Dr Akmal: 'Saya tidak berganjak pendirian walau diugut ditembak mati'

Amir Mamat

bhnews@bh.com.my

JASIN: Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, mendakwa menerima satu ugutan bunuh daripada pihak tidak dikenali hari ini.

Menerusi video yang dimuat naik di Facebook, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dan EXCO Melaka, berkata dakwaan ugutan bunuh itu dimaklumkan oleh seseorang yang menghubunginya ketika dalam perjalanan ke satu program di Lipat Kajang, di sini pagi tadi.

"Saya terima satu panggilan telefon daripada seorang hamba Allah yang menyatakan bahawa dia risau kerana dia mendengar ada satu ugutan bunuh terhadap saya, malah dia memaklumkan, ugutan jika Ketua Pemuda UMNO ini terus bercakap mengenai soal (pasar mini) KK Mart ini dia pasti akan ditembak mati satu hari nanti.

"Jadi, hamba Allah ini menunjukkan dia betul-betul serius mengenai ugutan yang didengari ini dan dia pun sudah membuat laporan polis mengenai apa yang dia sendiri dengar.

"Insya-Allah, jam 5.30 petang ini saya juga akan buat satu laporan polis untuk melindungi saya dan juga keluarga. (Bagaimanapun) jangan risau, saya tidak akan berganjak walau seinci terhadap pendirian (sebelum ini). Saya akan tetap (teguh dengan pendirian) sebab saya percaya dalam Surah Muhammad, ayat tujuh Allah berfirman: "Kalau kamu membantu agama Allah, nescaya Allah akan membantu kamu, malah akan meneguhkan lagi pendirian kamu."

"Kita ada Allah, Lillahi Taala, insya-Allah saya serahkan (segalanya) kepada Allah dan juga pihak berkuasa untuk siasatan seterusnya. Jangan mengalah, kekal boikot," katanya.

Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin sebelum ini lantang menyuarakan bantahan terhadap penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaiannya pada 13 Mac lalu.

Sehubungan itu, Pemuda UMNO melancarkan kempen boikot KK Mart berikutan kegagalan pihak pengurusan pasar mini berkenaan untuk menggantung kain rentang permohonan maaf di semua 881 cawangannya di seluruh negara.

Kempen berkenaan mendapat sambutan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan