Kelantan: Penduduk hilang sabar, anak enggan balik beraya jika isu air tak selesai

SITI NUR ZAWANI

Sekumpulan penduduk di Kuala Krai, Kelantan sudah hilang sabar dengan krisis air di daerah itu yang menghantui mereka sejak setahun lalu, termasuklah ketika Ramadan.

“Bila buat aduan baru dapat bekalan air. Sampai bila?,” itu persoalan yang dilontarkan penduduk di Kampung Kemubu, Dabong apabila penghuni di 50 buah rumah di sana terpaksa menyambut Ramadan tanpa bekalan tersebut.

Pengerusi Persatuan Warisan Anak Krai, Hamidi Hamzah berkata, mereka sudah hilang sabar selepas menerima ‘ugutan’ daripada anak-anak di perantauan yang enggan pulang beraya jika masalah itu gagal diselesaikan.

“Sekarang ini kami hidup dalam tekanan kerana air hanya akan keluar seminggu sekali, itupun selepas aduan dibuat.

“Bayangkan dari tahun lepas berapa banyak aduan yang kami terpaksa buat setiap kali mahukan air bersih.

“Sampai kami sudah muak untuk membuat aduan kerana masalah ini tidak pernah selesai,” katanya menurut Sinar Harian.

Lapor akhbar itu, penduduk kampung terpaksa bersusah payah memunggah air dari kawasan kejiranan berhampiran menggunakan botol, bersengkang mata bermula jam 2 hingga 6 pagi untuk menadah air serta ada yang terpaksa mandi di sungai berhampiran.

“Hujung tahun lalu masih boleh bersabar sebab ada air hujan.

“Setiap kali hujan penduduk akan menadah air untuk digunakan bagi kegunaan harian seperti memasak, mandi dan mencuci,” katanya.

Bagi Aziz Ibrahim, 72, yang bekerja kampung berkata, pada cuti Tahun Baharu Cina baru-baru ini anak-anak dan cucu-cucunya terpaksa ‘lari’ ke lokasi lain kerana masalah air.

“Kepulangan yang dinantikan, sepatutnya kami boleh berkumpul beramai-ramai. Tetapi bila air setitik pun tidak keluar siapa yang boleh tahan.

“Tidak lama lagi Syawal, saya dan isteri sudah gelisah. Bukan memikirkan baju baharu, atau juadah raya. Tetapi memikirkan macam mana kami hendak kumpul air yang banyak bagi menyambut kepulangan anak-anak serta cucu,” katanya.

Dia memberitahu, di kampung tersebut terdapat satu tangki besar yang sebelum ini boleh menampung keperluan semua penduduk sehinggalah tangki tersebut terpaksa dikongsi bersama penduduk di Kampung Gua Chatok dan masalah bekalan air bersih mulai berlaku.

“Tetapi yang kami pelik, bila buat aduan. Elok air keluar.

“Lepas itu jadi balik. Lepas itu buat aduan balik, keluar balik air. Begitulah rutin kami perlu lakukan, sampai bila?,” katanya.

Suri rumah, Halimah Mat Zain, 61 memberitahu dia hanya mampu mencuci pakaian seminggu sekali.

Menurutnya, malah setiap hari dia dan suami perlu berulang alik menaiki motosikal membawa botol untuk memunggah air.

Ujarnya, sepanjang Ramadan mereka mengalami kepenatan melampau serta sukar melakukan ibadah dengan sempurna kerana masalah air.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan