Suami, isteri cedera disamun 4 lelaki bersenjata parang

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my

Alor Gajah: Sepasang suami isteri cedera dalam kejadian samun oleh empat lelaki bersenjatakan parang di rumah mereka di Jalan Solok Uban, Kampung Brisu, Simpang Ampat, dekat sini, malam semalam.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 11.40 malam, anak perempuan mangsa yang terdengar bunyi bising lalu membuka pintu biliknya sebelum melihat dua daripada suspek bersenjatakan parang cuba menerpanya, namun dia sempat mengunci pintu bilik dan menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, sejurus laporan diterima pihak Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, anggota Balai Polis Simpang Ampat dan Cawangan D9 (Siasatan Khas) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek menggunakan kereta Honda City warna perak namum nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan.

"Dalam kejadian ini mangsa lelaki berusia 60-an cedera di bahagian belakang badan manakala isterinya berusia 70-an cedera di bahagian tangan, kedua-duanya dirawat di Hospital Alor Gajah.

"Hasil pemerhatian dan pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian polis mengesan seorang lelaki sedang bersembunyi disemak tepi rumah kosong dalam jarak kira-kira 200 meter dari rumah mangsa.

"Semasa proses menahannya berlaku pergelutan antara polis dan suspek," katanya dalam kenyataan malam ini.

Mengulas lanjut, Arshad berkata, hasil penahanan dan pemeriksaan ke atas suspek, polis menjumpai beg pakaian mangsa yang dilarikan serta merampas pakaian dan senjata parang yang diguna oleh suspek.

Katanya, suspek mempunyai 17 rekod dadah dan lima rekod jenayah selain ujian saringan awal air kencingnya positif dadah syabu.

"Suspek dibawa ke IPD Alor Gajah untuk diambil reman dan soal siasat yang mana dia mengaku terbabit kes samun yang sedang disiasat bersama tiga rakan sejenayah yang masih bebas.

"Pihak polis masih dalam usaha memberkas saki baki rakan suspek dan kes diklasifikasikan sebagai samun bersenjata dan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan