Hazman Baharom
Dalam semua masyarakat Muslim pascakolonial, terdapat satu keresahan yang semacam universal sifatnya—bagaimanakah untuk menginstitusikan hukum-hakam agama melalui sarana undang-undang moden?
Di kebanyakan negara pascakolonial dengan penduduk majoriti Muslim seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Pakistan, dan di serata belahan dunia yang lain, pelbagai cara dan eksperimen perundangan moden telah dilakukan dengan hasil yang bermacam-macam. Ada yang berjaya, tidak berapa berjaya, dan ada yang gagal.
Pertanyaan penting yang perlu diajukan apabila melihat kesungguhan negara-negara ini mahu memasukkan hukum-hakam agama ke dalam rangka undang-undang moden adalah penting untuk dilihat. Banyak motivasi mereka datang daripada imej bahawasanya dunia prakolonial, yang politik, ekonomi, perundangan, dan pelbagai bentuk kekuasaan lagi yang dikuasai orang Islam itu adalah zaman yang “lebih baik,” jadi umat Islam perlu kembali ke zaman tersebut. Semangat inilah yang terpapar lewat penulisan tokoh-tokoh Islamis seperti Hasan al-Banna, Sayyid Qutb, Abu al-A’la al-Mawdudi, dan ramai lagi.
Namun, dengan hambatan dan cabaran semasa yang sudah memasuki zaman moden, bahkan mereka sendiri pun hidup di bawah rangka negara dan perundangan moden, persoalannya menjadi sesuatu yang berbentuk penerapan—bagaimana mahu menerapkan undang-undang yang pernah dijalankan pada zaman pramoden melalui rangka undang-undang moden kini?
Di Malaysia, semangat inilah yang mahu dicapai melalui usaha penggubalan undang-undang syariah dan pengukuhannya yang bermataairkan idea-idea oleh para sarjana seperti Profesor Ahmad Ibrahim, Tun Abdul Hamid Mohamad, dan lain-lain.
Jika kita mahu melihat mana-mana undang-undang yang wujud di dunia ini secara holistik, kita tidak boleh hanya melihat kandungan dan prosedurnya semata-mata. Kita juga harus melihat motivasi atau sebab di sebalik penggubalannya, apakah objektif kepada kandungan sesuatu undang-undang, konteks sosio-politik yang melatari penggubalan, malah sehingga bagaimana undang-undang tersebut difahami dalam imaginasi massa—yakni di luar kamar mahkamah serta di luar dewan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.
Mungkin untuk kategori yang terakhir, kita boleh meletakkan istilah “mahkamah kedai kopi,” yang merujuk kepada bagaimana masyarakat awam mengimaginasikan sesebuah undang-undang yang wujud.
Pada 9 Februari 2024, Mahkamah Persekutuan Malaysia, melalui keputusan 8-1, telah membuat keputusan bahawa sebahagian daripada peruntukan dalam Enakmen Syariah Negeri Kelantan telah terbatal dan tidak sah kerana “Badan Perundangan Negeri Kelantan/responden telah membuat undang-undang berkenaan hal perkara yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya” (Mahkamah Persekutuan, Ringkasan Penghakiman, h. 8).
Pada masa yang sama, Ringkasan Penghakiman tersebut turut menegaskan bahawa isu yang menjadi pertikaian tersebut “tidak kena mengena dengan kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah di negara ini. Sama ada Islam atau Mahkamah Syariah dipertahankan atau sebaliknya bukan persoalan di dalam kes/petisyen ini” (h. 3).
Namun, sejak pertama kali kes ini dibawa ke pihak mahkamah oleh para pempetisyen, cerita-cerita yang berlegar di ‘mahkamah kedai kopi’ adalah sesuatu yang berbeza sama sekali. Isu yang berlaku di sisi mahkamah ialah isu bidang kuasa, tetapi isu yang diimaginasikan massa, khususnya ramai orang Islam, ialah isu sama ada “undang-undang syariah mahu dihapuskan,” sehinggakan pada hari keputusan tersebut, ramai sekali yang meratap seolah-olah kedudukan Islam sudah “terancam,” “syariah telah dicabar,” dan pelbagai salah faham yang tragis lagi.
Di media sosial pula, ada yang sampai mencaci maki para hakim dengan kata-kata kesat selain menggunakan tanda pagar #BlackFriday. Persoalannya, dari manakah datangnya semua salah faham yang keliru ini?
Demagogi dan wacana agama
Selama ini, wacana massa di Malaysia tentang hubungan Islam dengan undang-undang majoritinya adalah berbentuk sehala sahaja—iaitu kefahaman bahawa “Islam menyuruh melaksanakan undang-undangnya, maka peruntukan-peruntukan mesti digubal mencakupi suruhan-suruhan agama tersebut.” Kefahaman yang cetek ini terus diperkasakan dan disebarluaskan melalui pelbagai bentuk penyebaran maklumat sehingga melahirkan cara fikir yang melihat “syariah” sebagai sesuatu yang monolitik, kaku, dan tidak berkembang langsung.
Penyebaran maklumat sehingga bukan saja melahirkan kecetekan pemikiran, tetapi juga mengganda-gandakan kecetekan tersebut sehingga boleh menjadi ejen penyebarluasan juga (atas nama “dakwah”) hanya mampu dicapai dengan satu cara, iaitu “demagogi.” Demagogi ini berlaku di sekurang-kurangnya tiga peringkat: individu, institusi pendidikan, dan institusi politik.
Fenomena bernama demagogi, dengan istilah yang berasal dari Bahasa Yunani, iaitu δῆμος (“demos,” iaitu rakyat, masyarakat) dan ἀγωγός (“agogos,” iaitu pemimpin, pempengaruh) bukanlah sesuatu yang baharu. Ia merujuk kepada pengaruh massa yang digerakkan oleh seorang atau sekumpulan pemuka politik supaya meraih sokongan tanpa perlu berfikir secara rasional.
Tentu, ia boleh dicapai dengan pelbagai cara—harapan yang ditawarkan orang politik, menaikkan semangat melawan musuh yang nyata atau khayalan, menggunakan agama atau kepercayaan majoriti, dan bermacam-macam strategi lagi.
Dalam sejarah manusia, demagogi telah diguna pakai oleh ramai orang, dan dengan mengorbankan ramai orang juga. Contohnya, jika kita membaca catatan Plato lewat Apology, kita akan fahami betapa Socrates telah dihukum mati akibat demagogi para pemuka politik di Athens. Malah, Hypatia yang merupakan antara ilmuwan wanita paling produktif pada zamannya di Iskandariah juga telah dibunuh beramai-ramai akibat demagogi yang bersandarkan alasan berbentuk keagamaan.
Jika kita datang ke zaman moden, bagaimanakah kejayaan Hitler boleh dicapai jika bukan kerana demagogi, yang memaksikan idea-ideanya dalam bentuk etnonasionalis Aryan?
Untuk sebuah demagogi mendapat sokongan padu, ia menuntut kepada sekurang-kurangnya dua perkara: seorang atau sekumpulan pemimpin berkarisma, dan sebuah idea yang konsisten (jangan lupa, konsisten atau tidak sesuatu idea tidak mewajibkan idea tersebut menjadi sesuatu yang “benar”).
Demagogi beginilah juga yang sedang melanda masyarakat kita. Dalam konteks Malaysia, sekumpulan pemimpin berkarisma itu boleh dikembangkan menjadi semua individu dan institusi yang mengembangkan wacana agama sedia ada, dan idea yang konsisten itu ialah idea tentang “syariah” dan “mahkamah syariah,” walaupun idea tersebut bukanlah sebuah “kebenaran.”
Dalam wacana fiqh sepanjang sejarah Islam, perbezaan antara “syariah,” “fiqh,” dan “penerapan fiqh melalui undang-undang negara” telah dibahaskan dengan amat mendalam serta berdisiplin. “Syariah” merujuk kepada semua ideal hukum, sumber-sumber hukum, dan semangat bagi hukum Islam. Istilah “syariah” didefinisikan oleh al-Tahanawi dalam Kashshaf Istilahat al-Funun sebagai “mashra’at al-mā’”, yakni “mata air,” sumber pewacanaan hukum Islam.
Para ulama sepanjang sejarah pula, dengan usaha dan ilmu mereka masing-masing, menjalankan ijtihad, yakni usaha menalar ke atas sumber-sumber ini, lalu menerbitkan atau memformulasikan hukum-hakam melalui pemahaman mereka terhadapnya—di peringkat ini, kita kenalinya dengan istilah “fiqh.” Maka, adalah sesuatu yang tabii untuk fiqh apabila ia punyai ribuan tafsiran berbeza terhadap sesuatu isu.
Apabila datang kepada penerapan apa-apa pandangan fiqh melalui sarana Mahkamah Syariah, di situ kandungan serta prosedur bagi mana-mana pendapat fiqh itu diubahsuai lagi mengikut prosedur mahkamah, konteks setempat, dan isu-isu teknikal lain.
Sebab itulah, bagi yang belajar fiqh dan usul al-fiqh, pasti faham bahawa semua penerapan apa-apa hukum melalui Mahkamah Syariah di mana-mana negeri itu hakikatnya bukanlah “syariah” itu sendiri, tetapi hanya sebagai satu usaha untuk menerapkan satu bentuk pandangan fiqh dari sekian banyak pandangan yang ada berkait sesuatu perkara.
Seterusnya, sumber punca kuasa bagi penggubalan itu pula terletak pada Dewan Undangan Negeri yang dianggotai ahli-ahli politik. Ilmuwan seperti Khaled Abou El-Fadl telah banyak menyinggung tentang permasalahan beza antara “syariah” dengan penerapannya. Dalam konteks Malaysia, ilmuwan seperti Tamir Moustafa, Iza Hussin, Maznah Mohamad, Ahmad Fauzi Abdul Hamid, dan lain-lain telah banyak menjelaskan perbezaan ini. Malah, Wael Hallaq melalui The Impossible State pula menjelaskan betapa semua undang-undang negara moden adalah mustahil akal (jika mahu menggunakan istilah ilmu mantik) untuk disamakan dengan hukum-hakam Islam.
Justeru, apa-apa hukum dalam Mahkamah Syariah itu hakikatnya bukanlah “hukum Allah” secara sumber dan zatnya sendiri, walaupun ia barangkali terinspirasi daripada mana-mana satu pandangan fiqh dalam Islam. Masalah yang sedang berlegar sekarang ialah, melalui demagogi di tiga peringkat (individu, institusi pendidikan, dan institusi politik), pemahaman salah bahawa “hukum-hakam Mahkamah Syariah” adalah sama dengan “kandungan Syariah Islam” sudah tersebar, sehinggakan apabila masyarakat memandang keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari itu, ramai secara semberono telah menuduh “mahkamah telah membatalkan hukum Islam.”
Kurang suara kritis ilmuwan
Hal yang sama juga berlaku dengan usaha membahaskan RUU 355 oleh para politikus Parti Islam Se-Malaysia (PAS) beberapa tahun lalu. RUU tersebut disalah anggap sebagai “hukum Allah,” tetapi jika dibaca kandungannya, ia langsung bukan suruhan Allah. Masalah kefahaman yang salah lagi dangkal ini perlu diteliti jika mahu dicari penyelesaiannya.
Di peringkat individu, pengaruh demagogi ini terjadi melalui sumber-sumber ilmu agama yang popular, iaitu ustaz-ustazah di meja penceramah atau media. Kebanyakan daripada ceramah-ceramah agama yang popular di Malaysia tidak menggalakkan pemikiran kritis terhadap wacana keagamaan, tetapi terus-menerus tersangkut dengan perbincangan tentang “apa hukum X” dan “apa hukum Y” semata-mata. Jika anda ke mana-mana kuliah agama di surau atau masjid, mungkin hampir semua kuliah agama akan berlegar di sekitar tajuk-tajuk begini.
Walhasilnya, masyarakat akan dibiasakan dengan cara fikir simplistik bahawa “agama ialah satu set suruhan Tuhan,” dan ia wajib dipraktikkan di “semua peringkat masyarakat,” tanpa dikritisi masalah-masalah pokok seperti “apa itu masyarakat?” “apa itu undang-undang?” “setakat manakah agama boleh mempengaruhi undang-undang?” dan pelbagai soalan lain lagi.
Atas sebab itulah, apabila hukum-hakam Mahkamah Syariah dipaparkan dengan imej “syariah,” ramai orang akan langsung menganggap kandungan hukum-hakam mahkamah tersebut sama dengan “syariah,” walhal hakikatnya, ia bukan begitu. Dengan ketiadaan pemikiran kritis yang disebarluaskan lewat ceramah-ceramah agama yang popular, kita telah melahirkan pemikiran simplistik di kalangan orang Islam tentang hubungan agama dengan undang-undang. Inilah demagogi di peringkat individu, walaupun para penceramah itu sendiri barangkali tidak sedar bahawa mereka telah terperangkap dalam penyebaran sebuah demagogi.
Peringkat kedua ialah institusi pendidikan. Jika meja penceramah agama di surau dan masjid gagal membebaskan masyarakat daripada demagogi, harapan yang kita ada ialah institusi pendidikan, khususnya pengajian tinggi. Namun, harapan ini juga malap. Di kalangan sarjana undang-undang, pengajian Islam, sejarah Islam, politik Malaysia, dan lain-lain, ramai yang memahami bahawa pendapat masyarakat awam di mahkamah kedai kopi tentang isu ini digerogoti kesalahan cara fikir yang serius, tetapi berapa ramaikah yang mahu ikut memandaikan masyarakat? Tidak ramai.
Akibat kekurangan suara-suara kritis di kalangan para ilmuwan yang menduduki institusi-institusi ilmu terbesar, institusi-institusi ini pun berisiko untuk ikut membenarkan saja salah faham yang tersebar akibat demagogi tadi. Lebih parah, jika hasil yang terbit ialah mahasiswa lepasan institusi-institusi ini akhirnya gagal berfikir kritis tentang wacana agama popular, lalu terperangkap juga dengan demagogi tersebut.
Akhir sekali, pihak yang paling meraih untung daripada demagogi ini ialah para politikus—mereka yang mengapi-apikan isu ini demi kepentingan temolok sendiri. Di media sosial sejurus selepas keputusan mahkamah pada 9 Februari, berapa ramai politikus, khususnya yang beragama Islam, mendendangkan salah faham kononnya “syariah telah terancam”? Ramai sekali, khususnya mereka yang tidak sekapal dengan kerajaan sedia ada. Perbuatan mendendangkan demagogi sebegini adalah tidak bertanggungjawab sekali, kerana bagi anggota masyarakat yang tidak mahu (atau kadangkala tidak sempat) berfikir kritis, mereka langsung menerima mesej bahawa “Islam sedang terancam.”
Adalah sesuatu yang menyedihkan juga kerana institusi politik kita masih belum punyai mekanisme untuk mengekang salah faham yang serius tentang undang-undang, yang disebarluaskan oleh orang politik sendiri.
Penyempitan wacana Islam
Dengan pengaruh demagogi tentang agama dan undang-undang yang simplistik di Malaysia, siapakah yang akan terpaksa menelan jadamnya? Kerugian pertama adalah masyarakat dan generasi masa depan kita sendiri. Dengan gagal berfikir kritis terhadap wacana keagamaan, kita berisiko melahirkan generasi masa depan yang hanya membontoti cakap-cakap para agamawan walaupun tidak berasas.
Kedudukan para agamawan sebagai “pemegang suara kebenaran” akan semakin kukuh walaupun sebahagian daripada mereka berterusan bersikap tidak bertanggungjawab menyebarluaskan salah faham tentang agama. Bahkan, barangkali ia boleh menatijahkan sesuatu yang pernah diistilahkan oleh Kassim Ahmad sebagai “kasta paderi.”
Bertitik tolak daripada kesan pertama, kesan kedua ialah penyempitan wacana Islam di Malaysia, dan Islam sendiri yang akan rugi. Dengan lautan wacana Islam sepanjang zaman melalui tinta ribuan ulama, baik lelaki mahupun perempuan, kesemua itu berisiko untuk dibakulsampahkan oleh masyarakat kerana tidak selaras dengan hukum-hakam Mahkamah Syariah yang dianggap sebagai sama dengan “syariah” itu sendiri. Bahkan, melalui cara lain selain kewujudan Mahkamah Syariah, ada banyak hal berinspirasikan keluasan lautan fiqh yang mampu dilaksanakan demi kemaslahatan seluruh anggota masyarakat, bukan orang Islam semata-mata.
Hakikatnya, hukum-hakam Mahkamah Syariah bukanlah zat “syariah” itu sendiri. Justeru, jika para pempetisyen kalah di Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu pun, Islam tidak sepicing pun terbela. Bak kata para Islamis sendiri, al-Islām ya’lū walā yu’lā ‘alayh—“Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.” Maka buktikanlah apa yang anda sebut itu benar.
HAZMAN BAHAROM ialah Calon Doktor Falsafah di Universiti Waseda, Jepun. Beliau turut berkhidmat sebagai salah seorang jurulatih negara ke Olimpiad Falsafah Antarabangsa (IPO), telah menulis dua buku dan menterjemah enam buku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan