Lagi kes kanak-kanak maut jatuh bangunan

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
ANGGOTA polis dan pasukan perubatan di lokasi kejadian. Gambar kanan Kuarters Integrasi Hospital Sungai Buloh. FOTO Ihsan Pembaca
ANGGOTA polis dan pasukan perubatan di lokasi kejadian. Gambar kanan Kuarters Integrasi Hospital Sungai Buloh. FOTO Ihsan Pembaca
Sungai Buloh: Kanak-kanak empat tahun maut akibat terjatuh dari tingkat 16 selepas memanjat keluar dari tingkap kediaman keluarganya di blok B, Kuarters Integrasi Hospital Sungai Buloh, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kejadian itu dilaporkan menerusi pangilan Mers 999 oleh seorang lelaki tempatan jam 4.28 petang.

Menurutnya, ketika kejadian kedua ibu bapa mangsa berusia lingkungan 30-an sedang lena tidur sebelum ibu mangsa terjaga dan melihat kanak-kanak lelaki itu sudah berada di bahagian luar tingkap di ruang tamu.

"Ibu mangsa tidak sempat untuk mendapatkan mangsa sebelum mangsa yang juga anak bongsu daripada empat beradik itu terjatuh ke bawah.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hafiz berkata, hasil soal siasat, bapa mangsa mendakwa anaknya itu seorang kanak-kanak hiperaktif bagaimanapun perkara itu belum dapat disahkan pasukan penyiasat.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat dan siasatan setakat ini diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

"Saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi balai terdekat atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di talian 0361561222 bagi membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, kejadian itu tular selepas beberapa keping gambar memaparkan anggota polis di lokasi kejadian dimuat naik di Facebook.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan