Tipu 40 wanita, lelaki kasanova dijel 13 tahun

Agensi
GU memalsukan identitinya, berkasih dengan beberapa wanita secara serentak dengan menggunakan kemahiran 'pengurusan masa yang canggih' dan memperdaya mangsa untuk meminjamkan wang kepadanya. FOTO Agensi
GU memalsukan identitinya, berkasih dengan beberapa wanita secara serentak dengan menggunakan kemahiran 'pengurusan masa yang canggih' dan memperdaya mangsa untuk meminjamkan wang kepadanya. FOTO Agensi
Beijing: Tindakan licik lelaki daripada keluarga miskin dari luar bandar di China, yang berpura-pura sebagai ahli perniagaan dan menyewa kereta mewah untuk memperdayakan wanita, terbongkar apabila dia akhirnya ditangkap dan dipenjarakan selama 13 tahun.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, sekurang-kurangnya 40 wanita terperangkap dalam penipuan lelaki dinamakan Gu, 33, itu dan kesnya membabitkan kerugian berjumlah dua juta yuan (kira-kira RM1.32 juta), kata polis di Sichuan.

Mengikut laporan, Gu dilahirkan di sebuah perkampungan kecil di timur wilayah Jiangsu dan tercicir dari sekolah rendah ketika darjah dua. Dia kemudian berkahwin tetapi bercerai beberapa tahun lalu.

Penyiasat mendapati Gu memalsukan identitinya, berkasih dengan beberapa wanita secara serentak dengan menggunakan kemahiran 'pengurusan masa yang canggih' dan memperdaya mangsa untuk meminjamkan wang kepadanya.

Penipuan liciknya termasuk membabitkan menyamar sebagai bos sebuah syarikat pembinaan, menyewa kereta mewah dengan wang yang dipinjam, memiliki sijil palsu pemilikan harta dan juga mengupah pemandu untuk memandu kenderaan mewah disewanya.

Persediaan rapi itu menarik ramai wanita bujang di laman web janji temu, dengan kebanyakan mangsa berumur antara 20-an dan 40-an.

Gu akan meminta mangsa meminjamkan wang kepadanya termasuk dengan alasan mendakwa bahawa syarikatnya yang sebenarnya tidak wujud itu mempunyai isu aliran tunai, atau dia baru sahaja membuat pelaburan.

Wanita yang berhubungan dengannya yakin Gu memang kaya kerana gaya hidupnya boros, walaupun hakikatnya dibiayai oleh wang yang diambilnya daripada wanita lain.

Untuk menarik minat wanita, Gu berjanji untuk membelikan mereka rumah dan kereta. Dia juga menawarkan diri untuk bertemu ibu bapa mereka untuk membuktikan dia ikhlas dengan hubungan itu.

Penipuan Gu terbongkar selepas dia dipukul di wilayah barat daya Sichuan oleh seorang lelaki yang menuduh Gu mempunyai hubungan sulit dengan isteri lelaki berkenaan.

Polis mendapati bahawa si isteri berkenaan sudah memindahkan sejumlah besar wang ke akaun bank Gu.

Siasatan lanjut mendapati beberapa wanita lain juga memberitahu polis bahawa mereka ditipu Gu dan pada 2022, Gu meninggalkan Jiangsu selepas beberapa 'teman wanitanya' menjadi curiga apabila dia tidak memulangkan wang mereka.

Gu kemudian berpindah ke wilayah Sichuan di barat daya negara itu di mana dia memberitahu orang ramai bahawa dia adalah bos syarikat pembinaan dari Jiangsu yang memiliki beberapa hartanah dan kereta, sudah bercerai serta berharap dapat mencari isteri.

Mahkamah di daerah Tongjiang, Sichuan, menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan denda 200,000 yuan (kira-kira RM132,492) terhadap Gu kerana melakukan penipuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan