Kawan karib rupanya adik beradik
Agensi
THANGAH Koh dan Fatimah Mohidin. FOTO LimYaohui
Singapura: Warga emas Singapura ini sering bermain sejak kecil, namun tidak menyangka rupanya mereka saudara kandung.
Thangah Koh, 72, dan Fatimah Mohidin, 71, adalah anak kepada seorang mekanik dan isteri keduanya yang mempunyai lapan anak.
Dua daripada lima anaknya daripada perkahwinan pertama turut tinggal bersama menyebabkan sumber kewangan mereka agak terhad.
Thangah adalah anak kedua, manakala Fatimah anak ketiga hasil perkahwinan kedua bapanya.
Dinamakan Koh Siew Kiang ketika dilahirkan, Thangah sering jatuh sakit semasa bayi sehingga seorang ahli nujum menasihati ibu bapanya menyerahkannya kepada orang luar seperti keluarga bukan Cina atau nasib malang mungkin menimpa bapanya.
Ketika berusia lima bulan, dia diserahkan kepada pasangan India yang tidak mempunyai anak dan mengusahakan gerai kantin di sebuah sekolah.
Setahun kemudian, Fatimah yang dinamakan Koh Siew Lang ketika dilahirkan turut diserahkan kepada keluarga angkat Thangah.
Namun, dia kemudian diserahkan kepada jiran keluarga angkat berkenaan, iaitu pasangan Melayu yang tidak mempunyai anak kerana mereka tidak dapat menguruskan dua anak kecil serentak.
Fatimah yang bersara dari sebuah kilang berkata, jiran tetangga sering bertanya sama ada mereka adik beradik kerana mempunyai wajah hampir sama.
"Orang kata kami serupa dan bertanya sama ada kami adik-beradik.
"Saya kata saya Melayu sedangkan Thangah India jadi macam mana kami boleh menjadi adik-beradik?
"Tetapi apabila kebenaran terbongkar, saya terima takdir ini," katanya.
Sementara itu, Thangah, yang juga pesara pembantu pejabat berkata, dia hanya mengetahui anak angkat ketika mendaftar untuk mendapatkan kad pengenalan ketika remaja.
Katanya, pegawai Imigresen bertanya sama ada dia berketurunan Cina kerana nama ibu bapa kandungnya pada sijil kelahirannya adalah Cina.
"Saya menerima berita itu dengan tenang dan tidak bertanya lanjut kepada ibu bapa saya kerana mereka sangat menyayangi saya, apatah lagi bapa saya seorang tegas.
"(Namun) Secara diam-diam saya mencari keluarga kandung ketika berusia 20 tahun kerana memerlukan maklumat untuk memohon kerakyatan Singapura kerana proses penyerahan anak angkat tiada dokumen.
"Apabila saya berjaya mencari mereka, ibu bapa dan adik beradik kandung saya menangis, malah bapa saya sangat gembira," katanya seperti dilaporkan Straits Times.
Katanya, keluarga kandung mereka pernah mencari dua beradik itu menerusi iklan di akhbar Cina, namun usaha itu tidak berjaya.
"Hari itu juga saya diberitahu, Fatimah juga adik kandung saya.
"Kami gembira kami adik beradik dan saya tidak pernah marah kerana diserahkan kepada keluarga angkat, malah saya berterima kasih kepada ibu bapa angkat saya kerana membesarkan saya dengan baik," katanya.
Kini, biarpun ibu bapa angkat dan ibu bapa kandung mereka sudah meninggal dunia mereka masih menyambut pelbagai perayaan bersama keluarga kandung mereka.
"Adik beradik kandung saya semuanya penyayang dan hormat-menghormati.
"Hubungan kami semakin erat, malah adik beradik saya panggil saya kakak India mereka dan Fatimah kakak Melayu mereka," kata Thangah.
Kisah mereka dipaparkan dalam buku mengenai penerimaan antara kaum di Singapura sebelum merdeka, yang diterbitkan pada Disember 2023 Little Drops: Cherished Children Of Singapore's Past ditulis Dr Theresa Devasahayam, pensyarah sosiologi sambilan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan