Abang ‘sabit’ adik hingga mati

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki melibas adiknya dengan sabit hingga mati selepas bertengkar dalam kejadian di Taman Kluang Barat, Kluang.

Ketua Polis Kluang, Bahrin Mohd Noh, berkata kejadian 3.30 pagi semalam membabitkan mangsa, Fu Kui Fatt, 42, dan abangnya berusia 44 tahun.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di rumah Kui Fatt dan berpunca daripada perselisihan faham antara dua beradik itu.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku mencederakan Kui Fatt menggunakan sabit dalam pergaduhan itu sebelum dikejarkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) menggunakan ambulans.

“Bagaimanapun, kira-kira 2.30 petang semalam, mangsa disahkan meninggal dunia akibat pendarahan yang banyak,” katanya dalam kenyataan menurut Kosmo.

Beliau berkata, suspek ditahan kira-kira 2.30 petang semalam dan direman enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bukit Aman panggil semula Agus bersama Wahab beri keterangan

Nor Azizah Mokhtar

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Bukit Aman akan memanggil bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff untuk dirakamkan semula keterangannya berhubung video perbualan berunsur lucah yang tersebar sejak Khamis.

Tindakan itu diambil susulan siasatan kes berkenaan kini dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman selepas mengambil alihnya daripada Polis Selangor.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, ketika mengesahkan perkembangan siasatan itu, berkata pihaknya juga akan memanggil seorang kakitangan J-KOM yang dikaitkan dengan rakaman video terbabit itu, iaitu Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, untuk diambil keterangan.

Beliau berkata, proses rakaman keterangan terhadap kedua-dua individu terbabit akan dijalankan dalam masa terdekat.

"Bila dan di mana (proses rakam keterangan), kita masih atur buat masa ini," katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, BH melaporkan polis sudah selesai merakam keterangan Mohamad Agus selepas beliau tampil membuat laporan polis berkait rakaman video itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, buat masa ini polis menerima satu laporan polis berhubung kes itu, dan beliau merujuk kepada laporan polis oleh Mohammad Agus, semalam.

Sehubungan itu, polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

Mohammad Agus dalam satu sidang media khas, semalam mendakwa video perbualannya bersama individu bernama Wahab yang tular di media sosial itu sebenarnya sudah disunting.

Beliau berkata, tindakan itu dipercayai dilakukan pihak tertentu yang sengaja mahu menjatuhkan reputasi beliau dengan menyebarkan video yang didakwanya sebagai palsu.

Abdul Wahab yang turut serta dalam sidang media khas, semalam mengaku merakam video asal yang didakwa sudah diubah suai itu.

Abdul Wahab mendakwa dia diarahkan oleh seorang individu berjawatan tinggi dikenali Mr H untuk merakam satu klip video bagi memerangkap bekas Ketua Pengarah J-KOM itu.

Ustaz Hakim Ramlee nafi dia ‘Mr H’

HARAPAN DAILY 
Ustaz Hakim Ramlee nafi dia ‘Mr H’
Pengarah Bahagian Latih dan Pendidikan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Muhamad Hakim Ramlee yang turut dikenali sebagai Ustaz Hakim Ramlee menafikan dirinya adalah ‘Mr H’.

Dia menyifatkan tuduhan penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamarudin, yang mendakwa beliau adalah Mr H adalah sangat berniat jahat.

“Saya tak boleh beri kenyataan lanjut kerana dituduh oleh Raja Petra. Saya pun tak tahu, saya rasa (Mr H) bukan saya kot, salah orang ini.

“Saya tak boleh beri pandangan lanjut mengenai perkara ini dan sudah dinasihatkan tidak berbuat demikian.

“Namun, saya nafikan (dakwaan Raja Petra). Apa kena mengena dengan saya pula?

“Tuduhan ini sangat random (rambang), saya pun tak tahu. Tiba-tiba (dikaitkan dengan Mr H), macam mana boleh naik saya sebagai Mr H?” katanya, dipetik BH.

Muhamad Hakim mengulas ciapan Raja Petra, mendakwa ahli PKR itu dalang yang menerbitkan rakaman video berunsur lucah, membabitkan bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dan Penolong Ppegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.

Perbualan jelik itu tular di media sosial sejak kelmarin sebelum Agus dan Wahab mengadakan sidang media di Bandar Baru Bangi, malam tadi.

Wahab dalam sidang media semalam memberitahu dia diarah pegawai atasan yang digelarnya sebagai ‘Mr H’ untuk merakam perbualan bersama Agus.

Dia mengaku merakam perbualan video itu tetapi, jelasnya, isi perbualannya bukan seperti yang tersebar dan tular di media sosial.

Tanpa mendedahkan identiti Mr H, Wahab berkata apa yang berlaku dalam video yang tular itu adalah konspirasi daripada individu terbabit.

Susulan pendedahan Wahab itu, Raja Petra malam tadi menerusi entri di aplikasi X secara sinis mengucapkan tahniah kepada ‘Mr H’.

“Tahniah ‘Mr H’, penerbit movie ‘J-KOM sex in the office scandal’, best Malaysian movie Twin Towers award (skandal seks dalam pejabat J-KOM, filem terbaik Malaysia yang memenangi anugerah menara berkembar),” katanya.

Dia malah turut memuat naik poster pelantikan Hakim ke jawatan Pengarah Bahagian Latih dan dan Pendidikan J-KOM yang turut memuatkan logo PKR.

Tuduh mufti 'dajal'

Skuad Khas Harian Metro
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menjisimkan Allah SWT dengan menyamakan rupa bentuk mirip manusia, gemar membidaahkan amalan orang lain serta melabelkan akidah majoriti umat Islam sebagai sesat.

Itu ajaran seorang lelaki berasal dari Syria yang juga pemegang taraf penduduk tetap (PR) negara ini menyebarkan akidah songsang menerusi media sosial.

Tindakan lelaki itu sering mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan umat Islam dan memberi gambaran buruk kepada ilmuwan Islam.

Lelaki itu yang tinggal di Terengganu pernah ditarik tauliah mengajar agama di negeri berkenaan kemudian giat menyebarkan ideologi sesat dan mempunyai kira-kira 20,000 pengikut di media sosial.

Pemerhatian wartawan turut mendapati bahawa lelaki terbabit mengaku tidak ada ulama pada zaman ini dan melabelkan mufti negeri sebagai 'dajal'.

Lelaki itu juga menuduh imam besar seperti Imam Abu Hanifah sebagai 'ulama akal dan nafsu' sedangkan keilmuwan Imam Abu Hanifah sememangnya diakui seluruh dunia Islam.

Pada masa sama, sumber keselamatan memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa memantau perkembangan serta ajaran lelaki berkenaan yang berkisar kepada pemikiran 'pro-Wahabi'.

Menurutnya, tindakan lelaki ini yang tinggal di Besut, Terengganu sangat gemar meletakkan label syirik kepada orang lain yang tidak sealiran dengannya.

"Kita sentiasa mengikuti perkembangan lelaki ini kerana ia boleh mencetuskan rasa tidak harmoni dalam kalangan umat Islam.

"Corak pemikirannya juga yang gemar mensyirikkan orang yang tidak sealiran dengannya adalah mirip pemikiran ekstremis.

"Kita juga menyalurkan maklumat yang diperoleh kepada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) khususnya di Terengganu supaya tindakan tegas dapat diambil," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Sumber berkenaan juga memaklumkan bahawa setakat ini, anggaran pengikut media sosial milik lelaki itu adalah sekitar 20,000.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh menyatakan semua itu pengikut lelaki berkenaan kerana ramai dalam kalangan mereka adalah ahli akademik yang mengkaji pemikiran lelaki itu," katanya.

Katanya, sesiapa saja yang giat menyebarkan ajaran songsang sebenarnya berada dalam radar pihak berkuasa untuk tujuan pencegahan serta pemantauan.

Pahang teliti kewajaran fatwa

Fatwa kesesatan seorang lelaki Syria akan dikeluarkan jika ia turut mengganggu umat Islam di negeri lain.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, pihaknya sentiasa memantau ajaran lelaki terbabit dan tindakan untuk memfatwakan kesesatannya akan dibuat jika ia mengganggu umat Islam negeri Pahang.

"Setakat ini, saya dimaklumkan fatwa berkenaan dikeluarkan untuk Terengganu memandangkan lelaki ini tinggal di situ dan giat menyebarkan ideologi songsang 'pro-Wahabi' menerusi media sosial.

"Kita sentiasa lihat kewajaran fatwa berkenaan daripada semasa ke semasa dan setakat ini, ia tidak membabitkan negeri Pahang.

"Saya fikir jika ia membabitkan negeri lain, pastinya fatwa sama akan dikeluarkan tidak hanya untuk Terengganu saja," katanya kepada Harian Metro, semalam.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Dr Zamihan Mat Zin berkata, pihaknya antara yang terawal melaporkan penyebaran ideologi songsang kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT).

"Pada masa sama, saya dimaklumkan ada beberapa pihak lain termasuk guru pondok serta pendakwah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) menzahirkan rasa tidak senang terhadap ajaran lelaki ini.

"Lelaki ini menyebarkan ajaran yang tidak harmoni untuk umat Islam, gemar melabelkan orang lain dengan perbuatan syirik serta mengeluarkan kata tohmahan kepada imam mujtahid.

"Tindakannya mencetus rasa tidak harmoni dan saya harap semua pendakwah dapat sebarkan akidah yang sebenar iaitu ASWJ," katanya.

Zamihan menzahirkan terima kasih kepada JHEAT kerana tindakan menggazetkan fatwa pengharaman ajaran lelaki itu.

Katanya, fatwa dikeluarkan adalah jelas dan semua orang khususnya penduduk di negeri berkenaan perlu mengikutinya.

Isteri orang sanggup jual kereta demi kahwini teman lelaki

KOSMO
Angsumalin menjual kereta Toyota Vios miliknya untuk mengahwini teman lelakinya. – Sanook
BANGKOK – Seorang wanita di Thailand terdesak untuk menjual keretanya dengan segera dalam usaha mengumpul wang untuk berkahwin dengan teman lelakinya meskipun dia sudah bersuami, lapor laman berita Thaiger hari ini.

Angsumalin menjadi perhatian ramai kerana mengiklankan jualan keretanya berserta sepanduk  memberitahu tujuan dia menjual kenderaan itu.

“Mahu dijual segera! Saya sedang mengumpul wang untuk mengahwini teman lelaki. Harganya 90,000 baht (RM11,908). Tunai sahaja dan boleh dirundingkan,” kata iklan jualan tersebut.

Kereta tersebut adalah model Toyota Vios keluaran 2005. Harga pasaran semasa bagi model sama adalah sekitar  99,000 baht (RM13,099).

Menurut Angsumalin, dia mahu mengahwini teman lelakinya secepat mungkin, namun tidak mempunyai wang mencukupi.

Dia juga mengaku sudah berkahwin, namun telah jatuh cinta kepada rakan sekerjanya itu.

“Kita berada di zaman baharu. Wanita yang mempunyai dua suami akan menang. Jika lelaki boleh berkahwin dua, mengapa tidak saya?” ujarnya. – AGENSI 

'Saya jadi 'kambing hitam', Mr H arah rakam panggilan video bersama Dr Agus'

Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Bangi: "Saya dipergunakan dan dijadikan sebagai 'kambing hitam' oleh pihak tertentu untuk menjatuhkan Dr Agus," kata Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani yang terpalit kontroversi perbualan lucah bersama Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Lelaki terbabit mendakwa rakaman video perbualan itu yang tular di media sosial sejak semalam adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.

Menjelaskan perkara sebenar, Abdul Wahab berkata, dia diarahkan seorang individu berjawatan tinggi di Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), digelar 'Mr H' untuk merakam panggilan video bersama Dr Agus yang meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM.

Menurutnya, semuanya bermula selepas dia bertemu Mr H di pejabat sebelum dibawa bertemu beberapa individu berpengaruh lain di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Dalam pertemuan itu, saya diberitahu kononnya Dr Agus terbabit aktiviti tidak bermoral. Mr H menyatakan beliau ditugaskan membersihkan J-KOM dari dalam dan turut meyakinkan saya bahawa beliau mendapat sokongan individu berpengaruh lain yang ingin menjatuhkan Dr Agus.

"Sebagai pegawai baru, saya berasa teruja untuk melaksanakan tugas diberikan. Saya diarah membuat rakaman perbualan video bersama Dr Agus bagi mendapatkan bukti Dr Agus terbabit aktiviti songsang dan tidak bermoral.

"Hakikatnya video yang saya rakam itu tidak mempunyai audio. Saya terkejut apabila video berkenaan disebarkan oleh Chegubard (Badrul Hisham Shaharin) di Facebooknya yang mana ia disunting seolah-olah kami terbabit perbuatan tidak bermoral," katanya dalam sidang media di sini, malam ini.

Turut hadir Dr Agus dan peguam yang mewakili mereka, Faisal Rahman.

Mengulas lanjut, Abdul Wahab berkata, penyebaran video palsu itu bukan saja merosakkan reputasi Dr Agus malah turut menjatuhkan maruahnya dan keluarga selain dikecam masyarakat.

"Kini saya sedar yang saya dipergunakan dan tidak sekadar kambing hitam oleh pihak tertentu. Sebelum ini saya sangka saya sebahagian pihak benar yang kononnya ingin bersihkan J-KOM daripada unsur negatif, tapi rupanya saya digunakan dalam komplot keji," katanya.

Berikutan itu, dia tampil menjelaskan kepada masyarakat bagi membersihkan nama dan akan membuat laporan polis serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah.

Samsuri mungkin calon PM masa depan PAS

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Pencalonan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar pada PRK Kemaman mungkin strategi PAS menampilkan calon perdana menteri dari golongan profesional pada masa depan, kata penganalisis politik.

Mereka berpendapat Samsuri yang juga pakar aeroangkasa mampu mengikis imej “parti lebai” PAS, dalam usaha menarik sokongan masyarakat dan gabungan parti politik dari Sabah serta Sarawak untuk menawan Putrajaya.

Namun Rusdi Omar daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata laluan memenangi hati rakyat dari Malaysia Timur bukan mudah, tetapi sekurang-kurangnya ada usaha dimulakan termasuk menarik sokongan pengundi bukan Melayu dan Islam.

“Biasanya untuk dapatkan sokongan dari bahagian itu, mereka (Perikatan Nasional) kena cari pemimpin yang betul-betul dan profesional sebab kalau bertaraf ulama mungkin agak sukar.

“Itu mungkin antara punca PAS pilih Samsuri kalau betul dia nak jadi perdana menteri,” katanya kepada FMT, mengulas langkah PAS mempertaruhkan naib presiden PAS itu untuk mempertahankan Parlimen Kemaman pada 2 Dis depan.

Bagaimanapun, Rusdi berkata misi ke Putrajaya pada PRU16 mungkin agak sukar sekiranya sentimen perkauman dan agama terus menjadi modal politik PAS walaupun kempen itu berjaya membawa parti Islam itu menang 43 kerusi Parlimen pada November lalu – pencapaian terbaiknya sejak menyertai pilihan raya.

PAS juga mengekalkan pentadbiran di Kedah, Kelantan, dan Terengganu selain merampas Perlis yang sejak sekian lama menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN).

“Tapi dalam keadaan sekarang saya tak nampak PN boleh menang PRU16, walaupun cuba calonkan Samsuri di peringkat pusat,” kata Rusdi.

Salawati Mat Basir daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pula berpandangan Samsuri mempunyai ketokohan, dengan latar belakang profesional serta pendedahan agama.

“Semua parti bercita-cita ke Putrajaya, tak salah kalau mereka mempersiapkan diri untuk menjadi perdana menteri…kelebihan Samsuri beliau dari golongan profesional,” katanya.

Bagaimanapun, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara menyifatkan pencalonan Samsuri reaksi terhadap tindakan BN mencalonkan bekas panglima tentera, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

“Bukan kerana Samsuri akan menjadi bakal PM, tujuannya susulan kesan positif daripada calon BN yang bukan orang politik tetapi panglima tentera.

“Memang betul kata Ahmad Said (ketua Umno Terengganu)… mereka gentar,” katanya yang menyamakan langkah itu seperti ketika PKR mencalonkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari untuk menewaskan Mohamed Azmin Ali di Parlimen Gombak pada PRU15.

Media perlu telus lapor isu babit Gaza - Sheikh Ali Muhyiddin

Bernama

Pengamal media perlu memainkan peranan secara telus dalam melaporkan berita-berita berhubung konflik Palestin-Israel berdasarkan realiti sebenar yang berlaku di Gaza.

Setiausaha Kesatuan Ulama' Muslimin Sedunia, Sheikh Prof Dr Ali Muhyiddin Al-Qarah Daghi berkata wartawan berperanan penting dalam melaporkan insiden sebenar kepada masyarakat awam dan bukannya memanipulasikan sesuatu fakta.

"Manipulasi berita yang disebarkan kepada awam oleh syarikat akhbar yang cenderung ke barat, mereka dilihat telah melakukan banyak penipuan sedangkan kematian (dan tragedi) sebenar yang banyak berlaku di Palestin.

"...dan (manipulasi) ini adalah bagi melemahkan motivasi umat Islam dalam peperangan ini," katanya dalam Bahasa Arab pada sesi Syarahan Perdana Isu Palestin dan Dialog Ilmuan Islam 2023 di Masjid Negara, malam ini.

Syarahan beliau dalam sesi itu diterjemahkan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Prihatin Nasional, Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar.

Senada itu, Pengerusi Nadwah Ulamak Nahdah Jadidah (NUNJI), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata peranan media dilihat antara sumbangan utama yang diperlukan Palestin berikutan pengaruhnya dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap isu tersebut.

Mengambil contoh tragedi pengeboman Hospital al-Shifa di Semenanjung Gaza oleh rejim zionis baru-baru ini, beliau berkata manipulasi yang dilakukan oleh agensi media barat mengaitkan fasiliti kesihatan itu dengan Hamas adalah sesuatu yang perlu dielakkan dan ditapis.

"Bahkan, dengan adanya media sosial pada hari ini, masyarakat boleh mengikuti setiap detik yang berlaku di Gaza sekali gus menyukarkan agensi-agensi berita berkaitan untuk memanipulasi fakta sebenar," katanya.

Turut hadir dalam sesi dialog itu Ketua Sekretariat Duat Al-Falah, Abdul Hadi Bakri Abdullah.

- Bernama

Wahab dakwa 'Mr H' arah rakam perbualan dengan Agus

Suraya Ali
suraya.ali@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Lelaki dalam video perbualan jelik bersama Datuk Dr Muhammad Agus Yusoff, mendakwa diarah pegawai atas yang digelarnya sebagai 'Mr H' untuk merakam perbualan bersama Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) itu.

Lelaki dikenali Wahab atau nama sebenarnya Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, berkata dia merakam perbualan video bersama, namun isi perbualannya bukan seperti yang tersebar dan tular di media sosial itu.

Tanpa mendedahkan identiti Mr H, Wahab yang juga Penolong Pegawai J-KOM, berkata apa yang berlaku dalam video yang tular itu adalah konspirasi daripada individu berkenaan.

"Saya diarah berjumpa Mr H di pejabat beliau awal November lalu dan bermula daripada situ, beberapa pertemuan diaturkan Mr H, termasuk dibawa ke hotel sekitar Kuala Lumpur untuk berjumpa individu yang disebutnya sebagai amat berpengaruh.

"Sepanjang pertemuan, saya diberitahu Mr H mendapat maklumat daripada pihak tertentu bahawa Agus terbabit dalam aktiviti tidak bermoral.

"Mr H menyatakan beliau ditugaskan untuk membersihkan J-KOM dari dalam. Beliau turut meyakinkan saya bahawa beliau disokong beberapa individu berpengaruh yang ingin menjatuhkan Agus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media yang turut disertai Agus di sebuah hotel di Bandar Baru Bangi, malam ini.

Semalam, tular video mengenai perbualan jelik membabitkan dua individu berkenaan, dengan Agus turut dilapor menghantar surat peletakan jawatan beliau selaku Ketua Pengarah J-KOM.

Agus ketika sidang media hari ini menafikan ketulenan video itu, sebaliknya mendakwa ia disunting pihak tertentu.

Dalam pada itu, Wahab berkata selaku seorang pegawai baharu, dia teruja untuk melaksanakan tugasan diberikan Mr H itu.

"Saya diarahkan membuat satu rakaman perbualan video bersama Agus bagi mendapatkan bukti beliau terbabit aktiviti songsang dan tidak bermoral.

"Saya terkejut apabila rakaman video itu disebarkan oleh Cikgu Bard di laman Facebook beliau. Lebih mengejutkan lagi, rakaman video itu disunting dan 'diedit' (diubah suai) oleh pihak yang tidak bertangungjawab menggunakan teknik 'voice over'," katanya.

Wahab berkata, dia tampil menjelaskan kepada masyarakat bagi membersihkan nama dan akan membuat laporan polis serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah.

Lelaki langgar keluarga Muslim disabitkan bersalah membunuh

AFP
KELUARGA Afzaal. (Dari kiri) Yumna Afzaal, Madiha Salman, Talat Afzaal dan Salman Afzaal. FOTO The Guardian
KELUARGA Afzaal. (Dari kiri) Yumna Afzaal, Madiha Salman, Talat Afzaal dan Salman Afzaal. FOTO The Guardian
Ottawa: Lelaki Kanada yang menggunakan traknya untuk melanggar keluarga Islam yang ketika itu keluar berjalan-jalan, didapati bersalah pada Khamis, dalam perbicaraan pembunuhan pertama Kanada di mana juri diminta mempertimbangkan motif keganasan yang berkaitan dengan 'ketuanan kulit putih'.

Nathaniel Veltman, 22, disabitkan bersalah dengan empat pertuduhan pembunuhan tahap pertama atau pembunuhan terancang, dan satu pertuduhan cubaan membunuh. Dia berdepan hukuman penjara sepanjang hayat apabila dijatuhkan hukuman.

Dia mengakui menyerang keluarga Afzaal dengan trak pikapnya pada Jun 2021 di London, Ontario, yang menyebabkan tiga generasi keluarga itu mati dan seorang budak lelaki menjadi yatim piatu.

Pihak pendakwaan berhujah di perbicaraan bahawa tertuduh didorong oleh ideologi 'ketuanan kulit putih' dan berusaha untuk menakut-nakutkan atau mengganas terhadap orang Islam.

Pihak pembelaan berkata, dia mengalami kemerosotan mental yang bagaimanapun tidak memenuhi keperluan untuk pengakuan gila dan berada dalam keadaan kekeliruan melampau selepas memakan cendawan spesies psilocybin halusinogen pada hujung minggu itu.

Imam Abdul Fattah Twakkal berkata, keputusan itu adalah langkah monumental dalam memerangi kebencian dan Islamofobia.

"Ia menjadi pemula terhadap keganasan nasionalis kulit putih. Ia menghantar mesej yang jelas bahawa kebencian itu tidak mempunyai tempat dalam masyarakat kita.

"Bukti yang keluar daripada perbicaraan ini menunjukkan kepada kita bahawa masih banyak kerja yang perlu dilakukan untuk memastikan bahawa pemuda radikal seterusnya tidak berada di luar sana," katanya di luar mahkamah.

Ibu kepada salah seorang mangsa, Tabinda Bukhari berkata, dia menerima keputusan itu, selain menyifatkan kejadian yang berlaku membuatkan dirinya trauma dan akan kekal dalam ingatan.

"Kesedihan yang berkekalan, trauma dan kekosongan yang tidak dapat digantikan akibat kehilangan beberapa generasi satu keluarga 'menusuk' kami dengan mendalam," katanya.

Sementara itu, Ketua Majlis Kebangsaan Muslim Kanada Omar Khamissa berkata, serangan dua tahun lalu itu mengubah hubungan umat Islam Kanada dengan negara mereka.

"Buat pertama kali bagi kebanyakan daripada kami, kami berasa tidak selamat dan menjadi sasaran hanya untuk berjalan di jalanan," katanya.

Bekas menteri persekutuan, Omar Alghabra menerusi hantaran di aplikasi X (sebelum ini Twitter) berkata, kes ini adalah contoh bagaimana kata-kata kebencian boleh membawa kepada radikalisasi yang boleh membawa kepada keganasan maut.

Salman Afzaal, 46, isterinya Madiha Salman, 44, anak perempuan mereka Yumnah, 15, dan neneknya Talat Afzaal, 74, terbunuh dalam kejadian itu.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun - yang menjadi yatim piatu dalam kemalangan itu - mengalami kecederaan serius.

Tarikh prosiding hukuman dijadualkan pada 1 Disember ini.

Terengganu: LIMA daripada tujuh lelaki yang dituduh merogol dan melakukan persetubuhan luar

IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN

KEMAMAN : Dua pembantu kedai makan bersama lima remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Kemaman, hari ini atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dan merogol seorang wanita bawah umur pada Julai, tahun lalu. 

Kesemua tertuduh berusia 14 hingga 19 tahun tersebut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan berasingan dihadapan Hakim Wan Suhaila Mohd dan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa merogol dan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii ke atas seorang remaja perempuan berusia 15 tahun. 

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan mereka di sebuah rumah di antara pukul 4 petang hingga 6.15 petang pada pertengahan Julai tahun lalu di sebuah rumah di Kijal, pada pertengahan Julai tahun lalu

 Terdahulu, kedua-dua tertuduh berusia 19 tahun masing-masing didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 377B kanun yang sama di Mahkamah Sesyen.

Wan Suhaila membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati dan mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai dibicarakan.

Wan Suhaila kemudiannya menetapkan 14 Disember ini bagi sebutan semula kes. 

Sementara itu, lima lagi tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan yang sama, pada masa dan lokasi yang sama. 

Sharifah Amirda Shasha membenarkan kesemua tertuduh yang juga pesalah juvana ini diikat jamin antara RM3,700 hingga RM4,000 dan kes disebut semula pada 3 Januari depan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Ahnaf Zaimi. – UTUSAN

Kanak-kanak OKU maut dipercayai digilis jentera pembajak

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
ANGGOTA BBP Jitra melakukan operasi menyelamat kanak-kanak lelaki OKU yang maut dipercayai digilis jentera pembajak. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA BBP Jitra melakukan operasi menyelamat kanak-kanak lelaki OKU yang maut dipercayai digilis jentera pembajak. FOTO Ihsan Bomba.
Jitra: Kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) meninggal dunia dipercayai digilis jentera pembajak di Kampung Sungai Korok di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bustan Karudin berkata, pihaknya dimaklum kejadian menerusi Pusat Gerak Operasi pada 7.08 malam.

Katanya, pasukan lapan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Syahruddin Awang kemudian bergegas ke lokasi.

"Sebaik tiba, didapati mangsa iaitu Muhammad Aiman Rosli berusia 11 tahun mengalami kecederaan dipercayai digilis pembajak.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan yang hadir di lokasi.

"Pasukan kemudian mengambil tindakan pemantauan keselamatan di lokasi," katanya ketika dihubungi.

Bustan berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

‘Kami ditahan di Mekah kerana jari telunjuk ke langit’

HAFIZ SAIDINA
GAMBAR yang menjadi punca Huda ditahan di Madinah.
PETALING JAYA: Sekumpulan rakyat Malaysia yang dianggap pejuang Palestin ditahan pihak berkuasa tempatan di Tanah Suci ketika menunaikan umrah kerana bergambar dengan menunjukkan jari telunjuk ke langit.

Baru-baru ini tular di media sosial, sekumpulan jemaah umrah dari Malaysia mendakwa mereka telah ditahan di Madinah selama setengah jam hingga 45 minit untuk disoal siasat oleh pihak berkuasa tempatan kerana dianggap menunjukkan tanda solidariti kepada Palestin.

Menerusi laman sosial Facebook yang dikenali sebagai Huda Izaham melampirkan gambar di pekarangan Masjid Nabawi yang menjadi punca ditahan.

Dalam gambar tersebut, dia menaikkan jari telunjuk yang menuju ke langit yang membawa maksud ‘Allah Yang Satu’.

“Saya dan dua sahabat ditahan pihak berkuasa kerana gambar ini. Hampir setengah jam hingga 45 minit disoal siasat. Visa kami disemak secara teliti.

“Kami juga dibawa berjalan oleh polis sejauh 500 meter untuk menguji sama ada kami akan larikan diri atau tidak,” katanya di Facebook.

Terdahulu dilaporkan, kerajaan Arab Saudi melarang keras jemaah umrah memakai atau menunjukkan solidariti berkaitan Palestin.

Huda berkata, mereka ditangkap kerana bergambar dengan mengangkat jari telunjuk (menggambarkan Allah yang satu) dan kami dianggap sebagai  pejuang Palestin.

“Alhamdulillah kami dilepaskan dengan bantuan sahabat Abu Muadz yang fasih berbahasa arab.

“Jadi peringatan untuk semua, Arab Saudi adalah sebuah negara yang pro-Amerika Syarikat,” katanya.

Huda difahamkan berada di Arab Saudi untuk menunaikan umrah pada awal November lalu.

Hubungan diplomatik negara Arab dan Israel menyebabkan sebarang usaha dalam mempertahankan nasib rakyat Palestin tidak diendah ekoran beberapa faktor antaranya faktor geopolitik serantau.

Terdahulu dilaporkan juga, seorang warga Malaysia yang bekerja di Arab Saudi dipercayai telah ditahan oleh penguat kuasa di sana gara-gara memuat naik hantaran di media sosial yang lantang mengkritik negara tersebut.

Individu terbabit mendakwa negara Arab Saudi seperti dunia akhir zaman kerana didapati gejala pelacuran dan penjualan arak yang semakin berleluasa. – UTUSAN

Agus dan Wahab tampil nafi berbual lucah

Malaysiakini
story-image
Bekas Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Mohammad Agus Yusoff dan seorang pegawai agensi itu tampil bersama pada sidang media bagi menjelaskan video tular yang didakwa rakaman perbualan mereka.

Agus menafikan terlibat perbualan lucah pada video tular yang memaparkan individu mirip dirinya bersama seorang lelaki lain.

"Saya ingin katakan bahawa video itu suatu yang doctored, satu yang edited, saya yang diframe," katanya pada sidang media malam ini di Bandar Baru Bangi.

Agus juga berkata dia telah membuat laporan polis petang tadi di Kajang dan akan menghantar surat tuntutan undang-undang kepada pihak yang menyebarkan video itu.

"Kita telah belajar bagaimana seseorang itu dijatuhkan dengan tuduhan seksual dan ini berlaku kepada saya," katanya lagi.

Pegawai J-KOM Abdul Wahab Abdul Karim turut bersama Agus malam ini, bersama para peguam yang mewakilinya.

Abdul Wahab mendakwa apa yang berlaku merupakan konspirasi daripada seseorang digelar sebagai Mr H.

Menurut Abdul Wahab dia telah merakam perbualan video dengan Agus tetapi isi perbualannya bukan seperti yang telah diubah suai dan menjadi tular di dunia maya.

"Hakikatnya video yang saya rakam itu, video yang tidak mempunyai audio," katanya.

ADUN BERSATU Kuala Perlis isytihar 'perang' kepimpinan MB

Aizat Sharif
bhnews@bh.com.my

ARAU: ADUN Kuala Perlis merangkap Naib Pengerusi 1 Perikatan Nasional (PN) Perlis, Abu Bakar Hamzah kesal dengan Pengerusi PN merangkap Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang tidak memilihnya sebagai EXCO kerajaan negeri untuk tahun kedua.

Ini berikutan, dakwanya, beliau sudah mendapat surat sokongan daripada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan beliau dilantik EXCO Perlis.

Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Perlis turut mengisytiharkan 'perang' terhadap kepimpinan Mohd Shukri dan menggesanya untuk berundur sebagai Menteri Besar.

Abu Bakar berkata, ini adalah kali kedua namanya 'tercicir' daripada diangkat sebagai EXCO selepas kali pertama pada November tahun lalu sejurus PN menang majoriti kerusi dalam PRU-15.

"Beliau (Mohd Shukri) tidak pernah berbincang soal pelantikan EXCO berkenaan (yang dilantik) dengan majlis pimpinan PN negeri.

"Malah, tindakan ini juga mendukacitakan Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilihat tidak menghormati keputusan beliau supaya saya, sebagai pemimpin tertinggi BERSATU dan PN negeri ini, dilantik sebagai EXCO," katanya di parkir perkarangan Istana Arau, hari ini.

Beliau sebelum itu hadir dalam Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis di Istana Arau.

Katanya, pada masa sama, beliau mendakwa dua EXCO daripada BERSATU iaitu Titi Tinggi Izizam Ibrahim yang juga Timbalan Ketua BPN BERSATU negeri dan Ketua Penerangan BERSATU, Megat Hashirat Hassan, sebagai dalang dalam percaturan penolakan namanya untuk lantikan sebagai EXCO.

"Soal pelantikan EXCO sekali pun tidak pernah dibincangkan dalam PN negeri selain mesyuarat tidak pernah diadakan selepas PRU-15.

"Saya cukup kesal kerana Menteri Besar membelakangi keputusan Presiden parti yang juga Pengerusi PN yang sudah memberi sokongan saya sebagai EXCO.

"Malah, saya juga kesal dengan segelintir pemimpin Bersatu sendiri yang 'menikam' saya daripada belakang dalam soal pelantikan EXCO," katanya.

Lelaki hilang selamat pulang selepas azan dilaungkan

JOHANNA MUMTAZ WANPA

PETALING JAYA: Seorang lelaki akhirnya pulang ke rumah setelah azan dilaungkan di lokasi terakhirnya sebelum dipercayai hilang di sebuah ladang kelapa sawit di Jambi, Indonesia baru-baru ini.

Menerusi perkongsian video di akaun TikTok @dedyirfansyah, lelaki dikenali sebagai Usman dipercayai pulang ke rumahnya pada jam satu pagi dalam keadaan separa sedar.

Rakaman video tular itu menunjukkan orang ramai menggunakan obor api untuk mencari lelaki tersebut sambil menjerit memanggil namanya.

“Man, pulang man,” jerit seorang penduduk.

Selain membawa obor api, mereka turut menggunakan perkakasan dapur untuk membantu memudahkan proses pencarian lelaki tersebut dengan mengetuknya sebagai tanda isyarat.

“Semakin malam semakin sulit untuk dicari,” jelas @dedyirfansyah.

Setelah beberapa lama proses pencarian, lelaki terbabit masih belum ditemui akhirnya penduduk kampung berkumpul di kawasan ladang kelapa sawit dan salah seorang daripada mereka melaungkan azan dengan harapan lelaki tersebut akan pulang dengan selamat.

Sementara itu, di ruangan komen, rata-rata warganet tertanya-tanya tentang keadaan terkini lelaki itu dan ada yang mendoakan agar dipermudahkan urusan pencariannya.

“Dah jumpa ke belum orangnya,” komen @sulaiman.

“Semoga segera ditemukan dalam keadaan yang baik,” tulis @uptome.hihi.

Membalas komen netizen yang tertanya-tanya tentang status kehilangan lelaki itu, @dedyirfansyah memaklumkan lelaki tersebut telah pulang ke rumah dalam keadaan yang selamat.

Video berkenaan tular di media sosial dan menerima hampir 22 juta tontonan, 5,945 komen dan 1.1 juta tanda suka. – UTUSAN

Hamas sedia untuk perang lebih lama

Agensi

Gaza: Ketua biro politik Hamas pada Khamis berkata, pihaknya bersedia untuk berperang dalam tempoh lebih lama dengan tentera Israel.

Dalam ucapan yang dirakam, Ismail Haniyeh memuji ketabahan rakyat Palestin dan penyelarasan pejuang "untuk meleraikan keupayaan tentera Israel dan melemahkannya dalam pelbagai bidang."

"Jika musuh menginginkan pertempuran yang panjang, kapasiti kita lebih lama daripada musuh kita,,," katanya.

Beliau berkata: "Dunia akan menyaksikan Briged Al-Qassam dan puak penentang mengalahkan pendudukan Israel di Gaza, seperti yang mereka lakukan 18 tahun lalu," katanya, merujuk kepada pengunduran Israel dari Gaza pada 2005.

"Mereka tidak akan mendapat apa-apa selain lebih banyak kegagalan, kekecewaan dan kekalahan."

Haniyeh menganggap "penduduk Gaza dan penentangan menggagalkan matlamat dan rancangan musuh untuk berpindah atau mendapatkan semula tebusan secara paksa."

Dalam nota lain, beliau menggesa pelaksanaan resolusi sidang kemuncak tergempar Arab-Islam yang diadakan di ibu kota Arab Saudi, Riyadh beberapa hari lalu, terutama yang berkaitan dengan "menghentikan segera pencerobohan, menarik balik kepungan ke atas Gaza, melindungi kesucian, dan merealisasikan aspirasi rakyat kita untuk kebebasan, kembali dan kemerdekaan."

Beliau juga menekankan kepentingan "pembentukan pantas sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada beberapa negara yang ditugaskan untuk memantau pelaksanaan keputusan yang dikeluarkan oleh sidang kemuncak itu."

Azmin Ali 'mengamuk' !

Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my

Shah Alam: "Kalau Tuan Speaker buat macam tidak boleh tanya soalan tambahan..tak payah kita hadir berbahas sesi pagi.

"Ini soalan 52 (isu Batang Kali) ini soalan penting berkaitan nyawa. Saya yang minta perkara ini dibangkitkan, kenapa saya tidak boleh tanya soalan tambahan.Tuan Speaker mesti berlaku adil.

Demikian Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bangun mempersoalkan tindakan Speaker Dewan Negeri Selangor, Lau Weng San yang tidak memberi peluang bertanya soalan tambahan berhubung isu Batang Kali.

Soalan berkenaan dijawab oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam Izham Hashim sebelum Mohamed Azmin bangun untuk mengemukakan soalan tambahan tetapi ditolak pada sesi Sidang DUN Selangor pagi tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu berkata, Speaker sepatutnya memberi peluang kepada ahli Dewan bertanya soalan tambahan, memberi syor, meminta penjelasan agar perkara yang dibahaskan lebih jelas, bukannya mengganggu sesi berkenaan.

"Saya dengan rakan-rakan ADUN dari Perikatan Nasional (PN) melahirkan rasa kesal di atas tindakan Speaker yang dilihat seolah-olahnya tidak memandu perjalanan sidang dewan secara profesional tetapi lebih banyak mengganggu. Itu yang kami dapat rasakan dalam beberapa hari ini.

"Pada pandangan kami peranan utama Speaker adalah untuk 'facilitate the prosiding of dewan and not to frustrate' ahli-ahli dewan negeri," katanya dalam sidang media petang tadi.

Jelasnya, selepas Izham memberi jawapan, beliau bangun untuk bertanyakan soalan tambahan seperti termaktub dalam Peraturan Tetap Mesyuarat 24 (3) iaitu Speaker boleh membenarkan ahli dewan mengeluarkan pertanyaan tambahan bagi menerangkan maksud dan butir-butir yang dijawab lisan.

"Ini bermakna, peraturan tetap dewan membenarkan soalan tambahan. Walaupun itu budi bicara Speaker, budi bicara itu mestilah diberikan asas pertimbangan yang kuat.

"Maknanya tidak sewenang-wenangnya ditolak permintaan mana-mana ahli-ahli untuk bertanya soalan tambahan. Mengapa asas soalan tambahan kami kuat, kerana ini melibatkan nyawa.

"Saya sebut ini di dalam dewan (tadi) melibatkan 31 nyawa rakyat Selangor yang terkorban akibat tanah runtuh di Batang Kali pada Disember tahun lalu...ini isu kepentingan awam...kepentingan rakyat Selangor.

"Tapi permintaan kami ditolak dan kami merasakan perkara ini tidak sewajarnya berlaku kerana kami bertindak di atas peraturan mesyuarat 24(2) dan 24(3)," katanya.

Justeru beliau berharap Speaker dapat menimbangkan perkara berkenaan berdasarkan kepada peraturan tetap mesyuarat.

"Sekiranya ada klausa yang menyatakan budi bicara Speaker, kami menghormati budi bicara Speaker tetapi kami sedia maklum budi bicara itu kalah digunakan dengan sewenang-wenangnya.

"Saya pernah membangkitkan dalam dewan, dalam perbahasan saya bahawa sebarang perintah yang dikeluarkan oleh Speaker mestilah melihat kepada amalan dan kelaziman majlis-majlis Parlimen di negara Komanwel.

Kalau Mahathir yang tanya KJ

Mohsin Abdullah

Tempoh hari pada podcast Keluar Sekejap yang dikendalinya, Khairy Jamaluddin bersahaja tanya Dr Mahathir Mohamad “kenapa Tun tak suka saya?”. Mahathir tergamam seketika tetapi dengan tenang menjawab. Jawaban beliau tidak perlu saya ulangi kerana ramai yang mengikuti podcast berkenaan atau sudah baca laporan media mengenainya.

Bagaimanapun terlintas dalam minda saya apa kata kalau Mahathir yang tanya KJ – “Kenapa kamu tidak suka saya?” atau “adakah kamu tidak suka saya?”. Soalan kedua pada hemat saya perlu diaju dahulu kerana jawabannya akan menentukan sama ada soalan pertama relevan atau tidak.

Kedua persoalan boleh ditimbulkan jika mengambil kira apa yang Mahathir lakukan terhadap Abdullah Ahmad Badawi, yang kita semua maklum bapa mentua Khairy.

Imbau kembali 9 Mac 2008 iaitu satu hari selepas PRU12 diadakan. Umno-Barisan Nasional pimpinan Pak Lah mengalami kekalahan yang pada waktu itu dilihat sebagai paling teruk dalam sejarah politik tanah air. Ringkasnya empat negeri jatuh ke tangan pembangkang selain BN gagal menawan Kelantan meskipun kekal memerintah di peringkat pusat. Tanpa berlengah Mahathir menyerang Abdullah.

Mahathir tuduh Abdullah “memusnahkan BN”. Kata beliau, “pada pendapat saya beliau telah merosakkan Umno, memusnahkan BN dan mesti bertanggungjawab dan terima tanggungjawab 100%.”

Lalu Mahathir mahu Abdullah melepaskan jawatan perdana menteri. “Kalau orang Jepun dia sudah lakukan hara-kiri.” Hara-kiri umum tahu aksi membunuh diri dengan mengeluarkan isi perut bagi menebus ‘malu’, terutama dalam kalangan panglima perang Jepun.

Abdullah dilantik sebagai perdana menteri oleh Mahathir sendiri pada 2003 tetapi apabila keputusan PRU 2008 diketahui, beliau akui tersilap.

“Saya minta maaf kerana tersilap melantik Abdullah. Saya tidak berhasrat lihat Abdullah pegang jawatan itu lebih daripada satu penggal. Pak Lah seharusnya serah jawatan kepada timbalannya, Najib.”

Mahathir disokong dan dibantu oleh Muhyiddin Yassin yang waktu itu naib presiden Umno bergerak ke merata tempat mengadakan perjumpaan yang bolehlah dilihat sebagai gerakan gulingkan Abdullah. Kritikan keras dilempar, kata-kata kesat digunakan secara terbuka dan melalui surat. Mahathir dan Co desak Abdullah berundur.

Mahathir juga menyalahkan menantu Abdullah antara punca prestasi buruk Umno-BN pada pilihan raya 2008.

“Saya fikir menantunya ada peranan besar. Anak muda ini yang tidak pernah mencapai apa-apa sebelumnya tetapi perdana menteri bersedia mendengar apa kata dia daripada dengar polis, anggota Cawangan Khas dan tentera yang lebih dekat dengan masyarakat akar umbi,” Mahathir dilapor berkata.

Jelas selain mencemuh Abdullah, Mahathir menyerang “budak-budak tingkat empat” diketuai KJ, yang menurutnya mempengaruhi pelbagai keputusan Abdullah khususnya membabitkan urusan kerajaan. ‘Tingkat empat’ merujuk pejabat di Putrajaya yang menempatkan penasihat dan pembantu Abdullah selaku perdana menteri.

Saban hari bermacam lagi kritikan dilempar ke atas Abdullah yang saya tidak ada niat mengulanginya di sini. Tekanan demi tekanan termasuk yang datangnya dari dalam Umno. Akhirnya Abdullah melepaskan jawatan kurang setahun kemudian yakni pada 3 April 2009. Beliau diganti oleh Najib Razak. Muhyiddin kemudiannya diangkat sebagai timbalan perdana menteri setelah berjaya memegang jawatan timbalan presiden Umno.

Pada 11 Sept 2022, Khairy ketika itu menteri kesihatan dalam pentadbiran Ismail Sabri Yaakob buat kali pertama mendedahkan bapa mentuanya menghidap dementia – tidak ingat nama sendiri juga isteri dan ahli keluarga.

“Saya ingin berkongsi satu perkara peribadi yang tidak pernah saya kongsi sebelum ini yang Pak Lah mengidap dementia. Beliau mula menunjukkan tanda kemerosotan kognitif sejak tahun 2009 selepas beliau bersara.”

Setelah Abdullah berundur, Khairy kekal dalam Umno, menjadi menteri dalam Jemaah Menteri Najib dan setahu saya tidak menyerang Mahathir apa lagi dengan keras. Apabila Muhyiddin menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional hasil Langkah Sheraton, Khairy duduk dalam Jemaah Menterinya. Selepas PRU15, Muhyiddin berada dalam blok pembangkang menentang kerajaan perpaduan, Khairy mempunyai hubungan dengan beliau malah pertimbangkan pelawaan menyertai Bersatu tetapi akhirnya tidak menerima tawaran.

Saya berpendapat Khairy ada alasan untuk bertindak ke atas Mahathir dan pasukannya berdasarkan apa yang mereka lakukan ke atas bapa mentuanya dan beliau sendiri, tetapi memilih untuk ‘berbaik’. Bersikap profesional mungkin?

Mujur Mahathir tidak tanya soalan di awal cerita ini tadi. Jika ditanya apa lah yang KJ akan jawab.

Polis siasat dakwaan terhadap bekas pemimpin PKR

HarapanDaily.com

Pihak polis telah membuka kertas siasatan di atas dakwaan bahawa bekas pemimpin PKR Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak terlibat di dalam usaha mendapatkan ahli parlimen pembangkang menyokong kerajaan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami telah menerima laporan (dari Farhash) dan telah memulakan siasatan,” kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika ditemui media di pusat latihan polis.

Pada hari Selasa, Farhash berkata beliau akan membuat laporan polis terhadap Ketua Armada Bersatu Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal yang juga adalah Ahli Parlimen Machang.

Wan Ahmad Fayshal telah mendakwa bahawa Farhash terlibat dalam kegiatan merasuah dan mengugut ahli parlimen pembangkang agar mereka menyokong Anwar.

Farhash menyangkal tuduhan tersebut kerana beliau tidak bergiat aktif dalam bidang politik.

Ekoran itu, Wan Fayshal berkata dia mengalu-alukan laporan polis dibuat terhadap dirinya kerana dia hanya mengulangi dakwaan yang telah dibuat oleh Armada sebelum ini.

Wan Fayshal telah mengecam Farhash dan seorang individu yang dikenali sebagai “Datuk Botak” di dalam video yang tular di media sosial.

Ia adalah ekoran tindakan empat ahli parlimen Bersatu yang telah mengumumkan sokongan mereka untuk Anwar namun memilih untuk kekal dalam parti.

Mereka ialah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang) and Zahari Kechik (Jeli).

Berhubung keselamatan perdana menteri pula, Razaruddin berkata Anwar tidak menerima sebarang ancaman langsung susulan kritikan beliau terhadap Israel.

Zionis lancar lebih 1,000 serangan fosforus putih di Gaza

Bharianonline

GENEVA: Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Med (Euro-Med), mengesahkan tentera rejim Israel melancarkan lebih 1,000 serangan artileri mengandungi fosforus putih yang diharamkan di peringkat antarabangsa sejak tercetusnya perang berdarah di Semenanjung Gaza, 7 Oktober lalu.

Menurut Euro-Med, pihaknya berjaya mendokumentasikan penggunaan fosforus putih iaitu bahan bakar yang boleh menyebabkan penderitaan seumur hidup, secara sewenang-wenangnya oleh tentera Israel, di kawasan berkepadatan tinggi di Gaza City dan utara Semenanjung.

Euro-Med turut memberi amaran penggunaan fosforus putih adalah dilarang oleh undang-undang antarabangsa dan tidak boleh disasarkan kepada atau berdekatan dengan kawasan kediaman mempunyai penduduk atau infrastruktur awam.

Sehubungan itu, organisasi terbabit menggesa penubuhan jawatankuasa penyiasatan antarabangsa bebas terhadap penggunaan senjata larangan oleh Israel terhadap orang awam di Gaza.

"Semua pelaku perlu bertanggungjawab termasuk mereka yang memberi arahan, merancang dan melakukan serangan," katanya melalui kenyataan.

Kumpulan hak asasi manusia itu berpendapat bahan terbabit digunakan rejim Zionis sebagai senjata tambahan untuk meningkatkan pembunuhan secara beramai-ramai dan pindahan secara paksa.

Rabu lalu, Euro-Med mendedahkan mereka menerima testomoni bahawa kira-kira 300 serangan bahan fosforus putih dilancarkan Israel ke dataran kediaman yang penuh sesak di bandar Beit Lahia di utara Gaza dalam masa kurang 40 minit.

Terdahulu, laporan mengenai pelbagai bekas fosforus putih direkodkan di kawasan sesak di kejiranan Sheikh Radwan di bandar Gaza, malah serangan serupa juga dilaporkan di kem pelarian Al-Shati, barat Gaza, serta kem Jabalia di utara Semenanjung.

Menurut Euro-Med, penduduk Palestin di kawasan terbabit serangan bahan itu mengakui mengalami masalah pernafasan yang teruk selepas terhidu fosforus putih.

"Mereka menyatakan terdapat bau sangat kuat dan halangan yang ketara pada penglihatan kerana asap putih tebal. Orang yang terdedah kepada fosforus putih boleh mengalami masalah pernafasan, kegagalan organ, dan kecederaan serius lain termasuk melecur teruk.

"Peningkatan penggunaan fosforus putih dan bom asap oleh Israel yang menyasarkan kawasan kediaman sesak adalah sebahagian daripada dasar pemindahan paksa dan pembersihan etnik, sehingga memaksa separuh daripada penduduk Gaza meninggalkan rumah, tempat perlindungan dan hospital sebelum berpindah ke selatan Lembah Gaza," katanya.

Menurut Euro-Med, organisasi yang berpangkalan di Geneva itu menegaskan bahawa Israel terus melanggar prinsip perimbangan dan diskriminasi dengan menyasarkan secara langsung nyawa dan kesihatan orang awam.

Selain itu katanya, Israel turut menggunakan senjata yang dilarang di peringkat antarabangsa, iaitu suatu pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan peraturan perang.

"Israel menggunakan bom letupan dengan kesan pemusnahan besar di kawasan berpenduduk padat. Penggunaan bom ini mewakili ancaman paling serius kepada orang awam dalam konflik bersenjata.

"Ia menjelaskan kesan korban dahsyat dan kemusnahan yang meluas di Semenanjung Gaza, termasuk mengosongkan sepenuhnya kawasan kejiranan kediaman di sana," katanya.

Hentikan penyebaran video mengaibkan

HarapanDaily.com

Exco Wanita PKR Noraziah Razit menggesa semua pihak untuk menghentikan penyebaran video mengaibkan.

“Saya sangat dukacita dengan penyebaran video tersebut dan percaya penyebaran video itu dilakukan oleh pihak tertentu yang bermotifkan politik bertujuan mendatangkan ketidaksenangan kepada Kerajaan Perpaduan.

“Pada masa yang sama, saya ingin mengingatkan bahawa beberapa tahun lalu juga pernah tersebar video yang kononnya membabitkan pemimpin tertentu yang kemudiannya didiamkan begitu sahaja sehingga kini.

“Saya menyeru kepada semua pihak untuk memberhentikan penyebaran video seumpama ini dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakkan,” kata Noraziah yang juga merupakan Ketua Biro Pembangunan Komuniti Wanita PKR.

Video selama tiga minit memaparkan dua lelaki bercakap mengenai perkara sumbang dan ia ditularkan menerusi WhatsApp.

Salah seorang daripada mereka kelihatan seperti mantan profesor, Dr Mohd Agus Yusoff.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil telah mengesahkan Agus meletakkan jawatan sebagai ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom)

Siti Nurhaliza pembayar zakat tertinggi dalam kalangan penyanyi

Kuala Lumpur : Lembaga Zakat Selangor (LZS) mendedahkan penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai penyumbang zakat tertinggi dalam kalangan penyanyi di Malaysia.

Perkara itu dikongsikan seorang moderator ketika mengendalikan forum berjudul Bizjihad yang turut dihadiri penyanyi berusia 44 tahun itu serta Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun sebagai ahli panel pada acara yang berlangsung, baru-baru ini.

Penyanyi lagu Biarlah Rahsia itu turut dikatakan tidak pernah gagal menjelaskan bayaran zakat sejak lima tahun lalu di LZS.

"Boleh dikatakan dalam kalangan artis atau lebih tepat kategori penyanyi, saya boleh katakan Siti adalah pembayar tertinggi zakat di LZS.

"Harapnya selepas ini, akan ada lebih ramai rakan artis yang mengikut jejak langkah Siti.

"Beliau dalam tempoh lima tahun tidak pernah gagal membayar zakat, walaupun banyak membuat kerja kebajikan lain seperti menguruskan Yayasan Nur Jiwa dan sebagainya," kata moderator terbabit.

Dalam pada itu, Siti yang dikatakan mula membayar zakat di LZS sejak 2019 berkata, selama ini dia sering membuat pembayaran zakat di tempat kelahirannya di Pahang.

"Sejak mula aktif menyanyi sehingga tahun 2019 saya membuat pembayaran zakat di Pahang. Kemudian selepas berkahwin saya bayar zakat di LZS sehingga hari ini.

"Saya ini boleh dikatakan insan bertuah sebab sejak kecil mak selalu mengingatkan saya mengenai zakat.

"Selagi bernyawa, apa yang boleh saya teruskan (bayar zakat), saya akan cuba laksanakan. Lagipun dalam Rukun Islam kita perlu memenuhi kewajipan ini.

"Saya percaya zakat juga menyucikan semula harta-harta yang kita miliki. Saya sentiasa nak jadi orang yang dapat meringankan beban orang lain," katanya.

Menurut Siti, setiap pendapatan yang diterima perkara pertama yang dilakukan adalah membayar zakat terlebih dulu.

"Membayar zakat ini memang sudah diingatkan dari kecil lagi sehinggakan setiap pendapatan yang diterima, saya akan buat potongan awal sebelum membayar komitmen lain.

"Bagi saya, ini adalah tanggungjawab setiap umat Islam dan syarikat. Jika kita nak harta kita bersih daripada perkara yang tidak diingini kita kena selalu ingat untuk berzakat," katanya.

Terdahulu, tular video menerusi siaran langsung program terbabit mengenai pendedahan Siti sebagai pembayar zakat tertinggi dalam kategori penyanyi.

Kelantan: Guru, suami isteri antara ditahan kerana dadah

Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my
DADAH yang dirampas polis ketika serbuan di rumah suami isteri di Tanah Merah, semalam. FOTO Ihsan Polis.
DADAH yang dirampas polis ketika serbuan di rumah suami isteri di Tanah Merah, semalam. FOTO Ihsan Polis.
Kota Bharu: Guru dan suami isteri antara yang ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah dalam serbuan berasingan pada Sabtu lalu dan semalam.

Ujian saringan air kencing dua daripada mereka turut didapati positif dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, pihaknya menahan guru berusia 54 tahun di Kampung Bendang Luas, Tumpat pada 5 petang Sabtu lalu, disyaki memiliki dua pil kuda.

Menurutnya, penahanan itu susulan tangkapan ke atas lelaki Thailand bersama 30,000 biji pil kuda bernilai RM330,000 di pangkalan haram Kuala Jambu, Tumpat, pada 3 petang hari sama.

"Kesemua dadah itu dijumpai dalam beg dibawa suspek, disyaki di seludup dari Thailand untuk pasaran tempatan.

"Semakan mendapati guru dan lelaki Thailand itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau, namun penyalahgunaan dadah dalam kalangan penjawat awam terutama guru adalah sangat tidak wajar," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 selain Seksyen 39B ADB, manakala suspek direman tujuh hari hingga Sabtu ini untuk tindakan lanjut.

Muhammad Zaki berkata, suami isteri pula ditahan pada 12.45 tengah hari semalam di Kampung Kusial Bharu, Tanah Merah selepas disyaki memiliki ganja seberat 1.3 kilogram.

Katanya, serbuan selepas risikan dilakukan terhadap kediaman pasangan berusia 52 dan 47 tahun itu.

"Ujian saringan air kencing suspek lelaki didapati positif dadah dan dia juga mempunyai empat rekod kesalahan berkaitan dadah.

"Mereka direman tujuh hari bermula hari ini hingga 22 November untuk siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkongsi kejayaan Polis Kelantan menahan 630 orang dalam Ops Tapis Bersepadu yang dijalankan 6 hingga semalam, serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM470,354.78.

Katanya, kesemua tahanan berumur antara 14 hingga 59 tahun membabitkan 623 lelaki dan tujuh wanita termasuk tiga pelajar sekolah.

Selain itu, pelbagai harta disita dianggarkan bernilai RM10,968.15.

'Saya malu' Hampir kahwin dengan isteri orang

Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my
HARI bahagia dinantikan Nurul Aiman (kiri) bertukar menjadi mimpi ngeri.
HARI bahagia dinantikan Nurul Aiman (kiri) bertukar menjadi mimpi ngeri.
Kuching: "Sangat sedih dan secara jujur saya masih kecewa sampai ke hari ini," demikian reaksi Nurul Aiman Kamaruddin mengenai perasaannya selepas hasrat untuk berumah tangga dengan tunangnya tidak kesampaian kerana mendakwa ditipu wanita berkenaan.

Menurut Nurul Aiman, 28, dia memang tidak menyangka perkahwinan impiannya akan musnah selepas segala persiapan dibuat.

"Sudah tentu saya serius nak berkahwin, jika tidak...takkan saya sanggup nak menempuh perjalanan jauh ke rumahnya.

"Bagaimanapun, apa yang terjadi tak seperti dirancang hingga saya jadi sangat sedih kerana bukan hanya tanggung rugi tapi juga turut berasa malu.

"Tapi saya anggap apa yang berlaku ujian daripada Allah SWT dan keluarga banyak beri sokongan moral serta minta saya bersabar," katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.

Berhubung perkongsiannya di Facebook (FB) yang tular hingga mengundang pelbagai andaian, Nurul Aiman berkata, dia tidak membaca komen netizen buat masa ini.

"Saya tak sanggup nak baca komen selepas muat naik hantaran itu dan mahu ruang untuk diri sendiri.

"Lagipun, bukti sudah ada jadi saya serahkan kepada pihak polis untuk jalankan siasatan.

"Saya juga sudah tidak berhubung dengannya (wanita itu), kali terakhir pun pada hari pernikahan dan itu pun tak dijawab malah bapanya turut menyekat nombor panggilan saya," katanya.

Nurul Aiman berkata, dia tidak pernah meragui atau mengesyaki status 'tunangnya' itu kerana bapa wanita terbabit sendiri hadir ketika majlis pertunangan mereka.

"Daripada awal perkenalan, dia perkenalkan namanya lain dengan nama sebenarnya, malah waktu majlis pertunangan, bapanya hadir dan mengiakan namanya.

"Jadi, sudah tentu saya percaya dan yakin dengannya namun tak sangka lain pula jadinya," katanya yang sudah membuat laporan di Balai Polis Daro dekat sini, pada 10 November lalu.

Ditanya adakah dengan apa yang terjadi itu membuatkan dia serik untuk berkenalan rapat dengan wanita lain dan berkahwin, Nurul Aiman berkata, dia menyerahkan soal jodoh kepada Yang Maha Esa.

"Urusan jodoh, saya serahkan kepada Allah SWT," katanya.

Terdahulu, Nurul Aiman mendapat perhatian netizen selepas memuat naik hantaran di FB mengenai hari pernikahannya yang bertukar menjadi 'mimpi ngeri' selepas mendakwa ditipu seorang wanita yang didakwa sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.

Penipuan wanita yang dipercayai bertugas sebagai anggota beruniform sebuah agensi kerajaan itu terbongkar selepas ibu saudara wanita itu sendiri mendedahkan hal sebenar.

Pendedahan dibuat ketika kunjungan Nurul Aiman bersama rombongan keluarganya tiba di rumah pengantin perempuan pada 10 November lalu yang sepatutnya menjadi hari pernikahan.

Lebih membuatkan Nurul Aiman kecewa adalah kerana dia dan wanita berkenaan sudah bertunang pada 12 Oktober tahun lalu dalam satu majlis di sini.

Majlis pertunangan diadakan di rumah kakak iparnya dan mengikut permintaan wanita itu serta bapanya.

Menurutnya, semua persiapan perkahwinan sudah dibuat termasuk memberi wang hantaran kepada keluarga pengantin perempuan itu namun lain pula jadinya apabila dia menanggung kerugian dan malu selepas ditipu.

Hantaran Nurul Aiman itu mengundang pelbagai reaksi dan andaian dengan ramai yang bersimpati tetapi ada juga mendakwa pemuda itu tidak move on' dan cuba membangkitkan kisah lalu yang tidak benar.

Setakat ini, wanita didakwa menipu Nurul Aiman belum tampil mengeluarkan kenyataan.

Pemandu, kelindan lori maut nahas tertusuk kayu

FMT Reporters
Bomba cuba mengeluarkan dua mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Dungun-Bukit Besi, Dungun. (Gambar Facebook JBPM)
PETALING JAYA: Pemandu lori dan kelindannya maut ditusuk kayu dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Dungun-Bukit Besi, dekat Kampung Serdang, Dungun, petang tadi.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, Mohd Shahrul Hafif Abd Kadir, 37, dan kelindannya, Ridzuan Mohamad, 43, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Dungun Maizura Abdul Kadir berkata kejadian berlaku ketika dua lori termasuk dinaiki mangsa dalam perjalanan menghantar bekalan kayu di Kampung Balai Besar, Dungun.

Bagaimanapun, ketika menghampiri simpang, lori dipandu rakan mangsa dikatakan berhenti untuk keluar ke kanan jalan, menyebabkan lori dinaiki mangsa hilang kawalan, lalu merempuh belakang kenderaan terbabit.

“Rempuhan kuat menyebabkan lori di hadapan itu menggelungsur ke depan lalu dilanggar sebuah Proton Wira dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun, dari arah Dungun ke Bukit Besi,” katanya menurut Berita Harian.

Maizura berkata, kesan rempuhan kuat menyebabkan Shahrul dan Ridzuan tertusuk muatan kayu dibawa lori di depannya.

“Kedua-dua mangsa yang cedera parah pada dada meninggal di tempat kejadian. Sepasukan 11 anggota bomba dari Balai Bomba Dungun yang bergegas ke tempat kejadian membantu mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit,” katanya.

Mayat mereka dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Pemandu Proton Wira dan sebuah lagi lori yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Operator kren berusia 27 tahun meninggal dunia dalam kabin di ketinggian 20m

Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang operator kren menara disahkan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam kabin di ketinggian kira-kira 20m di tapak pembinaan di Persiaran KLCC.

Komander Operasi Kanan Bomba Kuala Lumpur, Mior Muhammad Fikri Mohd Zaini, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.43 petang dan satu jentera dengan kekuatan 10 anggota dari Balai Bomba Jalan Tun Razak dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, mangsa berumur 27 tahun itu berjaya dibawa turun pada 7.46 malam menggunakan bantuan menara kren bersebelahan, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pemeriksaan pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya, berkata mayat lelaki warga tempatan itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), “ katanya.

MB Terengganu calon PN di Kemaman

Malaysiakini

Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dipilih sebagai calon PAS-PN untuk pilihan raya kecil Kemaman.

Pengumuman nama Ahmad Samsuri dibuat Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man di Kemaman, malam ini.

Kata Tuan Ibrahim pada peringkat awal ada lima nama dikemukakan untuk dinilai.

“Dengan ini saya mewakili Tuan Guru Presiden mengumumkan calon PAS mewakili PN dalam PRK Kemaman ialah YAB Dr Ahmad Samsuri Mokhtar,” katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, hari ini juga merupakan sambutan ulang tahun kelahiran Adun Rhu Rendang berkenaan.

Berusia 53 tahun, Ahmad Samsuri juga merupakan seorang daripada tiga naib presiden PAS, selain timbalan pesuruhjaya parti itu di Terengganu.

Dia memiliki ijazah doktor falsafah dalam bidang kejuruteraan mekanikal berkaitan penerbangan dari Universiti Of Leeds, United Kingdom.

Agus sahkan hantar surat letak jawatan KP J-Kom

Bernama

KUALA LUMPUR: Mohammad Agus Yusoff mengesahkan beliau menghantar surat perletakan jawatan sebagai ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, semalam.

Beliau berkata keputusan itu dibuat kerana menerima tawaran kerja baharu dan bukannya disebabkan tekanan daripada mana-mana pihak supaya melepaskan jawatan yang disandang sejak 2 Feb lalu.

“Saya ada tawaran baharu, tidak ada tekanan kepada saya. Jadi, apabila semuanya sudah disahkan, sama ada saya mahu bersara atau menjawat jawatan baharu yang lebih mencabar, tunggu berita itu.

“Kalau peletakan jawatan saya dipersetujui oleh perdana menteri nanti, saya akan meletakkan jawatan dengan serta-merta,” katanya.

Perdana menteri kini mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-30 di San Francisco, Amerika Syarikat dari 14 hingga 17 Nov ini.

Bekas MP Kangar ucap tahniah pada MB Perlis

Malaysiakini

Bekas ahli parlimen Kangar dari PKR hari ini mengucapkan tahniah kepada pesuruhjaya PAS Perlis merangkap menteri besar kerana tegas menolak pemimpin Bersatu negeri itu yang mahu menjadi exco.

Menurut Amin Ahmad, tindakan Mohd Shukri Ramli enggan melayan Pengerusi Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah itu membantu orang ramai memahami suasana politik di negara ini secara keseluruhan.

Kata Amin lagi dengan penolakan tersebut, kini orang ramai dapa melihat bahawa Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, hanyalah boneka dan pandangannya "tidak laku" lagi.

"Ia (penolakan terhadap Abu Bakar) satu tindakan yang membantu menunjukkan kepada umum bahawa Tan Sri Muhyiddin selaku Pengerusi PN dan Presiden Bersatu hanyalah ketua boneka yang suratnya tidak laku pun setakat ini bagi mengangkat Pengerusi Bersatu Perlis menjadi exco dan terpaksa tunduk dengan kehendak PAS.

Petang tadi Abu Bakar meluahkan rasa berangnya apabila nama dia sekali lagi tidak terpilih untuk menganggotai kerajaan negeri di bawah pimpinan Mohd Shukri.

Abu Bakar yang juga Adun Kuala Perlis mendakwa Mohd Shukri tidak berbincang terlebih dulu dengan pihaknya sebelum membuat pelantikan exco.

Dia juga mendakwa mendapat restu daripada Muhyiddin selalu pemimpin tertinggi PN untuk dilantik sebagai exco.

“Saya rasa ini tidak harus berlaku kerana melanggar arahan presiden Bersatu (Muhyiddin) supaya perkara ini (pelantikan exco) dapat dibincangkan,” katanya yang dipetik Utusan Online.

Kes 1MDB: Loo boleh tentukan nasib Najib, mahkamah diberitahu

Ho Kit Yen

KUALA LUMPUR: Pegawai penyiasat mengakui bahawa bekas penasihat undang-undang 1MDB, Jasmine Loo, mungkin saksi penting dalam kes Najib Razak berkait dana RM2.28 bilion dalam akaun bank miliknya.

Foo Wei Min dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau merakam keterangan Lee antara Ogos dan September, selepas penahanannya pada Julai.

Loo bekas rakan ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho. Foo berkata siasatannya sekitar mendapatkan kembali aset-aset yang dibeli dengan dana 1MDB.

“Loo beritahu kami bahawa dia selalu berhubung dengan Low semasa Low melarikan diri,” katanya, ketika pemeriksaan balas pada perbicaraan Najib hari ini.

“Kami dimaklumkan oleh Loo bahawa mereka tidak pernah bercakap tentang transaksi dalam akaun Tanore Finance Corporation,” kata Foo, ketika ditanya tentang butiran komunikasi antara Loo dan Low.

Shafee Abdullah yang mewakili Najib memaklumkan kepada mahkamah bahawa Loo diberi kuasa untuk kendali akaun Tanore selaku wakil.

Terdahulu, mahkamah diberitahu bahawa sebanyak USD681 juta daripada USD3 bilion yang dikumpul 1MDB menerusi penerbitan bon untuk membangunkan Tun Razak Exchange masuk ke akaun peribadi Najib pada 2013.

Dana yang dikaitkan dengan 1MDB itu dipindahkan oleh syarikat itu sendiri ke Cistenique Investment Fund (USD530.3 juta), Devonshire Funds Ltd (USD646.5 juta) dan Enterprise Emerging Markets Fund or EEMF (USD414.1 juta).

Devonshire memindahkan USD640 juta ke Tanore Finance Corporation, manakala Cistenique dan EEMF memasukkan sejumlah USD625 juta ke akaun sama.

Foo beritahu mahkamah bahawa beliau tidak pasti sama ada penyiasat lain ada bertanya kepada Loo tentang transaksi dalam akaun Tanore.

“Setujukah anda bahawa Loo saksi penting bagi menyingkap siapa yang benar-benar kendali akaun-akaun Tanore, mengarahkan USD681 juta dihantar ke akaun anak guam saya, dan terima USD620 juta daripada Najib?” soalnya.

“Pendek kata, Loo boleh menggagalkan usaha anak guam saya, atau keterangannya boleh membantu Najib?”

Foo pada awalnya beritahu mahkamah bahawa beliau tidak ingin menjawab soalan itu. Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata Shafee sekadar meminta penyiasat itu memberikan pendapatnya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah bagaimanapun memerintahkan Foo menjawab pertanyaan Shafee.

Foo berkata keterangan Loo sama ada boleh menggugat pembelaan Najib atau membantu bekas perdana menteri itu.

Beliau juga berkata Loo memainkan peranan sebagai pembantu peribadi Low, dengan membantu Low mengatur mesyuarat, yang turut disertai Loo.

Foo berkata Loo beritahu polis bahawa dia ada bertemu Low di China pada 2019 – selepas Najib dituduh dalam kes berkait 1MDB.

Perbicaraan akan bersambung pada 5 Disember.

Najib sedang dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang berkait RM2.28 bilion yang dikaitkan dengan 1MDB, yang dimasukkan dalam akaun AmBank beliau antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Ketua Bersatu Perlis berang diketepikan dari exco kali kedua

Malaysiakini

Pemimpin nombor satu Bersatu Perlis hari ini secara terbuka mengecam menteri besar ekoran namanya sekali lagi tercicir daripada pelantikan sebagai exco.

Malah Abu Bakar Hamzah juga menganggap Menteri Besar Mohd Shukri Ramli tidak menghormati pemimpin sendiri kerana tidak mengendahkan surat sokongan diberi Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

Dipetik media selepas majlis mengangkat sumpah exco di Arau hari ini, Abu Bakar berkata selain diketepikan oleh Mohd Shukri, dia berpendapat ada pemimpin tertentu dalam Bersatu di Perlis mengkhianatinya.

"Saya cukup kesal kerana menteri besar membelakangkan keputusan presiden parti yang juga pengerusi PN (Muhyiddin) yang sudah memberi sokongan saya sebagai exco.

"Malah, saya juga kesal dengan segelintir pemimpin Bersatu sendiri yang 'menikam' saya daripada belakang dalam soal pelantikan exco," katanya yang dipetik BH Online.

Untuk rekod PAS dan Bersatu merupakan antara parti komponen yang membentuk PN. Selain Muhyiddin, Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula dilantik sebagai timbalan pengerusi.

Hari ini dua Adun baru dilantik menganggotai kerajaan negeri yang dipimpin Mohd Shukri, manakala seorang penyandang digugurkan.

Asrul Aimran Abd Jalil yang juga Adun Kayang dilantik mengetuai portfolio perumahan, kerajaan tempatan, pembangunan sumber manusia dan pembasmian kemiskinan.

Dia menggantikan Adun Bintong Fakhrul Anwar Ismail yang digugurkan.

Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) pula dilantik memegang portfolio pembangunan belia dan kemajuan sukan, pembangunan industri kecil dan sederhana dan wilayah ekonomi baru, dan pemerkasaan usahawan dan ekonomi kreatif.

Asrul Aimran dan Wan Zikri Afthar mengangkat sumpah sebagai exco di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau.

Sementara itu, lima exco sedia ada dan dikekalkan turut mengangkat sumpah.

Abu Bakar yang juga timbalan pengerusi PN Perlis berkata Muhyiddin memang mahu dia dilantik menyertai exco negeri tersebut.

Katanya Mohd Shukri - yang juga pesuruhjaya PAS Perlis - tidak pernah berbincang soal pelantikan exco bersama PN negeri.

“Saya rasa ini tidak harus berlaku kerana melanggar arahan presiden Bersatu (Muhyiddin) supaya perkara ini (pelantikan exco) dapat dibincangkan,” katanya yang dipetik Utusan Online.

Rogol, liwat remaja, 7 mengaku tak salah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Lima remaja bawah umur antara tujuh lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Chukai atas tuduhan rogol dan meliwat remaja perempuan berusia 15 tahun.

Mereka berusia antara 14 hingga 19 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd dan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa merogol dan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap mangsa yang berusia 15 tahun, lapor Harian Metro.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kijal, Kemaman antara 4 petang hingga 6.15 petang, Julai 2022.

Dua tertuduh berusia 19 tahun yang berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 377B KK, didakwa di Mahkamah Sesyen, manakala lima lagi tertuduh yang juga pesalah juvana didakwa di Mahkamah Majistret mengikut kanun sama.

Semua tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Wan Suhaila menetapkan 14 Dis untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen.

Bagi kes di Mahkamah Majistret, kes disebut semula pada 3 Jan depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Ahnaf Zaimi.

Terdahulu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing antara RM3,700 hingga RM8,000.

Bekas juruwang mengaku salah curi jongkong emas, wang tunai

Meor Riduwan Meor Ahmad
bhnews@bh.com.my
Goh Min Xiu (tengah) dihukum penjara 5 bulan dan denda RM11,000 kerana mencuri jongkong emas dan wang tunai bulan lalu. - NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad.
Goh Min Xiu (tengah) dihukum penjara 5 bulan dan denda RM11,000 kerana mencuri jongkong emas dan wang tunai bulan lalu. - NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad.
MELAKA: Bekas juruwang restoran dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan denda RM11,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini kerana mencuri jongkong emas bernilai RM25,393 dan wang tunai RM2,427, bulan lalu.

Goh Min Xiu, 25, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Wanita itu mengaku bersalah terhadap dakwaan dengan niat curang mencuri jongkong emas 999 seberat 100 gram bernombor C388364 bernilai keseluruhan RM25,393 milik Kedai Emas Lee Onn di Jalan Kee Ann, di sini, kira-kira jam 4.30 petang, 30 Oktober lalu.

Min Xiu dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Dia juga didakwa mengikut Seskyen 381 Kanun Keseksaan, mencuri RM2,427 milik majikan di Restoran Top Hit Ong Thai Mookata BBQ, Kompleks Perniagaan Kota Syahbandar, kira-kira jam 10 malam, 22 Oktober yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar, manakala Min Xiu yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya, memohon hukuman ringan atas alasan perlu menjaga ibu yang sakit dan memohon maaf kerana sudah menyesal dengan perbuatannya.

Khairunnisak menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan penjara dari tarikh tangkap 7 November lalu dan denda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar bagi kes mencuri jongkong emas.

Untuk kes mencuri wang tunai, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua bulan selepas tamat hukuman kes pertama dan denda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal bayar.