Mahkamah England hukum pesalah pertama hantar gambar seksual tanpa kerelaan penerima

AFP

LONDON: Sebuah mahkamah di timur England hari ini menjadi yang pertama di negara itu memenjarakan seorang individu atas kesalahan jenayah siber baharu dengan menghukum penjara 66 minggu kepada pesalah seks.

Seorang hakim di Mahkamah Southend Crown menjatuhkan hukuman itu kepada Nicholas Hawkes, 39, selepas dia mengaku melakukan kesalahan yang baharu ditetapkan.

Kesalahan 'cyber-flashing' membabitkan pesalah menghantar imej seksual yang tidak diminta kepada orang ramai di media sosial, aplikasi temu janji atau melalui komunikasi elektronik lain, menjadi salah laku jenayah di England dan Wales pada 31 Januari lalu.

Ia adalah sebahagian daripada Akta Keselamatan Dalam Talian kerajaan.

Hawkes dari Basildon, timur London mengaku bersalah atas dua pertuduhan menghantar gambar atau filem kemaluan untuk menyebabkan kebimbangan, kesusahan atau kehinaan.

Dia mengakui kesalahan itu apabila menghantar imej yang tidak diminta kepada seorang gadis berusia 15 tahun dan seorang wanita pada 9 Februari lalu.

Wanita itu membuat tangkapan skrin gambar di WhatsApp dan melaporkannya kepada polis pada hari yang sama.

Hawkes sudah pun berada dalam daftar pesalah seks selepas sabitan tahun lalu apabila melakukan aktiviti seksual dengan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun, yang mana dia turut menerima perintah komuniti.

Hari ini, dia juga mengaku bersalah melanggar perintah itu dan melanggar hukuman yang digantung untuk kesalahan seksual yang lain.

Menurut undang-undang, mangsa kesalahan siber baharu dan penderaan berasaskan imej lain boldh tidak dikenali sepanjang hayat apabila mereka melaporkannya di bawah Akta Kesalahan Seksual.
- AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan