Agensi
BUDAK berkenaan itu sudah membuat aduan sama selama lapan kali dalam tempoh setahun lalu. FOTO
Beijing: Tular di media sosial China, kisah kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang sudah sembilan kali membuat laporan di balai polis dalam tempoh setahun lalu kerana berasa bapa lebih menyayangi kakaknya.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan, setiap kali dia berasa tidak diendahkan, kanak-kanak dari wilayah Hunan di selatan China itu, akan berjalan sejauh satu kilometer (km) dari rumahnya ke balai polis terdekat untuk membuat aduan.
Terbaru adalah kira-kira 3 petang 28 Januari lalu apabila dia berasa marah dan meminta pegawai polis membantunya, lapor Pear Video.
Menerusi satu rakaman video, kanak-kanak lelaki itu dilihat duduk di sebelah seorang anggota polis beruniform, menangis, marah dan meluahkan keluhan mengenai bapanya yang lebih menyebelahi kakaknya.
"Siapa yang buat awak marah sangat?" tanya polis dalam satu video.
"Ayah saya," jawab kanak-kanak lelaki itu sebelum menangis teresak-esak.
Bapa kanak-kanak lelaki kemudian datang ke balai polis sambil membawa kotnya. Dia kemudian cuba memakaikan kot itu pada anaknya.
"Pakai kot, boleh?" tanya ayahnya. "Tidak", jerit kanak-kanak lelaki itu.
Selepas ditenangkan, kanak-kanak itu menceritakan yang dia berasa bapanya tidak mengambil berat dengannya.
Menurut kanak-kanak itu, kakaknya lebih disayangi dan mendapat perhatian bapanya.
Butiran mengenai kedatangan kanak-kanak itu ke balai polis sebelum ini tidak dikongsi dalam video itu tetapi ibunya mengesahkan anaknya sudah lapan kali melakukan perkara sama.
Ibu bapanya mengakui mereka sibuk bekerja dan mungkin tidak memberi perhatian terhadap perasaan anak lelakinya.
Bagaimanapun, kes itu selesai selepas polis menjadi orang tengah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan