.

“Jika neraka itu di bumi, utara Gazalah tempatnya,” kata jurucakap Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Jens Laerke pada taklimat akhbar mingguan di Geneva.

Laerke berkata, trak membawa bantuan kemanusiaan PBB hanya sampai ke selatan Semenanjung Gaza dan tidak dapat memasuki ke kawasan utara Gaza yang didiami ratusan ribu penduduk, lapor Agensi Anadolu.

Sekumpulan pakar PBB baru-baru ini memberi amaran bahawa rakyat Palestin berisiko menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai memandangkan rejim Israel terus mengepung Semenanjung Gaza.

Sekurang-kurangnya 10,812 rakyat Palestin, termasuk 4,412 kanak-kanak dan 2,918 wanita terbunuh di Gaza sejak 7 Okt, menurut pihak berkuasa Palestin.

Pekerja maut, gas amonia bocor ketika kerja penyelenggaraan paip

Hazsyah Abdul Rahman
am@hmetro.com.my
ANGGOTA bomba berusaha menyahcemar lokasi. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha menyahcemar lokasi. FOTO Ihsan Bomba
Sandakan: Seorang pekerja maut manakala 17 cedera dalam kejadian kebocoran gas amonia di kilang kiub ais di Batu 3, di sini, jam 10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, ketika kejadian seorang mekanik dibantu oleh tujuh orang pekerja lain sedang membuat penyelanggaraan mesin pemotong ais.

Menurutnya, ketika menjalankan kerja penyelengaraan satu paip sistem penyejukan bocor.

"Kejadian menyebabkan gas amonia dalam keseluruhan tiub sistem penyejukan tersembur keluar.

"Seorang pekerja lelaki tempatan berumur 40 tahun yang berada berhampiran paip yang bocor terkena gas amonia tidak sedarkan diri, " katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Duchess of Kent Sandakan (HDOK) sebelum disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital.

"Seramai 18 orang pekerja berumur 21 hingga 55 tahun sedang bekerja di kilang berkenaan pada masa kejadian berlaku.

"Susulan itu, 17 orang pekerja kini sedang menerima rawatan di HDOK.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian," katanya.

Terdahulu, seorang pekerja kilang itu parah dan 12 lagi mengalami simptom sesak nafas serta sakit kulit selepas mesin ais pecah.

Guan Eng: Siti Mastura timbulkan ketakutan terhadap DAP, orang Cina

HarapanDaily.com

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menegaskan bahawa Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad menimbulkan ketakutan terhadap DAP dan orang Cina apabila mengaitkan Ahli Parlimen Bagan itu mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pemimpin komunis, Chin Peng dan bekas Perdana Menteri Singapura.

Guan Eng berkata, Mastura secara terang-terangan menggunakan hubungan kekeluargaan yang sebenarnya tidak wujud dan jelas bersifat perkauman dan ekstremis.

“Apa yang membuatkan kelakuan Siti Mastura yang tidak bertanggungjawab ini menjadi lebih teruk ialah tiada langsung sebarang rasa sesal daripada beliau bahawa ucapannya penuh dengan kebencian dengan pembohongan, bersifat perkauman dan ekstremis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, jelasnya, Datuk Sankara Narayanan Nair dilantik untuk memulakan prosiding terhadap Siti Mastura, yang didakwa mengeluarkan ucapan kebencian, pembohongan serta fitnah jahat terhadap beliau dalam satu program di Kemaman, Terengganu pada 4 November lalu.

Sebelum ini, Guan Eng memberi tempoh 48 jam kepada Siti Mastura untuk mengemukakan bukti terhadap dakwaan beliau.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, dakwaan Mastura itu antaranya mengaitkan beliau dan bapanya, Tan Sri Lim Kit Siang sebagai sepupu kepada Chin Peng dan Kuan Yew.

Selain itu, katanya, Mastura turut mendakwa beberapa pimpinan DAP lain iaitu, Anthony Loke, Nga Kor Ming, Datuk Ngeh Koo Ham serta Teresa Kok, mempunyai pertalian saudara denggannya.

“Beliau enggan menunjukkan bukti mengenai dakwaan hubungan kekeluargaan tersebut, malah tidak langsung menarik balik atau memohon maaf di atas pembohongan dan fitnah jahatnya,” tambah Guan Eng.

Dalam masa sama, Guan Eng menggesa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan pendirian mereka secara terbuka terhadap kenyataan yang dibuat Siti Mastura.

Rangka manusia dipercayai warga Indonesia ditemui dalam belukar

Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bh.com.my
Rangka manusia milik warga Indonesia ditemui di kawasan belukar berhampiran sub stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Putra Height, di sini semalam. NSTP/Ihsan PDRM
Rangka manusia milik warga Indonesia ditemui di kawasan belukar berhampiran sub stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Putra Height, di sini semalam. NSTP/Ihsan PDRM
KUALA LUMPUR: Rangka manusia dipercayai seorang lelaki warga asing ditemui di kawasan belukar bawah jambatan di Jalan Persiaran Putra Harmoni, Putra Height dekat sini, semalam.

Rangka ditemui oleh orang awam yang baru selesai menjalankan kerja penyelenggaraan sistem LRT Sub Stesen Putra Height yang terletak berhampiran, kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata rangka manusia itu ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap bersama dokumen pengenalan diri.

"Mangsa memakai kemeja-T berwarna biru serta singlet putih dan berseluar denim biru. Bersebelahan rangka si mati, terdapat beg galas berwarna hitam mengandungi barang keperluan diri seperti pakaian disyaki milik si mati.

"Kita turut menemui dompet pada poket hadapan seluar mangsa mengandungi kad pengenalan diri dengan butiran nama Riki Mandaguna, berusia 40 tahun dan berasal dari Kota Samarinda, Kisaran, Indonesia," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Wan Azlan berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai sudah meninggal antara tiga hingga enam minggu sebelum rangkanya ditemui, semalam.

"Rangka manusia itu kemudian dihantar ke Jabatan Patologi Hospital Serdang untuk proses siasat dan buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Semakan mendapati setakat ini pihak polis tidak ada menerima laporan orang hilang membabitkan mangsa," katanya yang turut memaklumkan siasatan lanjut kini sedang dijalankan.

Sehubungan itu, katanya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya tampil membantu siasatan polis.

Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Ruzaizi A Ghani di talian 017-6762338 atau menghubungi Balai Polis Putra Height di talian 03-5191374.

Penguat kuasa ditahan minta habuan seks

Bernama
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi tujuan reman pagi tadi. (Gambar SPRM Putrajaya)
JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang anggota agensi penguat kuasa di negeri ini kerana disyaki meminta habuan dalam bentuk seks.

Menurut sumber, lelaki berkenaan yang ditahan malam tadi, dipercayai meminta habuan itu sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas seorang wanita gagal melaporkan diri disebabkan kesalahan dadah.

Sumber berkata, lelaki 40-an itu ditahan ketika bersama wanita dalam lingkungan 20-an dalam satu operasi khas di sebuah hotel di Johor Bahru kira-kira 7.30 malam tadi.

Katanya, wanita itu dipercayai gagal melaporkan diri secara bulanan kepada agensi penguat kuasa berkenaan dan bagi mengelakkan diambil tindakan, lelaki berkenaan dipercayai meminta habuan seks.

“Wanita tersebut pernah ditahan kerana kesalahan dadah dan sedang menjalani tempoh pengawasan dua tahun di sebuah agensi penguat kuasa di Johor Bahru,” kata sumber.

Susulan penahanan itu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi tujuan reman pagi tadi dan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Chai Ing Hien, mengeluarkan perintah reman empat hari bermula hari ini sehingga 13 Nov terhadap suspek.

Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Azmi Kamaruzaman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Lelaki Syria didakwa bakar bilik hotel

Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Syria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan khianat dengan membakar bilik sebuah hotel di ibu negara semalam.

Oday Bahbouh, 29, didakwa melakukan khianat dengan menyalakan api pada kertas sehingga menyebabkan kebakaran dan kerosakan harta benda iaitu dua almari kayu, tilam, lantai, pintu, langsir dan tandas melibatkan kerugian RM10,000.

Bahbouh, seorang penganggur dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bilik hotel di Jalan Metro Pudu 2 Fraser Business Park, Wangsa Maju pada 10.30 pagi.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip menawarkan jaminan RM25,000 dengan dua penjamin warga tempatan dengan mengambil kira nilai kerugian RM10,000 manakala Bahbouh yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan.

Hakim Siti Aminah Ghazali membenarkan tertuduh diikat jamin seperti yang dimohon pendakwaan dan menetapkan 11 Dis ini untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam.

Kala Zionis mengganas, ini tiga ungkapan kerap diucap rakyat Palestin

HarapanDaily.com

Lebih sebulan penduduk di Palestin bumi para Nabi dibedil pengganas Zionis Israel namun bibir mereka tidak lekang dengan tiga ucapan ini.

Seorang pemuda Gaza berkongsikan ungkapan rakyat Palestin yang boleh didengar masyarakat dunia melalui pelbagai rakaman video mengenai genosid paling dahsyat ini.

Ketika beliau membuat rakaman itu, keganasan Zionis Israel sudah mencecah 31 hari iaitu pada 6 November.

Menurutnya ketika itu, pembunuhan beramai-ramai bangsa Arab di wilayah terkepung di Gaza, Palestin oleh Zionis Israel telah mengorbankan lebih 10,000 orang.

Ribuan lagi mangsa berada di bawah runtuhan bangunan yang dibom manakala lebih 25,000 lagi cedera.

Keadaan di Gaza yang sebelum ini pun digelar penjara terbuka terbesar di dunia semakin meruncing apabila tiada bekalan elektrik, bekalan makanan, air dan bahan api.

Kata lelaki Palestin itu lagi, pengganas juga memutuskan segala akses komunikasi dan internet ketika pengeboman bertalu-talu menghujani rakyat Palestin.

“Namun, Allah Maha Besar mengatasi mereka… InsyaAllah, kami akan membawakan siaran langsung dari Gaza,” ujarnya yang kelihatan keletihan dan kehausan.

Ribuan kanak-kanak di Gaza turut syahid dibunuh pengganas Zionis.

Berikut tiga ungkapan yang kerap disebut rakyat Palestin yang telah dan sedang dizalimi pengganas nombor wahid di dunia ini, Zionis Israel:

1. Alhamdulillah

“Ada yang meninggal dunia dibedil tentera rejim Zionis pun orang Palestin ucapkan Alhamdulillah.

“Rumah kena bom tetap cakap Alhamdulillah yang bermaksud “segala puji bagi Allah” atau “terima kasih Allah”.

“Sebagai Muslim, kami percaya apa sahaja berlaku kepada kami adalah terbaik daripada Allah walaupun bagi manusia adalah sebaliknya.

“Hidup ini adalah ujian. Semuanya hanya sementara menuju kehidupan di akhirat yang kekal abadi.”

2. Allahuakbar

“Allah Maha Besar. Allah mengatasi segala-galanya. Apabila kamu bersama Yang Maha Berkuasa, siapa yang akan mampu menandingimu?”

3. La Ilaha Illallah

“Tidak ada Tuhan melainkan Allah.

“Kekal kuat. Teruskan berdoa. Teruskan usaha apa yang anda sedang lakukan. Suarakan pendirian anda sama ada melalui demonstrasi, sumbangan tunai, bercakap, bertindak.

“Tolong suarakan apa saja yang boleh. Tolong lakukan apa saja yang anda mampu buat. Kami lihat anda. Kami dengar anda.

“Terima kasih. Bebaskan Palestin. Bebaskan seluruh dunia daripada rejim penindas.”

Israel guna burung pemakan bangkai kesan mayat rakyatnya

Sinar Harian

BAITULMAQDIS - Seorang pakar hidupan liar mendedahkan burung pemakan bangkai akan digunakan untuk mencari penduduk Israel yang terbunuh dalam serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober lalu.

Pihak berkuasa Alam dan Taman Israel, Ohad Hatzofe berkata, burung helang, hering dan burung pemangsa lain yang dilengkapi alat pengesan telah digunakan untuk mengesan mayat manusia.

"Apabila perang bermula, saya didatangani beberapa anggota simpanan yang berkhidmat dalam Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dan mereka bertanya sama ada saya boleh membantu mengesan mayat," katanya.

Idea pencarian itu datang dari EITAN, sebuah unit dalam cawangan sumber manusia tentera yang bertanggungjawab untuk mengesan askar yang hilang.

Hatzofe yang juga ketua ditugaskan dalam satu program mengesan burung hering terancam, yang kebanyakannya memakan bangkai haiwan.

Program itu telah berjaya menandakan ratusan burung dengan penjejak GPS bagi mengkaji corak migrasi, tabiat pemakanan dan ancaman alam sekitar.

"Saya menghantar data saya kepada tentera dan selepas itu mereka pergi untuk mengesahkannya dan menemui empat mayat,” katanya yang tidak dapat mendedahkan lebih lanjut mengenai lokasi atau identiti mayat itu. - AFP

Guan Eng mulakan tindakan undang-undang terhadap MP PAS

Malaysiakini

Pengerusi DAP Lim Guan Eng memulakan tindakan undang-undang terhadap ahli Parlimen Kepala Batas dari PAS, Siti Mastura Muhammad kerana mendakwa dia memiliki hubungan keluarga dengan pemimpin komunis Chin Peng, atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, dan perdana menteri pertama Singapura Lee Kuan Yew.

Lim berkata dia telah melantik peguam Sankara Narayanan Nair untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap Siti Mastura.

Lim juga menggesa Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin untuk menyatakan pendirian mereka secara terbuka terhadap dakwaan yang dibuat Siti Mastura.

"Saya telah melantik Sankara Narayanan Nair sebagai peguam saya untuk memulakan prosiding undang-undang dan tindakan jenayah terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura atas ucapan kebenciannya terhadap saya.

"Siti Mastura membuat ucapan kebencian itu di sebuah acara PAS di Kemaman pada 4 November lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Perhimpunan Agung PBB lulus undi sah kedaulatan Palestin ke atas sumber asli

Bernama

NEW YORK: Jawatankuasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Persoalan Ekonomi dan Kewangan (Jawatankuasa Kedua) mengundi menyokong resolusi mengesahkan kedaulatan rakyat Palestin ke atas sumber asli mereka.

Resolusi itu mengesahkan kedaulatan rakyat Palestin di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, dan kedaulatan penduduk Arab di Golan Syria ke atas sumber asli mereka, lapor Agensi Berita Palestin WAFA.

Resolusi itu juga menyeru Israel untuk menghentikan eksploitasi, kerosakan, punca kerugian atau kekurangan dan mengancam sumber asli di wilayah terbabit.

Selain itu, resolusi berkenaan menegaskan bahawa pembinaan tembok apartheid, penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki termasuk Baitulmaqdis Timur, dan merampas sumber semula jadi rakyat Palestin merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Resolusi itu turut menggesa Israel mematuhi keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa berkaitan pembinaan tembok apartheid yang tidak sah.

Waspada peralihan sokongan

Shahbudin Husin 

Saya adalah antara sejumlah besar rakyat Malaysia yang gembira pada mulanya apabila tiba-tiba ada Ahli Parlimen blok pembangkang mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Pada saya, ini bukan saja menandakan kepimpinan Anwar lebih diyakini, malah akan menjanjikan atmosfera politik yang lebih stabil kepada negara sehingga PRU16 akan datang.

Apabila politik stabil, harapan seterusnya tentulah agar kerajaan mampu melakukan lebih kebaikan kepada rakyat, mengembangkan lagi ekonomi, menyediakan lebih peluang pekerjaan dan menjadikan negara ini benar-benar sejahtera untuk didiami.

Bermula dengan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), kemudian Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan seterusnya Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) yang tampil secara terbuka mengumumkan sokongan terbuka mereka kepada Anwar, saya menulis dengan respon yang baik terhadap tindakan mereka itu.

Bahkan, kelmarin selepas Mohd Azizi mengumumkan sokongannya kepada Perdana Menteri, saya malah menyarankan agar PN secara “en bloc” sepatutnya segera memberi sokongan kepada Anwar juga.

Ini kerana dengan satu demi satu telah beralih sokongan, bersama PN yang semakin hilang harapan untuk menjatuhkan kerajaan, lebih baiklah mereka beramai-ramai menyokong kepimpinan Anwar.

Setidak-tidaknya dengan berbuat demikian, semua Ahli Parlimen PN akan beroleh peruntukan kerajaan bagi kawasan masing-masing dan pengundi mereka akhirnya dapat sama-sama menikmati limpahan pembangunan.

Tetapi, apabila tidak sampai 24 jam selepas Mohd Azizi mengalihkan sokongannya, ia kemudian diikuti pula oleh Ahli Parlimen keempat iaitu Zahari Kechik, hati kecil saya mula terdetik perasaan sangsi.

Kenapa begitu cepat seorang lagi Ahli Parlimen Bersatu menyusul memberi sokongan, apakah semua ini sengaja direncana?

Pada waktu yang sama, saya juga meneliti pimpinan utama Bersatu tidak begitu keras mengecam tindakan Ahli Parlimen mereka yang beralih arah itu.

Hanya ketika Iskandar Dzulkarnain saja terlihat ada reaksi yang agak keras, namun selepas itu semuanya dianggap semacam biasa-biasa saja.

Bahkan, pimpinan utama Pas juga tidak ternampak marah dengan tindakan Mohd Azizi dan Zahari itu.

Walhal. kedua-dua calon Bersatu itu bertanding dalam PRU15 lalu adalah menggunakan lambang bulan.

Tidakkah Pas sepatutnya rasa mereka dikhianati?

Tidak pernah dihentikan

Dalam konteks berkaitan, beberapa perkhabaran pula singgah ke telinga saya mengatakan usaha blok pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan sebenarnya masih lagi berjalan dan tidak pernah dihentikan.

Malah, ada pemimpin pembangkang baru-baru ini difahamkan telah menghantar wakilnya ke Kota Kinabalu untuk bertemu dengan pemimpin negeri Sabah yang tertentu.

Meskipun, dalam masa yang sama ada pemimpin dalam Bersatu sendiri difahamkan tidak berapa yakin usaha menjatuhkan Anwar boleh membuahkan kejayaan, pokoknya PN tetap mencari jalan dan tidak pernah berhenti untuk menjatuhkan kerajaan sebelum PRU16 tiba.

Semua ini lantas menimbulkan persoalan, apakah seorang demi seorang Ahli Parlimen Bersatu yang mengalih sokongan ini hanya sekadar umpan agar Anwar jadi leka?

Ini seterusnya mengingatkan bagaimana kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dijatuhkan pada 2009 lalu di mana ia bermula dengan Adun Bota daripada UMNO, Nasarudin Hashim tiba-tiba keluar parti dan menyertai PKR.

PR amat seronok ketika itu kerana majoriti kerajaan negeri telah bertambah, tetapi tidak lama kemudian, kerajaan negeri pimpinan Nizar Jamaluddin berjaya ditumbangkan hanya setelah 11 bulan berkuasa apabila dua Adun PKR, Jamaluddin Mohd Radzi dan Othman Jailu mengumumkan keluar parti, seterusnya diikuti seorang Adun DAP, Hee Yit Fong mengumumkan menjadi Adun Bebas.

Nasarudin yang sebelum itu melompat ke PKR turut kembali semula kepada UMNO kemudiannya, lalu termenjadilah Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang baru.

Apakah strategi yang sama sedang digunakan untuk menumbangkan Anwar dan Kerajaan Perpaduan?

Bermula dengan tindakan Zahari kelmarin yang menjadi Ahli Parlimen keempat memberi sokongan kepada Anwar, saya tidak lagi jadi teruja dengan peralihan sokongan yang berlaku.

Kalau selepas ini ada lagi yang berbuat demikian pun, saya hanya ingin memerhati saja.

Memang semua yang beralih sokongan itu sudah dan akan digantung keahlian, tetapi mereka masih bebas menyokong sesiapa saja pada masa akan datang, apabila setelah kerajaan bertukar tangan.

Yang penting, harap-harap Anwar tidak terpedaya dan tidak termakan umpan yang ada jerat di sebaliknya.

Geli tengok aksi pekerja restoran nasi kandar berseluar dalam ketika di dapur

Tular Video menerusi TikT0k dan laman X telah memaparkan seorang pekerja restoran yang hanya berseluar dalam ketika bekerja tular di media sosi4l sejak Selasa.

Video tular itu dirakam di sebuah kedai nasi kandar terkenal yang terletak di Pantai Johor, Alor Setar, Kedah yang mana ekerja tersebut dilihat sedang bertinggung di bahagian dapur sambil menghalakan badan ke arah peralatan memasak.

Individu itu kemudiannya berpaling ke belakang dan menyedari aksinya sedang dirakam seseorang, dipercayai pelanggan.

Dia yang berseluar dalam warna hitam dilihat terus bangun apabila menyedari kelibatnya sedang diperhatikan.

Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen berjenaka tentang video itu, tak kurang juga yang menyelar pekerja berkenaan.

“Itu nasi kandar ke nasi kangkang?

“Saya dah tak makan nasi kandar berkurun lamanya. Geli tekak.

“Yang ni tak nak boikot ke?” tulis net1zen di ruangan komen.

Hanya memiliki lesen motosikal untuk memandu bas persiaran dengan 40 penumpang

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

KAJANG: Seorang lelaki memberi alasan menggantikan tugas abangnya untuk memandu bas walaupun hanya mempunyai lesen motosikal.

Lelaki berusia 22 tahun berkenaan didapati memandu bas persiaran dengan kira-kira 40 penumpang termasuk warga asing yang bekerja sebagai kontraktor.

Katanya, dia dalam perjalanan membawa penumpang berkenaan dari tempat kerja di Serdang menuju asrama mereka di Kajang sebelum ditahan pihak berkuasa untuk pemeriksaan dalam Op Patuh Bersepadu di Plaza Tol Sungai Ramal, malam tadi.

"Selalunya abang saya yang bawa bas, saya hanya ganti sahaja sebab dia ada kenduri malam ini. Abang bagi upah RM30 untuk bawa bas ini kali ini (satu trip).

"Saya tahu bawa bas walaupun tiada lesen sebab selalu ikut abang bawa bas. Selalunya bas yang dibawa adalah bas kilang, namun hari ini kebetulan bas itu rosak dan bas persiaran ini disewa.

"Sebelum ini, saya pernah bawa bas beberapa kali dan ini kali pertama saya 'kantoi' bawa bas walaupun ada lesen motosikal sahaja," katanya yang bekerja sebagai penunggang e-hailing.

Tindakan lelaki berkenaan memandu bas tanpa lesen menyebabkan bas persiaran terbabit disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, sebanyak 5,223 kenderaan diperiksa di dalam operasi itu yang bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam tadi.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 281 kenderaan diambil tindakan dengan 531 notis atas pelbagai kesalahan dikeluarkan serta empat kenderaan disita termasuk sebuah bas yang dipandu tanpa lesen.

"Kesalahan paling banyak dikesan dilakukan adalah kesalahan teknikal iaitu ubah suai seperti tayar motosikal serta nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Op Patuh Bersepadu di Plaza Tol Sungai Ramal, di sini, malam tadi, yang turut disertai agensi penguatkuasa yang lain.

Seramai 106 pegawai dan anggota penguatkuasa terdiri daripada JPJ, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) terbabit dalam operasi itu.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 55 saman polis dikeluarkan oleh pihak JSPT dalam operasi berkenaan.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, pihak JIM menahan 42 warga asing yang didapati melakukan kesalahan-kesalahan Imigresen.

"Pihak AADK pula menahan lima individu dengan empat daripadanya positif dadah jenis methaphetamin, manakala seorang lagi positif dadah jenis ganja," katanya.

4 MP Sokong Anwar: Bersatu akan lapor SPRM, polis

Faiz Zainudin

KUALA LUMPUR: Bersatu akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis selepas empat Ahli Parlimennya menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan peruntukan.

Sambil mendakwa wujud unsur ugutan dan rasuah dalam tindakan wakil rakyat itu, Presiden Muhyiddin Yassin berkata laporan akan dibuat dalam tempoh sehari dua ini selepas mengumpul segala maklumat.

“Kita beberapa hari lalu membuat pengumuman kes Ahli Parlimen Bersatu khasnya ada diugut, ditawar dengan faedah, tawaran seperti kewangan atau peruntukan yang mana bagi kami adalah tindakan melanggar peruntukan Akta SPRM,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di Publika.

Muhyiddin memberi contoh Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim yang sebelum ini memaklumkan mereka diberikan tawaran serta ugutan sebelum bertindak menyokong Anwar.

“Dalam kes Ahli Parlimen Gua Musang beliau maklum dalam mesyuarat Bersatu Kelantan, beliau dapat tawaran bagaimanapun menolak semuanya…tetapi tiga hari selepas itu beliau umum sokong sebelah sana dan kita suspek ada perkara berlaku yang langgar peraturan.

“Macam juga kes Kuala Kangsar jelas ada disebut dalam laporan itu, tarikh-tarikh bila mana pihak tertentu yang membabitkan ‘tauke’ugut kalau tak buat itu (sokongan) akan dikenakan hukuman oleh SPRM.

“Ada elemen intimidasi atau pendakwaan untuk dapatkan sokongan dengan tawarkan tawaran bernilai jutaan ringgit dan sebagainya,” dakwanya.

Muhyiddin turut menggesa Akta Lompat Parti yang diwartakan 6 Sept lalu dikaji semula kerana berpandangan terdapat kelemahan.

Bangunan tiga tingkat runtuh di Pulau Perhentian usaha menyelamat mangsa terakhir diteruskan

SAR mangsa bangunan runtuh tanpa henti
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@bh.com.my
ANGGOTA bomba meneruskan operasi SAR seorang lagi mangsa yang tertimbus dalam bangunan runtuh secara penggiliran. FOTO Ihsan JBPM.
ANGGOTA bomba meneruskan operasi SAR seorang lagi mangsa yang tertimbus dalam bangunan runtuh secara penggiliran. FOTO Ihsan JBPM.
Besut: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa yang dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan bangunan tiga tingkat di Pulau Perhentian, di sini pagi tadi masih diteruskan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan As'ari Omar berkata, operasi tidak dihentikan dengan pencarian dilakukan secara penggiliran mengikut kawasan runtuhan berkenaan.

Beliau berkata, operasi SAR yang dijalankan membabitkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
FOTO tular menunjukkan LOKASI kejadian.
"Operasi masih diteruskan walaupun pada waktu malam dengan pencarian dilakukan secara manual berikutan lokasi kejadian jauh dari daratan yang menjadi kekangan untuk aset sampai dengan cepat di kawasan runtuhan.

"Jadi, kita terpaksa gunakan alat pemotong untuk memotong dan mengalihkan serpihan runtuhan bangunan.

"Kita berharap operasi berjalan lancar dan menemui mangsa yang dipercayai masih terperangkap dalam runtuhan dengan segera," katanya yang ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian di Pulau Perhentian di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan enam selamat manakala seorang lagi pekerja dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan bangunan tiga tingkat yang dalam pembinaan di Pulau Perhentian di sini hari ini.

Mangsa yang dipercayai masih terperangkap dikenali sebagai warga Indoensia, Suparno berusia 40-an.

Syed Saddiq wakil rakyat pertama dihukum sebat

NOOR AZLIDA ALIMIN

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjadi wakil rakyat pertama dikenakan hukuman sebatan bagi kesalahan jenayah kolar putih.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ini dikenakan hukuman berkenaan selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis didapati dia bersalah atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Selain sebatan, bekas menteri termuda tanah air yang berusia 31 tahun ini, turut dihukum penjara tujuh tahun dan denda RM10 juta.

Berbeza dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini berusia 70 tahun, dia dihukum penjara selama 12 tahun dan denda RM210 juta tanpa sebatan kerana usianya sudah melangkaui setengah abad.

Berdasarkan Seksyen 289(c) Kanun Prosedur Jenayah 2007, pesalah wanita, lelaki yang dijatuhkan hukuman mati atau pesalah berumur lebih dari 50 tahun, tidak boleh dikenakan sebatan.

Difahamkan, sabitan hukuman sebatan adalah mandatori bagi pertuduhan pecah amanah jenayah dan salah guna harta.

Bagaimanapun, sabitan berkenaan dikecualikan kepada pesalah wanita atau individu yang berusia lebih 50 tahun.

Anak bongsu daripada empat beradik ini turut kelihatan sugul ketika sidang media diadakan di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Lebih-lebih lagi sejurus dipeluk kedua-dua ibu bapanya, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff sambil ditemani puluhan penyokongnya.

Ketika sidang media di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Syed Saddiq berkata, beliau akur dengan keputusan mahkamah dan akan terus berjuang untuk membersihkan namanya di Mahkamah Rayuan kelak.

“Bertindak sebagai penggubal undang-undang, saya yakin dengan sistem kehakiman kita.

“Selaku ahli politik juga, saya perlu menjadi lebih putih daripada putih,” katanya.

Selepas keputusan itu, Syed Saddiq yang hadir di mahkamah memakai kot sempat menenangkan ibu serta bapanya yang menangis.

Lapan maut nahas cuba elak ditahan seludup migran

Bharianonline

HOUSTON: Lapan orang dilaporkan terbunuh dalam satu pertembungan kereta yang berlaku di Texas, Amerika Syarikat kelmarin.

Seorang pegawai polis dari Jabatan Keselamatan Awam Texas berkata, kejadian itu berlaku disebabkan kenderaan berkenaan cuba mengelak daripada ditahan ketika melakukan kegiatan menyeludup migran.

Polis berkata ketika kejadian, pemandu Honda putih itu membawa lima pendatang asing tanpa izin dan melarikan diri dari syerif di jalan raya kira-kira 100 kilometer dari sempadan Mexico.

Dalam kejadian itu, pemandu kenderaan berkenaan melepasi sebuah trak sebelum bertembung dengan sebuah kereta lain, sekali gus membunuh mereka yang berada dalam kenderaan.

Tujuh mangsa maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi dilaporkan meninggal dunia di hospital.

Mereka yang maut itu kebanyakannya dari Honduras.

Pihak berkuasa AS sebelum ini berjaya menghalang kira-kira enam juta migran di sempadan selatannya sejak Presiden Joe Biden memegang jawatan pada Januari 2021, kata Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS, Alejandro Mayorkas, kelmarin.

Beliau berkata sejak Mei, pihak berkuasa sudah mengeluarkan dan mengembalikan lebih 350,000 pendatang yang tidak memenuhi kriteria untuk tinggal di negara itu.

Isu kemasukan individu secara haram itu menjadi beban kepada politik Biden apabila parti Republikan menuduhnya melakukan dasar sempadan yang longgar.

Biden meminta Kongres tambahan AS$13.6 bilion (RM63.70 bilion) bagi mengukuhkan sempadan dengan Mexico serta mengupah ejen imigresen, peguam dan pegawai suaka. - AFP