‘Luka lama’ punca pemimpin parti kerajaan bercakaran

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Percakaran antara pemimpin parti pemerintah yang berlarutan walaupun sudah memasuki tahun kedua usia kerajaan perpaduan memberi gambaran masih ada “luka lama” belum sembuh, kata penganalisis politik.

Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, bukan mudah “mendamaikan” pihak berseteru sekian lama atas faktor perbezaan ideologi, merujuk percanggahan pendapat antara Umno dan DAP mengenai cadangan Naib Pengerusi Nga Kor Ming mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.

“Jika khilaf ini tidak diurus dan ditangani dengan baik ia akan membentuk sebuah luka yang sukar diubati dan ini akan merugikan semua pihak,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, sehingga kini akar umbi Umno dan DAP masih berhati-hati terhadap kerjasama dua parti itu di peringkat persekutuan, dan memberi amaran pertelagahan antara mereka dikhuatiri membuka jalan kepada Perikatan Nasional (PN) meraih “hasil”.

“Pembangkang akan menggerakkan persepsi rakyat agar menolak politik ketidakstabilan dianjurkan Pakatan Harapan (PH) jika isu dalaman mereka tidak diberikan perhatian serius oleh pemimpin parti.

“Jika tidak berjaya menyampaikan dasar ekonomi yang menyeluruh dan lebih baik kepada orang ramai maka akan terbentuk kecenderungan untuk beralih kepada alternatif lain.

“….dan ini akan membuka ruang kepada PN untuk mempercepatkan lagi usaha mereka mendapatkan Putrajaya dengan menggunakan pendekatan politik angka,” katanya.

Selain percanggahan pendapat antara Umno dan DAP, pemimpin Umno antaranya Puad Zarkashi turut mengkritik kepimpinan timbalan presiden PKR yang juga Menteri Ekonomi Rafizi Ramli – didakwanya gagal menyelesaikan masalah ekonomi negara.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata, pertembungan pandangan antara pemimpin Umno-DAP dan Umno-PKR sememangnya tidak dapat dielakkan kerana Umno perlu lantang berada dalam kerajaan perpaduan demi meyakinkan akar umbinya.

Namun, beliau berkata lebih molek jika percanggahan pandangan itu dilontarkan pemimpin parti yang tidak mempunyai jawatan dalam Jemaah Menteri.

“Sebagai contoh, Umno mewakilkan Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki untuk menegaskan pendirian parti itu berhubung cadangan Nga. Itu satu strategi yang betul kerana sebaik-baiknya biar wakil parti yang menjawab jika ada rasa tidak puas hati, bukan menteri lawan menteri.

“Jika menteri DAP kritik menteri Umno atau sebaliknya itu tidak bagus kerana mereka berada dalam jemaah yang sama,” katanya.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berpendapat perbezaan pandangan dizahirkan secara terbuka dalam kerajaan Anwar Ibrahim melambangkan keterbukaan dan politik matang digagaskan pengerusi PH tersebut.

“Mana-mana gabungan politik dibenarkan mengemukakan pendapat peribadi tanpa perlu gentar akan ada tindakan diambil ke atas mereka,” katanya.

Mengulas masa depan kerajaan perpaduan seperti hasrat Presiden Umno Zahid Hamidi yang mahu Barisan Nasional (BN) dan PH bekerjasama selepas PRU16, Ariff dan Fauzi senada masih ada ruang untuk dua gabungan itu meneruskan kerjasama.

“Masa depan kerajaan perpaduan ada, bergantung kepada sejauh mana efisien pengurusan konflik yang diamalkan,” kata Fauzi.

Ariff pula berkata, kunci kepada kestabilan dan jangka hayat kerajaan perpaduan terletak di tangan pemimpin parti masing-masing.

“Bergantung kepada kreativiti mereka mencorakkan perjalanan parti agar tidak terjerumus ke kancah perseteruan antara parti gabungan.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan