Pemimpin utama Bersatu sering muncul di Pejabat Perdana Menteri

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Seorang pemimpin utama Bersatu baru-baru ini sering kelihatan di Pejabat Perdana Menteri (PMO) dipercayai melakukan rundingan demi “survival” beberapa pemimpin tertentu sehingga pilihan raya parti, menurut sumber terdekat.

Sumber yang enggan dinamakan, berkata pemimpin Bersatu berkenaan berjanji akan memberikan lebih banyak sokongan Ahli Parlimen Bersatu kepada kerajaan. Kata sumber itu lagi, “lebih ramai” wakil rakyat Bersatu dijangka isytihar sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Setakat ini, enam Ahli Parlimen Bersatu telah berbuat demikian dengan kekal menjadi ahli parti. Langkah mereka menjadikan Bersatu merancang meminda perlembagaan parti bagi mengelak tindakan sama berulang.

Bagaimanapun, sumber berkata tidak mudah untuk Bersatu meminda perlembagaan parti itu.

“Beberapa Ahli Parlimen Bersatu mahu menyeberang, namun takut berdepan tindakan,” kata sumber. Katanya, jika sokongan mereka kepada kerajaan tidak diumum secara terbuka, ia akan terserlah jika berlaku pengundian di Parlimen.

Seorang Ahli Parlimen memberitahu FMT, bahawa beberapa pemimpin lain sedar ada pemimpin parti dari negeri tertentu sering dilihat di PMO.

“Ramai pemimpin bahagian juga sedar perkara itu, tetapi kami tidak pasti kenapa pemimpin berkenaan berada di sana,” katanya. “Itulah antara sebabnya ramai Ahli Parlimen hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan