Pulak!!? Bekas PM Pakistan, isteri dipenjara tujuh tahun atas kesalahan perkahwinan tidak sah

BHarianonline 
Isteri bekas perdana menteri Pakistan, Imran Khan, Bushra (kiri) didakwa tidak menyempurnakan tempoh 'edah', selepas bercerai dengan suaminya sebelum ini dan berkahwin dengan Khan. - Foto AFP
Isteri bekas perdana menteri Pakistan, Imran Khan, Bushra (kiri) didakwa tidak menyempurnakan tempoh 'edah', selepas bercerai dengan suaminya sebelum ini dan berkahwin dengan Khan. - Foto AFP
ISLAMABAD: Bekas Perdana Menteri Pakistan Imran Khan dan isterinya, Bushra Khan hari ini dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan denda, selepas mahkamah memutuskan perkahwinan mereka pada 2018 melanggar undang-undang.

Ia adalah keputusan buruk ketiga yang dihadapi bekas perdana menteri minggu ini dan muncul menjelang pilihan raya negara, Khamis ini, selepas beliau dilarang daripada bertanding.

Khan 71, yang masih dalam penjara, sejak beberapa hari lalu dijatuhi hukuman 10 tahun kerana membocorkan rahsia negara dan penjara 14 tahun bersama isterinya itu kerana menjual hadiah negara secara haram.

"Selepas berjam-jam perbicaraan tergesa-gesa di mahkamah, tiada pemeriksaan balas saksi, dan tiada proses wajar - satu penghinaan terhadap undang-undang.

"Melalui cara perbicaraan ini dijalankan, akan ada tanda tanya besar yang akan berlaku pada pilihan raya 8 Februari ini. Ini adalah kes ujian untuk badan kehakiman yang lebih tinggi di Pakistan," kata parti Khan, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), dalam satu kenyataan.

ARY News, melaporkan, dalam penghukuman itu, kedua-duanya masing-masing didenda 500,000 rupee (AS$1,800, RM8,491).

Bushra dituduh tidak menyempurnakan tempoh menunggu yang diamanatkan oleh Islam iaitu 'edah', selepas bercerai dengan suaminya yang terdahulu dan berkahwin dengan Khan.

Keluarga Khan menandatangani kontrak perkahwinan mereka, dipanggil 'Nikkah' pada Januari 2018 dalam satu majlis rahsia tujuh bulan sebelum bekas superstar kriket berkarisma itu menjadi perdana menteri buat kali pertama.

Terdapat kontroversi sama ada mereka melangsungkan perkahwinan sebelum haid selesai.

Selepas penafian di awal perkahwinan Januari itu, PTI kemudiannya mengesahkannya beberapa minggu kemudian.

Namun, kedua-dua Khan menafikan sebarang salah laku dilakukan.

"Boleh saya katakan saya adalah saksi nikah dan ia adalah satu lagi kes palsu. Daripada saksi kepada keterangan kepada prosedur," kata penasihat media Khan, Zulfi Bukhari kepada Reuters.

Khan berada di penjara di Rawalpindi, manakala isterinya dibenarkan menjalani hukuman di rumah agam mereka di atas bukit di Islamabad.

Pemimpin itu sudah kehilangan kelayakan selama 10 tahun daripada memegang jawatan awam dan ketika ini, adalah tidak jelas sama ada hukuman itu akan dijalankan serentak atau berasingan.

Difahamkan, bekas suami Bushra, Khawar Maneka, yang berkahwin dengan wanita itu selama kira-kira 30 tahun, membuat aduan jenayah terhadap Khan.

Khan, 71, sering menggelar Bushra sebagai pemimpin rohaninya.

Dia terkenal dengan pengabdiannya kepada tasawuf.

Dilahirkan dengan nama Bushra Riaz Watto, dia menukar namanya kepada Khan selepas perkahwinannya itu.

Suami dan pengikutnya biasanya memanggilnya sebagai Bushra Bibi atau Bushra Begum, gelaran yang menunjukkan rasa hormat dalam bahasa Urdu.

Tidak jelas bila atau bagaimana Khan bertemu Bushra, tetapi bekas pembantu Aun Chaudhry, berkata Khan terpesona dengan iman wanita itu.

Khan, pada era 1990-an memperoleh imej 'playboy' ketika kerjaya kriketnya bermula dan berkata, beliau sangat berminat dengan pengajian tasawuf.

Dua perkahwinan Khan sebelum ini berakhir dengan perceraian - iaitu bersama Jemima Goldsmith, anak kepada taikun perniagaan James Goldsmith dan wartawan televisyen, Reham Nayyar Khan. - REUTERS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan