2 saksi kes rasuah bekas setpol Mat Sabu didenda RM15,000 kerana beri keterangan bercanggah

Bernama

KUALA LUMPUR: Dua saksi utama pendakwaan dalam kes rasuah bekas setiausaha politik kepada Mohamad Sabu masing-masing didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen kerana memberi keterangan bercanggah semasa disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ketika perbicaraan kes itu.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu terhadap Zainudin Abdul Majid, 53, dan Ahmad Hisham Mohd Tajuddin, 54, selepas mereka menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan masing-masing.

Mahkamah juga memerintahkan Zainudin dipenjara 20 bulan, manakala Ahmad Hisham dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Kedua-dua tertuduh merupakan adik-beradik membayar denda berkenaan.

Zainudin didakwa atas dua pertuduhan memberikan keterangan tidak selaras pada perbicaraan kes rasuah dihadapi Mohd Azhar Che Mat Dali dengan pernyataan yang diberikan kepada Penolong Kanan Penguasa SPRM Shamsudin Md Noh.

Tertuduh memberi keterangan pada perbicaraan kes rasuah itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 8, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 7 April 2023 yang tidak selaras dengan pernyataan kepada Shamsudin pada 4 Nov 2022.

Ahmad Hisham pula didakwa atas satu pertuduhan sama ketika memberikan keterangan dalam perbicaraan sama pada 9 Mei 2023 manakala keterangan kepada SPRM di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada 2 Nov 2022.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 27(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa rayuan terhadap hukuman, peguam Wan Shahrizal Wan Ladin yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon hukuman denda minimum kerana anak guamnya menanggung keluarga.

“Anak guam saya (Zainudin) yang kini bekerja sebagai penjaga sebuah stesen minyak berpendapatan RM2,500 sebulan menanggung dua anak dan ibu yang sedang sakit. Pengakuannya hari ini telah menjimatkan masa semua pihak.

“Tertuduh (Ahmad Hisham) yang merupakan pengarah sebuah syarikat memohon denda rendah kerana sebahagian wang syarikatnya telah dilucut hak kepada SPRM selain menanggung tiga anak serta ibu yang sakit,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Farah Yasmin Salleh memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat umumnya agar memberi keterangan yang telus kepada SPRM dan mahkamah.

“Saya mohon mahkamah mengambil kira tentang kesan dan akibat kesalahan dilakukan tertuduh yang mana perjalanan perbicaraan kes di Mahkamah Sesyen Jenayah 8 terkesan disebabkan masa dan kos pihak-pihak,” kata Muhammad Asraf.

Pada 12 Jan lalu, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan Mohd Azhar, 53, daripada tujuh pertuduhan menerima dan meminta rasuah berjumlah RM6.48 juta daripada syarikat kontraktor bagi membantu mendapatkan projek di sebuah kementerian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan