Pemuda UMNO 'berkiblatkan' Najib

NOR SYAMIRA LIANA NOR ASHAHA

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyelar tindakan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh yang seolah-olah menunjukkan perjuangan sayap berkenaan ‘berkiblatkan’ bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sahaja.

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimi berkata, Dr Muhamad Akmal perlu menyedari bahawa Kerajaan Perpaduan terbentuk untuk menyelamatkan rakyat dan negara disebabkan kegagalan pentadbiran terdahulu, Perikatan Nasional (PN).

“Kerajaan Perpaduan bukan dibentuk demi menyelamatkan Najib Razak.

“Amat memalukan apabila perjuangan Pemuda hanya berkiblatkan satu sosok yang korup. Jika ini tahap Ketua Pemuda, saya tidak hairan akan tindakan rakyat yang hampir mengubur UMNO sebelum ini,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengesahkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Tarikh tersebut adalah enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman sepatutnya selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (Yang di-Pertuan Agong ketika itu).

Mengulas lanjut, Razeef memaklumkan, pengurangan hukuman secara tidak langsung dapat membalas jasa baik bekas Presiden UMNO itu sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri.

Menurutnya, mencadangkan untuk Najib dibebaskan merupakan satu usul yang tidak bijak.

“Perlu diingatkan dia (Najib) didapati bersalah salah guna kuasa melibatkan RM42 juta dan kita terpaksa menanggung hutang berbilion ringgit.

“Bukan itu sahaja, dia juga masih ada beberapa kes dalam perbicaraan seperti kes SRC penggubalan wang haram (AMLA) melibatkan RM27 juta, International Petroleum Investment Company (IPIC) bernilai RM6.6 bilion dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai Rm2.3 bilion,” ujarnya.

Jelas beliau, kini UMNO mendapat semula kepercayaan rakyat sebaik sahaja bersama Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, Razeef berkata, tindakan Dr Muhamad Akmal hanya mengikis kembali kepercayaan rakyat yang melihat generasi pelapis kepimpinan UMNO hanya mampu menjadi pembela koruptor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan