Ada usaha ‘Chinakan’ bumi Malaysia?

Siti Fatimah Ishak

BANGI, 8 Syaaban 1445H, Ahad – Cadangan supaya Kampung Baru Cina diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mesti dibantah secara berterusan sehingga hasrat itu gagal.

“Usaha ini sebenarnya seperti mahu ‘menchinakan’ bumi Malaysia tanah orang Melayu. Berapa tahun kaum Cina menetap di situ?

“Ianya tidak lebih dari 80 tahun. Secara ringkas usaha ini seolah usaha berterusan mereka untuk memiliki negara ini,” kata pemerhati politik, Sharipuddin Ab Kadir.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dilaporkan mahu mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.

Dakwanya, perkara berkenaan akan dibincangkan lebih terperinci dengan kerajaan Selangor.

Menggesa supaya hasrat menteri kerajaan campuran itu terus dibantah, Sharipuddin berkata, pengiktirafan UNESCO bermakna negara ini seolah-olah milik mereka.

“Kesan seterusnya mereka akan dapat menjadikan semua sistem, budaya termasuk pendidikan mengikut negara asal. Ya, tidak mustahil,” katanya.

Beliau meluahkan kesal dengan sikap segelintir pemimpin yang seolah sengaja mencetuskan polemik perpecahan antara kaum.

“Tidak cukup mereka diberi peluang berpolitik di negara ini secara bebas dalam sistem demokrasi, tetapi mereka berusaha untuk menukar sejarah negara ini adalah milik mereka,” katanya.

Setakat ini, cadangan berkenaan mendapat bantahan ramai pihak termasuk UMNO apabila menyifatkan ianya menyentuh kedudukan Melayu-Bumiputera.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan